Jumaat, 23 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rahul teruskan legasi moyang

Posted:

Rahul teruskan legasi moyang

Rahul teruskan legasi moyang

BERMULA dengan pembelian 20 hektar tanah di Simpang Pulai, Perak, seorang lelaki dari India, Shuparshad Bansal Agarwal menjadi perintis kepada perniagaan ladang teh yang unggul di Cameron Highlands.

Bermodalkan RM8 untuk setiap ekar tanah yang dibeli pada tahun 1933, lelaki yang menghembuskan nafas terakhir pada umur 35 tahun itu menyerahkan pengurusan perniagaan kepada adik-beradiknya.

Anak kepada mendiang Shuparshad, Datuk Seri Brijkishore Agarwal hanya berumur sembilan tahun pada waktu itu. Beberapa tahun kemudian, pada usia 20 tahun, Brijkishore bersama bapa saudaranya, Nandkishore berganding bahu memajukan perusahaan ladang teh.

Kematian Nandkishore menjadikan Brijkishore pemilik mutlak perniagaan keluarga tersebut yang kemudiannya dinamakan Shuparshad & Sons. Beliau juga individu yang bertanggungjawab memperkenalkan jenama teh Chop Rusa yang sinonim dalam kalangan penduduk tempatan tanah tinggi Cameron.

Pembekal teh

Di bawah bimbingan Brijkishore, ladang teh tersebut diperluaskan kepada 647 hektar menjadikan tiga ladang secara keseluruhan. Selaku produk tempatan, ia hanya berfungsi sebagai pembekal teh kepada beberapa jenama.

"Meskipun hari ini kita sudah mula menjengah pasaran dengan jenama sendiri, kita masih menjadi pembekal kepada beberapa jenama lain. Namun hanya teh yang berkualiti digunakan.

"Teh masih berada di peringkat sasaran untuk pelancongan. Bagi menjadikan ia jenama pengguna untuk pasaran besar ia memakan masa yang panjang dan kita sedang berada dalam fasa tersebut," jelas Pengarah Urusan Bharat Group, Rahul Agarwal, 28, yang merupakan generasi keempat dalam perniagaan keluarga tersebut.

Jika Brijkishore menjadi perancang utama dalam pembinaan empayar teh Cameron itu, pemikiran moden Datuk Kesav Kumar juga tidak wajar dipandang enteng. Anak lelaki Brijkishore itu telah mengubah hampir keseluruhan pengurusan bisnes keluarga itu mengikut kesesuaian masa.


ASRAMA yang menempatkan sebahagian pekerja terletak di dalam kawasan ladang teh.


Entiti perniagaan diubah kepada sebuah syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.). Hal itu menimbulkan jurang prinsip antara Brijkishore dan Kesav. Hasil kebijaksanaan Kesav dan adiknya, Datuk Vinod Kumar Agarwal, tertubuhlah sebuah perniagaan teguh dengan label nama Cameron Valley di bawah penerajuan Bharat Group pada tahun 1998.

"Menguruskan ladang teh memerlukan pemahaman teliti. Latar belakang pendidikan kami pun bukanlah daripada jurusan pengurusan perniagaan dan tiada sekolah menawarkan pelajaran pengurusan teh.

"Semua pengetahuan tentang teh perlu dikuasai berdasarkan pengalaman dan apa yang diajar oleh mendiang bapa dan datuk dahulu. Saya mengambil masa lebih sedekad bagi memahirkan diri tentang konsep ladang teh.

"Selepas bapa meninggal dunia pada tahun 2006 saya mula berfikir untuk meminta bantuan anak-anak bagi menyambung legasi ini. Usia saya juga kian meningkat jadi sudah tiba masa bagi mereka mempelajari selok-belok perniagaan," ujar Kesav yang kini berusia 55 tahun.

Pengurusan ladang

Setakat ini, terdapat lebih 300 pekerja terlibat dalam pengurusan harian ladang tersebut. Setiap 100 hektar ladang diuruskan empat orang dan setiap daripada mereka bertanggungjawab memastikan hasil setiap pokok dibawa ke kilang untuk diproses.

Menurut Kesav, pekerja-pekerja mereka perlu menjalani latihan selama tiga hingga empat bulan kerana bagi mengenal pasti daun teh terbaik untuk dipetik memerlukan kemahiran tinggi.

Tambah beliau, setiap pokok boleh mengeluarkan hasil sebulan sekali dan daunnya mampu mencecah berat 5 kilogram (kg). Selepas menjalani pemprosesan pula, serbuk teh daripada satu pokok hanya seberat 1 kg.

Berbalik kepada Rahul, menyentuh soal perbezaan teh tanah tinggi dan tanah rendah, beliau menyatakan, pokok teh yang ditanam pada ketinggian 1,219 meter ke atas adalah yang terbaik. Teh tanah rendah lazimnya kurang aroma.


CONTOH daun teh yang terbaik untuk dipetik dan memiliki kualiti yang baik.


"Anda boleh membezakan kedua-dua jenis teh ini ketika anda merasanya. Kesemua teh kami ditanam di kawasan tanah tinggi. Bagi memastikan kualitinya terjaga, setiap cawan teh yang dibuat perlu memberikan rasa yang sama.

"Kami akan memastikan kualiti teh Cameron Valley kekal seperti sekarang walaupun ia memasuki pasaran luas kelak. Tidak lama lagi kita juga akan memperkenalkan produk baharu yang dihasilkan menerusi teknik khas.

"Ia merupakan daun-daun teh terpilih yang dipetik di kawasan-kawasan terbaik. Daun-daun teh itu menerima hujan dan cahaya matahari dengan sempurna dan ia diproses secara berasingan," ungkap Rahul graduan undang-undang dari Universiti Cornell, New York, Amerika Syarikat (AS).

Pengurus ladang, Francis Xavier, 46, memberitahu, daun teh yang dipetik perlu mempunyai tunas di tengah yang diapit dua daun. Kualiti daun pula dapat dikesan berteraskan kehijauan dan kesegarannya. Daun yang berpenyakit akibat serangga perosak mempunyai tompokan seakan-akan kulat. Penggunaan daun teh tua pula tidak salah namun grednya agak rendah.

"Pekerja-pekerja kami menggunakan mesin khas bagi mengumpulkan daun teh matang. Cara memangkas pucuk teh juga masih menggunakan kaedah lama yang memasukkan daun teh ke dalam bakul yang digalas di belakang.

Pangkas kaedah lama

"Cara klasik mungkin memakan masa tetapi daun teh yang dipetik lebih berkualiti dan proses memilih daun yang baik lebih singkat.

"Seawal dinihari pekerja kami keluar ke ladang memetik teh dan menjelang tengah hari, kesemua hasil telah dibawa ke kilang. Daun-daun teh yang siap dipilih kemudiannya ditimbang sebelum melalui fasa pemprosesan menggunakan mesin," jelas Francis yang arif tentang pengurusan kesemua ladang di bawah Bharat Group.


PETA menunjukkan kedudukan tiga ladang teh utama (dalam bulatan) di Cameron Highlands.


Pada musim puncak, daun-daun teh yang dipetik mampu mencecah 15,000 kg dalam satu hari. Bagaimanapun, selepas melalui pemprosesan hanya 23 peratus daripada jumlah itu menjadi produk akhir manakala selebihnya ialah air.

Daun-daun teh mentah yang masih basah perlu melalui proses pengeringan pada suhu 230 darjah Celcius ke atas selama 25 minit. Daun-daun tersebut akan dihancurkan dengan mesin bagi memisahkan daun dan batang yang tidak diperlukan.

Tiga proses tersebut akan menukar daun-daun yang dipetik menjadi serbuk teh yang siap untuk dibawa ke bahagian pembungkusan. Bahan-bahan buangan hasil pemprosesan itu pula digunakan semula sebagai baja pokok-pokok teh.

Seorang pekerja warga Bangladesh yang ditemui di ladang itu, Nironyyon Kumar, 30, pula menyatakan kilang pemprosesan mereka masih menggunakan kayu sebagai bahan bakar berbanding kebanyakan tempat yang tampil moden dengan penggunaan gas.

"Penggunaan kayu lebih baik kerana ia mesra alam dan kualitinya lebih baik.," kongsi Nironyyon yang sudah berkhidmat selama 14 tahun di ladang itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved