Rabu, 31 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Salikin didik pereka muda

Posted:

Salikin didik pereka muda

SALIKIN SIDEK. Itu satu nama yang cukup besar dalam industri fesyen tempatan. Berpegang teguh kepada prinsipnya untuk mengekalkan rekaan warisan turun-temurun sejak menceburkan diri dalam bidang fesyen 25 tahun yang lalu, beliau kini boleh berbangga dengan hasil yang diperolehi.

Hasil kerja tangannya disenangi pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan juga selebriti tempatan.

Bagaimanapun, populariti butik yang menggunakan nama Salikin Sidek, 50, tidak mencukupi buatnya. Beliau mahu berkongsi ilmu serta pengalaman yang dimiliki bersama orang ramai dan pereka muda yang mempunyai keinginan untuk belajar membikin pakaian tradisional.

Pada tahun 2010, Salikin muncul dengan buku berjudul, Busana Tradisional. Ia menampilkan pelbagai ilmu jahitan pakaian tradisional Melayu daripada setiap negeri yang berbeza.

"Saya berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku kerana waktu itu kurangnya buku rujukan yang mendalam tetapi mudah difahami mengenai ilmu jahitan pakaian tradisional.

"Dalam buku itu, saya menurunkan ilmu daripada melakar pakaian, memotong kain, menjahit dan membuat kemasan. Selain itu, teknik mengukur untuk setiap baju berbeza turut dimuatkan dalam buku ini," ujarnya tentang buku yang berharga RM30 senaskhah itu.

Tambahnya, setiap rekaan pakaian yang ditampilkan dalam buku itu mengikut peredaran semasa namun masih mengekalkan nilai klasiknya.

"Buku saya menjadi rujukan buat pereka muda di sekolah fesyen dan universiti. Saya cukup berpuas hati apabila ilmu yang saya miliki dapat mendidik orang lain terutama generasi muda," ujarnya.

Sambutan menggalakkan yang diterima menyebabkan buku Busana Tradisional itu telah dicetak buat kali kedua pada tahun lalu.

Pada tahun lalu juga, Salikin telah muncul dengan buku keduanya berjudul, Busana Pengantin Melayu Tradisional. Buku yang berharga RM49.90 senaskhah itu menampilkan maklumat tentang busana tradisional daripada setiap negeri di Malaysia.

"Buku kedua saya berkongsi dengan pembaca tentang busana tradisi pengantin setiap negeri bersama aksesori wajib yang perlu ada ketika memakai busana itu.

"Sama seperti buku pertama, dalam buku kedua, saya turut memberitahu secara terperinci cara menjahit pakaian cuma kali ini ditambah dengan sejarah pakaian itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Bukan untuk mengaut keuntungan, luah Salikin, pada masa kini sudah jarang beliau melihat pasangan pengantin memakai pakaian tradisional secara keseluruhan.

Disebabkan itu, beliau ingin mengembalikan kegemilangan fabrik tradisi seperti songket supaya digunakan pada hari bersejarah pasangan pengantin moden hari ini.

"Sekarang ini cukup susah untuk saya melihat pengantin perempuan memakai sanggul lintang kerana mereka lebih suka stail yang moden.

"Jadi, saya tampilkan pakaian tradisional termasuk aksesori sekali supaya dapat membuka mata bakal pengantin.


ILMU pengetahuan. Antara koleksi buku Salikin tentang busana tradisional yang kini berada di pasaran.


"Pakaian tradisional Melayu cukup indah dah tidak ditelan zaman dan semakin cantik apabila ditambah dengan perincian seperti manik dan sulaman," ujarnya.

Selepas muncul dengan dua buah buku, Salikin kini dalam proses mengumpul bahan untuk buku terbaharunya berjudul Busana Kontemporari Seniwati Melayu.

Sejarah Salikin

Bercerita tentang bagaimana beliau terlibat dalam bidang fesyen, kata Salikin, semuanya bermula selepas beliau menamatkan zaman persekolahannya.

Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil kursus jahitan pakaian lelaki selama enam bulan di sebuah pusat belia di Johor Bahru.

"Saya memang minat seni daripada kecil tetapi minat jahitan tercetus selepas tingkatan lima. Waktu itu saya ke sebuah kedai jahitan, saya lihat jari tukang jahitnya cacat tetapi dapat menghasilkan kerja tangan yang berkualiti.

"Dalam hati saya berkata, kalau tangannya cacat boleh menjahit dengan baik, pasti saya yang normal ini boleh lakukan juga," katanya.

Selepas tamat kursus enam bulan, Salikin menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen dan jahitan perindustrian di Institut Kemahiran Mara, Kuala Lumpur selama dua tahun.

"Kehidupan keluarga saya bukan senang, kalau belajar di universiti pasti banyak belanja yang harus dikeluarkan. Justeru, saya memilih menimba ilmu dengan jalan yang menjimatkan," beritahunya.

Kerjayanya bermula pada tahun 1982 di Butik Masaad sebelum berpindah ke Butik Filatoummo, Kuala Lumpur.

Kemudian beliau mendapat tawaran sebagai pereka fesyen di Dewi Sdn. Bhd. sebelum berpindah ke Laila Jaya Studio Brunei pada tahun 1985.

"Waktu itu saya mereka pakaian moden seperti pereka fesyen yang lain. Bekerja di Brunei memberi pengalaman berharga kerana saya dapat membuat baju untuk kerabat diraja Brunei," ujarnya.

Niatnya selepas itu mahu menyambung pelajaran ke London, England bagaimanapun ibunya menghalang menyebabkan Salikin kembali ke Kuala Lumpur bekerja di Okora Sdn. Bhd selama tiga tahun.

Pada tahun 1988 Salikin membuka butik Ateliar Apparell di Subang sebelum membuka butik Sali's Design pada tahun 1991. Ketika itu, Salikin telah mula terlibat mereka pakaian untuk artis tempatan dan membuat kostum untuk filem, teater serta drama tempatan.

"Saya masih membuat pakaian moden untuk artis tetapi selepas menyaksikan model mengayakan pakaian tradisional dalam sebuah pertunjukan fesyen, terdetik di hati saya alangkah bagus jika pakaian tradisional kita mampu pergi ke peringkat antarabangsa.

"Jadi sejak itu, saya mula serius mereka pakaian tradisional sehingga hari ini. Impian saya supaya Malaysia dikenali hanya menerusi pakaian seperti baju kurung. Negara India misalnya dikenali dengan sari manakala China dikenali dengan ceongsam," katanya mengakhiri bicara.

Siti Saleha


SITI SALEHA menggayakan busana koleksi terbaharu rekaan Salikin Sidek. Fabrik songket didatangkan khas dari Terengganu.


Ramai selebriti tempatan yang menggemari pakaian tradisional hasil tangan Salikin Sidek antaranya aktres popular Siti Saleha yang diambil menjadi model mengayakan pakaian Salikin.

Saleha yang mula popular dengan drama Nora Elena (2011) memberitahu, dia merupakan peminat baju kebaya meskipun merupakan anak kacukan Melayu-Inggeris.

"Saya suka baju kebaya pendek kerana sesuai dengan bentuk badan dan ketinggian saya. Apabila saya sarung pakaian tradisional terasa saya menjadi sangat Melayu daripada hari biasa.

"Biasanya saya akan pakai kebaya ketika menghadiri kenduri kahwin, hari raya, majlis berbuka puasa dan majlis rumah terbuka," ujarnya.

Adik kepada Sam Bunkface itu juga menggemari pakaian yang dibuat daripada fabrik songket yang ditambah dengan manik.

"Bagi saya kain songket sangat cantik, klasik dan nampak mewah. Walaupun zaman moden, kain songket masih boleh disesuaikan dalam pelbagai majlis," katanya yang suka memakai kebaya bersama korset.

Kejiranan setinggan terbesar Seoul

Posted:

Kejiranan setinggan terbesar Seoul

PENDUDUK Guryong kini semakin tersepit apabila kemajuan Seoul boleh menyebabkan kejiranan setinggan mereka lenyap begitu sahaja.


TERLINDUNG di sebalik kehidupan masyarakat kelas atasan di daerah Gangnam, Kim Bok-ja, 75, menolak trolinya yang dipenuhi kertas-kertas kadbod menyusuri laluan di salah sebuah bandar yang paling pesat membangun di Asia itu.

Di sebuah tapak kitar semula di bandar itu, Kim tersenyum riang sambil mengira jumlah wang diterimanya. Itulah pendapatan yang diterimanya selepas seharian menghabiskan masa mencari pelbagai barangan kitar semula.

"Ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk terus menyara kehidupan. Sampai bila saya tidak pasti, mungkin sampai saya mati. Saya hidup sebatang kara di sini tanpa mempunyai pendapatan tetap," katanya.

Bok-ja menetap di Guryong, kawasan penempatan setinggan yang kotor dan padat, di mana kebanyakan rumah dibina daripada papan lapis dan kain tarpal.

Penempatan itu dibangunkan pada tahun 1988 oleh penduduk setinggan yang diusir dari sekitar Seoul selepas ia terpilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik ketika itu.

Selepas 25 tahun, Guryong yang bermaksud Sembilan Naga kini dihuni lebih 2,000 penduduk yang hidup dalam kemiskinan tanpa kemudahan sanitasi dan prasarana sempurna.

Keadaan itu jauh berbeza daripada kawasan kejiranannya Gangnam, daerah mewah yang dipenuhi butik-butik berjenama, kelab-kelab malam seperti yang dipaparkan dalam lagu hit Gangnam Stlye, nyanyian artis rap Korea Selatan, Psy.

Pemandu-pemandu teksi di bandar raya itu sendiri sukar untuk mengenal pasti lokasi Guryong, kawasan seluas 30 hektar yang hanya dipisahkan oleh lebuh raya enam lorong dari Gangnam.

"Kampung ini merupakan penempatan setinggan terbesar di Seoul dan ia tidak akan dijumpai di dalam mana-mana peta dunia," kata Lee-in, 59, yang merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk di Guryong.

Sebahagian besar penduduknya menetap di kawasan setinggan itu tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan sebelum ini.

"Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh dan melakukan apa sahaja pekerjaan untuk meneruskan kehidupan harian.

"Biarpun begitu mereka tidak akan kelaparan kerana sering dibantu sukarelawan dan kumpulan-kumpulan agama tertentu," ujat Lee-in.

Disebabkan itu, salah satu aspek yang ketara di Guryong adalah kehadiran tiang-tiang salib di atas bumbung bangunan yang hampir roboh, menandakan kehadiran puluhan gereja yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Penempatan di Guryong dibina secara tidak sah, tanpa kemudahan asas seperti gas dan elektrik. Penduduk terpaksa menggunakan arang batu sebagai sumber memanaskan badan ketika musim sejuk di Seoul.

Ia boleh mengundang pelbagai bencana akibat kebakaran. Bagaimanapun, salah satu kelebihan menetap di penempatan itu kebanyakan rumah mudah dibaiki atau dibina semula.

"Jika pagi ini ada rumah yang rosak atau musnah, menjelang malam ia boleh diduduki semula," kata seorang penduduk, Kim Mi-ran, 54.

Nilai hartanah

Ironi di sebalik kedaifan Guryong, ialah status tanahnya yang bernilai tinggi dan menjadi rebutan dalam kalangan pemaju-pemaju hartanah.

Ia merupakan kawasan tanah persendirian, tetapi kehadiran setinggan di situ sejak sekian lama di samping status penempatan sementara yang diberikan kepada penduduknya oleh majlis perbandaran antara punca ia terus bertahan sehingga ke hari ini.

Awal tahun ini, sebuah syarikat pemaju hartanah tampil dengan perancangan untuk membina sebuah penempatan bertaraf sederhana bagi penduduk-penduduk Guryong di samping membangunkan kawasan itu.

Pihak berkuasa Seoul juga telah beberapa kali merancang pelan yang sama sebelum ini. Bagaimanapun, kedua-dua perancangan itu menyebabkan penduduknya berpecah dua dan sering menimbulkan perdebatan hangat.

"Kami tidak mempercayai ahli politik yang hanya pandai berjanji, tetapi tidak pernah menunaikannya," kata Mi-ran.

Langkah tegas seperti pengusiran dilihat sebagai alternatif terbaik, namun pihak berkuasa sentiasa berhati-hati dalam tindakan yang bakal dilakukan.

Park Won-Soon, seorang aktivis yang dipilih menjadi Datuk Bandar Seoul, Oktober lalu menjelaskan sebarang penyelesaian berhubung isu Guryong mesti berdasarkan pendapat dan kehendak penduduknya.

"Di bawah pentadbiran datuk bandar sekarang, sukar untuk sebarang tindakan kekerasan," kata seorang pegawai majlis perbandaran kepada AFP.

Bagi Kim Kyo-seong, seorang profesor pengajian siswazah kebajikan sosial di Universiti Chung-Ang berkata, isu Guryong berkait rapat dengan permasalahan yang berlaku akibat kepesatan pembangunan ekonomi di Korea Selatan.

"Ia merupakan contoh terbaik dalam menunjukkan ketidakseimbangan dalam masyarakat," kata Kyo-seong sambil memberitahu ia berpunca akibat jurang pendapatan yang semakin meluas, kekurangan sokongan untuk warga emas dan sasaran di sebalik dasar perindustrian negara itu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved