Sabtu, 26 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Adik- beradik pemburu ahli sihir

Posted:

Adik- beradik pemburu ahli sihir

Adik- beradik pemburu ahli sihir

FILEM Hansel & Gretel: Witch Hunters merupakan gandingan sulung Jeremy dan Gemma.


NOVEL berjudul Hansel And Gretel merupakan sebuah karya yang cukup popular di Jerman dan merupakan sebuah kisah dongeng yang telah dihasilkan oleh pasangan adik-beradik Wilhelm dan Jacob Grimm pada tahun 1812.

Ia mengisahkan tentang pasangan adik-beradik iaitu Hansel dan Gretel yang hidup dalam kemiskinan. Selepas ibu mereka meninggal dunia, bapa mereka berkahwin dengan wanita lain.

Bagaimanapun, nasib kedua-duanya lebih malang lagi kerana mendapat ibu tiri yang jahat. Disebabkan kemiskinan yang melanda, akhirnya Hansel dan Gretel telah ditinggalkan di dalam hutan oleh ibu tiri mereka.

Nasib adik-beradik itu ternyata lebih malang lagi apabila ditangkap pula oleh seorang nenek yang juga ahli sihir, tetapi akhirnya mereka dapat melepaskan diri dengan membunuh ahli sihir tersebut.

Itulah antara sebahagian daripada jalan cerita novel tersebut yang telah dihasilkan kira-kira 201 tahun lalu dan masih lagi terus popular sehingga ke hari ini.

Menariknya, dengan populariti yang diraih novel berkenaan, sebanyak 21 buah filem yang menggunakan judul Hansel & Gretel telah dihasilkan sejak tahun 1909.

Terbaharu, filem berjudul Hansel & Gretel: Witch Hunters yang telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 24 Januari lalu dengan menampilkan lakonan hebat Jeremy Renner dan Gemma Arterton.

Mengambil latar cerita yang sama iaitu mengenai kisah dua beradik iaitu Hansel dan Gratel yang ditinggalkan di dalam hutan, namun apa yang dipaparkan adalah kisah 15 tahun kemudian apabila kedua-duanya menjadi pemburu ahli sihir.

Jeremy yang membawakan watak sebagai Hansel berkata, dia merasakan cukup berbangga kerana dapat membintangi sebuah filem yang berdasarkan kepada sebuah novel yang sangat popular.

"Sehingga kini sudah banyak filem tentang kisah dongeng atau mitos pada zaman dahulu yang telah dihasilkan, namun saya menganggap filem Hansel & Gretel: Witch Hunters sebuah naskhah yang bagus.

"Apabila membaca skrip filem ini saya merasakan jalan ceritanya begitu menarik kerana paparan ceritanya lebih kepada kisah kehidupan pasangan adik-beradik yang sudah dewasa dan bergabung menjadi pemburu ahli sihir," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem aksi pengembaraan yang dilakonkannya itu, Jeremy memberitahu untuk filem berkenaan dia tidak perlu membuat persiapan yang terlalu rapi.

Ujarnya, untuk mendalami watak yang dibawakannya itu, persiapan yang dilakukan lebih banyak kepada komunikasi dengan Gemma memandangkan mereka merupakan pasangan adik-beradik dalam filem berkenaan.

"Ketika di lokasi penggambaran saya memang banyak menghabiskan masa berdampingan dengan Gemma. Dengan watak sebagai adik-beradik, kami perlu selalu berbincang supaya dapat mendalami watak masing-masing dengan lebih berkesan.

"Mengenai gandingan bersama Gemma pula, ini kali pertama kami berlakon bersama-sama. Namun begitu, sepanjang mengenalinya saya dapati dia seorang pelakon yang sangat bagus," ujarnya yang pernah membintangi beberapa filem aksi seperti The Avengers dan The Bourne Legacy.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Oscar menerusi filem The Hurt Locker itu secara jujurnya mengakui tidak begitu mengenali Gemma sebelum berlakon bersama-sama.

"Sewaktu mula-mula melihat gambarnya saya bertanya kepada pihak produksi siapakah wanita ini? Kemudian apabila menonton filem lakonannya dan selepas 30 saat bercakap dengannya menerusi telefon, saya dapati dia seorang wanita yang kreatif dan hebat," dedahnya.

Mengenai cabaran sepanjang menjalani penggambaran yang dilakukan di Berlin, Jerman, pelakon berkenaan menyatakan tiada cabaran getir yang terpaksa dilalui termasuk tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut aktor kelahiran California, Amerika Syarikat itu, pihak produksi mempunyai sebuah pasukan lagak ngeri yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa berlari di dalam kawasan hutan dirasakan sebagai cabaran yang bukan mudah.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hasil filem yang diarahkan oleh Tommy Wirkola ini. Lagipun ia merupakan filem arahannya yang paling besar dan sudah tentu dia meletakkan harapan tinggi agar ia dapat diterima penonton," jelasnya.

Minat kisah dongeng

Meskipun pernah membintangi beberapa buah filem pecah panggung seperti Clash Of The Titans, Prince Of Persia dan James Bond: Quantum of Solace, Gemma Arterton menganggap peluang berlakon dalam filem Hansel & Gretel: Witch Hunters suatu peluang yang tidak harus dilepaskan.

Ujar pelakon berusia 27 tahun itu, dia mendapat tahu Tommy selaku pengarah filem itu mengalami sedikit kesukaran untuk mencari pelakon wanita yang mampu membawakan watak Gretel.

Maka, apabila dirinya terpilih, dia bertekad untuk memberikan komitmen sebaik mungkin.

"Sebenarnya saya begitu meminati kisah-kisah dongeng tentang kanak-kanak. Apabila mendapat tahu perjalanan cerita ini mengisahkan tentang adik-beradik yang sudah dewasa dan menjadi pemburu ahli sihir, saya yakin filem ini menampilkan sesuatu yang unik.

"Berkenaan dengan watak sebagai Gretel pula saya perlu melakukan banyak aksi dan pada masa yang sama perlu bijak bermain dengan emosi. Ia merupakan satu cabaran yang harus dilalui, namun saya berasa seronok melakukannya," ujar pelakon berasal dari Kent, England itu.

Bagaimanapun, Gemma mendedahkan dia mempunyai masa yang agak singkat untuk membuat persiapan sebelum penggambaran kerana sibuk dengan pementasan teater The Master Builder di London, England.

"Memandangkan ia sebuah filem aksi, banyak latihan yang perlu dilakukan seperti pergi ke gimnasium bagi memantapkan lagi stamina dan perlu belajar teknik dan cara berlawan yang betul.

"Bukan mudah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa dan saya hampir putus asa. Namun begitu, Jeremy dan Tommy banyak memberi sokongan sehingga mengembalikan semula kekuatan dalam diri saya," ujarnya.

Tiga dimensi

Sebagai pengarah filem itu, Tommy menegaskan, dia sudah membaca novel tentang kisah pasangan adik-beradik Hansel dan Gretel sejak kanak-kanak lagi.

Menurutnya, apabila mengetahui gambaran sebenar terhadap keseluruhan jalan cerita dalam novel berkenaan, dia terpaksa memikirkan sesuatu supaya filem berkenaan berbeza dengan filem-filem Hansel & Gretel yang pernah dihasilkan sebelum ini.

"Seperti yang diceritakan dalam novel kedua-dua beradik itu pernah berada dalam situasi yang malang apabila ditinggalkan di dalam hutan dan bertemu pula dengan ahli sihir yang jahat.

"Kemudian dengan kebijaksanaan kedua-duanya ahli sihir tersebut berjaya dibunuh. Akhirnya timbul idea untuk menghasilkan kisah mereka setelah dewasa dan menjadi pemburu ahli sihir," jelasnya yang turut menghasilkan skrip filem tersebut.

Mengenai penerbitan pula, ujar Tommy, setelah perbincangan dilakukan dengan pihak Paramount Pictures dan MGM Pictures, mereka sepakat untuk turut menghasilkannya dalam bentuk tiga dimensi (3D).

"Apabila menghasilkan sesebuah filem pengembaraan seperti Hansel & Gretel: Witch Hunters, tayangan dalam bentuk 3D akan memberi peluang kepada penonton supaya mereka seolah-olah berada dalam situasi filem tersebut," ujarnya.

Yana mangsa pukul Fizo

Posted:

Yana mangsa pukul Fizo

Yana mangsa pukul Fizo

FIZO dan Yana melalui pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang penggambaran drama arahan Rashid Sibir, Surat Dari Langit Biru.


ADA makna yang tersirat daripada judul drama 15 episod yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 iaitu Surat Dari Langit Biru.

Ia menyingkap kisah pengorbanan dan kasih sayang antara dua beradik, Zarul dan Salmi.

Plot yang berkisar tentang peredaran zaman kanak-kanak sehingga dewasa sepasang adik-beradik lakonan mantap Johan As'ari dan Yana Samsudin itu memaparkan isu ikatan persaudaraan dalam kelompok keluarga sederhana dari kawasan kampung.

Zarul yang dilakonkan oleh Johan terpaksa mengorbankan masa depannya untuk memberikan peluang kepada kakaknya, Salmi (Yana) berjaya sehingga bergelar doktor.

Takdir menentukan Salmi terpaksa berkahwin dengan Heykal (Fizo Omar) akibat keluarganya terhutang budi walaupun meniti perjalanan hidup yang merana akibat dendam.

Zarul pula ditohmah pelbagai fitnah hingga dibuang oleh keluarga sendiri dan akhirnya mengasingkan diri untuk mencari tempat mengadu nasib.

Ujar pengarah Rashid Sibir, drama yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa itu sebenarnya sebuah drama cinta antara dua beradik.

"Drama ini memaparkan banyak babak sedih dan karakter yang sentiasa menangis. Penceritaan pula mengambil teknik imbas kembali plot masa terdahulu.

"Menariknya drama ini, kebanyakan pelakon baharu seperti Johan, Yana, Fizo dan Tania Hudson mendapat sokongan bagus daripada pelakon veteran antaranya, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi," ujarnya yang ditemui ketika penggambaran drama tersebut di Desa Park City, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rashid turut menyuntik elemen baharu dengan memberikan cabaran kepada pelakon-pelakon baharu menggalas karakter berbeza yang biasa dilakonkan selama ini.

Maksud Surat Dari Langit Biru, tambah Rashid sebenarnya berkisar mengenai surat-surat yang ditulis oleh watak Zarul di kawasan tepi laut yang tidak pernah dihantar kepada penerimanya sehingga terjadi satu peristiwa yang tidak diduga.

Surat Dari Langit Biru menjalani penggambaran selama dua bulan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan beberapa tempat di Johor antaranya Desaru dan Kota Iskandar.

"Drama ini bukan hiburan semata-mata kerana ia turut mendidik penonton dan menyampaikan mesej-mesej serta nilai kekeluargaan.

"Cerita masyarakat kampung harus ada sebab itu akar umbi kita dan sudah semestinya masih relevan dengan masyarakat," katanya.

Kering air mata

Sementara itu, kata Yana, cabaran melakonkan watak Salmi berbeza berbanding drama lakonannya sebelum ini.

"Saya perlu sentiasa menangis dan setiap babak perlu bersedih malah, saya juga sering menjadi mangsa pukul suami saya lakonan Fizo Omar.

Penggambaran biasanya mengambil masa yang panjang dan saya penat menangis sebenarnya sampai air mata pun sudah tidak keluar, tapi kata pengarah asalkan emosi itu sampai kepada penonton sudah memadai," ujar Yana teruja.

Surat Dari Langit Biru merupakan pengalaman kedua Yana berlakon di bawah arahan Rashid Sibir selepas telefilem Mak Pengantin Tak Popular dua tahun lalu.

Terkini, Yana bakal sibuk dengan rangka promosi empat buah filem lakonannya tahun ini iaitu Wawa Semput, Dua Kalimah, Cerita Kita dan Adnan Sempit 3.

Bagi Fizo Omar pula, drama itu merupakan kemunculannya semula mendokong watak antagonis selepas empat tahun.

"Menerusi drama Bio-Nik saya melakonkan watak jahat dan kini kepercayaan diberikan sekali lagi kepada saya. Saya dapat rasakan watak ini bakal dibenci ramai.

"Biasanya saya diberikan watak klise terutamanya golongan profesional (seperti doktor, peguam dan arkitek) cuma plot saja berubah. Namun kali ini tawaran datang dalam versi berbeza daripada sebelum," kata Fizo yang akan muncul dalam tiga buah filem tahun ini iaitu Isyarat Cinta, Sembunyi dan Hello.

Surat Dari Langit Biru akan mula bersiaran pada 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Kekesalan Sharifah Sofia

Posted:

Kekesalan Sharifah Sofia

Kekesalan Sharifah Sofia

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

SHARIFAH SOFIA mengakui sangat tegas dalam membesarkan anaknya, Ariana.


LAMA tidak mendengar khabar pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein, 28. Kali terakhir pelakon drama Spanar Jaya itu, muncul dalam media sekitar bulan Ogos tahun lalu, dengan kisah kontroversi dihalau keluar oleh pekerja sebuah disko kerana kehadirannya ke pusat hiburan itu dalam keadaan berhijab.

Bertemu dengan Sharifah Sofia pada majlis pelancaran larian Selamatkan Hutan 2013 anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, perkembangan terkini tentang isu dirinya dan disko terus ditebak kepada figura putih melepak ini.

Justeru, selepas pengalaman pahit dihalau keluar dari disko itu, adakah dia kini masih mengunjunginya? Mengejutkan apabila persoalan itu dijawab oleh Sofia dengan kata-kata: "Saya tidak lagi ke disko tetapi pergi ke bar pula. Bawah sikit daripada disko".

Masih tidak serik lagikah pelakon itu ke pusat hiburan selepas insiden dihalau sebelum ini? Mungkin juga dia hanya bergurau. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Sharifah Sofia selanjutnya.

Kosmo!: Apakah maksud anda tidak lagi ke disko tetapi kini pergi ke bar pula?

SHARIFAH SOFIA: Sebenarnya, saya sudah tiada masa untuk itu (pergi bersosial ke disko atau bar). Masa saya banyak dihabiskan untuk anak perempuan saya, Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia dua tahun.

Adakah anda menyesal kerana melangkahkan kaki ke disko tersebut?

Saya akui telah melakukan satu tindakan yang salah tetapi saya juga tahu perkara itu tidak perlu berlaku lagi (pergi ke disko) di masa hadapan.

Sudah lama tidak melihat Sofea berlakon, adakah anda sudah berehat daripada dunia seni sepenuhnya?

Sejujurnya, jiwa saya untuk berlakon sudah tidak ada. Bukan tiada tawaran tetapi saya lebih suka duduk di rumah membesarkan Ariana.

Jadi, anda memang nekad untuk meninggalkan dunia seni selama-lamanya?

Apa yang boleh saya cakap, mungkin kalau tawaran berlakon sebagai watak cameo atau untuk telefilem saya terima. Namun, jika tawaran berlakon melibatkan drama 13 episod dan memerlukan saya berada di lokasi selama tiga bulan sebagai contohnya, sudah tentu saya tidak akan terima.

Sebelum ini anda seorang yang aktif. Tidakkah anda bosan hanya duduk di rumah membesarkan anak?

Memang suami saya paksa untuk terus berlakon sebab bimbang saya bosan hanya tinggal di rumah. Tetapi saya tidak pernah bosan. Setiap hari saya akan ketawa melayan keletah anak saya. Saya lebih suka membesarkan Ariana sendiri tanpa bantuan orang gaji. Sebabnya, saya mahu melihat Ariana membesar di depan mata saya. Saya juga sangat tegas dalam membesarkan dia (Ariana).

Apakah maksud anda itu (tegas)?

Saya sangat tegas dalam menjaga pemakanan dia. Ariana tidak pernah makan gula atau garam. Budak memang aktif, jika dia makan banyak gula, mereka akan terlebih aktif nanti.

Apakah jenis pemakanan yang anda praktikkan untuk Ariana?

Saya hanya beri dia minum air kosong atau air daripada buah-buahan yang dikisar. Saya juga masakkan dia makanan tanpa meletakkan sebarang kandungan gula atau garam.

Tidakkah dia bosan dengan pemakanan sebegitu?

Tidak. Sejak bayi lagi saya praktikkan jadi dia sudah biasa. Saya juga akan pastikan masa tidur dia teratur. Jadi, jika saya keluar bersama teman, saya akan pastikan balik sebelum pukul 6 petang kerana Ariana akan tidur pukul 7 malam.

Apakah perkembangan lain mengenai anda?

Insya-Allah, saya akan terbitkan beberapa buku masakan untuk bayi, kanak-kanak dan juga keluarga.

Boleh berkongsi sedikit info mengenai penglibatan anda dalam kempen larian Selamatkan Hutan 2013 anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka)?

Sejak kecil lagi saya memang suka kitar semula barang dan tanam sayur-sayuran. Jadi, saya sangat berbesar hati dapat mengikuti kempen ini. Mengenai kempen larian Selamatkan Hutan 2013, ia dianjurkan Peka untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pentingnya memulihara ekosistem hutan. Larian yang akan diadakan pada 2 Mac di Bentong, Pahang itu, akan disertai oleh selebriti, ahli sukan dan orang ramai. Antara artis yang akan mengambil bahagian termasuk penyanyi Ella, Zainal Abdin, Datuk Khadijah Ibrahim, Imran Ajmain, personaliti sukan Azizul Hasni Awang serta 100 sukarelawan daripada Rock Corps Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved