Jumaat, 9 November 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Skuter maxi padat teknologi

Posted:

Skuter maxi padat teknologi

Skuter maxi padat teknologi

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my

PASARAN motosikal di Malaysia sebenarnya kurang meriah jika dibandingkan dengan pasaran negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia. Di sana, pengguna disajikan dengan pelbagai model motosikal daripada pelbagai jenama, sama ada berkuasa tinggi, kapcai atau skuter. Lebih menarik lagi, varian yang ditawarkan untuk sesebuah model juga biasanya lebih banyak bagi memenuhi kehendak pembeli yang bervariasi.

Sebaliknya di Malaysia, pilihannya agak terhad. Pemain utama dalam industri seperti Honda, Yamaha, Suzuki dan Modenas lebih cenderung menawarkan model-model kapcai yang merangkumi sebahagian besar daripada jumlah jualan masing-masing. Malah, kitaran produknya juga mengambil masa yang lama untuk ditukar dengan generasi baharu.

Jadi, wujud vakum dalam segmen tertentu. Sebagai contoh, skuter bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai skuter maxi. Secara ringkasnya, skuter sebegitu disifatkan sebagai model yang merapatkan jurang antara skuter kecil atau kapcai dengan motosikal bergear dan memiliki kapasiti enjin lebih besar.

Skuter maxi lazimnya popular di pasaran Eropah dan Jepun. Sesaran enjinnya juga berbeza-beza bermula dari sekecil 150cc hinggalah 650cc. Dengan tubuh dan kuasa enjin yag besar, skuter touring itu menawarkan tunggangan yang menyeronokkan terutama ketika menunggang dalam jarak yang jauh.

Di pasaran tempatan, sebelum Modenas memperkenalkan skuter maxi mampu miliknya iaitu Elegan, segmen itu diisi oleh beberapa model yang ditawarkan pada harga premium. Antara model yang popular ialah Yamaha Majesty 250YP yang dipasarkan sekitar tahun 1997.

Saya sempat melayari laman forum berkaitan skuter maxi, agak terkejut juga kerana masih ada yang berminat untuk memiliki Yamaha Majesty itu walaupun usianya sudah menjangkau lebih sepuluh tahun.

Tahu bahawa skuter maxi memang ada peminatnya, pasaran yang awalnya dimonopoli Modenas Elegan kemudian dikongsi oleh skuter jenama dari Taiwan, SangYang Motors atau SYM. Dengan rekaan dan pelbagai ciri menarik, di samping harganya yang berpatutan skuter maxi SYM terutama VTS200 nyata mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Ada banyak sebab kenapa skuter maxi digemari. Antara faktor utama adalah karekternya yang seronok, selesa dan stabil ditunggang untuk perjalanan jauh. Kalau dinilai dari segi praktikaliti pula, mungkin ada yang skeptikal kerana saiznya yang agak besar membuatkan usaha untuk mencelah-celah di sebalik kesesakan jalan raya sedikit sukar.


PENUNGGANG boleh menyimpan barangan peribadi di ruang penyimpanan ini.


Rebiu positif

Kini, segmen skuter maxi semakin meriah dengan pengenalan model Honda PCX 150 oleh pengedarnya, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda). Di pasaran luar seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Asia (misalnya Thailand), PCX yang turut hadir dalam varian 125cc bukanlah satu model asing.

Lebih menarik lagi, jentera itu mendapat banyak rebiu positif daripada media dan para pemiliknya. Kalau anda pergi ke Phuket, Thailand baru-baru ini, anda boleh lihat bahawa PCX merupakan antara skuter yang paling popular di sana. Terima kasih kepada Boon Siew Honda kerana membawa skuter maxi yang menarik itu kepada pengguna di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada mengakui bahawa pihaknya percaya bahawa pasti ada sebuah motosikal untuk semua orang, bagi setiap acara dan apa jua jenis gaya hidup.

"Justeru, kami membawakan rangkaian produk sebegini ke satu tahap baharu melalui model Spacy dan PCX, dua model bertransmisi automatik dengan ciri-ciri baharu yang menarik," kata Okada.

Walaupun ada yang berpendapat harganya agak mahal, namun anda harus tahu bahawa PCX hadir bersama teknologi yang tidak ada pada motosikal lain. Contoh paling ketara adalah aplikasi sistem Programmed Fuel Injection (PGM-FI) Honda pada PCX 150. Sistem itu meningkatkan tahap kecekapan proses pembakaran enjin dan prestasi penyejukan yang optimum.

PCX 150 dijana oleh unit enjin berkuasa 153cc SOHC empat lejang. Ia dilengkapi sistem penyejukan cecair dan enhanced Smart Power (eSP) yang direka untuk ketahanan dan jimat bahan api. Hasilnya, PCX 150 mampu bergerak sejauh 50.2 kilometer bagi setiap liter petrolnya! (berdasarkan kepada ujian Mod ECE40).

Selain eSP, penjimatan bahan api turut disumbang oleh sistem Idling Stop. Dengan ciri itu, enjin akan dimatikan secara automatik apabila ia melahu selepas tiga saat. Idling Stop turut meliputi sistem penghidup ACG yang membolehkan enjin dihidupkan secara automatik sebaik sahaja pendikit minyak dipulas.

ACG memastikan enjin dapat dihidupkan dengan lancar, selain menghilangkan bunyi bising yang biasanya timbul apabila gear penghidup enjin dimasukkan. Hasilnya, kombinasi dua teknologi tersebut mampu menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak tujuh peratus.

Aspek keselamatan tidak diambil ringan. Bagi memastikan PCX 150 dapat diberhentikan dengan selamat dan efisien, sistem brek kombinasi (Combined Brake System, CBS) digunakan. CBS berfungsi menyeimbangkan tekanan brek hadapan dan belakang.


TIDAK memerlukan kotak tambahan untuk menyimpan topi keledar dan baju hujan.


Model tambahan Icon

PCX 150 menggunakan roda aluminium 14 inci bersama tayar tanpa tiub yang meningkatkan kestabilan dan keselamatannya. Satu lagi ciri keselamatan yang ada pada PCX ialah enjinnya akan dimatikan secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Untuk perjalanan lebih jauh, tempat duduk yang selesa dan ruang penyimpanan luas sememangnya amat penting. PCX 150 menyelesaikan masalah itu dengan tempat duduk luas bersama ciri posisi tunggangan Sit-in.

Terdapat satu kotak konsol untuk meletakkan barangan peribadi seperti cermin mata hitam dan sarung tangan. Ruang penyimpanan bersaiz XL berkapasiti 25 liter yang boleh menempatkan sebuah topi keledar muka penuh turut disediakan.

Skuter maxi itu hadir dalam dua varian. Varian Deluxe tampil dengan warna putih dan ditawarkan pada harga RM10,888 seunit. Sementara varian standard boleh didapati dalam warna hitam dan kelabu pada harga RM10,688 sebuah. Kedua-dua varian tersebut ditawarkan bersama insurans penunggang tunggal komprehensif, jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Pada majlis yang sama, Boon Siew Honda turut melancarkan skuter lebih kecil iaitu Spacy. Menjadi model tambahan kepada skuter Icon, Spacy bagaimana pun menawarkan lebih banyak ruang penyimpanan.

Sebagai contoh, ruang penyimpanan bersaiz XL dengan kapasiti 18 liter mampu memuatkan sebuah topi keledar full-face tanpa sebarang masalah. Tangki minyak yang boleh mengisi sebanyak 5.2 liter petrol pula tidak memerlukan penunggang kerap pergi ke stesen minyak.

Spacy dipasang enjin OHC silinder tunggal bersesaran 110cc empat lejang yang dikuasakan oleh Teknologi Honda V-Matic. Enjin itu cukup ekonomikal dan mampu mencatat perjalanan sejauh 41.5km untuk setiap liter petrol.

Boleh didapati dalam warna hitam, merah dan putih, anda boleh memiliki Spacy pada harga RM4,999.00 seunit. Itu adalah harga di atas jalan meliputi insurans penunggang tunggal, jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (yang mana tiba dahulu). Spacy juga boleh didapati dalam warna oren mulai Mac 2013.

Dikuasakan oleh VW!

Posted:

Dikuasakan oleh VW!

Dikuasakan oleh VW!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com



MUNGKIN ramai yang tidak pernah mendengar pengeluar kereta bernama SEAT. Cara sebutan yang betul ialah 'siyat' dan bukan seat seperti sebutan bahasa Inggeris.

SEAT berasal dari Sepanyol. Ia merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kapasiti penuh untuk mereka bentuk, membangun, mengilang dan memasarkan kereta di negara itu.

Lebih menarik, SEAT sebenarnya adalah salah satu jenama yang dinaungi oleh Volkswagen Group (VW). Ibu pejabat SEAT terletak di Martorell, Barcelona. Paling menarik, majoriti produksi kenderaan mereka tidak dijual di dalam negara. Sebaliknya, sebanyak 80 peratus produk dieksport ke 75 buah negara luar.

Pada 2011, penghantaran kenderaan SEAT mencecah 350,000 unit. Antara model-model SEAT ialah Ibiza, Leon, Alhambra, Mii dan Toledo.

Terkini, SEAT melancarkan varian baharu Ibiza CUPRA. Menurut SEAT, Ibiza CUPRA adalah lambang utama jenama itu yang ditonjolkan melalui reka bentuk yang cantik, prestasi tinggi dan teknologi canggih.

Ciri-ciri tersebut dipakejkan dalam model kompak Ibiza CUPRA sebagai sebuah kereta harian. Tetapi pada masa yang sama mempunyai karakter sporty. Boleh dikatakan bahawa model itu ibarat saudara yang berkongsi DNA dengan VW Polo.

Sejarah Ibiza CUPRA sebenarnya bermula sejak 16 tahun lalu apabila nama CUPRA digunakan untuk satu varian istimewa Ibiza. Jentera tersebut dibina bagi meraikan kemenangan SEAT dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bagi kategori 2.0 liter. Sejak dari itu, varian CUPRA sentiasa dipasarkan untuk model Ibiza dan Leon.


GARISAN bumbung dan badan pada keseluruhan kereta SEAT ini membuatnya kelihatan mantap dan premium.


"Ibiza CUPRA merupakan salah satu daripada ikon jenama SEAT. Reka bentuknya yang cantik dan dinamik pemanduannya memberikan keseronokan sewaktu memandunya.

"Dengan teknologi yang inovatif, kualiti ruang kabin dipertingkatkan, Ibiza CUPRA jelas menjadi indikator kepada aspek kepantasan dan konsistensi pembangunan jenama kami yang berterusan," kata Presiden SEAT S.A., James Muir.

Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, Ibiza CUPRA dikuasakan oleh enjin 1.4 liter TSI yang berupaya menghamburkan kuasa sehingga 180PS dan tork 250Nm. Enjin tersebut sebenarnya adalah milik VW yang terkenal dengan dua kuasa desakan iaitu pengecas turbo dan supercharge serta sistem pancitan terus.

Di atas kertas, masa untuk mencapai 100 kilometer sejam (km/j) dari sifar hanya 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 228km/j. Unit kuasa TSI yang canggih mempunyai penggerak bunyi yang mengeluarkan bunyi lebih sporty sewaktu pemandu menguji pemanduan.

Bagi menarik lebih penglibatan pemandu, transmisinya terdiri daripada jenis tujuh kelajuan DSG dengan butang kawalannya diletakkan di belakang stereng.

Kerangka Ibiza CUPRA telah ditala untuk kelincahan dan ketepatan. Ketinggian kereta direndahkan berbanding model standard. Sebagai opsyen, sistem brek AP Performance ditawarkan kepada pemandu yang berminat untuk kuasa pemberhentian yang sepadan dengan kuasa yang dimiliki.

Sistem XDS electronic differential pula bertanggungjawab mengurangkan understeer dan menambah baik pengendalian sewaktu melayan selekoh.

Sistem kestabilan elektronik ESP dan hill start pula merupakan aksesori standard dalam varian Ibiza CUPRA. Harus tahu, model itu telah dianugerahkan penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.


EKZOS model ini ditempatkan pada bahagian tengah jentera sekali gus menaikkan imej sportnya.


Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan SEAT S.A., Dr. Matthias Rabe berkata: "Spontan, kuasa pecutan tinggi, pengendalian lincah, cengkaman yang bagus dan brek responsif adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh CUPRA. Ibiza CUPRA adalah contoh yang sempurna bagaimana staf SEAT mengguna pakai semula teknologi terbaharu daripada VW Group."

Reka bentuk Ibiza CUPRA yang ekspresif boleh dilihat dengan jelas ketika pertama kali melihatnya. Wajah baharunya mempunyai gril lebih lebar serta ruang masukan udara yang jelas bagi menampakkan keteguhan dan prestasi model tersebut.

Lampu hadapan dengan rekaan yang sofistikated pula menunjukkan perincian hasil kualiti kerja SEAT. Tarikan emosi pada luaran Ibiza CUPRA diteruskan pada bahagian dalamannya.

Rekaan dalaman lebih kepada citarasa minimalis dengan kluster yang kemas. Pada stereng terpapar logo CUPRA, manakala tempat duduknya pula mempunyai opsyen dua tona warna kulit sebagai lambang keistimewaan model itu.

Jika diikutkan, SEAT tiada kena mengena pun dengan pasaran tempatan. Malah, sudah banyak kali saya abaikan jenama itu semasa mencari bahan untuk ruangan ini. Setiap kali berita mengenai SEAT keluar saya rasa berat hati untuk tidak menulisnya.

Namun apa yang membuat saya tertarik kali ini adalah rekaannya yang jauh lari daripada VW yang nampak konservatif. Orang kata, isi sama tetapi luarnya saja yang lain.

Boleh jadi juga jika Proton dimiliki oleh Kumpulan VW, strategi sama bakal digunakan. Namun semua itu sudah menjadi sejarah.

SAV mewah BMW X1 sDrive20i

Posted:

SAV mewah BMW X1 sDrive20i

SAV mewah BMW X1 sDrive20i


WALAUPUN perlu membayar pada harga premium, anda pasti puas dengan jentera ini.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan varian baharu BMW X1 sDrive20i yang pastinya memeriahkan lagi pasaran kenderaan aktiviti sukan (SAV) mewah tempatan.

BMW X1 yang memiliki rekaan kontemporari dan sporty dibina untuk memenuhi keperluan gaya hidup aktif pelanggan berjiwa muda. Elemen serba boleh dan binaan premium seperti semua model BMW turut diadun pada produk baharu itu.

Model X1 mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2010. Dalam tempoh hanya dua tahun, sebanyak 2,000 unit kenderaan SAV itu sudah berjaya dijual.

Kenderaan itu dilengkapi enjin petrol pancitan terus 2.0 liter BMW TwinPower Turbo bersama sistem pengecas turbo TwinScroll dan Valvetronic. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa maksimum sehingga 184hp dan tork puncak 270Nm. SAV kompak itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa cuma 7.7 saat.

Jarak pemanduan 100km melibatkan penggunaan bahan api sebanyak 6.7 liter, manakala emisi karbon pula berada pada paras 157 gram bagi setiap km.

BMW X1 memiliki rekaan luaran yang lebih segar dan bergaya. Apron hadapan memaparkan ruang kemasukan aliran udara dan garis badan seperti yang terdapat pada model-model BMW siri X lebih besar. Lampu hadapannya turut diubah.

Bahagian dalaman pula membabitkan rekaan semula konsol tengah yang menghala ke arah pemandu. Material yang diguna pakai berkualiti premium. Tidak lupa juga stereng sport dan pencahayaan ambien dalam ruang kabin.

BMW X1 memiliki ruang simpanan barangan seluas 420 liter. Ruang itu boleh ditingkatkan sehingga 1,350 liter apabila barisan tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Selari dengan imejnya sebagai sebuah syarikat inovasi, BMW menjadikan mode ECO PRO sebagai ciri standard. ECO PRO membantu X1 sDrive20i menggunakan bahan api secara optimum, selain penjimatan tenaga menerusi pendingin hawa.

X1 sDrive20i boleh didapati menerusi rangkaian pengedar BMW di seluruh negara mulai hari ini. Model yang didatangkan dalam pilihan warna putih, hitam, kelabu, biru, tembaga dan oren itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM238,800 seunit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved