Ahad, 30 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Cheh Chang tuntut penjelasan

Posted:

Cheh Chang tuntut penjelasan

Cheh Chang tuntut penjelasan

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

KIEN KEAT (depan) dan Boon Heong tidak lagi dibimbing Cheh Chang.


JURULATIH beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang menuntut penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas beliau 'diturunkan pangkat' menjadi ketua jurulatih beregu remaja negara.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM, Ng Chin Chai mengumumkan bahawa Cheh Chang akan mengambil alih tugas jurulatih berpengalaman, Yap Kim Hock bagi melatih barisan pemain beregu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Saya hanya dimaklumkan mengenai perkara ini hari ini (semalam) oleh Chin Chai menerusi panggilan telefon.

"Namun, saya tidak diberi penjelasan menyeluruh mengenainya.

"Apa yang saya boleh katakan, saya akan mengadakan pertemuan dengan Chin Chai dan pihak pengurusan BAM yang lain bagi berbincang apa sebenarnya tugas atau sasaran yang diletakkan kepada saya dengan melatih pemain beregu remaja.

"Secara peribadi, saya berasa mungkin BAM mahu saya melatih pemain remaja disebabkan pengalaman saya sebagai jurulatih remaja. Mereka mungkin mahu saya melahirkan lebih ramai pemain remaja untuk diketengahkan seperti mana ketika saya membawa Kien Keat-Boon Heong.

"Sebelum ini, tugas tersebut dilaksanakan oleh Kim Hock yang sememangnya berpengalaman. Jadi, mungkin BAM mahu jurulatih berpengalaman menggantikan tempat Kim Hock itu," kata Cheh Chang ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ekoran keputusan mengejut BAM itu, timbul spekulasi mengatakan bahawa ia adalah berpunca daripada prestasi tidak menentu beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berada bawah kendalian Cheh Chang sejak 15 bulan lalu.

"Dalam hal ini, saya tidak salahkan sesiapa. Jika dibuat penilaian, prestasi Kien Keat-Boon Heong sebenarnya telah banyak meningkat sejak Sukan Olimpik 2012 dan telah kembali berada pada tahap prestasi sebenar mereka.

"Buktinya, mereka berjaya mara ke final kejohanan badminton Siri Super Terbuka Jepun, Terbuka Denmark dan Terbuka Hong Kong. Cuma, nasib belum menyebelahi me reka untuk bergelar juara," kata Cheh Chang.

Dalam pada itu, Chin Chai turut mengesahkan bahawa CTC akan mengemukakan cadangan kepada barisan Exco BAM untuk melantik jurulatih kelahiran Indonesia, Paulus sebagai pengganti Cheh Chang.

Jika mendapat 'lampu hijau' daripada Exco BAM, CTC akan mengemukakan tawaran kepada Paulus.

Malaysia unggul benam Incheon

Posted:

Malaysia unggul benam Incheon

Malaysia unggul benam Incheon


KOGILESWARAN dicabar pemain Incheon Selection pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.


SKUAD bawah 15 tahun (B-15) Malaysia mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2012.

Kejayaan tersebut hadir selepas skuad bimbingan S. Balachandran itu melakar kemenangan kedua pada aksi Kumpulan B apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Incheon Selection 2-0 semalam.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya itu, Kogileswaran Raj muncul wira skuad B-15 Malaysia apabila meledak dua gol pada minit ke-17 dan ke-28.

Kemenangan itu sudah cukup untuk memastikan kemaraan anak-anak buah Balachandran ke kelompok empat pasukan terbaik selepas membelasah kelab Republik Czech, Slavia Praha 5-0, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Balachandran tidak mahu barisan pemainnya terus dibuai mimpi indah ekoran kejayaan itu, sebaliknya kekal fokus bagi menghadapi aksi terakhir kumpulan menentang satu lagi wakil Malaysia, Frenz United malam esok.

"Dua pemain saya mengalami kecederaan. Jadi, kami (skuad B-15 Malaysia) akan melakukan beberapa perubahan bagi memastikan kami tetap memberikan aksi terbaik pada perlawanan terakhir nanti.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemain saya," kata Balachandran sejurus tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, penolong pengurus Incheon Selection, Kim Kyu Sok tetap kekal positif bagi menghadapi aksi terakhir menentang Slavia Praha biarpun tewas dua perlawanan awal.

"Selain keadaan cuaca (panas), jelas sekali pemain-pemain kami (Incheon Selection) kurang dari aspek stamina dan kami sedar bahawa terlalu sukar untuk mereka menyesuaikan diri.

"Biarpun kami kecewa, kami akan pastikan kami menang perlawanan seterusnya menentang Slavia Praha," kata Kyu Sok.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Frenz United Malaysia mencerahkan peluang mara ke separuh akhir apabila seri tanpa jaringan dengan Slavia Praha.

Mancini kecam tindakan pengadil

Posted:

Mancini kecam tindakan pengadil

Mancini kecam tindakan pengadil


AKSI tegang antara Nasri dan Bassong di Carrow Road kelmarin.


NORWICH – Pengendali Manchester City, Roberto Mancini (gambar kecil) mendakwa pasukannya telah menjadi mangsa pengadil perlawanan selepas Samir Nasri diperintah keluar ketika aksi menentang Norwich City dalam saingan Liga Perdana England di Carrow Road kelmarin.

Mancini jelas tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil, Mike Jones yang melayangkan kad merah kepada Nasri yang bertengkar dengan tonggak pertahanan Norwich, Sebastien Bassong pada saingan yang menyaksikan City menang 4-3.

Nasri bertindak demikian selepas berang dengan tindakan Bassong yang melakukan terjahan keras terhadapnya sebelum itu.

"Kedua-dua pemain itu (Nasri dan Bassong) berlaga kepala serentak, jadi jika kamu (pengadil) mahu melayangkan kad merah, sepatutnya kedua-dua pemain dikenakan tindakan yang sama, bukannya seorang sahaja.

"Pembantu pengadil juga bertanggungjawab, ia bukanlah keputusan yang baik tetapi luar biasa.

"Jika kamu mengarahkan mereka berdua keluar padang saya boleh terima. Pengadil berada di situ, dia melihat semuanya.

"Pembantu pengadil pula berada di belakang pemain, namun dia tidak melihatnya. Sudah pasti, kami akan kemukakan rayuan," tegas Mancini.

Ekoran kad merah yang diterima Nasri, City akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak (FA) England dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Mancini mengakui Nasri perlu menyalahkan diri sendiri atas sikapnya yang terlalu marah kepada Bassong.

"Saya terkejut dengan tindakan Nasri, dia perlu membayar atas hukumannya itu tetapi keputusan pengadil perlawanan adalah tidak tepat.

"Ya, Nasri melakukan kesalahan tetapi selepas itu kenapa pemain lain yang melakukan kesalahan sama tidak diarahkan keluar padang?

"Terdapat dua undang-undang untuk pasukan yang berbeza dan inilah saya benci dalam bola sepak dan saya tidak boleh menerimanya.

"Dalam hidup, hanya terdapat satu undang-undang bagi setiap orang. Musim ini, saya telah melihat banyak perkara yang agak kurang baik," jelas Manchini. – AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved