Jumaat, 2 November 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Keluarga penyembuh sakit Shaliza

Posted:

Keluarga penyembuh sakit Shaliza

Oleh SUHANA VERU



SHALIZA SHAHZULKARIB, 42, tidak pernah menyangka bengkak di tapak kaki, demam dan lenguh-lenguh kakinya akan meninggalkan kesan besar kepada diri beliau.

Ketika itu, Shaliza yang baru berusia 19 tahun bekerja sebagai pramugari di Malaysia Airlines (MAS). Simptom-simptom berkenaan dianggap biasa memandangkan dia aktif berjalan.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, dia berasa bimbang dengan masalahnya itu dan telah merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan.

Pada masa itu, doktor mengesyaki dia menghidap Lymphedema Praecox atau urat saraf, namun selepas menjalani beberapa kali ujian darah ia masih tidak dapat disahkan.

Bagaimanapun, semuanya terjawab apabila dia ditugaskan mengikuti penerbangan ke London pada tahun 1993.

Sepanjang berada di sana selama beberapa hari, bengkak kakinya berulang lagi lalu dia merujuk ke sebuah hospital di sana. Sebaik doktor memeriksa kaki Shaliza, dia disahkan menghidap penyakit urat saraf.

Penyakit Lymphedema Praecox atau urat saraf merupakan sejenis penyakit yang akan menyebabkan kaki menjadi besar seolah-olah kaki gajah.

Penyakit tersebut dikatakan disebabkan oleh sejenis nyamuk dikenali sebagai mansonia. Pesakit hanya akan mengalami simptom-simptom am seperti demam, anggota badan bengkak dan perubahan warna kulit menjadi kehitaman.

KEADAAN kaki Shaliza yang membengkak luar biasa mendapat perhatian pelbagai pihak pada tahun 2009.


Cerita wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu lagi, doktor berkenaan turut terkejut dengan keputusan tersebut memandangkan di London penyakit berkenaan biasanya menyerang golongan tua.

Sambil menunjukkan beberapa keping gambar keadaan kaki pesakit untut, Shaliza sendiri berasa terkejut.

Dia hanya mampu menangis selepas melihat gambar-gambar pesakit-pesakit yang memiliki kaki yang terlalu besar seperti kaki gergasi.

"Disebabkan terlalu kecewa, saya mengambil cuti selama sebulan, namun selepas itu saya perlahan-lahan menerima hakikat tersebut dan kembali bekerja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang, Selangor.

Selepas disahkan menghidap penyakit itu, keadaan kedua-dua kakinya sedikit membesar sehingga paras pinggang.

Bagaimanapun, keadaan ketika itu masih tidak terlalu serius memandangkan masih boleh dilindungi apabila Shaliza menyarung kain kebaya. Justeru, dia menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

"Saya bekerja seperti biasa, malah saya masih boleh bertugas di awan biru," ujarnya sambil memberitahu dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan rawatan sama ada di hospital mahupun secara tradisional.

Di samping itu, beliau amat bersyukur kerana pihak MAS masih membenarkannya terus bekerja.

Hanya selepas lima tahun menjadi pramugari, Shaliza ditukarkan ke pejabat Pentadbiran Komunikasi MAS kerana penyakitnya bertambah serius.

Gara-gara mudah penat dan kaki bertambah bengkak, dia akhirnya mengambil keputusan berhenti bekerja pada tahun 1996.


SHALIZA terpaksa memakai stoking khas untuk mengecutkan urat dan melindungi kakinya.


Bertemu jodoh

Ekoran keadaannya itu, beliau terpaksa duduk di rumah dan membantu ibunya, Umi Kalthum Wan Chik, 69, menguruskan hal-hal rumah.

Pada tahun 1996, Shaliza menemani ibunya menunaikan haji. Di sana, beliau menemui suaminya, Safwan Abd. Rahman, 47.

Perkenalan tanpa dirancang itu bermula selepas ibunya bertegur sapa dengan ibu Safwan, Idah Mad Dom, 80.

Sepanjang berada di sana, mereka semakin akrab sehinggalah ibunya menceritakan keadaan Shaliza.

Akui Shaliza, beliau pernah terserempak dengan Safwan beberapa kali di Tanah Suci, namun tidak menyangka lelaki itu bakal menjadi suaminya.

Bagaimanapun, jodoh mereka bertaut juga selepas Safwan menunaikan solat sunat Istikharah untuk memilih bakal teman hidupnya.

"Dia (Safwan) memaklumkan kepada ibunya bahawa dia melihat saya dalam mimpi, lantas ibunya terus menyuarakan isi hati anaknya itu kepada ibu saya," kata Shaliza sambil mengakui Safwan sememangnya mengetahui penyakit yang dihidapi beliau sejak awal lagi.

Sebaik pulang dari Tanah Suci mereka akhirnya bernikah.

Keadaan serius

Selepas setahun mendirikan rumah tangga, keadaan Shaliza semakin teruk apabila kakinya membesar sekali gus menyebabkan berat badannya dari 50 kilogram (kg) naik mendadak hingga 180kg.

Begitupun, hasil perkahwinan yang dibina bersama Safwan, pasangan itu tetap bahagia dengan lapan orang cahaya mata.

Sepanjang mengandung, keadaan kakinya memang serius dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan.

Selepas 15 tahun bertarung dengan penyakit itu, pada tahun 2008 kaki Shaliza menjadi semakin kronik. Ketika itulah, kakinya menjadi semakin mengembang dan melebar dari paras pinggang.

Penderitaan Shaliza ketika itu juga mula mendapat perhatian media massa tanah air yang bersilih ganti menyiarkan kisah dan ketabahan wanita berkenaan.

Keadaan kakinya yang semakin membesar, menyebabkan Shaliza mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Doktor menyarankan supaya beliau menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel mati, namun Shaliza enggan berbuat demikian kerana bimbang dengan risiko lumpuh.

Dia bagaimanapun, akhirnya terpaksa akur dan menjalani dua kali pembedahan di PPUM pada tahun 2009 dan 2010 yang mengambil masa selama 12 hingga 14 jam.

Surgeri tersebut dikendalikan di bawah pengawasan Konsultan Pembedahan Plastik dan Pembinaan Semula PPUM, Prof. Dr. Alizan Abdul Khalil.

"Pembedahan kali pertama, saya takut lihat kaki sendiri, kerana yang tinggal hanya otot, tulang dan kulit. Bahkan pembedahan kali kedua membuatkan saya hampir putus asa untuk berjalan kerana hampir semua daging kaki dibuang.

ANAK-ANAK Shaliza, Nurul Izzah (kiri) dan Nurul Syuhada sentiasa kagum dengan ketabahan dan kesabaran ibu mereka.


"Apabila doktor menyuruh saya cuba berjalan, saya berjalan terhuyung-hayang dan ia sungguh menakutkan," jelasnya sambil memberitahu pembedahan itu dibiayai hasil sumbangan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, berkat keazaman dorongan suami dan anak-anak akhirnya dia berjaya dalam pembedahan tersebut.

Walaupun pada tahun pertama, Shaliza terpaksa menggunakan kerusi roda lantaran masih tidak mampu berjalan, pada penghujung tahun 2010 beliau sudah boleh mengukir senyuman.

Shaliza bukan sahaja boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kaki gajah yang membelenggu hidupnya selama hampir 20 tahun, bahkan dia sudah boleh berjalan seperti biasa.

"Namun begitu, selepas pembedahan saya terpaksa memakai stoking khas untuk mengecutkan urat selain memakai kasut (custom made) yang diperoleh dari kedai kasut sekitar Kajang pada harga RM40," kongsi wanita itu lagi.

Melihat kepada kaki Shaliza, walaupun sudah bersaiz normal, namun kesan-kesan pembedahan masih nampak jelas.

Disebabkan itu, dia perlu menyapu minyak vitamin E tiga kali sehari agar kulit kaki sentiasa lembap selain bergantung kepada ubat-ubatan.

Kasih suami

Sementara itu, Safwan ketika ditemui mengakui, sejak penyakit isteri semakin kronik dia terpaksa mengharungi banyak cabaran.

Disebabkan isterinya sukar bergerak dan banyak bergantung dengan ubat-ubatan, Safwan ketika itu tidak dapat bekerja tetap apabila perlu menggalas tanggungjawab seorang ibu.

"Pagi dan petang, saya perlu mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah dan melakukan kerja-kerja rumah yang lain," katanya yang kini mempunyai perniagaan sendiri.

Bagaimanapun, kini dia bersyukur keadaan Shaliza bertambah pulih dan anak-anak sudah dewasa.

"Kesemua anak-anak mengetahui tanggungjawab masing-masing dan mereka kini boleh menguruskan kerja-kerja rumah dengan sendiri,"ujarnya lagi.

Usah bercinta dengan isteri atau suami orang

Posted:

Usah bercinta dengan isteri atau suami orang

PERKONGSIAN demi perkongsian boleh menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan. - Gambar hiasan


CINTA dan kasih sayang itu anugerah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."

Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.

Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita. Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved