Rabu, 21 November 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Disedut corong gergasi

Posted:

Disedut corong gergasi

Disedut corong gergasi

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

ANNUR ASYRAF CHE SAAD mengesat peluh jantan yang mula membasahi dahinya. Jantungnya berdegup kencang. Daripada riak wajahnya jelas membayangkan lelaki berusia 23 tahun itu sedikit gementar.

"Harap bersedia. Selepas ini giliran awak," gegendang telinganya tiba-tiba menangkap suara garau seorang lelaki di hadapannya.

Annur Asyraf menghela nafas panjang. Masa yang ditunggu-tunggunya telah pun tiba.

Sebolehnya, dia tidak mahu ketinggalan mencuba Tornado Ride, permainan tunggangan yang menjadi tarikan utama pengunjung di Waterworld@i-City, taman tema air yang terletak di Shah Alam, Selangor itu.

Lagi pun, itulah rancangan dia bersama beberapa rakannya ke situ sebelum ini. Jika tidak, buat apa mereka perlu membuang masa beratur panjang di bawah panas terik matahari bagi mendapatkan giliran masing-masing.

Lengkap berpakaian sut mandi, Annur Asyraf mengambil tempatnya di atas tiub berwarna kuning yang mampu memuatkan empat orang pengunjung pada satu-satu masa itu.

Sekelip mata, tubuhnya dirasakan meluncur laju mengikut pergerakan tiub dihambat pancuran arus deras yang mengalir selaju 48 kilometer sejam.

Bermula dari sebuah terowong sempit dan curam sepanjang 49 meter, tubuhnya seakan 'disedut' ke bahagian corong gergasi berbentuk seperti pusaran puting beliung setinggi tujuh tingkat bangunan.

Selepas empat hingga lima kali berpusing-pusing di dalam corong yang semakin mengecil pada kedudukan 45 darjah, barulah pengembaraan selama 28 saat yang penuh mendebarkan itu berakhir.

"Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Debaran yang dilalui sama seperti menaiki sebuah roller coaster.

"Bagaimanapun saya rasa puas, ia memang nampak menggerunkan, namun ia berbaloi untuk dicuba," kata pelajar tahun akhir jurusan pengurusan pelancongan dari Universiti Teknologi Mara itu sebaik sahaja menamatkan aksi dengan Tornado Ride.

Tarikan baharu i-City

Mula beroperasi pada 15 November lalu, Waterworld@i-City terletak di kawasan seluas 29 hektar di Seksyen 7, Shah Alam.


CHILDREN Adventures memberi ruang kepada si cilik bermain dan bermandi-manda.


Pengarah I-Berhad, Monica Ong berkata, pembinaannya adalah selaras dengan visi i-City untuk menjadi hab berasaskan teknologi di bandar raya itu, yang menawarkan aspek komersial dan hiburan.

"Waterworld@i-City merupakan komponen hiburan keempat di i-City selepas City of Digital Lights, Snowalk dan Fun World," katanya.

Menurut Monica, sebagai sebuah taman tema air yang berorientasikan keluarga, pihaknya menyediakan pelbagai tarikan dan permainan kepada semua peringkat usia.

Antaranya, Wave Pool, River Adventure, Children Adventure, Rainbow Racer Sliders, Giant Jacuzzi dan Spiral Slides.

Namun katanya, tarikan utama di situ ialah Tornado Ride, yang dibangunkan melalui teknologi kejuruteraan terkini dari Kanada.

Katanya, mengaplikasikan konsep kinetik dan graviti, ia menawarkan pengalaman tunggangan yang melonjakkan adrenalin pengunjung.

"Ia merupakan permainan pertama seumpamanya yang wujud di taman tema air bukan sahaja di negara ini, bahkan rantau Asia Tenggara.

"Dalam masa selama 28 saat, pengunjung akan merasai debaran dan keseronokan yang tidak dapat digambarkan," katanya memberitahu Tornado Ride boleh menerima purata 480 tunggangan dalam tempoh satu jam.

Tambah Monica, pengunjung ke taman tema air itu tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan.

"Kami mempunyai kakitangan terlatih dan sentiasa bersedia bagi memantau dan memastikan keselamatan pengunjung.

"Pada masa yang sama, segala peralatan dan permainan juga telah diuji dan disahkan selamat bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," jelasnya.

Pusat rekreasi sekeluarga

Mampu memuatkan lebih 5,000 pengunjung pada satu-satu masa, Waterworld@i-City dilengkapi pelbagai kemudahan seperti lokar, tandas, bilik persalinan, kedai serbaneka serta kerusi panjang dan kerusi rehat untuk keselesaan pengunjung.

Di samping itu, terdapat sebuah kios yang menyediakan aneka hidangan antarabangsa dan tempatan dengan kadar berpatutan.

Selain menjadi lokasi riadah, pihak pengurusan juga menyediakan pakej penganjuran acara dan majlis berskala kecil dan besar.

"Terdapat sebuah pentas terbuka lengkap sebuah skrin gergasi light-emitting diode (LED) disediakan berhampiran Wave Pool yang boleh digunakan bagi tujuan itu.

"Kami turut merancang untuk membuka sebuah gerai cenderamata serta menambah lebih banyak kios makanan serta beberapa tarikan lain pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung Mohd. Rafee Abdul Majid, 40, berkata, kehadiran Waterworld@i-City secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Selangor.


TORNADO Ride menawarkan konsep permainan kinetik dan graviti melalui corong gergasi.


"Segala-galanya ada di negeri ini, daripada pantainya yang indah, syurga gastronomi, hutan simpan, taman tema air, pusat beli-belah dan sebagainya.

"Ia pasti menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikannya sebagai destinasi percutian terulung di Malaysia," katanya yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Tambah Mohd. Rafee, dia berpuas hati dengan keseluruhan konsep taman tema air itu yang mempunyai pelbagai kemudahan gaya urban terbaik untuk keselesaan pengunjung.

Bagi M. Manimegalai, 40, dia tidak melepaskan peluang membawa keluarganya berkunjung ke taman tema air itu sempena musim cuti persekolahan kali ini.

Menetap di Cheras, Kuala Lumpur, suri rumah itu berkata, i-City menawarkan pakej percutian lengkap hanya di satu lokasi sahaja.

"Di sebelah siang, pengunjung boleh bermandi-manda sepuas-puasnya di Waterworld@i-City atau sekadar meneroka keunikan Snowalk dan Fun World.

"Seterusnya, ia diakhiri dengan kunjungan ke City of Digital Lights yang pastinya cukup mengasyikkan," katanya.

Berdamping dengan rimba Chiang Rai

Posted:

Berdamping dengan rimba Chiang Rai

Berdamping dengan rimba Chiang Rai


TEKNIK memasak nasi di dalam buluh antara pengalaman menarik yang boleh dipelajari daripada kaum Akha.


SUNGAI Kok yang berwarna coklat mengalir tenang dari Myanmar melalui kawasan pergunungan di utara Thailand ke bandar Chiang Rai. Sejak sekian lama ia menjadi nadi kepada ribuan penduduk yang menetap di sekelilingnya termasuk beberapa puak pribumi seperti Lahu, Lisu, Karen, Hmong, Yao dan Akha.

Puak-puak minoriti di Thailand itu menetap di kawasan pergunungan yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki atau kenderaan pacuan empat roda.

Mereka dikenali dek keunikan kostum tradisional di samping mudah mesra dengan pelancong ketika bergambar atau menjual pelbagai produk kraf tangan.

Keunikan budaya dan tradisi masyarakat pribumi di kawasan pergunungan itu sememangnya menjadi tarikan kepada pelancong asing sejak berdekad-dekad lalu.

Resort di pergunungan

Malah, keadaan itu juga telah menyebabkan wujudnya eksploitasi dalam kalangan operator-operator pelancongan termasuk masalah penyalahgunaan dadah dan pelacuran. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, resort-resort mewah juga mulai dibina di kawasan itu.

Biarpun begitu, kawasan sekitarnya masih kekal asli dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.

Salah sebuah daripadanya ialah Akha Hill House, iaitu resort yang dikendalikan oleh puak Akha. Ia terletak kira-kira 22 kilometer di bahagian barat dan 1,500 kaki (140 meter) di atas Chiang Rai. Ia diuruskan sepenuhnya oleh ketua kampung puak itu, Apae Amor.

Menurut Apae, selain menjanjikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, keuntungan resort itu juga disalurkan kepada penduduk khususnya bagi tujuan pendidikan.

Harganya tampak berbaloi. Bilik paling asas di resort itu ialah sekitar AS$10 semalam (RM30.7). Apa yang lebih penting, ia turut menawarkan pengangkutan percuma dari Chiang Rai menggunakan trak pikap.

Di samping jalan darat, pengunjung juga boleh menggunakan jalan air seperti yang saya lakukan. Saya menaiki sebuah bot panjang dari jeti di pinggir bandar Chiang Rai merentasi sungai Mae Kok selama beberapa jam.

Harganya sekitar AS$3.25 (RM10). Bagi yang mahu menyewa sebuah bot harganya mungkin lebih mahal namun, berbaloi kerana anda boleh berhenti di mana-mana sahaja.

Bot kemudiannya berhenti di kawasan padang hijau subur yang menempatkan ibu pejabat Taman Negara Lamnamkok. Destinasi saya seterusnya ialah sejauh lima kilometer dengan berjalan kaki melalui laluan berbukit.

Selepas lebih setengah jam berjalan, akhirnya saya menemui papan tanda yang menunjukkan arah ke Akha Hill House.


KAUM wanita Karen menganggap mempunyai leher yang panjang sebagai simbol kecantikan.


Seterusnya saya perlu berjalan melalui laluan sempit menuju ke kawasan padang yang menawarkan panorama menghadap Myanmar. Akhirnya, selepas mendaki dua puncak hutan dan turun merentasi ladang kopi dan dusun buah-buah, saya tiba di Akha Hill House.

Resort itu terletak di penghujung kampung, mengadap ke pergunungan Doi Hong. Sebahagian besar rumah penduduk masih bercirikan tradisional dan dibuat daripada buluh.

Terdapat pasangan pesara dari Amerika Syarikat yang menginap di situ. Apa yang mengagumkan, mereka juga secara sukarela mengajar subjek bahasa Inggeris kepada kanak-kanak di sekolah.

Kemudahan yang disediakan di resort itu bersifat kedesaan. Bilik saya yang berlantaikan kayu dan berdindingkan buluh tampak selesa dengan sebuah kipas meja, alat pemanas air dan kelambu di atas katil.

Peghuni Chiang Rai

Kedudukannya yang terletak di cerun curam dengan balkoni luas menawarkan pemandangan mendamaikan. Di samping bilik penginapan, resort itu juga mempunyai kafe yang menyediakan hidangan tempatan yang lazat.

Terdapat dua buah perkampungan di situ yang dihuni lebih 100 penduduk di yang terdiri daripada puak Akha dan kaum Cina. Mereka menetap di kawasan tebing sungai, lereng bukit sehingga ke ladang teh.

Sebahagian besar kaum Cina di situ merupakan golongan nasionalis yang berasal dari wilayah Yunnan, China yang melarikan diri ke negara-negara jiran sebaik sahaja komunis berkuasa.


AKTIVITI berakit di sungai antara pengalaman menarik yang boleh dicuba.


Hari ini, pelancongan menjadi sumber pendapatan utama penduduk. Apae Amor dan beberapa penduduk lain terlibat sebagai pemandu pelancong. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah aktiviti penjelajahan hutan, menunggang gajah, menaiki rakit, lawatan ke muzium, kuil dan lokasi-lokasi menarik di sekitar wilayah Chiang Rai.

Bagaimanapun, saya lebih selesa menghirup udara segar dan bersatu dengan alam semula jadi.

Antara tarikan yang terdapat di perkampungan itu ialah Air Terjun Huai Kaeo yang memakan masa 15 minit perjalanan dengan berjalan kaki.

Selepas puas bermain air dan berendam dalam air terjun yang dingin, pengunjung boleh mendaki sejauh 30 minit lagi bagi menyaksikan panorama desa yang menghijau di atas puncaknya.

Seperti sebahagian besar puak-puak lain di pergunungan itu, puak Akha berasal dari selatan China dan berhijrah ke Myanmar. Berbanding puak-puak lain yang berhijrah ke Thailand sejak ratusan tahun lalu, puak Akha mula berhijrah kira-kira 50 tahun lalu.

Puak Akha terkenal dengan keunikan dan keindahan pakaian tradisionalnya. Ia diserlahkan dengan kain bersulam berwarna-warni yang dihiasi perhiasan seperti manik, bulu, duit syiling dan sebagainya.

Walaupun jauh di pedalaman, Akha Hill House bukanlah lokasi percutian yang begitu terpisah jauh daripada dunia luar.

Ia merupakan lokasi menarik bagi pengunjung yang mahu bersantai dan menghabiskan percutian sambil dikelilingi alam semula jadi sambil mempelajari mengenai budaya masyarakat yang semakin terpinggir. - AP

Resort di kaki gunung

Posted:

Resort di kaki gunung

Resort di kaki gunung


MERASAI kesegaran air terjun menjadi pelengkap dalam jadual kunjungan.


KEMERDUAN kicauan burung seakan-akan satu upacara ringkas menyambut ketibaan tetamu di D'Pinggiran Gunung Tebu Resort, Lata Belatan, Besut, Terengganu.

Terletak di Hutan Simpan Gunung Tebu, suasana resort itu sungguh mendamaikan. Kepenatan menempuh perjalanan yang panjang bagaikan hilang serta-merta sebaik sahaja menjejakkan kaki ke resort tersebut.

Dikelilingi persekitaran pokok yang besar dan rendang, pengunjung masih dapat melihat kesungguhan pemiliknya menjalankan kerja-kerja landskap yang menarik.

Ia terbukti dengan kewujudan taman-taman mini dengan pokok-pokok hutan dirias dengan menarik. Tidak cukup dengan itu, ruang sekitar kolam mini bersama jambatan boleh dijadikan tempat untuk bersantai. Turut diletakkan adalah beberapa kerusi dan bangku batu untuk para tetamu melepaskan lelah.

Hati bagaikan tidak sabar untuk mendaftar masuk ke bilik yang berharga antara RM60 hingga RM70 semalam. Tilam empuk sedia menyambut keinginan tetamu yang mahu melabuhkan badan.

Di dalam bilik penginapan, tetamu dapat merasakan suasana yang sunyi, tidak seperti di bandar-bandar besar yang bingit dengan pelbagai bunyi jentera dan kenderaan.


AKTIVITI treking merentas hutan sememangnya menjadi agenda popular dalam kalangan pengunjung.


Dormitori

Walaupun, suasana di sekitar resort terasa dingin, pemiliknya tetap menyediakan kemudahan pendingin hawa atau kipas di 14 buah caletnya. Bagi yang datang dalam kumpulan besar. terdapat domitori yang mampu memuatkan 130 orang serentak.

Bagi individu atau kumpulan yang mencari tapak perkhemahan, di kawasan resort tersebut juga sesuai untuk aktiviti itu. Tapak perkhemahan berkenaan mampu memuatkan sehingga 100 orang bagi sesebuah sesi perkhemahan.

Setelah berehat seketika di dalam bilik, hati meronta-ronta pula untuk keluar menikmati alam semula jadi. Tarikan sungai dan jeram di Lata Belatan tentu menjadi pilihan pertama. Jarak air terjun itu kira-kira 200 meter sahaja dari kawasan penginapan. Hanya dengan berjalan kaki, kesejukan air yang segar itu dapat dinikmati sepuas-puasnya.

Aliran air sungai tenang dan jernih memberikan satu panorama yang seolah-olah terapi menenangkan jiwa. Anak-anak pula boleh bermain gelongsor yang dibina di sepanjang aliran sungai di resort tersebut.

Menjamu selera

Untuk menjamu selera, pihak resort tidak menyediakan kantin atau kafe, namun ia bukanlah satu masalah kerana terdapat beberapa gerai berhampiran resort berkenaan yang menjual pelbagai menu tempatan seperti sate, nasi goreng dan mi goreng.


SUASANA menghijau di sekeliling calet yang berhias tumbuh-tumbuhan tropika.


Jika tiba musim buah-buahan, para tetamu berpeluang menikmati durian, duku atau dokong di kebun di kawasan resort yang diberikan secara percuma.

Bagi peminat aktiviti mendaki gunung, resort itu menjadi check point untuk menuju ke puncak Gunung Tebu. Di puncak gunung setinggi 7,088 meter itu, anda dapat melihat keajaiban suasana matahari terbenam, landskap pokok bonsai dan air terjun yang mempesonakan.

Bagi yang tidak biasa dengan kawasan gunung itu, perkhidmatan jurupandu turut disediakan.

Pada sebelah malam pula, masa yang terluang boleh diisi dengan melakukan aktiviti barbeku. Kemudahan tersebut ada disediakan pihak resort tanpa sebarang bayaran.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Abdul Aziz Jusoh di talian 012-957 8075 atau 09-697 6110.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved