Ahad, 9 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Platform pupuk minat bidang penerbangan

Posted:

Platform pupuk minat bidang penerbangan

Platform pupuk minat bidang penerbangan

SEKALI pandang, ruang kokpit pesawat Cessna 172 Skyhawk sarat dengan punat, pelbagai jenis meter serta paparan digit. Ia pastinya membuatkan sesiapa sahaja yang khilaf ilmu penerbangan mati akal untuk mengendalikan pesawat tersebut.

Biarpun begitu, wajah budak lelaki pemilik susuk tubuh sedikit kecil itu begitu tenang dan fokus menerbangkannya hanya selepas beberapa minit mendengar taklimat ringkas serta sedikit panduan daripada jurulatih penerbangan bertugas.

Tiada masalah baginya untuk melakukan pelepasan pesawat walaupun kelihatan sedikit canggung. Tidak sampai beberapa minit, altimeter menunjukkan pesawat di bawah kendaliannya sudah tinggi membelah awan.

Terpancar raut kepuasan diwajahnya. Manakan tidak, pada usia belasan tahun, dia sudah boleh 'menerbangkan' pesawat Cessna 172 Skyhawk walaupun tidak punya ilmu formal penerbangan di mana-mana sekolah penerbangan.

Pendedahan awal

Walaupun sekadar mengendalikan simulator, ia 100 peratus menyamai kokpit pesawat Cessna 172 Skyhawk sebenar. Bezanya, jika pesawat gagal dikawal dan terhempas, tiada nyawa yang akan melayang.

"Sesiapa sahaja berupaya mengemudi simulator pesawat Cessna 172 Skyhawk ini apabila mengikuti program Learn To Fly. Program ini sebenarnya lebih kepada pendedahan kerjaya kepada pelajar sekolah bermula daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima terhadap kerjaya sebagai juruterbang," kata Muhd. Ikhwan Syahid Kadir.


BEGINILAH rupa pesawat Cessna 172 Skyhawk yang diterbangkan oleh pelajar namun menggunakan sebuah kokpit simulator.


Jejaka berusia 25 tahun itu yang merupakan Pengurus Besar Infotech Quest Sdn. Bhd. (Infotech Quest) memberitahu program Learn To Fly sudah tiga tahun diperkenalkan dan kini dibuka kepada orang awam.

Menurut Ikhwan, silibus program Learn To Fly itu sudah diterjemahkan kepada terma yang lebih ringkas dan mudah difahami berdasarkan apa yang dipelajari di sekolah penerbangan.

Setiap modul diajar mengikut jam bermula daripada jam pertama hingga jam ke-20. Buat permulaan, seseorang pelajar itu akan belajar mengenai asas penerbangan merangkumi fungsi dan jenis enjin sehingga mereka mampu 'terbang' secara solo.

"Pemikiran para pelajar kini sudah ke hadapan. Mereka bukan sahaja ingin mengetahui skop kerja sebagai seorang juruterbang, malah rasa ingin tahu mereka mencakupi aspek gaji, kriteria untuk menjadi seorang juruterbang, tempat dan tempoh pengajian," ujar bekas juruterbang Malaysia Airline (MAS) yang bertanggungjawab menyediakan modul program tersebut.

Perbezaan kerjaya

Ujar Ikhwan, soalan-soalan yang diutarakan mereka lebih pintar dan para pelajar akan lebih teruja apabila mengetahui pada usia 20 tahun, gaji seorang juruterbang boleh mencecah RM10,000.

Dalam ceramah kerjaya tersebut, turut ditunjukkan carta perbandingan kerjaya lain seperti doktor, jurutera, juruterbang dan sebagainya yang menyentuh mengenai tempoh pengajian dan perolehan pendapatan.

"Sasaran Infotech Quest lebih bertumpu kepada pelajar sekolah menengah kerana mahu membetulkan persepsi mereka mengenai kerjaya juruterbang yang dikelaskan sebagai kerjaya orang berada berikutan yuran pengajiannya mencecah RM250,000 untuk tempoh dua tahun.

"Saya sendiri memasang impian menjadi juruterbang sejak kecil lagi, tetapi tiada bimbingan daripada sesiapa tambahan pula yurannya melampaui kemampuan keluarga," ujarnya yang mengambil inisiatif sendiri untuk mendalami bidang penerbangan kemudian berjaya memperoleh biasiswa MAS.

Jelasnya lagi, dengan pendedahan awal mengenai ilmu penerbangan seperti program Learn To Fly, pelajar yang bercita-cita menjadi juruterbang lebih mudah mendapat biasiswa seterusnya merealisasikan kerjaya impian mereka.

Ikhwan yang pernah menerbangkan pesawat Boeing 737-400, Eagle 150B, Piper Warrior dan Piper Seneca memberitahu, pusat simulasi pesawat Learn To Fly yang 'berpangkalan' di aras 1, Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur menawarkan tiga skim program iaitu Penerbangan 15 minit, Penerbangan 60 minit dan Program Latihan Serius.


PENGUNJUNG diberi taklimat ringkas terlebih dahulu sebelum berpeluang mengendalikan simulator dengan bimbingan jurulatih penerbangan bertugas.


Bayaran yang dikenakan untuk tempoh 15 minit bagi merasai pengalaman mengendalikan simulator pesawat Cessna 172 Skyhawk adalah RM30 seorang.

Kendali pesawat

Pengalaman 15 minit mengendalikan simulator didahului dengan penerangan ringkas oleh jurulatih penerbangan bertauliah sebelum tunjuk ajar mengenai asas pengendalian pesawat diberikan.

"Dalam durasi masa 15 minit, seseorang itu akan diajar mengawal pesawat secara asas iaitu menggunakan kawalan kaki dan tangan, pelepasan serta pendaratan pesawat.

"Sesi 60 minit penerbangan pula merangkumi kawalan asas pesawat, kawalan di udara dan darat, pengetahuan asas operasi pesawat, panggilan radio serta senarai semak yang asas," katanya sambil memberitahu pengunjung berpeluang merasai pengalaman membawa pesawat dalam pelbagai jenis cuaca seperti ribut petir, salji dan kabus.

Dalam pada itu Program Latihan Serius pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu awal, pertengahan dan lanjutan yang memerlukan sesi pembelajaran selama 20 jam diikuti dengan beberapa siri ujian.

Pusat simulasi

Pusat simulasi pesawat di Muzium Telekom dengan kemudahan lapan buah simulator yang dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali hari Sabtu dan Ahad. Ia mampu menampung 40 pengunjung dalam satu-satu masa dan 80 pengunjung dalam sehari.

"Sejak pusat ini dibuka Julai lalu, maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan dan sudah ada pelajar mengikuti Program Latihan Serius yang kini berada pada tahap lanjutan," ujarnya sambil mendedahkan bahawa pelajar perempuan lebih cenderung meminati bidang penerbangan berbanding pelajar lelaki.

Pada hari itu, sesekali kedengaran suara riuh-rendah para pengunjung dari Kelab Rotary Bukit Kiara Sunrise yang memenuhi ruang bilik menempatkan lapan buah simulator. Empat jurulatih penerbangan kacak sedia memberikan tunjuk ajar.

Ada juga antara mereka yang menjerit kecil apabila pesawat yang diterbangkan menjunam laju dan terhempas seolah-olah mereka berada di dalamnya.

"Berikutan sambutan yang menggalakkan, kita akan menggabungkan elemen keseronokan dan pengetahuan dengan memperkenalkan simulator jet dengan sistem hidraulik pada masa hadapan.

"Seseorang itu akan merasai sendiri pergerakan pesawat kendalian mereka dan ini akan membuat mereka lebih teruja," kata Ikhwan.

Dalam pada itu, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Siong Chye Soon, 17, yang menyertai rombongan Kelab Rotary Bukit Kiara Sunrise sangat teruja apabila berpeluang mengendalikan simulator pesawat buat kali pertama.

"Ia pengalaman yang baharu dan saya belajar sesuatu yang berbeza daripada apa yang dipelajari di sekolah.

"Pada masa yang sama, saya dapat kaitkan subjek sains dengan ilmu penerbangan," katanya yang kini menyedari kepentingan sains dalam sesuatu kerjaya dan kehidupan.


PENDEDAHAN awal kepada pelajar sekolah menengah mampu meningkatkan minat mereka dalam bidang Sains terutamanya penerbangan.


Chye Soon memberitahu, saat dirinya duduk di bangku juruterbang ada banyak perasaan menyelinap masuk dalam dirinya.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu. Pada mulanya agak stres apabila melihat pelbagai jenis butang dan meter di hadapan saya. Selepas mendengar penerangan serta tunjuk ajar jurulatih penerbangan, saya kembali rileks sekali gus berjaya menerbangkan pesawat," ujarnya yang pada mulanya bercita-cita menjadi seorang doktor, namun ini mengakui mula jatuh cinta dalam bidang penerbangan.

Pengalaman mengendalikan simulator pesawat tersebut turut dirasai oleh Presiden Kelab Rotary Bukit Kiara Sunrise, Ghaurry Siva, 53.

"Ia merupakan pengalaman baharu dan menyeronokkan. Kami begitu teruja dan tidak sangka dapat menerbangkan sendiri pesawat yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

"Walaupun hampir separuh daripada ahli-ahli rombongan 'terhempas', kami semua gembira kerana semua orang berpeluang untuk terbang," katanya yang mengetuai rombongan Kelab Rotary Bukit Kiara Sunrise terdiri daripada 23 orang dewasa dan tiga kanak-kanak.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved