Jumaat, 9 November 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Upaya terbatas jejaskan produktiviti

Posted:

Upaya terbatas jejaskan produktiviti

Upaya terbatas jejaskan produktiviti

Oleh SUHANA VERU

JIKA melihat wajah B. Kirubalini, 51, siapa sangka suatu ketika dahulu wanita itu mempunyai kudrat yang cukup untuk membuat kerja-kerja lasak termasuk menukar tayar kereta.

Namun kini, ibu kepada tiga orang anak itu bukan sahaja tidak mampu melakukan kerja-kerja domestik yang ringan malah sukar untuk menguruskan diri seperti memakai tali coli.

Merungkai cerita hampir 17 tahun yang lalu, dia yang lebih mesra dipanggil Kiru memberitahu, pada usia 34 tahun, dia telah mengalami simptom-simptom yang pelik.

Wanita itu menceritakan, selain mudah berasa letih, lidahnya menjadi kebas tetapi tanda-tanda itu tidak datang secara kerap dan hilang begitu sahaja. Namun, sakitnya itu berlarutan selama beberapa hari.

Oleh kerana khuatir sesuatu berlaku pada dirinya dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik sekitar Subang Jaya, Selangor.

Begitupun, doktor memaklumkan bahawa dirinya sihat malah tidak memberi sebarang ubat-ubatan. Selepas sebulan mengalami serangan yang sama, Kiru merujuk masalah kesihatannya itu di sebuah hospital swasta.

Di situ, doktor masih tidak dapat mengesan penyakitnya lalu dia sekadar diberi suntikan ubat. Kiru tidak tahu isi kandungan suntikan itu, cuma dia dapat merasakan kelegaan sejak berbuat demikian. Keadaan itu berterusan hinggalah pada tahun 1996 dia berkunjung ke Madras, India untuk melawat saudara-mara.

Simptom tersebut kembali menghantui dirinya. Atas nasihat saudara-maranya, Kiru merujuk sebuah hospital kerajaan di Madras.

Menceritakan semula simptom-simptom tersebut kepada doktor, Kiru disarankan menjalani prosedur imbasan imejan resonans magnetik (MRI).

Hasilnya amat mengejutkan! Imbasan itu mendapati di dalam otaknya terdapat cacing tetapi doktor masih tidak dapat mengesahkan sebarang penyakit mahupun mengaitkan masalah kesihatannya dengan kewujudan makhluk mikroskopik itu.

Kiru hanya diberi ubat cacing yang perlu dimakan selama seminggu. beberapa hari selepas itu, Kiru mengakui dirinya semakin sihat.

"Pada masa itu, saya terfikir bagaimanakah cacing dari otak akan keluar? Lainlah jika dalam perut," katanya yang ketika itu sekadar berharap agar gangguan kesihatan itu berakhir tanpa episod lain.

Enam tahun kemudian, anak jati Banting itu diserang angin ahmar. begitupun dia cuba menggagahi situasi itu, Kiru bertambah teruk lalu telah dikejarkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur sambil membawa keputusan MRI yang pernah dilakukannya di India.

Doktor kemudiannya membuat keputusan untuk mengambil air tulang belakang Kiru dan menjalani MRI sekali lagi untuk memastikan punca sebenar penyakitnya. Setelah menilai semua hasil pemeriksaan, doktor mendiagnosis Kiru menghidap penyakit sklerosis berbilang (MS).


KIRU mengakui penyakit sklerosis berbilang menjejaskan produktivitinya termasuk ketika melakukan kerja-kerja domestik.


Saraf pusat

Sklerosis berbilang terjadi apabila sistem saraf pusat di otak dan tulang belakang mengalami kemerosotan fungsi. Myelin yang sepatutnya bertindak melindungi saraf tersebut telah hilang akibat keradangan lalu menjejaskan perjalanan impuls dalam saraf.

Hal itu menyebabkan penghidapnya mengalami masalah kesihatan berkaitan fungsi saraf yang terjejas. Lazimnya, ia menyebabkan gangguan penglihatan, pertuturan, berjalan, menulis dan daya ingatan.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai penyakit ini (MS). Saya cuma bertanya kepada doktor sama ada penyakit ini boleh pulih atau sebaliknya.

"Doktor memberitahu kesan-kesan penyakit ini seperti kebas, gangguan memori, tidak dapat berjalan dengan seimbang, kabur penglihatan barulah saya mengetahui dengan jelas," ujarnya yang lega apabila doktor memaklumkan kepadanya bahawa penyakit itu tidak membawa maut.

Begitupun, penyakit tersebut banyak mengubah kelancaran rutin hariannya. Dia tidak lagi mampu memotong sayur-sayuran apatah lagi memasak untuk keluarga.

Bukan setakat itu sahaja, jika Kiru berdiri terlalu lama, kedua-dua kakinya menjadi letih dan tidak seimbang. Kesukaran itu membataskan pergerakannya lalu dia tidak boleh banyak berjalan.

Sejak disahkan menghidap penyakit tersebut, Kiru terpaksa membelanjakan RM3,500 hingga RM4,000 untuk rawatan 15 suntikan bagi tempoh sebulan. Dos suntikan setiap dua hari itu sememangnya membebankan.

Menawan gunung

Namun demikian, Kiru tidak menganggap penyakit sklerosis berbilang itu menandakan titik noktah dalam hidupnya. Sebaliknya, dia bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk menjalani hidup bersama keluarga tercinta.

Lebih daripada itu, Kiru berasa dirinya bertuah kerana itulah titik tolak baginya untuk melakukan sesuatu perkara yang berbeza setiap hari.

Tidak mahu dirinya dipalit tanggapan sebagai orang yang tidak mempunyai semangat ikhtiar hidup, Kiru telah mencabar dirinya untuk memanjat Gunung Kinabalu, Sabah pada tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai tindakannya itu, dia berkata, walaupun sakit, dia sanggup menjalani latihan memanjat tangga setinggi 13 tingkat.

"Dalam seminggu, saya akan membuat latihan sebanyak tiga kali," ujarnya lagi.

Pada hakikatnya, dia sendiri sukar mempercayai kebolehan dirinya malah tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menawan puncak gunung setinggi 4,095 meter itu.

"Sehingga sekarang saya tidak sangka dapat berbuat demikian walaupun ia mengambil masa dalam sehari," katanya yang akan mengulangi aktiviti itu buat kali kedua pada tahun ini atau tahun hadapan.

Presiden Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, P. Padma, 66, pula sering kali menegaskan bahawa penyakit itu bukan penamat dalam kehidupan seseorang penghidap.

Sungguhpun begitu, beliau yang juga menghidap penyakit tersebut, mengingatkan bahawa seseorang yang mempunyai sklerosis berbilang akan kehilangan sesuatu setiap kali serangan berlaku.

"Antaranya ialah tidak mampu berjalan, tiada deria rasa ketika mahu membuang air kecil dan risiko menjadi nyanyuk," ujar beliau.

Dalam pada itu, seseorang pesakit itu perlu tabah dan sabar menghadapi ujian itu.

"Perkara yang perlu diutamakan oleh keluarga dan orang di sekeliling mereka (pesakit) ialah sokongan emosi, fizikal mahupun membantu mengurangkan bebanan kewangan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran ubat terbaharu untuk rawatan penyakit itu di ibu negara baru-baru ini.

Was-was dalam solat

Posted:

Was-was dalam solat

Was-was dalam solat


MENJAGA fokus sewaktu bersolat sangat penting kerana ia membantu seseorang melunaskan ibadah itu dengan sempurna. - Gambar hiasan


KETIKA solat, saya sering was-was mengenai bilangan rakaat yang sedang dibuat. Contohnya, ketika solat Asar, saya keliru sama ada saya pada rakaat ketiga atau keempat, namun yakin bahawa saya berada pada rakaat ketiga. Adakah saya perlu mengerjakan solat semula atau teruskan dengan keyakinan saya walaupun was-was?

JAWAPAN:

Jika berlaku hal sebegini, hendaklah kita mengambil bilangan rakaat yang yakin. Contohnya, jika terkeliru antara rakaat ketiga atau keempat, maka ambillah yang yakin iaitu kita berada pada rakaat yang kurang iaitu rakaat ketiga walaupun hakikatnya kita berada pada rakaat keempat.

Ini kerana mengambil bilangan yang kurang itu adalah yang yakin. Maka, tidak perlu mengerjakan semula solat anda. Anda hanya perlu meneruskan solat tersebut dengan yakin.

Adapun was-was itu bukanlah yakin bahkan was-was itulah penyakit yang perlu dijauhi dan perlu diubati dengan yakin dan ilmu. Insya-Allah moga diterima Allah akan amalan kita.

Hukum melakukan onani

Posted:

Hukum melakukan onani

Hukum melakukan onani

APAKAH hukum melakukan onani?

JAWAPAN:

Firman Allah SWT: "Dan orang-orang yang memelihara kemaluan mereka kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barang siapa berkehendak selain dari yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Al-Mu'minun: 5- 7).

Hal ini bermakna, onani amat ditegah oleh Islam seperti sabda Rasulullah SAW: "Wahai sekalian para pemuda, barang siapa antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri. Dan barang siapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya." (Muttafaq 'Alaih).

Di dalam hadis itu, baginda SAW menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan tentang memelihara diri daripada perbuatan menuruti hawa nafsu yang boleh mendatangkan kerosakan diri dan mental. Hadis itu turut menegaskan tentang menjaga kesucian diri daripada melakukan perbuatan keji. Maka, tiada jalan keharusan daripada Rasulullah SAW untuk seseorang itu melakukan onani.

Sebagaimana Rasulullah SAW tegaskan di dalam hadisnya: "Ada tiga orang yang pasti (berhak) mendapat pertolongan Allah SWT iaitu al-mukatab (hamba yang berupaya memerdekakan diri) yang hendak menunaikan tebusan dirinya, lelaki yang bernikah kerana ingin menjaga kesucian dan kehormatan dirinya, dan mujahid (pejuang) di jalan Allah." (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Semoga sidang pembaca dapat memahami dengan jelas tentang persoalan ini serta dapatlah mencegah diri daripada melakukannya kerana Allah. Wallahua'lam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved