Isnin, 29 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Manisan jadi pelengkap Natal

Posted:

Manisan jadi pelengkap Natal

STARBUCKS memperkenalkan seleksi kek cawan dan kek potong yang enak sempena menyambut keriangan Hari Natal.


KRISMAS bersama manisan bukan sesuatu yang asing buat mereka yang menyambut perayaan tersebut. Sambutan Krismas tentunya meninggalkan kenangan indah apabila seisi keluarga dapat berkumpul sambil menikmati sajian lazat dan manisan istimewa.

Bagi memenuhi keperluan itu, Starbucks menyediakan pelbagai hidangan manisan sempena sambutan Krismas pada Disember 2012.

Bertempat di Starbucks cawangan Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur, sekumpulan petugas media telah menyertai bengkel gubahan kek cawan anjuran kedai kopi yang mempunyai jaringan terbesar di dunia itu.

Para peserta didedahkan dengan teknik menghias manisan dan rangkaian produk terbaharunya.

Starbucks buat kali pertama tampil dengan kelainan kerana mereka tidak lagi tertumpu kepada minuman berasaskan kopi mahupun sandwic berintikan tuna dan kepingan daging.

Sebaliknya, Starbucks menampilkan lapan jenis manisan baharu berupa kek cawan dan kek potong.

Dengan saiz yang sederhana dan hiasan krim keju yang ringkas, percaturan Starbucks sempena Krismas itu dipercayai mampu menambat hati penggemar manisan.

Empat perisa kek cawan dan empat jenis kek potong itu akan mula dijual bermula 6 November ini sehingga awal Januari 2013.

Bagi menambahkan lagi keceriaan Hari Natal buat penggemar keju, nikmati tiga perisa kek cawan yang diadun dengan campuran keju iaitu black forest, choc cheese minty dan caramel green tea.

Sementara itu, bagi penggemar kek buah pula, lima jenis kek diperkenalkan iaitu carrot coconut christmas, orange poppy seed, kek badam cokelat, prun dan kek buah Inggeris yang hanya dijual pada Hari Natal ini.

Kesemua adunan kek itu padat dengan campuran potongan buah-buahan kering dan teksturnya dapat dirasai sehingga ke gigitan terakhir.

Menurut Pengarah Urusan Berjaya Starbucks Coffee, Sydney Quays, Krismas selalunya disambut dengan gembira. Justeru, mereka mengambil pendekatan itu dengan memperkenalkan manisan pada tahun ini.

"Kita mahu mereka ceria sewaktu perayaan. Ini bukan sahaja sesuai sebagai juadah perayaan, malah sesuai dijadikan buah tangan ketika berkunjung ke rumah saudara-mara," katanya.

Kombinasi rasa manis daripada sebiji kek cawan dan pahit daripada secawan kopi pastinya menjadi pelengkap untuk sambutan Krismas pada tahun ini.

Pada harga serendah RM5.50 untuk sebiji kek cawan, manisan ini boleh didapati di cawangan-cawangan Starbucks seluruh Malaysia. - KHAIRIYAH HANAFI

Pembebasan kecergasan dalaman

Posted:

Pembebasan kecergasan dalaman

SEBAHAGIAN daripada para peserta bengkel The Fabulous Female Tuesday yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.


BUAT pertama kali dalam sejarah di Celebrity Fitness, wanita daripada setiap peringkat umur diberi peluang mempelajari teknik pembebasan kecergasan dari dalaman.

Bengkel yang diberi nama The Fabulous Female Tuesday itu turut mendedahkan wanita dengan pengetahuan mengenai penyakit kanser dan petua kecantikan.

"Di Celebrity Fitness, kami melihat perubahan keyakinan seseorang itu selepas mereka berjaya menguasai keupayaan dalaman masing-masing. Ramai individu terlalu mengagungkan kecantikan luaran sehingga kita lupa segalanya bermula dari dalaman.

"Sekiranya anda berasa cergas dan yakin diri, anda pasti kelihatan cantik," ujar pengurus pemasaran senior Celebrity Fitness, Evelyn Low.

Menariknya, bengkel tersebut turut mendapat kerjasama Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Skin Potential dan Amber Chia Academy. Wakil setiap organisasi yang hadir pada bengkel itu juga menyumbangkan pengetahuan mereka tentang pelbagai topik melibatkan kesihatan, kecantikan dan keyakinan diri.

Wakil MAF, Dr. Ilias Adam Yee berkongsi statistik tentang kanser di Malaysia dan turut menyampaikan nasihat tentang cara-cara menghindarkan diri daripada tergolong dalam kumpulan 8,000 wanita yang menjadi mangsa penyakit itu setiap tahun.

Selepas ceramah kesihatan itu, para peserta mempelajari tip-tip kecantikan dan rahsia untuk tampak berseri menerusi slot kendalian Amber Chia Academy dan Skin Potential. Kesemua peserta kemudiannya mengeluarkan peluh mereka dengan sesi tarian DNA Perrea yang dipimpin jurulatih dari Celebrity Fitness.

"Saya amat gembira kerana hari ini, para peserta dapat menimba ilmu berguna terutamanya tentang pencegahan kanser yang boleh dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.

"Wanita adalah tulang belakang kepada keluarga dan kami percaya, mereka mampu membawa perubahan besar dalam keluarga masing-masing," jelas Evelyn lagi.

Bengkel tersebut turut mendapat kerjasama beberapa pihak lain seperti Carolina Herrera, Clique Clinic, Silky Girl, Blackmores, Her World, O'Briens dan Boost Juice Bars.

Kayuhan Jalur Gemilang di Sydney

Posted:

Kayuhan Jalur Gemilang di Sydney

SEBAHAGIAN daripada peserta Malaysia yang sempat merakamkan gambar kenangan di beberapa mercu tanda ikonik di Sydney.


KIBARAN Jalur Gemilang menghiasi bandar raya Sydney, Australia baru-baru ini apabila sekumpulan mahasiswa Malaysia membawanya ketika menyertai acara tahunan berbasikal, Sydney Spring Cycle 2012.

Seramai 110 mahasiswa yang terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia dan kumpulan pelajar yang menyertai program Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia, Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) turut serta dalam acara tersebut.

Mereka mendapat perhatian penduduk setempat apabila melaungkan 'Merdeka!' dan 'Malaysia Boleh!' sebanyak tujuh kali ketika memulakan kayuhan sejauh 15 kilometer itu di St. Leonard's Park.

Pengarah Program Kembara 1Malaysia Spring Cycle, Raja Mohamad Hanif Raja Mohamad Fadzil, 22, berkata, acara itu merupakan tahun ketiga berturut-turut disertai para pelajar Malaysia.

"Tahun ini sangat istimewa kerana ia turut disertai sahabat kami dari Malaysia selain melebihi sasaran penyertaan pada awalnya. Kumpulan kami juga mencatatkan penyertaan terbesar daripada 10,000 peserta yang lain," ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Kepuasan dan kegembiraan jelas dirasai setiap peserta apabila mereka berjaya menamatkan misi kayuhan itu. Mereka juga berbangga dapat mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan anak Malaysia.

Semangat kekeluargaan

"Saya sangat berbangga dapat berbasikal secara beramai-ramai sebagai sebuah keluarga. Walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil dan bukan negara utama acara sukan berbasikal, namun hari ini kita mampu buktikan bahawa Malaysia Boleh!," ujar pelajar University of New South Wales, Kaveinaa Mathavan, 21.

Bagi pelajar Universiti Malaya, Willis Chong Leechiat, 21, yang sedang menjalani program pertukaran pelajar di University of Sydney, masyarakat Malaysia perlu mengambil contoh rakyat Australia dalam menjadikan sukan berbasikal sebagai platform merapatkan hubungan khususnya antara keluarga dan masyarakat.

"Di sini, kita dapat lihat berbasikal merupakan salah satu aktiviti sosial yang bukan sahaja disertai golongan profesional, malah untuk sesiapa sahaja. Acara ini sememangnya sesuai disertai semua golongan, dewasa mahupun kanak-kanak.

"Secara tidak langsung, ia dapat memupuk hubungan kekeluargaan. Jadi, saya berharap acara seperti ini dapat dilaksanakan di negara kita," ujar Willis.

Pada masa yang sama, enam peserta Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia KPT melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat bersama-sama menyertai acara Sydney Spring Cycle 2012.

"Kesempatan menjejakkan kaki di bumi Australia ini juga membakar semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh khususnya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara," jelas pelajar Politeknik Kota Bharu, Nur Syafiqah Wawi @ Zuwawi, 20.

Pelajar Universiti Teknikal Melaka, Wan Farhan Wan Jusoh, 23, turut berkongsi keterujaan menjadi salah seorang peserta acara tersebut.

"Saya harap pada tahun hadapan, peluang seperti ini diperluaskan lagi malah melibatkan laluan yang lebih sukar khususnya di negara-negara yang mempunyai kesan sejarah kepada negara suatu ketika dahulu," ujarnya.

Mereka sebelum ini pernah mencatat rekod berbasikal dari Tawau, Sabah hingga ke Sematan, Sarawak pada 27 Ogos hingga 16 September lalu yang mendapat kerjasama daripada KPT.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved