Isnin, 3 Disember 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Gelombang baharu rekaan hari bahagia

Posted:

Gelombang baharu rekaan hari bahagia

Gelombang baharu rekaan hari bahagia

Oleh ALIF ABU BAKAR

PELAMIN indah berhias, karpet merah menghampar dewan dan kad undangan juga sudah lama diterima jemputan. Apa yang pasti, segala persiapan terlaksana dengan rapi. Namun, saat menatap cermin sebelum langkah diatur ke pelamin, busana yang membaluti tubuh seakan-akan melenyapkan keyakinan.

Momen di atas bagaikan mimpi ngeri setiap bakal pengantin. Hakikatnya, busana raja sehari adalah teras daripada keseluruhan rancangan perkahwinan terutamanya kaum Hawa. Disebabkan itu, busana pengantin perlu cantik dan berupaya menyerlahkan kejelitaan mempelai wanita. Jika tidak, ia bakal menjadi palitan hitam dalam sejarah hidup si gadis.

Ironinya, sejauh mana pun zaman beredar, busana pengantin akan kekal sebagai persalinan paling utama dalam diri setiap individu. Memilih konsep, mencari pereka dan butik antara perkara penting perlu dilaksanakan bakal pengantin baharu.

"Majlis perkahwinan orang Melayu selalunya memerlukan pemakaian baju pengantin yang banyak. Baju tunang, nikah, malam berinai dan persandingan untuk kedua-dua belah pihak sudah boleh memberi gambaran sebenar ketaksuban masyarakat negara ini melaram pada hari bahagia mereka.

"Dahulu ia mungkin boleh didapati daripada butik-butik atau mak andam, tetapi hari ini, gelombangnya berubah apabila anak-anak muda lebih gemar menjalani sesi pemilihan pakaian perkahwinan mereka secara terperinci.

"Ia melibatkan perbincangan 100 peratus antara pereka dan pelanggan bermula daripada proses penetapan konsep, pemilihan material dan rekaan akhir sehingga sehelai busana itu siap sepenuhnya," jelas pereka fesyen tanah air, Hasfitri Yusof.

Konsep dongeng

Seiring dengan perkembangan positif itu, Hasfitri tampil dengan rekaan busana perkahwinan berteraskan kisah dongeng. Penggunaan sepenuhnya kain net lembut bersama pelapik sutera satin dan sedikit les, menyempurnakan persalinan pengantin yang mengidamkan konsep perkahwinan bak puteri fantasi.


WARNA lembut memberi perlambangan suci kepada pasangan pengantin.


Penampilan moden mampu diserlahkan menerusi mainan warna-warna pastel yang terdiri daripada krim dan merah jambu. Pilihan rona garang seperti merah turut ditawarkan. Menariknya, penggunaan bulu burung unta asli pada salah satu pakaian koleksi pereka sedang meningkat naik itu menambahkan semarak eksklusif kepada diri si pemakai.

"Potongan bak puteri diberi penekanan bagi membolehkan pengantin menyelami konsep dongeng yang dipilih. Bahagian bawah yang mengembang pula sengaja direka tidak ketat bagi membolehkan semua bentuk badan memakai busana ini.

"Rekaan baharu saya ini juga menampilkan dres yang diolah daripada kebaya yang diberi sentuhan Inggeris. Saya mendapat inspirasi daripada filem klasik Robin Hood, tetapi ia diadun bersama ciri-ciri kemelayuan," ujarnya yang memberitahu pakaian nikah dan perkahwinan yang direkanya diletakkan pada harga bernilai RM2,000 ke atas.

Tambah Hasfitri, koleksi kali ini juga menggunakan pendekatan pakaian dua helai (two piece), iaitu bahagian atas dan bawah didatangkan secara berasingan. Secara tidak langsung, ia menguntungkan pelanggan kerana dapat menyuaipadan pakaian tersebut untuk majlis berbeza.

Pertaruhan peplum

Pereka senior, Melvin Shah juga tidak terkecuali menggunakan pendekatan two piece. Baginya, baju perkahwinan zaman ini perlu mengutamakan nilai pelbagai guna. Rugi sekiranya ia hanya dipakai untuk sekali dan kemudian disimpan di dalam almari sebagai kenangan.

"Koleksi perkahwinan saya boleh dipakai untuk majlis makan malam atau acara eksklusif memandangkan ia ringkas dan tidak sarat dengan perincian mahupun aksesori.

"Potongan kembang payung yang digunakan diadaptasi daripada tradisi Melayu yang ketara pada ketepatan siluetnya. Bagi memberi sedikit nilai sentimental, saya mempertaruhkan unsur peplum dalam kebanyakan rekaan kali ini.

"Seperti yang kita tahu, peplum menjadi kegilaan pada era kegemilangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan ia kembali dipilih generasi muda yang menggemari busana berkonsep klasik," ujar Melvin yang ditemui Stailo pada sesi fotografi baru-baru ini.

Untuk pengetahuan pembaca, peplum merupakan unjuran yang menyerupai skirt pada blaus dari bahagian pinggang, kembang payung atau bersambung pada tali pinggang. Ia popular pada pertengahan tahun 1860-an dan 1930-an.

Tambah Melvin, pilihan warna lembut seperti kuning seakan-akan jingga (champagne) dan campuran merah jambu dan jingga (coral) pula menyuntik aura moden yang segar.


CIPTAKAN kelainan namun masih mengekalkan elemen glamor pada busana raja sehari anda.


Difahamkan, sebahagian golongan urban menggemari baju pengantin rona sebegitu kerana mereka mahukan penampilan yang santai tetapi kekal elegan.

Berkongsi pendapat berhubung persiapan pakaian perkahwinan, Melvin melihat ia lebih kepada kebijaksanaan pasangan tersebut. Ertinya, setiap bakal pengantin perlu tahu merancang pakaian apa yang hendak ditempah dan mana satu wajar disewa.

"Sebagai orang Melayu, sudah tentu pengantin mahu menyarungkan pakaian tradisional seperti songket. Persalinan ini hanya perlu disewa di butik pengantin kerana ia tidak praktikal untuk dimiliki.

"Baju songket yang disewa itu pula perlu dipilih dengan teliti agar tidak kelihatan ketinggalan zaman. Hari ini, banyak butik yang menawarkan songket perkahwinan berciri moden dari segi potongan dan sulaman," jelasnya menutup bicara pada petang tersebut.

Ratu sehari inspirasi Syahrir

Posted:

Ratu sehari inspirasi Syahrir

Ratu sehari inspirasi Syahrir

Oleh HAFIZ AHMAD


POTONGAN ringkas untuk majlis tema taman.


MELAYARI bahtera perkahwinan menjadi impian buat semua pasangan bercinta. Ikatan kasih dan sayang dirai dengan penuh gilang-gemilang pada hari persandingan kedua-dua mempelai.

Keanggunan ratu sehari menambah seri majlis penyatuan dua jiwa itu melalui pilihan busana menawan nan indah disamping sang pria yang segak bergaya setia menemani disisi.

Busana istimewa amat penting buat pasangan pengantin kerana ia akan kekal selamanya dalam lipatan kenangan sebagai memori terindah dalam hidup.

"Mereka perlu menetapkan warna dan tema bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk mencari busana pada hari persandingan mereka," ujar pereka busana pengantin, Syahrir Nurdin.

Perkahwinan idaman tersebut, tambahnya, perlu berlandaskan peruntukan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan timbulnya rasa kurang enak usai majlis bahagia.

Busana indah rekaan Syahrir bakal memukau hati setiap wanita dengan pilihan dres-dres yang dicipta istimewa buat pengantin wanita.

Ulas Syahrir, setiap busana ciptaannya berkonsepkan gabungan klasik dan moden iaitu suatu perlambangan sentuhan peribadi dirinya.

"Rekaan kontemporari sebegini mudah mendapat perhatian daripada bakal pengantin kerana potongan dan penggayaan yang tidak lapuk dek peredaran masa," ujarnya yang juga pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Pesona setiap rekaan dipersembahkan melalui penggunaan fabrik seperti dutchess satin, double sifon, kain les dengan taburan sulaman jemeki dan mutiara melengkapkan keindahan busana tersebut.

Rona-rona lembut seperti putih, kuning seakan-akan jingga, putih krim dan kelabu lembut menjadi pilihan Syahrir. Prinsipnya, mahu kedua-dua pengantin tampil ayu dengan biasan warna yang sedikit berlainan daripada tetamu lain.

"Pada kebiasaannya, tetamu akan menyarungkan baju rona terang dengan corak pelbagai.

"Oleh kerana itu, pasangan mempelai harus lebih menonjol dengan busana berperincian mewah yang dipadankan rona lembut untuk tampil lebih ayu," ujarnya.

Destinasi pilihan persandingan

Posted:

Destinasi pilihan persandingan

Destinasi pilihan persandingan


TRADISI persandingan dalam rumah mengekalkan amalan bergotong-royong sesama keluarga.


1. Persandingan dalam dewan BUAT pasangan yang bercadang membuat majlis resepsi dalam dewan di ibu negara, pilihan seperti Dewan Perdana Felda mungkin boleh dipertimbangkan. Mampu memuatkan 2,000 tetamu dalam satu masa, dewan itu turut menawarkan perkhidmatan lima bintang yang merangkumi perabot, lantai berkarpet dan pelbagai item mewah. Sistem lampu, sistem audio dan fasiliti multimedia turut disediakan.

Majlis tambah meriah dengan perhiasan lampu kristal yang menghiasi ruang siling ibarat taburan bintang-bintang yang mencipta suasana gemerlapan dan glamor. Usah risau dengan ruang parkir kerana Dewan Perdana Felda menyediakan sebanyak 500 lot parkir kereta dan 240 ruang yang berbumbung.

Dewan tersebut juga diselenggara dan dikawal 24 jam oleh jurutera Felda malah diawasi polis bantuan bagi menjaga keselamatan tetamu. Servis kateringnya mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Aspek pembuatan dan hidangannya juga mengikut tuntutan syariah.

Majlis resepsi dalam dewan memerlukan solekan tebal memandangkan persekitaran yang dipenuhi lampu-lampu terang. Begitupun, solekan itu tidak perlu dilakukan secara keterlaluan.

Fokuskan pada solekan mata dengan warna sedikit gelap bagi menonjolkan mata yang bundar dan lebih segar. Pelamin pengantin perlu diletakkan ditempat tinggi bagi memudahkan tetamu yang hadir dapat melihat raja sehari terutamanya hadirin terletak jauh dibelakang.

Informasi: www.feldadsaji.com.my / 03-2698 8302

2. Persandingan siar tasik

Jika inginkan kelainan pada hari bersejarah, langsungkan saat indah perkahwinan anda di atas bot persiaran dengan disaksikan oleh sanak saudara terdekat dan sahabat handai. Salah satu pilihan destinasi perkahwinan atas kapal ialah Cruise Tasik Putrajaya yang menawarkan pelayaran penuh romantis dengan panorama mengasyikkan.

Dengan dekorasi dalaman bercita rasa klasik, ia turut dilengkapi perkhidmatan kelas pertama buat pasangan bercinta. Dengan hanya RM3,500 untuk jam pertama pelayaran, majlis bersanding lebih intim dengan tetamu yang diundang istimewa iaitu seramai 60 orang sekali perjalanan.

Hiasi layar cinta anda dengan bunga-bunga segar daripada rona-rona lembut dengan mengambil tema gaya Inggeris bagi menonjolkan sisi eksklusif perkahwinan yang didirikan. Sarungkan persalinan warna polos, solekan natural dan perhiasan rambut ringkas, sesuai dengan konsep yang dibawa.

Tidak perlu tempat persandingan yang terlalu besar cukup sekadar ruang khas untuk bergambar memandangkan kawasan yang terhad dalam bot pesiaran tersebut. Pilih satu sudut yang mudah untuk dilalui dan sedikit luas kerana tetamu akan berkumpul untuk mengambil foto kenangan bersama kedua mempelai.

Informasi: www.cruisetasikputrajaya.com / 03-8888 5539

3. Persandingan dalam rumah


MAJLIS atas bot persiaran mencetus sisi romantis kedua pasangan pengantin. - Gambar hiasan


Sudah menjadi kebiasaan, majlis perkahwinan yang diadakan dalam kawasan rumah menjadi tradisi turun-temurun.

Majlis tampak lebih meriah dengan hilai tawa sanak saudara dan jiran tetangga yang datang bergotong-royong membantu meringankan beban tuan rumah. Detik itu meninggalkan momen manis dan lebih bermakna apabila setiap kelengkapan dan perhiasan mendapat sentuhan peribadi ahli keluarga.

Pasangan pengantin dinasihatkan untuk mencari busana yang menyerap peluh daripada fabrik nipis dan ringan kerana keadaan suhu yang mungkin mencapai tahap membahang. Oleskan wajah dengan dandanan yang rapi dan padat bagi mengelakkan solekan cair akibat kepanasan.

Namun, akibat faktor ruang yang terhad dan kesibukan masyarakat kini, suasana meriah tersebut semakin hilang serinya kerana sering mendapatkan khidmat katering atau pengatur cara majlis perkahwinan.

Pilihan singgahsana persandingan perlu mengikut kesesuaian kawasan yang diberikan. Jika tidak mempunyai ruang yang luas, cukup sekadar pelamin dengan hiasan sederhana dengan padanan bunga- bunga saiz besar yang menjadi ikutan semasa. Warna juga memainkan peranan kerana warna yang terlalu terang dan berwarna-warni sedikit canggung malah boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman. - HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved