Jumaat, 25 Januari 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Rekaan segar dan teknologi terbaik XJ6

Posted:

Rekaan segar dan teknologi terbaik XJ6

Rekaan segar dan teknologi terbaik XJ6

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


SOLEKAN warna Race Blu pada varian terbaharu ini mengetengahkan DNA perlumbaan pasukan Yamaha.


TAHUN 2012 merupakan tahun yang positif buat industri motosikal negara apabila ia mengalami pertumbuhan sebanyak sepuluh peratus. Jumlah itu melibatkan lebih 600,000 unit motosikal telah berjaya dijual berbanding 540,000 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Walaupun angka itu dimonopoli oleh motosikal kecil seperti kapcai dan skuter, kategori motosikal berkuasa tinggi turut menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan. Lebih tepat lagi, segmen 250cc ke atas tumbuh sebanyak 1.6 peratus atau 9,500 unit pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan 57 peratus berbanding tahun 2011.

Angka itu boleh dijadikan sebagai salah satu indikator mudah mengenai kuasa beli yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Apabila sudah ada duit, pengguna cenderung untuk membeli atau mendapatkan produk lebih premium bagi diselarikan dengan status hidup mereka.

Perkembangan sihat itu nyata dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengedar jenama motosikal tempatan. Antara yang agresif sejak tahun lalu ialah Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda).

Boon Siew Honda sudahpun melancarkan model-model seperti CBR250, CBR1000 Fireblade, Goldwing, CRF250L, skuter Integra 670cc dan PCX 150, selain skuter kecil Spacy bersesaran 110cc.

Kawasaki pula tampil dengan model Z800, ZX6R dan Ninja 250R versi tahun 2013. Memang tidak banyak berbanding Honda, namun harus ingat bahawa Kawasaki sudahpun mempunyai tapak yang kukuh dalam segmen motosikal berkuasa tinggi di Malaysia.

SELEPAS XJ6 Diversion, HLYM kini menambah satu lagi varian iaitu XJ6 untuk pasaran tempatan.


Mana Yamaha? Jenama itu memang agak senyap terutama dalam segmen 250cc ke atas. Fokus Yamaha dilihat lebih tertumpu kepada pasaran skuter atau kapcai menerusi varian Ego, Nouvo, 135LC, Lagenda dan FZ150i.

Kali terakhir pengedarnya iaitu Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperkenalkan model berkuasa tinggi adalah kira-kira 18 bulan lalu melalui model XJ6 Diversion bersesaran 600cc.

Mahu menjadi pemain yang signifikan dan menguasai lebih banyak kek pasaran jentera berkuasa tinggi, HLYM mengambil inisiatif melancarkan model terbaharunya iaitu Yamaha XJ6 pada Ahad minggu lalu. mengambil lokasi di salah sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan, sekumpulan wartawan dan pengedar Yamaha diberi peluang untuk melihat XJ6 secara dekat.

Sejak diperkenalkan, lebih 800 unit XJ6 Diversion telah berjaya dijual. Sebenarnya angka itu agak rendah daripada jangkaan awal HLYM. Namun, ia nampaknya kembali optimis dengan kehadiran XJ6 dan meletakkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya 1,000 unit XJ6 Diversion dan XJ6 pada tahun ini.

"Saya berpendapat, pecahan jualan varian XJ6 dan XJ6 Diversion adalah sekitar 70 peratus dan 30 peratus. Tempahan akan mula dibuka mulai esok (21 Januari 2013)," jelas Pengurus Kanan Pemasaran HLYM, G.S Tan.

Apa bezanya dengan model XJ6 Diversion? XJ6 merupakan varian naked daripada siri Yamaha XJ. Secara peribadinya, saya lebih menyukai model XJ6 berbanding XJ6 Diversion kerana penampilannya yang lebih garang dan maskulin.


VERSI naked bersesaran 600cc ini ternyata kelihatan lebih garang dan menawan.


Empat silinder sebaris

Harganya juga lebih murah, RM38,500 seunit (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor plat), kira-kira RM1,000 kurang jika dibandingkan dengan XJ6 Diversion.

Yamaha mendakwa XJ6 sebagai jentera yang menetapkan satu standard baharu dalam kelas motosikal sports sederhana. Menerusi gayaan tubuh dan ciri yang dipertingkat bagi model 2013, ia sememangnya sebuah naked popular yang menggabungkan aspek prestasi dan pengendalian mudah.

XJ6 dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 600cc empat silinder sebaris yang mampu menjana kuasa sehingga 57kW dan tork puncak 59.7Nm menawarkan kuasa yang lancar dan pecutan meyakinkan, unit enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kalau ada yang tertanya-tanya kenapa XJ6 lebih mahal berbanding model 600cc lain seperti Kawasaki ER6n atau Naza Blade 650cc, enjin empat silinder sebaris itulah antara sebab utamanya.

Bagi memastikan tunggangan yang lincah, senang dikendalikan, titik graviti rendah dan dimensi keseluruhan jentera dapat dikurangkan, Yamaha mengguna pakai kerangka tiub ringan untuk membina XJ6.

Keselesaan penunggang turut diberi keutamaan. Justeru, hendal bar XJ6 direka agar boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggangnya. Digabungkan pula dengan tempat duduk rendah dan rekaan tangki minyak, penunggang boleh mengharapkan pengalaman tunggangan yang selesa sepanjang masa.

Panel intrumentasinya pula mengambil inspirasi daripada rekaan jentera lumba. Instrumen meter XJ6 terdiri daripada takometer analog yang mudah dibaca pada sebelah kanan. Sementara bahagian kirinya terletak paparan digital dengan latar lampu berwarna oren. Ia memaparkan pelbagai maklumat seperti kelajuan pecutan, takat minyak dan banyak lagi.

XJ6 hadir dalam dua warna iaitu putih dan biru yang dikenali sebagai Race Blu. Untuk makluman, warna Race Blu adalah kombinasi warna biru (Yamaha Blue) dan kelabu (matt grey) yang menyerlahkan DNA perlumbaan Yamaha.

Seperti model-model Yamaha yang lain di pasaran, XJ6 merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) di kilang milik HLYM di Sungai Buloh, Selangor.

"Pengenalan XJ6 merupakan langkah pertama dalam perancangan baharu Hong Leong Yamaha Motor. Kami optimis XJ6 mampu meraih perhatian kerana ia menggubungkan teknologi terbaik, berspesifikasi tinggi, cekap tenga, mudah dioperasi dan memiliki rekaan yang segar," kata Pengarah Urusan HLYM, C. H. Ng.

CKD keempat BMW Malaysia

Posted:

CKD keempat BMW Malaysia

CKD keempat BMW Malaysia


REKA bentuk badan X3 kelihatan kemas dan sempurna.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) mengumumkan pengenalan satu lagi model pemasangan tempatan (CKD) iaitu BMW X3 xDrive20i untuk pelanggan tempatan.

Kenderaan tersebut merupakan produk keluaran kilang pemasangan syarikat itu yang terletak di Kulim, Kedah.

Rangkaian produk dalam segmen sederhana kenderaan aktiviti sukan (SAV) itu mula diperkenalkan dalam pasaran Malaysia pada Mac 2011.

Buat masa ini, sudah ada sebanyak 312 unit X3 berada di atas jalan raya tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, model X3 xDrive20i merupakan produk CKD keempat pihaknya selepas model BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW X1.

Produk CKD terbaharu itu masih mengekalkan warisan reka bentuk dan garis maskulin dalam keluarga BMW X.

Ciri-ciri lain yang dikekalkan ialah gril kidney, susun atur tiga penjuru lampu utama, jarak roda dan rim aloi 18 inci. Lampu utama masih jenis Bi-Xenon dengan DRL.

Keselesaan kabin diberi penekanan menerusi peningkatan ruang sebanyak 23 milimeter untuk kelegaan lutut. Ruang bagi simpanan barangan pula boleh ditingkatkan daripada 550 liter kepada 1,600 liter.


BMW X3 xDrive20i dilengkapi enjin empat silinder dengan tiga mode pemanduan.


Jentera itu menggunakan enjin petrol dua liter empat silinder BMW TwinPower Turbo dengan adunan Double-VANOS, Valvetronic dan sistem suntikan BMW High Precision.

BMW X3 xDrive20i mampu menghamburkan kuasa sehingga 184hp dan tork setinggi 270Nm. Ia berupaya memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.6 saat.

Penggunaan bahan api bagi setiap 100km adalah sebanyak 7.5 liter. Kadar emisi karbon berada pada paras 175 gram setiap km.

Jentera X3 xDrive20i dilengkapi ciri Driving Experience Control yang membolehkan pemandu memilih jenis mode pemanduan dengan hanya menekan butang. Tiga mode disediakan iaitu Comfort, Sport dan Eco Pro.

BMW X3 xDrive20i CKD boleh didapati menerusi 16 rangkaian pengedar rasmi BMW Malaysia di seluruh negara pada harga jualan atas jalan tanpa insurans RM323,800 sebuah.

Model baharu itu hadir bersama program BMW Service+Repair Inclusive. Ia meliputi penyelenggaraan, penggantian, servis dan baik pulih komponen kereta.

Tempoh jaminan adalah selama tiga tahun atau 60,000km (yang mana tiba dulu).

Sonata 2.0L dan 2.4L naik taraf

Posted:

Sonata 2.0L dan 2.4L naik taraf

Sonata 2.0L dan 2.4L naik taraf


TRANSFORMASI pada Sonata menjadikannya kelihatan lebih mewah dan eksklusif.


HYUNDAI-SIME Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) baru-baru ini memperkenalkan varian naik taraf Sonata 2.0L dan 2.4L untuk pasaran tempatan. Penambahbaikan itu melibatkan transformasi luaran dan rangkaian kuasa kenderaan Hyundai.

Bahagian hadapan Sonata kini menggunakan gril rekaan baharu yang menyerlahkan lagi penampilan jentera jenama Korea itu. Sonata kini didatangkan bersama sepasang lampu kabus. Set lampu belakang sudah menggunakan lampu LED.

Varian 2.4L pula dipasang lampu hadapan jenis HID. Tambahan lain membabitkan aplikasi lampu LED pada lampu kabus kenderaan dan rim bersaiz 18 inci.

Perubahan pada ruang kabin model Sonata 2.0L jelas kelihatan pada konsol tengah. Butang kawalan sudah diatur semula, selain lampu latar berwarna biru untuk keselesaan pemandu.


SUSUN atur dalam ruangan kabin ternyata agak teliti.


Bagi varian 2.4L, perubahan yang dilakukan membabitkan pemasangan unit pendingin hawa automatik dua zon.

Transmisi kedua-dua varian diubah kepada jenis step-gate sebagai usaha meningkatkan kecekapan penukaran gear, sekali gus meningkatkan ciri keselamatannya.

Sonata kini dipasang kotak hitam rakaman video Lukas yang merekod situasi di hadapan jentera ketika ia bergerak. Andai berlakunya kemalangan, rakaman itu boleh dijadikan sebagai bahan bukti.

Hyundai Sonata 2.0L menggunakan enjin Nu empat silinder baharu yang diperbuat daripada aluminium. Material berkenaan membantu mengurangkan berat enjin sebanyak 33.6 kilogram.

Harga atas jalan Hyundai Sonata 2.0L naik taraf bermula serendah RM137,888 hingga RM151,888. Sementara varian 2.4L ditawarkan pada harga RM173,888 dan RM176,388 seunit.

Harga itu termasuk insurans dan cukai jalan untuk Semenanjung Malaysia. Jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun atau jarak perbatuan 300,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved