Ahad, 6 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kenal emosi melalui lukisan

Posted:

Kenal emosi melalui lukisan

Kenal emosi melalui lukisan

BUKAN mudah bagi Andrew Lau, 17, bersosial seperti remaja lain pada usianya. Jika remaja lain sudah mengenal erti berdikari dan bergerak sendiri, Andrew pula masih ditemani ibunya, Jackie Liew, 49, walau ke manapun dia pergi dan walau apapun aktivitinya.

Andrew adalah remaja lelaki istimewa. Hidup sebagai penghidap autisme dan bersikap hiper aktif memberi cabaran kepada Jackie kerana ibunya itu seolah-olah melayan seorang anak kecil.

Ramai kanak-kanak mahupun remaja atau dewasa mengalami masalah seperti Andrew tapi mereka kurang diberi perhatian atau tidak didedahkan dengan peluang.

Hal itu bagaimanapun tidak terjadi pada Andrew. Jackie bukan sahaja memberi sepenuh perhatian kepada anaknya, malah masa, tenaga dan wang telah dikorbankan demi cahaya mata tercintanya itu. Lebih istimewa, Jackie berjaya menyerlahkan bakat Andrew sebagai pelukis.

Kini, hasil seni lukisan Andrew telah dipamerkan dalam dua buah pameran seni dan dia berjaya menjual lebih 20 buah lukisan sewaktu pameran dan lebih banyak dalam acara jualan langsung.

Pertama kali Jackie mengenal pasti kebolehan Andrew adalah ketika anaknya berusia empat tahun. Pada masa itu, dia baru sahaja mengetahui tentang masalah autisme yang dialami Andrew.

Bagi kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, mereka mungkin merasakan bahawa masa depan anak mereka tidak menentu. Begitupun, Jackie dan suaminya mengambil iktibar untuk berkorban apa sahaja demi Andrew, khususnya untuk mencungkil bakatnya.

Ketika di tadika selepas empat bulan, semua kanak-kanak boleh menulis angka, tetapi Andrew tidak dapat menulis walaupun nombor '2'.

"Kami mendapati dia tidak boleh menulis kerana angka tersebut mempunyai lengkungan yang baginya sukar. Detik itu, saya mendapat tahu kekurangan Andrew.

"Saya mengambil iktibar melatihnya menggunakan jam, iaitu saya melukis gambar jam dan menulis semua angka menggunakan titik. Saya kemudiannya melatih Andrew menyambungkan titik-titik itu sehingga membentuk nombor," kata Jackie.


ANDREW khusyuk melukis saat ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Usaha Jackie sangat berkesan apabila Andrew berjaya menulis angka '2' dan seterusnya, sehingga angka '12'.

"Malah, ketika di sekolah, apabila guru tadika minta tulis huruf F untuk gambar rajah bunga, Andrew pula sudah pandai mengeja keseluruhan ejaan bunga dalam bahasa Inggeris. Ketika itu saya sedikit lega," kata Jackie yang tidak jemu membimbing Andrew ke tahap kemahiran kanak-kanak normal.

Semasa belajar di sekolah rendah, Jackie memastikan anaknya dibekalkan dengan kertas kajang kosong yang banyak kerana Andrew dilihat kerap melukis ketika waktu senggang antara mata pelajaran.

"Dia juga suka melihat jam cuckoo (merujuk kepada jam dinding klasik dengan rekaan burung kecil yang keluar berkicau mengikut masa tertentu) di pusat-pusat beli-belah.

"Jika kami bersiar di pusat beli-belah Mid Valley, dia akan berlari ke kedai menjual jam untuk melihat burung tersebut setiap jam. Itu menjadi satu tabiat yang pada awalnya sangat merimaskan saya," katanya yang mempunyai beberapa jam dinding yang dirosakkan oleh Andrew sebaik sahaja dibeli.

Begitupun, Jackie mendapati, Andrew mampu memindahkan visual yang diminatinya itu ke atas kertas lukisan. Dia banyak menggunakan pen dakwat dan cat air untuk melukis jam dinding kegemarannya itu selain gambar binatang.

Tidak mahu kemahiran itu menjadi sia-sia, Jackie menghantar Andrew ke kelas seni selepas sesi sekolah sehingga ke hari ini.

"Saya agak terkejut kerana hasil karya pertama Andrew ketika menyertai kelas seni itu ialah Menara Berkembar Petronas. Saya dapati dia juga suka pada seni bina bangunan," ujarnya.


JAM dinding klasik kegemaran Andrew sering menjadi subjek utama dalam lakarannya.


Jackie bagaimanapun tidak menyimpan lukisan pertama anaknya itu kerana ia telah dimiliki doktor gigi Andrew sendiri yang merupakan seorang pengumpul kerja seni anak-anak istimewa seperti Andrew.

Menjaga kata-kata

Ketika diminta melukis untuk memberi aksi kepada jurugambar, Andrew yang lebih fokus terhadap komputer enggan bekerjasama. Setelah dipujuk Jackie, barulah dia bersetuju.

"Saya tidak boleh menggunakan perkataan tertentu kepadanya. Seperti tadi, untuk anda mengambil gambar, saya terpaksa meminta masa sedikit untuk memberi arahan secara lembut kepadanya. Saya mengubah kepada 'Andrew tolong Mama..'," katanya.

Menurut Jackie, menjaga anak yang menghidap autisme seperti Andrew, dia cuba untuk tidak menggunakan kata-kata arahan yang mengejut mahupun berjanji kosong.

"Jika dia mahukan sesuatu atau mahu pergi ke sesuatu tempat, saya tidak boleh kata 'nanti' atau 'esok-esok sajalah'. Andrew mahu saya tetapkan hari dan waktu yang jelas serta tepat," kata Jackie.

Ternyata Jackie ialah seorang ibu yang melengkapkan dirinya dengan maklumat. Dia memahami sepenuhnya gerak-geri, lisan dan emosi Andrew bagi memastikan dia tidak memberontak seperti yang lazimnya menjadi tabiat penghidap autisme.

Bermula dengan menggunakan pen dakwat dan cat air, Andrew kini mula menggunakan cat akrilik seperti yang dipelajari di kelas seninya. Begitupun, dia hanya dapat menyampaikan mesej sesebuah lukisan jika dia benar-benar melibatkan diri sepenuhnya.

"Jika tidak, lakarannya menjadi tidak kemas dan tidak seperti kemampuan sebenarnya. Apabila dia melukis, saya boleh mengagak emosinya," kata Jackie.

Mahu anaknya berdikari dan mempunyai skil kehidupan yang pelbagai, Jackie aktif melibatkan diri dalam pelbagai program dan kelas kemahiran untuk anak istimewa.

Ternyata, bukan sahaja Andrew mengalami perubahan dalam hidupnya, malah Jackie sendiri mengakui sudah memiliki kemahiran, keberanian dan kekuatan yang terbit dalam dirinya sendiri sepanjang menjaga Andrew. Ibu tabah itu kini sudah cekap memandu berbanding dahulu yang sering saja tidak yakin dan takut sesat jalan. Semuanya demi anak yang disayanginya.

"Saya amat bernasib baik kerana saya mempunyai rakan-rakan, jiran dan kenalan yang sangat baik. Mereka sanggup menunjuk ajar dan membantu saya.

"Salah seorang daripada mereka ialah guru tuisyen Andrew yang sedia mengajar komputer kepadanya selepas ramai yang menolak untuk mengajar anak saya," katanya.


BANGUNAN, jam cuck-koo dan haiwan antara subjek pilihan lukisan oleh Andrew.


Cuba memahami

Guru tuisyen yang dimaksudkan Jackie itu ialah Kho Kim Fui, 38. Dia bertanggungjawan mengajar Andrew set skil seperti menaip dan menggunakan komputer, bermain permainan serta menghantar e-mel.

"Apabila saya melihat Jackie hilang arah, saya pula merasakan Andrew bukan sukar diuruskan," kata guru Matematik dari pusat tusyen Sinaran Matahari, Jalan Ipoh itu.

Walaupun tiada asas dalam penjagaan anak istimewa, pendekatan yang dilakukan Kim Fui adalah bersabar dan cuba memahami. Dia membimbing akademik Andrew sejak remaja itu berusia sembilan tahun.

"Pada saya, dia normal, cuma sukar meluahkan emosi dan perlahan sedikit penerimaannya," katanya.

Walau bagaimanapun, kini Andrew dikatakan banyak berubah dan lebih baik dari segi pembelajaran dan respons dalam menerima arahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved