Rabu, 19 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

Posted:

Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

DI dalam sebuah bilik, kelihatan enam gadis berusia awal 20-an sedang tekun melakukan tugas masing-masing. Salah seorang daripada mereka berdiri di satu sudut sambil menghadap sebuah mesin sulaman.

Sementara, lima yang lain pula duduk di atas kerusi sambil memegang gunting. Mereka begitu berhati-hati memotong 18 lapisan kain kapas yang telah dijahit menjadi satu lapisan tebal. Satu persatu helaian kain tersebut putus, namun kerja-kerja menyiapkan kopiah Waqi masih belum berpenghujung.

Mereka perlu memastikan sulaman di atas kain kapas berjalan lancar. Bahkan, mereka cukup berhati-hati dalam melakukan kerja tersebut kerana jika berlaku kesilapan, lapisan kain tebal itu akan rosak.

"Jika rosak kualiti kopiah yang dihasilkan akan terjejas. Lapisan tebal itu bakal dijadikan dinding kopiah.

"Lebihan kain daripada dinding kopiah itu kemudiannya dipotong, sebelum disambung pada bahagian atas kopiah," kata Pengarah syarikat Plexus Asia Sdn. Bhd. yang menghasilkan kopiah Waqi, Azhar Bahari.

Syarikat yang beribu pejabat di Taman Nirwana, Ampang, Selangor itu boleh dikatakan tidak menang tangan menghasilkan kopiah premium untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurut Azhar, kopiah Waqi dihasilkan menggunakan teknologi fabrik daripada lapisan kain kapas lembut bagi memudahkan peluh diserap sekali gus memberikan keselesaan kepada kulit kepala.

"Bahan kasa tegap mengekalkan bentuk asal kopiah agar sentiasa tampak segak bergaya. Kain kapas pula sifatnya lembut, ringan dan selesa digunakan.

"Gabungan bahan-bahan berkualiti itu memudahkan pengaliran udara keluar daripada kopiah membuatkan kepala kekal nyaman. Selain itu, lapisan bahan pemantul haba turut digunakan bagi mengurangkan bahang terik mentari," kata lelaki yang berpengalaman luas dalam industri sulaman dan jahitan selama 16 tahun.

Kualiti kopiah


KOPIAH Waqi berkualiti premium disulam menggunakan sulaman komputer.


Di pasaran negara, kopiah boleh didapati dalam tiga kualiti iaitu biasa, sederhana dan premium. Harga setiap kopiah ditentukan berdasarkan kualitinya.

Bagi kategori biasa, harganya boleh didapati semurah RM5, sederhana sekitar RM50, manakala premium pula lebih RM100 setiap satu.

Dalam Islam, kopiah atau ketayap merujuk kepada sejenis penutup kepala. Menutup kepala bagi lelaki hukumnya sunat dan memakai kopiah adalah salah satu cara yang mudah.

Selain songkok, pemakaian kopiah dalam kalangan umat Islam di negara ini sesuatu yang biasa. Tidak hairanlah, ada yang memiliki sehingga lebih lima buah kopiah. Setiap kopiah digunakan mengikut kesesuaian pada majlis tertentu seperti menghadiri ceramah agama, perkahwinan atau ke surau.

"Tidak banyak kopiah premium berada dalam pasaran negara kita, namun permintaannya adalah tinggi. Justeru, untuk menghasilkan kopiah Waqi, kami telah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri sejak lima tahun lalu.

"Kajian yang dilakukan adalah penggunaan teknik sulaman, jahitan, kerapian dan keselesaan. Sulaman tidak perlu mengikut fesyen terkini, tetapi apabila siap ia nampak simple dan kemas. Sulaman dilakukan menggunakan sulaman berkomputer," kata anak jati Kedah itu. Kilang kopiah Waqi terletak di Pendang, Kedah.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut mementingkan maklum balas pengguna. Sehubungan itu, selama dua tahun pihaknya menjalankan kajian membabitkan kumpulan 50 peserta yang dijalankan sebanyak tiga kali.

Peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pelbagai latar belakang responden. Setiap maklumat yang diperoleh digunakan bagi membaiki kualiti kopiah tersebut.

Sejak tahun 2010, kopiah Waqi telah berada di pasaran. Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan, malah permintaannya jauh lebih tinggi berbanding penawaran yang mampu kami lakukan.


ALAT pengukur digunakan bagi memastikan saiz kopiah yang dipakai sesuai dengan kepala pelanggan.


Harga mahal

Setiap perniagaan pasti mempunyai cabaran sendiri, begitu juga dalam menjual kopiah berkualiti premium terutamanya berkaitan dengan harga.

Hakikatnya, pengguna tertarik dengan kualiti dan kecantikan, namun apabila melihat harga kopiah melebihi RM100, mereka mula berfikir banyak kali. Adakah pembelian tersebut berbaloi?

"Tidak dinafikan pelanggan berbelah bahagi untuk membeli kopiah premium, tetapi kami berjaya meyakinkan mereka. Pemakaian kopiah premium membuatkan si pemakainya kelihatan lebih segak.

"Tidak cukup dengan itu, kami turut melabur dalam menghasilkan bungkusan yang menarik. Ia nyata berbaloi apabila kami dianugerahkan Malaysia Good Design Award daripada Majlis Rekabentuk Malaysia," katanya yang menubuhkan syarikat berkenaan bersama dua rakan kongsi pada tahun 1994.

Pasaran eksport

Menurut Azhar, pihaknya juga telah mendapat permintaan daripada pihak tertentu di Mekah dan Madinah untuk memasarkan kopiah Waqi di kedua-dua kota suci umat Islam tersebut.

Kopiah Waqi yang akan dipasarkan ke sana berbeza termasuk dari segi corak kerana ia dijual sebagai cenderamata terutama pada musim haji.

"Mulai tahun hadapan kami akan mengeksport kopiah Waqi ke kedua-dua kota tersebut dan harganya tentulah lebih mahal berbanding di negara ini," katanya.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Industri, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu memberitahu, kilangnya ketika ini mampu mengeluarkan kira-kira 3,000 kopiah setiap hari atau 36,000 setahun. Namun, pada tahun depan, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 300,000 kopiah setahun.

Jualan kopiah paling tinggi pada bulan Ramadan. Ketika ini, syarikat berkenaan turut berdepan masalah kekurangan pekerja berpengalaman sekali gus merencatkan pengeluaran.

Mencantumkan kopiah

Bagi Nurul Anisah Abd. Rahim, 22, peluang menjalani latihan industri di syarikat yang menghasilkan kopiah premium merupakan satu pengalaman berharga.

Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru itu menjalani latihan industri selama lima bulan di syarikat tersebut. Ketika bekerja, Nurul Anisah telah dihantar di beberapa bahagian yang berbeza.


KETELITIAN amat penting ketika proses memotong 18 lapisankain kapas yang telah dijahit untuk dijadikan dinding kopiah.
sebelum ia disambung menjadi dinding kopiah


"Mula-mula dahulu, saya bertugas di bahagian jualan sebelum dipindahkan ke bahagian pengawalan kualiti produk. Sejak dua minggu lalu, saya bertugas di bahagian R&D yang menghasilkan kopiah Waqi.

"Pembuatan kopiah Waqi dilakukan secara teliti dan saya mengambil masa satu hari untuk menghasilkan sebuah kopiah. Itupun kualitinya tidak berapa bagus.

"Bahagian yang paling susah ialah ketika mencantumkan dinding dan atas kopiah. Jahitan perlu dilakukan secara manual, ketekunan dan ketelitian amat dituntut atau kopiah akan senget," katanya yang berasal dari Pahang.

Sudah dua tahun

Seorang pelanggan, Mohammad Mydin, 31, berkata, dia memakai kopiah Waqi sejak dua tahun lalu.

Dia mengakui memilih untuk mengenakan kopiah Waqi selepas berpuas hati dengan fabrik yang memberi keselesaan.

Katanya, ketebalan kain menjadikan kopiah tersebut keras dan jika memakai serban, tidak perlu lilitan yang banyak.

"Syarikat berkenaan melakukan R&D sebelum menjual kepada para pelanggan. Ia bukan sahaja berkualiti, malah selesa dan cantik. Kainnya tebal, tetapi saya tidak pernah mengalami sakit kepala.

"Saya sering memakainya ketika majlis-majlis tertentu dan penyimpanannya juga agak senang," katanya yang merupakan seorang penceramah bebas.

Tidur di dalam bongkah ais

Posted:

Tidur di dalam bongkah ais

Tidur di dalam bongkah ais


PERMINTAAN terhadap penginapan ais yang meningkat membuatkan banyak hotel seperti di Jukkasjarvi ini dibina.


LUPAKAN seketika mengenai kemudahan yang kebiasaannya terdapat di bilik-bilik standard hotel lain yang menawarkan katil, bar mini dan jubah mandi berserta dua pasang selipar. Di sebuah hotel di Zwolle, ada sesuatu yang menarik mengenai bilik penginapannya.

"Selamat datang ke hotel ais Belanda yang pertama," itulah sapaan yang akan diterima apabila anda mula menjejakkan kaki ke bilik hotel yang bersuhu antara enam hingga lapan darjah Celsius itu.

Penginap juga diingatkan agar memastikan rambut dalam keadaan kering jika tidak mahu ia menjadi beku.

"Jangan mengambil makanan yang terlalu berat dan pastikan juga anda menukar pakaian sebelum memasuki bilik," beritahu Pengurus Hotel, Annet Van Limburg kepada tetamu yang pertama kali mengunjungi hotel tersebut.

Sambil tertawa mendengarkan kata-kata itu, Luc Van Heijst dan Maya Zhang, 42, mendengar dengan patuh akan nasihat yang diberikan.

Di dalam bagasi mereka sudah tersedia beberapa helai seluar, baju sejuk, sarung tangan dan topi sebagai persediaan untuk menginap di hotel ais itu.

"Tidak, saya tidak takut, cuma sedikit gementar. Kami datang untuk merasai sendiri pengalaman bermalam di sini dan saya rasa seolah-olah kanak-kanak yang teruja dengan percutiannya," kata Van Heijst.

Gudang penyejukan

Hotel ais itu dibina bersempena festival mengukir ais di Zwolle pada tahun lepas yang diuruskan oleh sebuah hotel tempatan. Namun, ia hanya mempunyai tiga buah bilik serta didirikan di dalam sebuah gudang penyejukan yang mengambil masa selama 10 hari bagi menyiapkannya.

Ia merupakan hotel ais yang terletak di Eropah paling selatan, memandangkan idea penginapan seperti itu bermula di sebelah utara benua tersebut.

Hotel ais terbesar yang berada di Jukkasjarvi, Lapland iaitu di utara Sweden menawarkan sebanyak 47 buah bilik untuk musim 2011 hingga 2012,

"Tidak seperti Kanada dan Lapland, hotel di Zwolle tidak berada dalam persekitaran semula jadi. Di sana, tetamu hotel tidur dalam suhu 20 darjah Celsius di bawah paras beku," ujar Van Limburg yang menambah bahawa suhu di hotel ais Zwolle itu masih dalam keadaan yang tidak terlalu ekstrem.

Harga yang ditawarkan untuk satu malam bagi dua orang pengunjung adalah sebanyak AS$259 (RM788).

Bilik bertema

Memasuki ruang bilik tidurnya, terdapat corak-corak abstrak yang diukir pada dinding ais tebal yang menghiasi dua daripada tiga buah bilik yang disediakan.

Sementara itu, bilik ketiga pula mengetengahkan tema nautika yang turut menggunakan cengkerang gergasi sebagai hiasan.

Turut menjadi penyeri ialah sehelai kain langsir berwarna hitam yang berfungsi sebagai pintu.

Bagaimanapun, tarikan utama yang terdapat pada hotel ini ialah katil segi empatnya yang dibina daripada bongkah ais besar serta memberikan limpahan cahaya berwarna merah jambu, biru dan hijau.

Warna-warna itu dipantulkan daripada lampu yang dipasang di bawah bongkah ais tersebut yang mampu membuatkan pengunjung berasa terpegun melihatkan keindahan suasana yang tercipta.

Walau bagaimanapun, menurut Van Limburg, terdapat sebuah bilik di sebuah 'hotel sebenar' yang berhampiran turut disediakan sebagai langkah persediaan andainya terdapat tetamu yang mengubah fikiran untuk tidak bermalam di dalam kiub ais itu.

Berbalik kepada kisah Van Heijst dan Zhang, pada keesokan paginya kedua-dua pengunjung tersebut kelihatan sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah selepas bermalam dalam keadaan hampir beku.

"Saya memakai tiga helai seluar dan rasanya agak panas," ujar Van Heijst sambil ketawa.

"Ia merupakan satu pengalaman bermalam yang menakjubkan, namun sudah semestinya pengalaman sebegini memadai untuk dirasai untuk satu malam," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved