Rabu, 21 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Nyawa melayang waktu dinihari

Posted:

Nyawa melayang waktu dinihari

Nyawa melayang waktu dinihari

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

KEADAAN treler membawa makanan ringan yang meragut empat nyawa pekerja Propel dalam kemalangan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar semalam.


KAMPAR – Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi cedera parah dirempuh sebuah treler membawa muatan barangan makanan ringan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira tiga kilometer dari susur keluar ke Gopeng di sini semalam.

Dalam kemalangan ngeri pada pukul 4.30 pagi itu, tiga mangsa yang terkorban di tempat kejadian ialah Shaharudin Abdul Aziz, 51, dari Kuala Kangsar; Mohd. Shafie Ismail, 56, dari Ipoh dan Mohd. Hafez Yunos, 39, dari Keramat, Kuala Lumpur.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kampar.

Seorang lagi mangsa tragedi itu ialah Ismady Mohd. Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah. Ismady meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Empat mangsa yang cedera parah merupakan dua pekerja Propel iaitu Dino Azmi, 38, dan Shafudin Abdul Jalil, 31, manakala dua lagi mangsa membabitkan kakitangan Time.com, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48.

Kesemua mangsa yang cedera parah dirawat di HRPB.


Kiri ISMADY, HAFEZ, SHAHARUDIN, SHAFIE


Semasa kejadian kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja penggantian kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan kecemasan di kawasan tersebut yang rosak dipercayai angkara perbuatan mencuri kabel di situ.

Seorang mangsa yang cedera parah, Dino memberitahu, tragedi itu berlaku dengan pantas iaitu sejurus selepas dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum dia dan tujuh yang lain terus terpelanting ke tepi lebuh raya akibat dirempuh sebuah kenderaan.

Cerita Dino yang patah kaki kanan, mereka semasa itu baru memulakan kerja-kerja di kawasan tersebut dan langsung tidak nampak kehadiran treler berkenaan sehingga terdengar bunyi brek yang kuat.

Sekitar kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja penggantian kabel optik itu sudah di kelilingi kon keselamatan.

"Sedar-sedar, saya nampak tiga rakan terperosok di bawah tayar treler dan dalam keadaan merangkak saya menghubungi polis dan ambulans," katanya ketika ditemui.

Kesemua mangsa yang berada di bawah tayar meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang maut di hospital tercampak kira-kira lima meter.

Pemandu treler, Zulkifli Mohd. Noor, 41, dari Langkawi, Kedah dan kelindannya, Mohd. Rozi Mat Sharif, 44, turut cedera parah dan dirawat di HRPB.

Jenazah kesemua mangsa yang terbunuh dituntut keluarga masing-masing petang semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan

Posted:

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan


MANGSA yang cedera, Mahyuddin Idris dibawa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semalam.


KAMPAR – Norazian Mohamed Abdul Rashid, 34, tidak menyangka permintaan suaminya, Mohd. Hafez Yunos supaya dia menjaga dua anak mereka dengan baik merupakan pesanan terakhirnya.

Cerita Norazian, arwah Hafez menghubunginya pada pukul 8.30 malam kelmarin dan bertanya mengenai dua anak mereka, Siti Aishah, 12, dan Siti Hadibah, 10, sebelum meminta dia menjaga mereka dengan baik.

Siti Aishah memperoleh keputusan 5A pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Isnin lalu.

"Antara pesanan arwah ialah minta saya mendidik anak-anak tidak tinggal sembahyang dan saya tidak akan sia-siakan mereka," kata wanita itu ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kampar.

Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya (Propel) termasuk Hafez terbunuh selepas dirempuh treler di Kilometer 294.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.

Sementara itu, anak sulung Mohd. Shafie Ismail, Shahrol, 29, berkata, kematian bapanya mengejutkan kerana mereka sekeluarga baru meluangkan masa bersama pada hujung minggu lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Posted:

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my


LAMAN Facebook Polis Kuala Lumpur yang menyiarkan gambar-gambar lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes-kes pecah rumah di ibu negara.


KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mencari 16 lelaki pelbagai keturunan bagi membantu siasatan kira-kira 200 kes pecah rumah yang berlaku di ibu negara dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain terlibat dalam kes-kes pecah rumah, ada dalam kalangan mereka yang dicari itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes-kes dadah.

"Jenayah pecah rumah boleh disifatkan menjadi kerja harian sebahagian daripada orang yang dicari itu malah ada antara mereka itu mempunyai 14 kes jenayah pecah rumah," kata beliau pada sidang akhbar di Balai Polis Jalan Travers di sini.

Menurut beliau, kesemua orang yang dicari itu bergerak secara bersendirian dan ada sebahagian daripada mereka tinggal di luar Kuala Lumpur tetapi menjadikan rumah-rumah di ibu negara sebagai sasaran jenayah.

Chin Wah memberitahu, wajah-wajah penjenayah ini turut dimuat naik ke laman rasmi Facebook Polis Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai mereka yang dicari.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved