Isnin, 14 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


RamFC satukan peminat dan penulis

Posted:

RamFC satukan peminat dan penulis

RamFC satukan peminat dan penulis

MEMINATI novel yang bergenre seram dan ngeri membuatkan Hizamnuddin Awang amat teruja mengumpul koleksi novel daripada penulis luar negara antaranya daripada Michael Crichton yang terkenal dengan karya Congo.

Hizamnuddin ketika itu berusia dalam lingkungan 20-an dan masih menuntut dalam jurusan Sains Komputer di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bermula tahun 1988 hingga 1992.

Tidak hanya terlalu memuja karya penulis luar, dia juga meminati karya-karya cerpen dan novel sasterawan negara ketika itu seperti A. Samad Said dan Dr. Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati.

Corak pembacaannya ketika itu hanya menjurus kepada naskhah penulis-penulis yang telah menempa nama dalam arena penulisan novel tempatan mahupun luar negara.

Tidak terlintas di sudut hatinya ketika itu untuk cuba membaca novel seram dan ngeri hasil karya penulis-penulis tempatan. Di sebalik perasaan itu, dia juga berpendapat masih belum ada novel genre tersebut yang mampu menandingi hasil karya penulis luar negara.

Namun, kunjungannya ke salah sebuah gedung buku di ibu kota sekitar tahun 2002 telah merubah corak pembacaannya.

"Saya membeli sebuah novel yang bertajuk Semangat Hutan kerana tertarik kepada tajuk dan genre yang diketengahkan oleh penulisnya.

"Sebelum sempat membacanya, saya dapat tahu novel tersebut merupakan sambungan kepada novel Tombiruo. Sejak daripada itu, saya mula meminati novel karya Ramlee Awang Murshid," ujarnya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sehingga kini, Hizamnuddin, 44, atau lebih dikenali dengan nama Web Sutera dalam kalangan rakan-rakannya, memiliki kesemua novel karya Ramlee iaitu sebanyak 24 judul.

Dia merupakan antara salah seorang daripada ribuan peminat Ramlee yang telah mendapat gelaran penulis novel thriller nombor satu di Malaysia.

Minatnya terhadap karya Ramlee turut dikongsi bersama rakan-rakan yang lain dengan menyertai Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (RamFC).


DIANGKAT bak selebriti, keahlian RamFC yang sejumlah kira-kira 7,000 orang terus setia menanti karya penulisan seterusnya daripada Ramlee.


"Menerusi kelab ini, saya dapat lihat bahawa beliau mempunyai ramai pembaca setia. Kami juga sering bertukar-tukar pandangan mengenai jalan cerita novel hasil karya beliau.

"Rata-rata ahli RamFC merupakan peminat tegar Ramlee. Mereka mengetahui setiap jalan cerita novel hasil karya beliau dan menganggap setiap idea yang dicurahkan olehnya dalam setiap karya merupakan khazanah yang bernilai," ujarnya yang menganggap judul Cinta Sufi sebagai sebuah naskhah terbaik nukilan Ramlee.

Sejarah penubuhan

Hizamnuddin merupakan salah seorang daripada 7,000 ahli dan kini dia dilantik sebagai Pemerhati Luar Berkecuali di bawah kelab tersebut.

Menyingkap kembali mengenai sejarah penubuhan RamFC, ia ditubuhkan secara rasmi pada 27 November 2008 oleh pengasasnya, Noorsyeila Bibi Mohamed Din, 32, untuk mengumpul peminat-peminat karya Ramlee.

Ketika itu, Noorsyeila menggunakan aplikasi e-mel Google Group untuk mengumpulkan para peminat Ramlee yang dikenali sebagai Ramlee Awang Murshid Books Club sehingga ia ditukar menjadi RamFC setelah mendapat sambutan.

Antara hasil karya Ramlee yang telah menjengah pasaran sejak tahun 1995 hingga 2012 ialah Rangau, Adam, Mandatori dan novel bersiri yang mencetus fenomena dalam kalangan pembaca iaitu Sunan Musafir.

Tambah Hizamnuddin, usaha mereka menubuhkan kelab tersebut turut disokong oleh Ramlee sendiri.

"Ketika Noorsyeila menubuhkan kelab ini, Ramlee agak terkejut dan gembira kerana pembaca menghargai hasil karyanya.

"Setiap aktiviti yang dianjurkan oleh kelab dilakukan secara sukarela oleh setiap ahli sebagai tanda sokongan kami terhadap Ramlee," ujarnya.

Ketika sesi interviu dijalankan di kediaman Hizamnuddin, beberapa orang ahli kelab yang aktif turut hadir untuk memberikan informasi serta berkongsi cerita suka duka mereka dalam kelab tersebut.


KELAB peminat Ramlee aktif menganjurkan pelbagai acara.


Lebih menarik, Ramlee juga turut hadir ke sesi interviu itu kerana mendapat jemputan daripada RamFC.

Ramlee yang kelihatan santai dan mesra ternyata tidak kekok melayan kerenah pembaca setia novelnya.

Sesi perbincangan

Menurut Ramlee yang kini berusia 45 tahun, dia menganggap setiap pembaca mahupun ahli RamFC merupakan sahabat yang sentiasa menyokong kerjayanya sebagai seorang penulis.

"Saya amat terharu dengan segala usaha yang dijalankan oleh mereka. RamFC banyak mempromosi dan mempopularkan hasil karya saya di laman Facebook dan Twitter.

"Tidak hanya memfokuskan mengenai hal ehwal buku sahaja, mereka juga sering menganjurkan aktiviti untuk mengeratkan perhubungan sesama ahli walaupun hanya aktiviti jamuan makan," ujar penulis yang berasal dari Sabah itu.

Ramlee pula sering mengingatkan kepada ahli RamFC bahawa jangan terlalu memujanya tetapi menghargai setiap karyanya malah sentiasa terbuka menerima teguran dan kritikan demi memantapkan lagi hasil sesebuah karya pada masa akan datang.

Mengambil contoh karya Sunan Musafir, Ramlee memberitahu dia berbincang dengan ahli RamFC untuk mencari idea kesinambungan novel tersebut.

"Dalam siri Sunan Musafir, watak Ratna telah mati dalam salah sebuah siri itu. Saya dan beberapa ahli RamFC mengerah idea berbincang untuk menghidupkan kembali watak itu.

"Mereka amat membantu dalam penghasilan novel saya," ujarnya yang pernah menjawat jawatan wartawan penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) suatu ketika dahulu.

Kini, pembaca juga boleh berurusan dengan RamFC secara dalam talian untuk mendapatkan novel hasil nukilan Ramlee.

Lebih menarik, buku yang dijual oleh RamFC turut disertakan dengan tandatangan Ramlee. Ia lantas menjadikan novel itu eksklusif jika dibandingkan dengan novel yang dijual di pasaran.


HIZAMNUDDIN ialah antara ribuan pembaca di negara ini yang meminati gaya olahan cerita seperti yang disampaikan oleh Ramlee.


Nilai murni

Seorang lagi peminat tegar novel Ramlee yang meminati karya bertajuk Hatiku Di Harajuku, Normazlina Osman, 38, memberitahu, dia amat tertarik dengan jalan cerita yang ditonjolkan dalam setiap novel Ramlee.

Ceritanya, dia mula membaca novel Ramlee yang bertajuk Mikhail di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

"Setiap ayat hasil nukilan dalam novel Ramlee merupakan salah satu pemangkin semangat untuk setiap ahli RamFC. Antara contoh ayat yang popular ialah 'Biar tersalah ampun, jangan tersalah hukum' dan 'Sebagai nanusia, aku sayang padamu'," ujarnya.

Dia mula menyertai kelab itu selepas menyedari bahawa RamFC mampu merapatkan hubungan sesama ahli yang mempunyai minat yang sama.

"Setiap kali novel baharu berada di pasaran, saya pasti akan menjadi individu terawal yang akan membeli buku itu," ujar Normazlina.

Tambahnya lagi, novel Ramlee yang dicetak pada edisi pertama mempunyai nilai harga yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan cetakan baharu.

"Novel Sunan Musafir cetakan pertama kini mampu mencecah harga RM500 jika dijual di pasaran dan ada peminat tegar yang sanggup membelinya sedangkan harga untuk cetakan terkini hanya RM22," tambah Normazlina atau lebih dikenali dengan nama Sempoii Morrok dalam kalangan ahli RamFC.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved