Sabtu, 12 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Laut Sabah bertukar merah

Posted:

Laut Sabah bertukar merah

Laut Sabah bertukar merah

DIKENALI sebagai Negeri Di Bawah Bayu disebabkan kedudukannya yang berada di luar zon ribut yang sering melanda utara perairannya, Sabah sememangnya sebuah negeri yang unik.

Ia terletak di utara kepulauan Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia selain diliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi.

Melihat aspek geografinya, Sabah memiliki pantai sepanjang 14,400 kilometer di samping keindahan lebih 40 buah pulau yang menghiasi sekelilingnya.

Dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan, sewajarnya perairan Sabah dihuni pelbagai hidupan laut yang penuh misteri.

Dari aspek positif, kelebihan itu menjadikan Sabah sebuah destinasi pelancongan air yang wajib dikunjungi, ditambah dengan variasi makanan laut yang tiada batasan.


TOMPOKAN merah dikesan di perairan pantai barat Sabah sejak dua bulan lalu.


Beracun

Bagaimanapun, kehadiran sejenis mikroorganisma di perairan Sabah yang hidup bebas dan telah dikesan sejak tahun 1976 membawa kepada cerita yang menakutkan.

Dengan saiz 25 mikrometer dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop, hidupan ini, Pyrodinium bahamense var compressum mampu mencetuskan fenomena air merah sehingga dianggap sebagai pembunuh senyap kepada nyawa manusia.

Dalam fenomena terbaharu, dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Sabah dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik yang berpunca daripada fenomena air merah yang bermula dua bulan lalu.

WATER Sampler atau alat penyampelan air digunakan pegawai Jabatan Perikanan Sabah untuk mengukur kandungan sel beracun di perairan negeri itu.


Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata, Pyrodinium bahamense var compressum merupakan plankton mikroskopik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Katanya, apabila spesies beracun itu telah mencapai satu jumlah yang besar, air laut akan membentuk tompok-tompok merah yang akhirnya dikenali sebagai fenomena air merah atau red tide.

"Mengikut rekod Jabatan Perikanan Sabah, plankton ini dikesan buat pertama kali pada tahun 1976 dengan 202 kes keracunan kerang paralitik dan telah mengakibatkan tujuh kematian.

"Mikroorganisma yang juga pengeluar racun atau toksik kumpulan keracunan kerang-kerangan paralitik ini menyerang hidupan laut terutamanya hidupan jenis kerang-kerangan selain ikan-ikan pelagik," katanya.

Antara kerang-kerangan yang disahkan beracun semasa fenomena ini ialah kerang, kupang, siput sudu, tiram, remis dan siput tarik.

Hakikatnya kata Rayner, kejadian air merah biasa berlaku di perairan pantai barat meliputi perairan Kudat di bahagian utara Sabah sehinggalah ke Labuan.


PENOLONG Pegawai Jabatan Perikanan Sabah, Calvin Moris menunjukkan kerang jenis beliung yang dicemari toksik.


Bermusim

Ia berlaku secara bermusim iaitu pada penghujung tahun dan awal tahun. Fenomena ini biasa terjadi selepas hujan lebat pada musim kemarau atau kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.

"Air laut akan kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan dinoflagellate bertoksik kerana pertambahan nutrien dalam air laut," ujar Rayner.

Justeru kata beliau, segala bentuk kerang-kerangan selain ikan pelagik seperti ikan tamban dan ikan basung adalah antara hidupan yang dicemari.

"Pada masa 30 minit pertama, mangsa yang memakan hidupan laut yang telah dicemari akan berasa kebas pada bibir, muka dan seterusnya bahagian leher.

"Mangsa juga akan berasa seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan dan kaki, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit," jelasnya.

Bagi kes yang teruk, ujar beliau, mangsa akan mengalami kelumpuhan otot, sukar bernafas dan rasa tercekik.

"Dalam kes yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua hingga 23 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak berfungsi," tambahnya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa hanya sebilangan hidup laut yang menjadi toksin dalam fenomena air merah, beliau menjelaskan, ia berhubung kait dengan sistem pemakanan hidupan laut itu selain jenis ikan pemakan plankton.


SEL beracun yang dikenali sebagai Pyrodium Bahamense Var Compressum.


"Plankton yang toksin akan terkumpul dalam organ hidupan laut itu semasa proses penapisan makanan. Apabila hidupan laut itu dimakan pula oleh manusia, toksik itu berpindah masuk ke dalam tubuh manusia sekali gus memudaratkan kesihatan," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Makmal Ride Tide, Jabatan Perikanan Sabah, Ainah Poyong menjelaskan, apabila analisis toksin dalam kerang-kerangan menunjukkan keputusan 400 unit Mouse (MU), maka satu pengumuman setempat akan dibuat melibatkan kawasan terbabit sahaja.


JIKA jari kaki berasa seperti dicucuk jarum selepas menikmati hidangan laut, anda mungkin telah terkena racun.


"400MU itu dianggap had terendah kepada tahap berbahaya untuk manusia. Namun, jika analisis toksin mendapati kandungan telah melebihi 400MU, maka satu pengumuman awam akan dilakukan," katanya.

Untuk rekod, katanya, analisis toksin ke atas beberapa contoh kerang-kerangan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan peringkat setinggi 6,900MU di kawasan Putatan, 4,010MU (Papar) dan 3,300MU di Tuaran.

"Pihak kami menjalankan dua kaedah pemantauan untuk mengenal pasti kandungan toksin ini iaitu menerusi sampel kerang-kerangan dan ikan-ikan pelagik serta sampel air laut.

"Pemantauan akan dibuat sepanjang tahun iaitu sekali dalam tempoh dua minggu," ujar Ainah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan kes air merah.

Tambahnya, isi kerang-kerangan dan sampel air yang diambil dari perairan laut akan dibawa ke makmal untuk diekstrak bagi menentukan kandungan toksin.

"Dari situ kita akan tahu kawasan mana yang mempunyai toksin yang tinggi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, sehingga kini belum ada bahan penawar yang khusus untuk rawatan keracunan akibat memakan kerang-kerangan.

"Langkah terbaik adalah mengelak daripada memakan semua kerang-kerangan serta ikan jenis pelagik," katanya.

Bulu burung jadi berlian

Posted:

Bulu burung jadi berlian

Bulu burung jadi berlian


SETIAP inci tubuh burung ini dipercayai mempunyai magis.


RUPA fizikal burung itu begitu menakjubkan. Ia memiliki bulu pelepah berwarna keperangan pada badannya. Ekornya pula ditumbuhi bulu-bulu lembut yang berjurai.

Tidak hairanlah jika sesetengah pihak percaya setiap inci tubuh burung itu memberi tuah kerana rupanya yang unik, apatah lagi ia begitu sukar ditemui.

Menurut catatan, burung yang berasal daripada keluarga Paradisaeidae itu hanya boleh didapati di kawasan Irian Jaya atau dikenali sebagai Papua, Indonesia.

Justeru kesukaran untuk bertemu haiwan itu di tempat biasa menguatkan lagi kepercayaan bahawa ia merupakan sejenis haiwan magis yang hidup di kayangan.

Selain cerita mitos yang disampaikan daripada mulut ke mulut, kisah misteri burung cenderawasih turut ditulis menerusi sebuah kitab kuno, Hikayat Tajul Muluk.

Sebahagian kandungan kitab itu menyatakan bahawa: "Burung cenderawasih asalnya dari kayangan. Amat jarang orang yang menemuinya kerana ia tiada di bumi. Kalau ia terbang rendah ke bumi, itu tandanya hayat burung itu akan berakhir kerana ia mati bila menjejakkan kaki ke tanah.

"Bangkai burung itu tidak reput kerana ia hanya makan embun syurga. Ia mengeluarkan wangian yang sukar digambarkan. Selain itu, setiap inci tubuhnya termasuk perut dan bulu mempunyai keistimewaan. Ia ada khasiat dalam perubatan."

Bulu

Pendapat lain oleh Sahibul Hikayat yang menceritakan mengenai burung cenderawasih menjelaskan bahawa apabila bulunya gugur di bumi, ia akan bertukar menjadi batu permata yang berharga.

Selain itu, jika seseorang memakai bulunya di kepala dan dibawa pergi ke mana-mana, dipercayai bulu tersebut akan memberi kuasa pengasih, penunduk dan pelaris kepada sekalian manusia.

Selain pengaruh mitos tersebut kuat di Indonesia terutamanya kepercayaan oleh kaum orang asli di kawasan asal burung itu, hal sama turut mempengaruhi segelintir rakyat Malaysia.

Banyak pihak yang cuba menyeludup burung itu sama ada yang masih hidup atau bangkainya demi mengaut keuntungan. Bangkai haiwan itu yang telah diawet dijual antara harga RM1,500 hingga RM10,000.

Turut dilaporkan bahawa ada pihak yang menjual sehelai bulu burung cenderawasih yang dibingkaikan pada harga RM800. Selain itu, sebotol minyak pengasih bulu burung itu dijual pada harga RM77 sebotol.

Haiwan itu mendapat permintaan yang tinggi di negara ini kerana dikatakan mampu menjadi pelaris dan membantu memberi kesihatan yang baik kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, burung cenderawasih disenaraikan mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008 di negara ini.


BULU berwarna putih yang jatuh ke bumi boleh bertukar menjadi berlian. - Gambar hiasan


Pensyarah Universiti Pembinaan Masyarakat Indonesia di Medan, Mohammad Idrus Abu Hanifah menegaskan, burung cenderawasih yang dianggap istimewa oleh sesetengah pihak merupakan satu kepercayaan karut.

Diawet

"Burung-burung cenderawasih yang masih elok itu sebenarnya telah diawet untuk dijadikan perhiasan kerana rupanya yang cantik dan sukar diperoleh. Sebenarnya bangkai haiwan itu tidak mampu kekal secara semula jadi.

"Ia tidak boleh menjadi pelaris perniagaan mahupun ubat untuk menguatkan tenaga batin. Saya terkejut kerana kepercayaan itu turut terbawa-bawa hingga ke Malaysia," katanya yang menasihati orang ramai yang mempercayai perkara itu agar menghentikannya kerana boleh mendatangkan syirik.

Tambah Mohammad Idrus, sesetengah pihak di Indonesia yakin haiwan itu mampu memberi aura kepada pemiliknya, bahkan boleh menaikkan nafsu pasangan yang meletakkan burung tersebut di bilik tidur.

Seorang pemandu pelancong di Papua, Indonesia, Helmut Kmur memberitahu, suatu ketika dahulu dia sering bertemu dengan penjual haiwan tersebut apabila membawa pelancong berjalan-jalan sekitar kawasan kepulauan tersebut.

"Orang asli Papua selalu memburu haiwan yang dilindungi itu untuk dipersembahkan ketika melakukan upacara tradisional. Mereka memburunya untuk hal itu. Ada juga yang menjualnya kerana ramai yang mempercayai kuasa magis burung itu.

"Dahulu populasinya banyak di hutan Papua. Tetapi oleh kerana kerap diburu, jumlah burung itu berkurangan secara mendadak, bahkan begitu sukar ditemui lagi. Sesuatu harus dilakukan agar ia tidak terus pupus," kata Helmut.

Fatimah si pereka endoi

Posted:

Fatimah si pereka endoi

Fatimah si pereka endoi


IMA turut menyediakan hiasan tirai latar yang indah dengan perincian bungaan pelbagai warna mengikut tema pelanggan.


PERTEMUAN dengan Fatimah Ashaari, 36, diatur dalam masa yang sangat singkat. Sekadar berbual ringkas di telefon, wanita kelahiran Perak ini sudi meluangkan masa senggangnya untuk ditemu bual biarpun sedar jadual hariannya sangat padat, apatah lagi pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Mesra dengan panggilan Ima, wajah manis ibu kepada sepasang cahaya mata ini tidak pernah lekang daripada senyuman sewaktu menyambut kunjungan kami di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Klang baru-baru ini.

Dengan ditemani suaminya, Shaharul Nizam Idrus, 40, perbualan kami pagi itu berjalan rancak.

Di sebalik kesederhanaan tutur bicaranya, pasangan ini sebenarnya cukup dikenali, tidak kira daripada kalangan orang kenamaan, hartawan, selebriti apatah lagi kumpulan marhaban sekitar Lembah Klang.

Menyediakan khidmat sewaan endoi lengkap dengan pakej tata rias dekorasi, Ima dan Shaharul cukup sinonim dengan majlis akikah dan cukur jambul.

Tampil dengan rekaan endoi moden yang dihiasi sentuhan gaya Inggeris, pelbagai variasi endoi milik pasangan ini sentiasa menjadi rebutan pelanggan.

"Kami memulakan khidmat pakej sewaan endoi dan dekorasi Inggeris sejak Oktober 2010.

"Pada mulanya kami tidak terfikir pun hendak adakan khidmat sebegini memandangkan saya dan suami masing-masing sibuk dengan kerja sendiri.

"Idea untuk memberikan khidmat sewaan endoi ini timbul selepas melihat kejayaan rakan kami yang tidak menang tangan memenuhi permintaan sewa endoi di Ipoh.

"Dia mencadangkan supaya kami mencuba konsep perniagaan yang sama di Kuala Lumpur.

"Dia percaya khidmat sewaan endoi ini berpotensi untuk dimajukan di sini.


PAKEJ sewaan endoi gaya Inggeris memberi suntikan segar pada majlis cukur jambul.


11 endoi

"Kami teragak-agak juga untuk mencuba, maklumlah tiada pengalaman dalam bidang ini.

"Selepas beberapa bulan mengkaji dan yakin untuk tampil dengan ilham sendiri, barulah kami berani mengiklankan perkhidmatan kami di laman web Mudah.com," cerita Ima panjang lebar.

Dengan bermodalkan hanya satu buaian lebih dua tahun lalu, kini Ima mempunyai lapan endoi eksklusif untuk disewakan kepada pelanggannya.

Pernah memiliki 11 endoi pada suatu masa dan perlu memenuhi tempahan hingga belasan majlis cukur jambul dalam seminggu, Ima dan Shaharul sedar, ketika itu mereka perlu mengurangkan kesibukan bagi meluangkan masa bersama anak-anak.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, mungkin kerana pada masa itu belum ramai yang tawarkan perkhidmatan sebegini.

"Pernah juga kami tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan terutamanya pada musim cuti sekolah.

"Malah, ada juga pelanggan yang terpaksa menunda majlis gara-gara mahukan endoi dengan rekaan pilihan mereka.

"Namun, apabila ada pelanggan yang hendak belajar memasang endoi dan menghias pelamin mini, saya jualkan tiga endoi kepada mereka," kata Ima.

Untuk menampilkan ciri eksklusif yang menjanjikan kelainan namun dalam masa yang sama masih mengekalkan gaya Inggeris yang diminatinya, Ima mereka sendiri kesemua endoinya.

"Di sebalik jenama Fatimah Shaari Creation, saya lebih selesa mereka sendiri buaian endoi.

"Kebanyakannya diilhamkan daripada cerita rakyat dari Barat selari dengan konsep Inggeris yang diterapkan.

"Apabila ada corak yang berkenan, saya akan lukis semula mengikut skala yang diperlukan sebelum menghantarnya ke tukang besi," katanya yang memberitahu harga sebuah endoi boleh mencecah hingga RM2,000.

IMA mereka sendiri kesemua endoinya untuk tampil lebih eksklusif.


Tema pelanggan

Antara rekaan endoi yang paling laris disewa ialah sleeping beauty, fairy tale, English garden dan vintage pram.

Menurut Ima, setiap endoi didatangkan dengan set bercukur, set merenjis dan pakej hiasan lengkap, mengikut warna tema pilihan pelanggan.

"Mungkin kerana itu, ramai yang tertarik dengan endoi yang kami sewakan.

"Selain endoi, tuan rumah juga tidak perlu pening kepala memikirkan tema dan gaya hiasan kerana kami menyediakan pakej lengkap dengan harga yang berpatutan.

"Sebagai ibu bapa, kami memahami kehendak pelanggan yang mahu mengabadikan majlis cukur jambul sebagai hari bersejarah untuk dikenang.

"Untuk itu, kami cuba sedaya upaya untuk tampil kreatif supaya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Syukur, setakat ini, kami tidak pernah terima sebarang rungutan sebaliknya pelanggan pula membantu mempromosikan endoi kami kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka," kata Ima yang menyediakan perkhidmatan sewa endoi sekitar Lembah Klang dan beberapa kawasan di luar daerah mengikut permintaan dan kesesuaian masa mereka.

Pasangan ini juga tidak keberatan untuk menyewakan endoi dan ornamen dekorasi mereka kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis di luar daerah seperti di Kedah, Johor, pantai timur dan sebagainya.

Bahkan, untuk tujuan itu, Shaharul tidak lokek menunjuk ajar teknik pemasangan endoi bagi kemudahan pelanggannya.

Menawarkan pakej serendah RM300 hingga RM800, pakej yang disediakan berbeza-beza, bergantung kepada rekaan endoi.

"Kalau boleh, kami mahu beri peluang kepada semua ibu bapa meraikan majlis cukur jambul cahaya mata mereka dengan gaya eksklusif mengikut kemampuan mereka.

"Lega rasanya apabila pelanggan benar-benar puas hati kerana kami dapat memenuhi permintaan mereka.

"Seperti mereka, kami juga teruja apabila bergelar ibu dan ayah satu ketika dahulu," ujar Ima yang bertanggungjawab memberi sentuhan tata rias sementara Shaharul membantunya memasang endoi dan memastikan reka letak ornamen teratur dan kemas.

Bagi yang berminat, Ima boleh dihubungi di talian 019-340 4700 atau layari Facebook Tisya Little Cottage.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved