Isnin, 29 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Jemaah sempurnakan rukun haji

Posted:

Jemaah sempurnakan rukun haji

SEBAHAGIAN jemaah haji menuju ke jamrah untuk melontar batu.


MINA, Arab Saudi - Para jemaah berusaha untuk menyempurnakan ibadah haji semalam apabila mereka melontar jamrah di sini.

Semalam merupakan hari kedua terakhir untuk musim haji pada tahun ini.

Kebanyakan jemaah akan melontar batu-batu kecil di Jamrah Aqaba, Ula dan Wusta.

Melontar jamrah dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah syaitan.

Namun, sebahagian lagi akan berada di sini sehingga hari ini untuk melontar jamrah.

Musim haji tahun ini secara rasminya berakhir pada hari ini.

"Saya berharap dapat mengerjakan haji sekali lagi pada masa depan," kata seorang jemaah Iraq, Um Hassan.

"Ia merupakan pengalaman yang hebat," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan jemaah haji Syria mendoakan kematian Presiden Bashar Al-Assad semasa mereka melontar jamrah semalam.

Kumpulan jemaah itu turut membawa bendera yang mewakili perjuangan para penentang Bashar.

Mereka turut melaungkan slogan mengecam Bashar ketika berarak ke lokasi melontar jamrah di sini.

"Kami berharap untuk menyaksikan Bashar digantung atau dibakar, digulingkan atau menjadi orang tawanan tidak lama lagi," kata seorang jemaah haji Syria yang membawa alat pembesar suara di depan berpuluh-puluh orang pengikutnya.

Berdasarkan perangkaan rasmi, lebih tiga juta jemaah mengerjakan haji pada tahun ini.

- Agensi

26,500 etnik Rohingya terjejas

Posted:

26,500 etnik Rohingya terjejas

GAMBAR rakaman satelit yang disiarkan pertubuhan Human Right Watch menunjukkan pekan Kyaukpyu sebelum keganasan itu berlaku.


SITTWE, Myanmar - Seramai 26,500 orang kebanyakannya etnik Rohingya yang beragama Islam dipaksa meninggalkan rumah mereka di barat Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Beberapa buah kampung dibakar dalam pertempuran antara etnik Rohingya dan penduduk beragama Buddha yang kembali tercetus pada 19 Oktober lalu di negeri Rakhine.

Sebelum ini, sekitar 75,000 orang telah memenuhi kem-kem sementara selepas keganasan berlaku di negeri berkenaan pada Jun lalu.

Dalam keganasan terbaharu itu, beberapa buah bot membawa pelarian Rohingya dilihat tiba di ibu negeri Rakhine di sini.

Para pelarian itu mencari perlindungan di kem Te Chaung yang dihuni oleh ribuan etnik Rohingya.

"Saya melarikan diri dari kampung yang terletak di Pauktaw pada Jumaat lalu kerana berasa tidak selamat.

"Rumah saya hangus terbakar dan saya kini langsung tidak mempunyai wang," kata seorang nelayan berusia 42 tahun, Maung Myint.

Dia tiba di kem tersebut bersama isteri dan enam orang anaknya dengan menaiki bot yang membawa 40 pelarian lain.

Keganasan pada 19 Oktober itu dilaporkan berlaku apabila kumpulan etnik Rohingya membantah kekurangan bantuan dan bekalan di perkampungan mereka.

Sejumlah etnik Rohingya kemudian bertindak membakar beberapa buah rumah penganut Buddha di pekan Min Bya dan Mrauk Oo.

Tindakan mereka menyebabkan penduduk beragama Buddha melakukan serangan balas.

"Penganut Buddha di negeri Rakhine datang menyerang kami dengan pisau. Mereka membakar kediaman kami walaupun tiada apa yang boleh diambil oleh mereka. Saya melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang," kata seorang wanita berusia 63 tahun yang dikenali sebagai Zomillah di kem pelarian Te Chaung.

"Saya kini tidak dapat pulang," tambahnya.

Pemerintah Myanmar menyatakan, seramai 80 orang terbunuh manakala lebih 95 lagi cedera.

Sebanyak 2,818 buah rumah di tujuh buah pekan di Rakhine dibakar dalam keganasan itu.

Pada Jun lalu, keganasan tercetus selepas sepuluh orang Rohingya beragama Islam dibunuh oleh sekumpulan penduduk beragama Buddha.

Penduduk Rohingya itu dibunuh bagi membalas dendam terhadap kejadian rogol seorang wanita beragama Buddha di Rakhine.

Sementara itu, pihak berkuasa Myanmar berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung keganasan yang tercetus di Rakhine.

Sebelum ini PBB melaporkan bahawa etnik Rohingya merupakan golongan minoriti yang paling teruk ditindas di dunia. - Agensi

Budak lelaki cedera ditanduk lembu korban

Posted:

Budak lelaki cedera ditanduk lembu korban

SEORANG budak lelaki ditanduk seekor lembu di Karachi kelmarin.


KARACHI, Pakistan - Seorang budak lelaki cedera selepas dia ditanduk seekor lembu jantan yang akan disembelih sempena Hari Raya Aidiladha di sini kelmarin.

Budak tersebut ditanduk semasa haiwan itu mengejar kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, budak itu hanya mengalami cedera ringan ketika haiwan tersebut terlepas daripada ikatan ketika ia hendak disembelih.

Pemiliknya, Abdul Quddoos berkata, lembu korban tersebut berjaya ditangkap semula dua jam selepas ia terlepas.

Sementara itu di bandar Peshawar, seekor lembu korban yang terlepas mencederakan tiga orang termasuk seorang budak lelaki berusia 12 tahun.

Seorang anggota polis, Abdul Waheed berkata, berpuluh-puluh orang mengejar lembu tersebut selama sejam sebelum ia berjaya ditangkap semula.

Di Gaza, seorang lelaki Palestin mati selepas dipijak seekor lembu korban yang terlepas di Rafah, Genting Gaza.

Seorang pegawai kesihatan, Ashraf al-Kidra berkata, kira-kira 150 orang dirawat di hospital di wilayah Palestin kerana cedera akibat terkena pisau dan ditanduk lembu korban yang terlepas di lokasi penyembelihan. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved