Isnin, 29 Oktober 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Seri dan santun kebaya pengantin

Posted:

Seri dan santun kebaya pengantin

Oleh HAFIZ AHMAD

HARI perkahwinan adalah detik yang amat ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang bercinta kerana pada ketika itulah dua hati bakal disatukan setelah sekian lama menyulam kasih.

Sebelum berlangsungnya peristiwa bersejarah itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan untuk memastikan perjalanan majlis lancar dan bakal meninggalkan seribu kenangan indah.

Busana pengantin sering menjadi tumpuan utama buat pengantin kerana mereka mahu tampil anggun lagi menawan, secocok dengan jolokan raja sehari.

Tidak mahu bergaya biasa, ada yang sanggup mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mencari persalinan yang menjadi idaman.

Kemunculan ramai pereka tempatan bersama rekaan masing-masing memudahkan lagi bakal pengantin untuk merealisasikan angan-angan tersebut. Paling nyata, variasi rekaan baju pengantin moden yang disulam dengan corak-corak tradisional menjadi ikutan masa kini.

Namun, dalam ketaksuban sesetengah pengantin untuk tampil dengan konsep moden dan kontemporari, masih ramai juga yang mahu mengekalkan nilai kemelayuan yang terserlah melalui pilihan tema-tema klasik.

Walau kini dres labuh menjadi pilihan pengantin wanita, terdapat juga yang mahu menyarungkan kebaya yang diperindah dengan perincian mewah.

Mengambil tempoh yang lama untuk mencari busana kebaya tidak mematahkan semangat pasangan Nurhamidah Rahim, 25, dan Tasmaun Mohamad, 26, untuk melengkapkan impian melangsungkan perkahwinan dalam suasana klasik di samping menepati tuntutan syariat agama.


BATU-BATU jemeki dan kristal Swarovski menghiasi busana istimewa untuk raja sehari.


"Hampir setahun kami cuba mencari kebaya yang bersesuaian hinggakan hampir berputus asa kerana kebanyakan butik dan ekspo perkahwinan yang dikunjungi tidak mencapai standard yang diharapkan," ujar Tasmaun ketika dihubungi Stailo baru-baru ini.

Pemilihan kebaya, tambahnya, sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak kerana mahukan kelainan daripada majlis-majlis yang pernah mereka hadiri.

Konsep klasik

"Jika kita lihat sekarang orang lebih suka dengan rekaan moden hingga hilang ciri-ciri kemelayuan. Disebabkan itu kami sepakat untuk memilih kebaya dan konsep klasik sebagai tema utama perkahwinan," jelasnya yang bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 11 November ini.

Ia juga menepati permintaan isterinya yang mahu menggayakan pemakaian Muslimah. Tambahan pula, pemakaian kebaya mempunyai hubung kait dengan susur galur keturunan pihak perempuan yang mempunyai susur galur dari negara seberang.

"Atas alasan itu kami mencari kebaya yang menepati kesemua aspek," tambahnya.

Kelainan yang didambakan oleh Tasmaun dan isteri turut dipersetujui pasangan Muhammad Khairul Ashriq Marlizan, 27, dan Faizlinda Mohd Yusof, 27, yang melangsungkan hari bersejarah mereka kala seluruh negara menyambut detik kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 2012.

Maksud kebebasan turut dirasai oleh kedua mempelai apabila cuba lari daripada kepompong kebiasaan dengan memilih kebaya sebagai persalinan utama pihak perempuan.

Sentuhan elegan

PASANGAN suami isteri, Nurhamidah dan Tasmaun kelihatan anggun pada majlis perkahwinan mereka.


"Jika diikutkan, kami memilih kebaya kerana konsep majlis sebelah pihak perempuan adalah tradisional. Sebab itulah kami mencari sesuatu yang malar segar seperti kebaya yang diberi sentuhan elegan. Pada masa yang sama, ia masih mengekalkan sentuhan tradisional," ujar Linda.

Kala ditanya mengenai tahap keselesaan ketika menyarungkan busana yang diperindah dengan serakan batu jemeki itu, wanita berasal dari Ampang, Selangor itu berkongsi pendapatnya,

"Memang jika dilihat, ia dipenuhi butir-butir manik yang menyebabkan pemakai berasa kurang selesa, namun ia tidak menjadi masalah kerana majlis perkahwinan hanya sekali seumur hidup.

"Tambahan pula, setiap baju akan dilapisi kain sifon di bahagian dalamnya. Ia memberi keselesaan daripada terkena jahitan dan batuan tersebut yang boleh menyebabkan badan menjadi gatal-gatal," jelasnya.

Berbeza pula dengan pasangan yang mengikat janji sehidup semati pada 27 Mei yang lepas, Abu Zaid Idris dan Natasha Diana Mas'od. Mereka memilih rekaan tradisional kebaya yang diterapkan perincian moden tema Inggeris.

"Kebaya yang saya pakai tidak terlalu klasik kerana saya mahukan ia kena dengan konsep kami. Sehubungan itu, rekaan baju saya diberi sentuhan lebih moden pada bahagian kain bawah bagi menonjolkan sisi Inggeris," jelasnya.

Memilih butik Rumah Kebaya sama seperti Tasmaun dan Linda, kebaya yang terdapat pada butik itu dilihat lebih mengutamakan potongan klasik dan tidak tipikal berbanding busana di butik pengantin yang lain.

"Keselesaan memang menjadi keutamaan kerana itu saya memilih Rumah Kebaya kerana pernah menggunakan khidmat butik itu untuk perkahwinan abang saya. Melalui pengalaman itu, saya terus menggunakan kepakaran mereka kerana percaya setiap rekaan dihasilkan adalah khas buat si pemakai," ujarnya yang menetap di Cheras, Selangor.

Merentasi gaya Ejen 007

Posted:

Merentasi gaya Ejen 007


JAKET hitam yang dipakai Craig dalam filem Quantum of Solace ini menunjukkan sisi ranggi dan lasak seorang ejen terunggul di dunia.


APABILA memetik nama James Bond, tuksedo terus bermain di fikiran. Selama lima dekad, keenam-enam aktor bagi filem berkonsep francais itu pernah menyarungkan pakaian eksklusif tersebut, walaupun untuk satu babak.

Kafling dan cummerbund bertukar ganti mengisi tata rias Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Daniel Craig dalam 22 buah filem James Bond sejak filem itu diperkenalkan pada tahun 1962.

Sut pula menjadi identiti rasmi karakter rekaan penulis, Ian Fleming. Paling menyerlah ialah Sean Connery yang mengangkat sut sebagai pakaian harian. Tanpa mengira cuaca, Connery tampil kemas dengan sut rona hitam pelbagai jenis. Suntikan kelainan diserlahkan menerusi penambahan tali leher, tali leher kupu-kupu atau sapu tangan (pocket square) yang disematkan pada poket atas jaket.


LAZENBY mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi satu-satunya Bond yang memakai kemeja beropol dalam filem On Her Majesty's Secret Service.


Memasuki era 1980-an, imej Bond mengalami pengolahan bijak selari dengan peredaran zaman. Butang atas kemeja sengaja tidak dikancing dan kolar baju direka lebih lebar. Penampilan pemegang watak Bond paling banyak, Roger Moore nyata tidak mengecewakan dalam ketujuh-tujuh filem lakonannya.

Acara kasual

Jaket rona krim ke acara makan malam meletakkan gaya Moore lebih tinggi berbanding standard biasa Bond yang kerap bersut. Kini, ia boleh dipraktikkan untuk ke acara kasual dengan padanan jean potongan slim, tetapi pastikan jaket itu menepati siluet badan.

Timothy Dalton yang muncul dalam filem The Living Daylights (1987) dan License To Kill (1989), mungkin cerminan sisi ringkas James Bond. Masih mengekalkan gaya formal menerusi sut dan tuksedo, bagaimanapun Dalton selesa beraksi tanpa tali leher. Dilengkapi dengan gaya rambut 'kurang kemas', penampilan Dalton boleh dikategorikan untuk lelaki yang mengutamakan kesederhanaan.


KOT labuh daripada fabrik kulit ini mencerminkan imej ketenteraan kepada Brosnan dalam filem Tomorrow Never Dies pada tahun 1997.


Memainkan watak Bond untuk empat kali sudah memadai bagi Pierce Brosnan memahat namanya sebagai ejen perisikan berkarisma. Brosnan melalui transisi mega daripada tahun 1990-an kepada era milenium tahun 2000 dari segi kesan-kesan khas dalam filem sehinggalah kepada pemilihan pemakaian.

Penampilan kasual dan stail bersifat ketenteraan menjadi bukti pengembangan gaya Bond. Namun, Brosnan sentiasa diingati dengan gaya kot labuh yang sesuai tatkala musim sejuk. Maskulin diri masih dikekalkan dan sekiranya ia dipadukan bersama sarung tangan kulit dan topi fedora rona gelap, penyataan misteri seorang ejen pasti lebih kukuh.

James Bond era baharu, Daniel Craig memegang gelaran rebutan itu sejak tahun 2006 sehingga sekarang. Tiada penafian, sut dan tuksedo masih diguna pakai, cuma ia mengalami pemodenan dari segi potongan yang menonjolkan siluet badan sekali gus mempamerkan susuk tubuh Craig yang kekar.

Fiksyen Bond

Penumpuan gaya Bond masa kini lebih kepada pemilihan baju-baju bersifat atletik, santai dan ringkas. Jean, seluar renang dan baju T berjaya membawa fiksyen Bond merentas zaman tanpa sebarang percanggahan fesyen.

Kemunculan semula Craig dalam Skyfall yang bakal mengisi pawagam tempatan bermula 1 November ini sememangnya dinanti-nantikan. Apa yang pasti, Craig sekali lagi tampil bergaya bersama jam tangan Omega Seamaster Planet Ocean manakala pakaiannya menerima sentuhan penuh pereka ternama, Tom Ford. - ALIFF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved