Sabtu, 26 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Muzium 3D pertama negara

Posted:

Muzium 3D pertama negara

Muzium 3D pertama negara

PERTAMA kali berkunjung ke Muzium Seni Helah atau Trick Art Museum yang terletak di bandar digital i-City, Shah Alam, penulis cuba mencari kelainan yang cuba ditonjolkan.

Namun, apa yang ada hanyalah pameran lukisan catan pelbagai motif menghiasi hampir keseluruhan dinding dan lantai muzium setinggi dua tingkat itu.

Begitupun, kehadiran sepasang remaja berhampiran penulis menampakkan mereka benar-benar teruja dan mula melakonkan pelbagai ekspresi wajah serta tubuh seakan-akan berinteraksi dengan lukisan tersebut.

Selepas aksi mereka dirakam, ternyata hasil bidikan kamera sama sekali berbeza dengan apa yang dilihat dengan mata kasar.

Apa tidaknya, daripada satu lukisan lantai biasa, namun dengan aplikasi teknik tiga dimensi (3D), lukisan itu kelihatan hidup dalam gambar.

"Dalam foto ini, saya kelihatan seperti sedang berjalan di atas titi kayu yang kecil dan sempit untuk menyeberangi lubang hitam di dalam gua.

"Hakikatnya, saya hanya berdiri di lantai yang dilukis dengan teknik 3D.

"Begitu juga dengan imej sotong gurita ini. Dengan bayangan yang dilukis di sekitarnya, ia kelihatan benar-benar hidup," ujar seorang pengunjung, Ahmad Akmar Ibrahim, 23.

Dia yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengetahui tentang kewujudan muzium ini selepas melihat gambar-gambar yang dimuat turun dalam blog milik rakannya.

"Walaupun lukisan yang disediakan di sini tidak segah lukisan 3D jalanan yang popular di Barat, namun ia masih memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk merasai pengalaman berinteraksi dengan lukisan.

"Ia pastinya sesuatu yang menarik untuk dikongsi apatah lagi ia merupakan muzium yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Malaysia.

"Bayaran masuk yang dikenakan juga berpatutan," ujarnya yang merupakan penuntut di Fakulti Seni Lukis Seni Reka.

Menawarkan lima motif lukisan iaitu lukisan termasyhur, pengembaraan Makam Mesir, alam haiwan, kehidupan marin dan lukisan adiwira klasik, muzium yang memiliki keluasan 743 meter persegi ini muncul sebagai muzium 3D pertama di negara ini.


MONICA optimis Muzium Seni Helah yang baru diperkenalkan ini mampu menarik ramai pengunjung ke i-City.


100 posisi

Mula dibuka pada kunjungan umum sejak 15 November tahun lalu, sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat memberangsangkan.

Dengan bayaran masuk RM5 seorang, pengunjung boleh meluangkan seberapa banyak masa yang dimahukan untuk berekspresi dengan lukisan-lukisan yang ada di situ.

"Sebelum ini apabila menjelangnya cuti umum atau cuti sekolah, kami menerima sekitar 90,000 pengunjung seminggu.

"Angka tersebut dijangka meningkat 30 peratus selepas pembukaan rasmi taman tema air baru-baru ini.

"Daripada jumlah tersebut, dianggarkan lebih separuh daripada pengunjung mengambil kesempatan bertandang ke Muzium Seni Helah.

"Lantaran kunjungan pengunjung yang tidak pernah surut, pihak muzium sudah beberapa kali menyelenggara semula lukisan terutamanya kemasan cat memandangkan ia bebas disentuh oleh pengunjung," ujar Pengarah i-Berhad, Monica Ong, 49.

Selain berpeluang melihat pameran lukisan 3D yang pertama diadakan di negara ini, pengunjung juga boleh meneroka lebih 100 gaya dan posisi sebagai satu bentuk ekspresi terhadap lukisan tersebut.

Tambah beliau, setiap lukisan dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknik lukisan bebas tangan oleh tiga kumpulan pelukis 3D profesional dari luar negara.

"Kami mendapatkan khidmat pelukis 3D dari Iran, China dan Korea.


AKSI kreatif pengunjung meniru gaya lukisan menjadikan karya ini nampak hidup.


Pelukis tiga negara

"Pelukis dari China misalnya, mereka akan terus melukis di dinding selepas melihat gambar yang diberikan tanpa perlu mengukur terlebih dulu.

"Berlainan pula dengan pelukis Korea. Mereka akan membesarkan skala lukisan sehingga mendapat saiz yang dikehendaki sebelum diunjur pada dinding.

"Walaupun teknik dan gaya melukis yang digunakan berbeza, saya cukup berpuas hati kerana hasilnya mampu memberikan impak 3D yang sama.

"Malah, saya sendiri tidak dapat mencari perbezaannya," ujar beliau.

Mengambil masa dua bulan untuk disiapkan, sebelum itu Monica dan kumpulannya perlu melihat ratusan gambar 3D untuk dipilih agar sesuai dengan tema kekeluargaan yang mahu ditonjolkan.

"Dari aspek lukisan, saya perlu memastikan ia kelihatan berbeza jika dilihat dari sudut berlainan memandangkan kesan seni helahnya kelihatan lebih menonjol di bawah lensa kamera.

"Dari aspek nilai tambah yang cuba diterapkan di Muzium Seni Helah ini pula, kami mahukan pengunjung tidak melihat lukisan ini hanya sebagai lukisan, sebaliknya memberikan mereka peluang untuk menjadi lebih bebas dan kreatif ketika berekspresi terhadap lukisan.

"Biasanya pengunjung akan masuk ke muzium ini bersama keluarga ataupun rakan-rakan.

"Apa yang menarik, masing-masing akan cuba mencari gaya dan posisi berbeza.

"Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pengunjung untuk bebas mencurahkan kreativiti mereka, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

"Ada juga yang bertindak sebagai pengarah fotografi. Melihat gelagat pengunjung muzium, ia memang menghiburkan," ujar Monica.


DUA pengunjung Muzium Seni Helah di i-City Shah Alam tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan gaya masing-masing.


Hanya di i-City

Garapan idea dan inovasi Monica serta kumpulannya dalam memberi kelainan beriadah dengan menubuhkan muzium 3D memang layak dipuji.

Muzium ini bukan sahaja berjaya menjadi tarikan utama di i-City, malah ia turut diberi pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records sebagai Muzium Seni Helah Pertama di Malaysia pada 22 November lalu.

"Idea untuk menubuhkan Muzium Seni Helah timbul selepas kami melihat pameran lukisan 3D di Korea Selatan.

"Selari dengan konsep Kota Digital i-City yang mahu tampil dengan tarikan unik, kami sentiasa mencari idea baharu yang dapat menawarkan tarikan riadah eksklusif kepada orang ramai yang mana ia hanya boleh didapati di sini," ujarnya.

Enggan menyajikan lukisan yang sama kepada pengunjung, Monica bertekad untuk menukar dan menambah baik pameran sedia ada setiap sembilan bulan.

"Bagi memastikan ia sentiasa berwajah baharu, kami akan menukar setiap lukisan secara berperingkat. Dengan cara ini, pengunjung yang datang buat kali kedua dalam masa setahun tidak akan melihat lukisan yang sama," katanya.

Berpeluang meneliti setiap lukisan yang dipamerkan, teknik 3D ditonjolkan menerusi bayangan yang dilukis pada sudut tertentu.

Selain itu, tona warna juga memainkan peranan penting untuk memberi kesan hidup pada lukisan.

Aras bawah muzium ini menyajikan pengunjung dengan karya lukisan termasyhur seperti Monalisa dan Van Gogh.

Terdapat juga lukisan pengembaraan Makam Mesir yang diadaptasi daripada zaman kegemilangan Firaun dan piramid.

Turut memberi variasi, lukisan Adiwira Klasik turut ditempatkan di aras sama.

Meninjau ke tingkat atas bangunan, konsep lukisan yang persembahkan terdiri daripada alam haiwan dan kehidupan marin.

"Kami mengharapkan muzium ini bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu menonjolkan sisi kreatif pengunjung.

"Walaupun apa yang ditampilkan di sini berbeza dengan karya 3D jalanan yang popular di Barat, ia masih menjanjikan pengalaman baru kepada pengunjung.

"Kami akan berusaha untuk meningkatkan persembahan lukisan dari semasa ke semasa," azam Monica yang sentiasa mahu mencari pembaharuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke i-City.

Wenner pelukis 3D terulung dunia

Posted:

Wenner pelukis 3D terulung dunia

Wenner pelukis 3D terulung dunia


WENNER merupakan individu yang bertanggung jawab memperkenalkan lukisan 3D kepada dunia.


KURT Wenner merupakan seorang pelukis berbangsa Amerika pertama yang bereksperimen dengan lukisan jalanan dengan teknik ilusi 3D.

Dipengaruhi pengaruh lukisan anamorfik, beliau banyak menghasilkan lukisan cat minyak berskala besar, mural seramik, arca, dekorasi, lukisan 3D dan rekaan seni bina untuk pelanggannya yang berada di lebih 30 negara.

"Saya mula mencipta lukisan jalanan dengan ilusi 3D pada tahun 1987.

"Ketika berjinak-jinak dengan lukisan 3D, saya banyak mencuba pelbagai teknik melukis supaya hasilnya mampu memberi kesan hidup selepas dipotretkan.

"Begitupun, hanya selepas setahun saya mengasaskan festival lukisan jalanan pertama di California, Amerika Syarikat barulah karya 3D saya mula dipamerkan di Muzium Seni Santa Barbara pada tahun 2000," ujar Wenner dalam laman web rasminya, www.kurtwenner.com.

Sumbangan besar Wenner dalam industri lukisan melayakkan beliau untuk menggondol pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa.

Biarpun memiliki nama besar, Wenner tidak lokek berkongsi karyanya dengan peminat lukisan 3D.

Bahkan, beliau sering menjadikan karya jalanannya sebagai medium untuk melihat bagaimana orang ramai berinteraksi dengan lukisan 3D skala besar secara percuma.

Mula menghasilkan lukisan 3D dengan menggunakan kapur, inovasi insan kreatif ini tidak terhenti di situ.

Dalam karya agungnya berjudul Grand Canyon Ilussion, Wenner menguji kreativitinya memanfaatkan ruang lantai, dinding dan siling untuk menghasilkan lukisan yang menyerupai lokasi sebenar taman negara terkenal itu.

"Cara terbaik untuk melihat ilusi lukisan 3D adalah dari satu sudut di mana bayangan secara menegak mampu memberikan gambaran visual sebenar subjek yang mahu ditonjolkan.

"Lukisan kelihatan lebih hidup dalam lensa kamera," katanya yang mempunyai ramai peminat dan pengikut terdiri daripada pelukis karya jalanan di serata dunia.

Jelasnya, melukis lukisan 3D tidak sesukar mana namun ia memerlukan imaginasi yang tinggi memandangkan penonton perlu melihatnya dengan mata kedua.

"Melukis visual 3D juga memerlukan ketelitian yang tinggi terutamanya ketika membentuk bayang.

"Adakalanya saya memerlukan lebih dari lima tona warna supaya ia kelihatan lebih realistik," katanya.

Gajet punca kurang membaca

Posted:

Gajet punca kurang membaca

Gajet punca kurang membaca


KEUPAYAAN kanak-kanak untuk membaca dipengaruhi oleh gajet elektronik termasuk televisyen yang sekali gus mencerminkan kemahiran berfikir.


KANAK-KANAK didapati kurang mahir membaca sekiranya mereka mempunyai telefon bimbit dan televisyen yang diletakkan di dalam bilik tidur mereka, demikian hasil satu penyelidikan.

Penyelidikan membabitkan seramai 4,000 orang pelajar berumur 10 tahun di sekitar negeri England, Britain. Dalam kajian itu, penyelidik menyasarkan murid yang memiliki pemain cakera video digital (DVD) dan telefon bimbit peribadi.

Hasil awal kajian itu mendapati, kira-kira dua pertiga daripada kanak-kanak yang menjadi kumpulan sasar memiliki televisyen sendiri, manakala yang lain dicatatkan memiliki pemain DVD dan telefon bimbit.

Kanak-kanak yang memiliki kesemua peralatan itu menunjukkan penurunan secara purata sebanyak 20 markah dalam ujian bacaan.

Sebaliknya, memiliki alat muzik dikaitkan dengan peningkatan sebanyak 30 markah dan satu kajian mendapati, remaja yang menghabiskan masa berjam lamanya di laman sosial menunjukkan perubahan ketara dalam ujian sains dan matematik.

Menteri Pelajaran Britain, Elizabeth Kekuda mengalu-alukan berita bahawa lebih ramai kanak-kanak membaca untuk memperoleh pengetahuan berbanding peratusan yang dicatatkan pada tahun 2006, apabila kajian kali terakhir kajian sama dijalankan.

"Prestasi terendah berada di peringkat yang paling asas iaitu hanya mampu untuk mencari dan memperoleh maklumat dengan bimbingan yang jelas," ujarnya.

Perkara ini muncul dalam penyelidikan antarabangsa yang mencatatkan prestasi kanak-kanak berusia 10 tahun dalam membaca serta kaitannya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Respons daripada guru mendedahkan sebanyak 17 peratus daripada pelajar berumur 14 tahun mengalami gangguan di dalam kelas apabila mempunyai gajet yang menyebabkan mereka tidak mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam.

Kajian telah dijalankan oleh Yayasan Kebangsaan bagi Penyelidikan Pendidikan di England, dan diselia oleh ahli akademik di Amerika Syarikat dan Belanda mendapati majoriti pelajar mengakui mereka diberikan telefon bimbit, televisyen dan DVD.

Menurut kajian itu, pelajar yang dilaporkan memiliki gajet tersebut secara purata mencatatkan skor minimum yang lebih rendah iaitu lebih daripada 20 mata berbanding pelajar yang tidak memiliki gajet.

Satu dalam lima kanak-kanak yang berumur 10 tahun memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam untuk menonton televisyen sehari dan DVD.

Sebanyak 13 peratus daripada pelajar yang berumur 14 tahun dilaporkan menggunakan laman sosial selama empat jam atau lebih pada waktu persekolahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved