Jumaat, 2 November 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


2 rakyat Malaysia ditahan imigresen Singapura

Posted:

2 rakyat Malaysia ditahan imigresen Singapura

02/11/2012 10:03pm

SINGAPURA – Pegawai imigresen Singapura menahan dua lelaki warga Malaysia dan seorang lelaki warganegara India yang dipercayai cuba diseludup keluar oleh mereka, selepas memeriksa sebuah lori treler berdaftar di Malaysia di pusat pemeriksaan Woodlands di sini.

Pemandu lori treler dan penumpang warga Malaysia itu yang kedua-duanya berumur 28 tahun kelihatan resah apabila pegawai imigresen menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan pada 11.55 malam semalam, menurut Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan hari ini.

Pegawai itu menemui seorang lelaki menyorok dalam ruang penyimpanan di belakang tempat duduk penumpang lori treler sepanjang 40 kaki itu dan terus menahan ketiga-tiga lelaki itu, dan menurutnya lori itu turut dirampas.

ICA berkata, ia memandang serius cubaan warga asing untuk tinggal melebihi tempoh atau keluar dari Singapura secara haram.

Mengikut Akta Imigresen, penalti bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh ialah penjara sehingga enam bulan dan tiga sebatan dengan rotan, manakala penalti bagi keluar secara haram ialah denda sehingga S$2,000 (RM4,995), penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya. – BERNAMA

Rakyat Malaysia dipindahkan ke penjara Roumieh

Posted:

Rakyat Malaysia dipindahkan ke penjara Roumieh

02/11/2012 9:49pm

KUALA LUMPUR – Dua suspek rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Lebanon berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda, dipindahkan sementara ke penjara Roumieh di Beirut, dari sebuah pusat tahanan tentera, menurut peguam mereka.

Marwan Sinno berkata, Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dipindahkan atas sebab logistik.

Ketika dihubungi Bernama di sini hari ini, beliau berkata, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Beirut dan hakim Tribunal Tentera masih belum membuat sebarang keputusan dalam kes membabitkan dua rakyat Malaysia itu.

Sementara itu, seorang jurucakap kedutaan berkata, bapa Razif, Mohamad Ariffin Abdullah telah memohon kepada pihak kedutaan hari ini untuk menemui anaknya di penjara.

"Dia bercadang membeli sedikit makanan untuk anaknya," kata pegawai itu.

Razif dan Mohamad Razin, yang diwakili empat peguam, dihadapkan ke Tribunal Tentera atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda. – BERNAMA

3 suspek kes cubaan bunuh ketua Pemuda ditahan

Posted:

3 suspek kes cubaan bunuh ketua Pemuda ditahan

02/11/2012 9:46pm

SHAH ALAM – Polis menahan tiga lelaki berumur antara 22 dan 28 tahun secara berasingan di sekitar Lembah Klang semalam bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh Ketua Pemuda UMNO Kepong, Datuk Norizan Ali, pada 24 September lepas.

Suspek pertama dan kedua yang bekerja sebagai penjaga kelab malam masing-masing diberkas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur dan sebuah rumah flat di Ampang antara pukul 4.45 petang dan 6.40 petang semalam.

Hasil siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan dalang utama kes berkenaan yang dikenali sebagai "Wak", seorang broker bebas berusia 28 tahun, di sebuah rumah di Taman Bidara, kira-kira jam 8.15 malam hari yang sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dalam sidang media di sini hari ini berkata, polis percaya telah menyelesaikan kes tersebut ekoran penahanan tiga lelaki itu dan kertas siasatan kes berkenaan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dijumpai di dalam longkang berhampiran rumah suspek ketiga kira-kira jam 2.05 petang ini.

Tun Hisan berkata kejadian cubaan bunuh terhadap Norizan, 41, dipercayai bermotifkan dendam.

Kesemua suspek direman sehingga 8 November ini. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved