Khamis, 20 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tim Hwang belajar bahasa Melayu

Posted:

Tim Hwang belajar bahasa Melayu

Tim Hwang belajar bahasa Melayu

JIKA disebut Tim Hwang pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan orangnya. Namun, buat mereka yang menonton drama Korea seperti Secret Garden, 49 Days, Queen of Reversal dan A Thousand Kisses pasti mereka cukup kenal dengan suara Tim yang menyanyikan lagu runut bunyi kesemua drama tersebut.

Figura yang lebih mesra disapa sebagai Tim ini sememangnya cukup terkenal dengan irama balada sehingga dia diberi jolokan Prince of Ballad di Korea Selatan lantaran gemersik vokalnya yang memukau.

Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan jejaka kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu pada sidang akhbar sempena siri jelajah Asia pertamanya, Into Asia Comes Tim's World, di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup terpukau dengan kemesraan serta gaya santainya.

Memudahkan lagi komunikasi, tidak seperti penyanyi Korea yang lain, Tim atau nama sebenarnya Hwang Young-min cukup fasih berbahasa Inggeris.

Cukup gembira kerana menerima sambutan hangat daripada peminatnya di Malaysia, ujar Tim, ia bukan kunjungan pertamanya kerana sebelum ini Tim pernah bercuti di sini.

Menyambung bicara mengenai kerjayanya, terang Tim yang berusia 31 tahun, sebelum ini dia tidak pernah membayangkan kerjaya sebagai penyanyi kerana cita-citanya sebelum ini adalah untuk menjadi ahli farmasi sebelum ditawarkan menjadi penyanyi ketika usianya 20 tahun.

"Cita-cita saya waktu itu untuk menjadi ahli farmasi dan tawaran menjadi penyanyi tiba kebetulan pada saat saya baru hendak memulakan pelajaran di kolej.

"Hanya sempat tinggal di kolej selama sehari, saya terus membuatkan keputusan untuk terbang ke Korea Selatan," ujarnya.

Sudah memiliki lima buah album sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian, ujar Tim, pernah tercetus di hatinya untuk menolak tawaran nyanyian yang diberikan gara-gara kurang keyakinan diri.

"Saya sememangnya seorang yang takut akan perubahan. Apabila terpaksa tinggalkan keluarga, cita-cita dan tinggal seorang diri di Korea membuatkan saya tertanya-tanya betul atau tidak tindakan yang saya ambil.

"Jika jalan yang saya pilih ini salah bagaimana harus saya menghadapinya? Nasib baik, saya dikelilingi oleh pihak pengurusan yang amat menyokong dan keluarga saya juga tidak membantah. Jadi, saya teruskan dan akhirnya hari ini saya berada di Malaysia," luahnya.

Walaupun mempunyai vokal yang bagus namun, cabaran utama yang dihadapi oleh Tim ketika itu sebenarnya adalah untuk menguasai bahasa Korea dengan lancar sebelum melancarkan album sulungnya yang berjudul First Tim pada tahun 2003.

"Masalah terbesar saya sudah tentu bahasa. Saya lahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat, jadi saya tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dalam bahasa Korea.

"Saya mengambil masa selama dua tahun hanya untuk belajar bahasa Korea dan menyiapkan diri sebelum keluar dengan album.


MEMBINA populariti di Korea Selatan tidak menghalang Tim Hwang daripada memberikan pandangan tentang isu pembedahan plastik yang dikatakan berleluasa dalam kalangan selebritidi negara tersebut.


"Selain itu saya juga menghadapi masalah kejutan budaya ketika mula-mula sampai di Korea. Dalam kalangan orang Asia termasuk warga Korea sendiri, pergaulan antara lelaki dan wanita agak terbatas tidak seperti di Barat.

"Saya sering disalah anggap gara-gara saya suka memeluk atau mencium orang lain hanya untuk mengekspresikan penghargaan dan kegembiraan saya. Sekarang saya sudah faham yang saya tidak boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya," cerita Tim.

Indonesia

Sebelum hadir memperkenalkan dirinya di Malaysia, Tim sebenarnya sudah sukses membina populariti di Indonesia.

Buktinya, dia telah berjaya mengumpul ramai peminat di negara tersebut selepas muncul dalam drama siri berjudul Saranghae, I Love You di samping aktres popular Revalina S. Temat dan duet bersama penyanyi Astrid menerusi lagu Saranghamnida.

Bercakap mengenai lakonan, kata Tim, dia cukup bertuah apabila digandingkan dengan aktres popular Indonesia tersebut.

Drama itu turut membantu meningkatkan popularitinya di Indonesia sehingga konsert solo pertamanya di sana dihadiri 8,000 penonton.

"Saya bersyukur kerana diterima dengan baik di Indonesia. Saya bukanlah pelakon tetapi tawaran berlakon di samping Revalina itu datang tepat pada waktunya.

"Saya agak tertekan kerana diberikan watak utama tetapi semuanya berjalan dengan baik dan saya mudah memahami skrip kerana Revalina merupakan seorang 'guru' bahasa Inggeris dan penterjemah yang baik untuk saya," ungkapnya.

Selain menyanyi bersama Astrid, Tim juga telah muncul dengan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang berjudul Pahitnya Asmara.

"Memang saya lebih senang berbahasa Inggeris tetapi saya juga boleh memahami dan bercakap sedikit dalam bahasa Melayu.

"Bagi saya, bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Mandarin dan Korea kerana sebutannya sama seperti bahasa Inggeris.

"Bagi bahasa Mandarin dan Korea, saya harus menggunakan lidah dalam sebutan dan nada suara yang berbeza akan memberi maksud yang salah," katanya yang hanya mengambil masa selama sehari untuk merakamkan Pahitnya Asmara.

Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia pula, ujar Tim, dia bersedia untuk itu andai diberikan peluang.

"Saya teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Malaysia pada masa hadapan. Buat masa ini, belum ada sebarang perancangan ke arah itu memandangkan ini kunjungan pertama untuk bekerja dan bertemu peminat saya," akuinya.

Tidak hanya berlakon di Indonesia, Tim sedang sibuk dengan teater muzikal Legally Blonde sejak 20 November lalu. Dia berlakon di samping Jessica yang merupakan anggota kumpulan Girl's Generation.


ASTRID berpeluang berduet dengan Tim menerusi single Saranghamnida.


"Kalau diberi pilihan antara nyanyian, lakonan dan teater saya pilih teater muzikal kerana saya boleh lakukan semua perkara yang saya minat dalam satu persembahan.

"Dalam teater muzikal saya boleh menyanyi dan dalam masa yang sama berlakon.

"Jessica juga seorang pelakon yang bagus. Sebelum ini saya tidak begitu mengenalinya, tetapi selepas berlakon bersama saya dapati Jessica seorang yang menarik," ujarnya.

Album baharu 2013

Tempoh 10 tahun dalam industri seni bukan satu tempoh yang singkat buat Tim. Pelbagai cabaran pernah dilaluinya. Pernah hilang sebentar dalam industri seni, kata Tim, kini dia bangkit untuk berkongsi muziknya bersama peminat.

"Jika saya hendak bercakap soal cabaran memang terlalu banyak. Saya pernah berada di puncak dan pernah juga hilang daripada industri seni dalam tempoh yang agak lama.

"Sekarang saya lebih fokus dan tahu apa yang saya inginkan dalam kerjaya dan kehidupan. Cita-cita saya yang belum tercapai adalah merakamkan album penuh dalam bahasa Inggeris dan mengadakan konsert di tempat kelahiran saya iaitu di Philadelphia, Amerika Syarikat.

"Mungkin suatu hari nanti saya akan mempromosikan muzik saya di sana, saya hanya perlu bekerja keras untuk laksanakan impian itu," luahnya.

Mulai tahun 2013, kata Tim, aktiviti kerjayanya akan difokuskan di peringkat antarabangsa dan melahirkan album dalam bahasa Inggeris selepas teater Legally Blonde yang akan tamat pementasannya pada Mac tahun hadapan.

"Pada tahun 2013, fokus akan diberikan kepada aktiviti serta peminat di luar negara. Saya juga akan menghasilkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Saya sememangnya tidak sabar untuk menghadapi tahun 2013.

"Album baharu itu akan diterbitkan oleh saya sendiri seperti album-album sebelum ini dan dijangka siap pada tahun hadapan," ujarnya.

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Posted:

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SHAH ISKANDAR mengakui ciri-ciri wanita idamannya ada pada Rozita.


SEPANJANG bergelar artis, pelakon cantik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 38, sudah acap kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki, kebanyakannya yang lebih muda berbanding usianya.

Terkini, dia dikatakan sedang menjalin hubungan mesra dengan seorang pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz.

Menariknya, gara-gara gosip tersebut, timbul pula cerita yang mengatakan timbul perselisihan faham antara Iskandar dengan pelakon Zain Saidin, 28, yang sebelum ini merupakan antara individu yang rapat dengan Che Ta sehingga mereka sering digosip mempunyai hubungan istimewa.

Namun begitu, Shah, 29, yang ditemui pada acara Viewing Party perlawanan Piala Suzuki AFF 2012 antara Malaysia dan Thailand anjuran TV3 yang diadakan di Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri tentang gosip tersebut.

Sementelah, dia mengakui pernah mempunyai hubungan dengan wanita yang lebih berusia berbanding dengan dirinya.

Kosmo!: Bagaimanakah boleh timbul cerita yang mengatakan Shah bercinta dengan Che Ta?

SHAH ISKANDAR: Cerita sebegini boleh timbul kerana kami sering berlakon di bawah produksi yang sama iaitu Zeel Production. Sehingga kini kami sudah berlakon tiga kali berturut-turut bersama iaitu menerusi drama Kiah Spy, Anak Ikan dan Kiah Ke Jepun.

Jadi, benarkah dakwaan yang mengatakan kamu berdua bercinta?

Sudah tentu ia tidak benar kerana hubungan rapat kami hanya di lokasi penggambaran.

Saya rasa cerita ini timbul apabila ada pihak yang salah anggap terhadap kemesraan kami, tetapi pada hakikatnya hubungan kami tidak lebih daripada sekadar rakan sesama pelakon.

Lagipun buat masa sekarang saya belum terfikir lagi untuk bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberikan tumpuan terhadap karier terlebih dulu.

Bagaimanakah pula hubungan Shah dengan Zain Saidin?

Setakat ini hubungan saya dan Zain juga tiada masalah dan kami tidak pernah berselisih faham apabila cerita ini timbul. Kami menganggap ia tidak lebih daripada sekadar gosip.

Adakah Che Ta memiliki kriteria yang menjadi idaman Shah?

Secara jujurnya saya akui Che Ta memang ada memiliki ciri-ciri tersebut, antaranya dia merupakan seorang wanita yang sangat periang, terutamanya apabila dia bercakap dalam loghat Kedah sehingga membuatkan saya terhibur semasa berada di lokasi.

Pada masa yang sama, saya juga melihat dia seorang wanita yang sangat tenang. Sebagai contohnya, apabila gosip mengenai dirinya mempunyai hubungan dengan seseorang, saya lihat dia tenang berhadapan dengan situasi tersebut dan tidak cepat melatah.

Apabila berbincang tentang gosip yang melanda kami berdua, dia sekadar ketawa dan enggan melayan cerita tersebut.

Adakah Shah mengelak untuk menjalinkan hubungan cinta atau bertemu jodoh dengan wanita yang lebih berusia?

Apabila bercakap tentang cinta dan jodoh, saya tidak kisah sama ada pasangan saya itu lebih muda atau berusia daripada saya.

Sebelum ini saya pernah bercinta dengan wanita yang lebih berusia semasa di Singapura dahulu.

Paling penting, dalam sesebuah perhubungan itu perlu ada persefahaman antara satu sama lain dan soal umur sepatutnya tidak perlu timbul.

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Posted:

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


PELAKON watak penting filem Adik Manja, Noor Kumalasari (dua dari kanan) hadir memberi sokongan moral. Dia sempat bergambar bersama tiga pelakon Adik Manja The Returns iaitu (dari kiri) Ezlynn, Adeline Tsen dan Maria Tunku Sabri.


PADA era 1980-an, karya Othman Hafsham, Adik Manja merupakan antara filem yang paling mendapat sambutan. Mempertaruhkan dua bintang popular ketika itu iaitu Noor Kumalasari dan Dharma Harun Al Rashid, Adik Manja yang juga dibantu oleh pelakon Adibah Amin telah memperoleh kutipan sebanyak RM3.5 juta sepanjang tempoh ia ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Melihat kepada sambutan dan impak populariti filem tersebut, pelakon utamanya, Dharma mengambil risiko dengan menerbitkan semula Adik Manja dalam versi moden selepas 29 tahun ia pertama kali diterbitkan.

Melalui garapan baharu dengan menampilkan Dharma sendiri sebagai tonggak utama, naskhah yang diberi judul sebagai Adik Manja The Returns ini diperkuatkan oleh barisan pelakon terdiri daripada Rozita Che Wan, Faezah Elai, Juliana Evans, Ezlynn dan Maria Tunku Sabri.

Kata Dharma, secara umumnya Adik Manja The Returns masih mengekalkan jalan cerita yang hampir sama dengan Adik Manja.

Dharma yang merupakan pengarah dan penerbit filem tersebut turut menjelaskan, walaupun dia telah mengubah sedikit jalan ceritanya agar bersesuaian dengan situasi masa kini, namun dia masih lagi menggunakan acuan atau konsep Adik Manja yang pernah menampilkan dirinya untuk karakter Cikgu Azmi itu.

"Sebagai contoh, saya masih lagi mengekalkan konsep tentang pelajar kolej yang saling bergaduh. Selain itu elemen cinta, konflik dan kekeluargaan seperti yang pernah dipaparkan juga masih dikekalkan," jelasnya yang masih melakonkan watak Cikgu Azmi menerusi Adik Manja The Returns.

Mengulas tentang harapan terhadap filem bikin semula tersebut, Dharma tidak menyembunyikan perasaan gusarnya.

"Secara jujur, saya risau terhadap sambutan yang bakal diterima melalui Adik Manja versi moden ini.

"Bagaimanapun, saya yakin kekuatannya terletak pada judul Adik Manja itu sendiri dan para pelakon yang saya tampilkan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di TGV, Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kekuatan label Adik Manja itu sendiri akan menarik peminat yang pernah menonton filem itu suatu ketika dahulu untuk hadir ke panggung, sekali gus mampu mengembalikan nostalgia mereka.

Mengenai risiko Adik Manja The Returns gagal meraih sambutan, kata Dharma, dia telah mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sebaik filem itu ditayangkan.

Ujarnya, dia tidak akan kecewa sekiranya filem tersebut tidak mendapat pulangan yang memberangsangkan memandangkan ia merupakan produk pertama di bawah syarikat produksi miliknya sendiri iaitu Adik Manja Sdn. Bhd.

"Segala risiko kelak, saya akan tanggung dan tidak kisah jika ia tidak mendapat untung. Memadai jika dapat menanggung semula kos modal pembikinan filem ini," jelasnya.

Adik Manja The Returns mula ditayangkan di 45 pawagam seluruh negara pada hari ini, 20 Disember.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved