Selasa, 25 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Bomoh nikah batin didakwa merogol

Posted:

Bomoh nikah batin didakwa merogol

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my

MUHAMMAD SOMBHAH ketika ditahan anggota penguat kuasa JHEAINS di Kampung LBJ, Labu, Seremban pada 17 September lalu.


SEREMBAN - Selepas diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana didakwa mengamalkan nikah batin dan memperdaya wanita untuk tujuan seks, seorang bomoh dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan jenayah merogol seorang wanita pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Sombhah Abdullah, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sombhah didakwa merogol seorang wanita berusia 50 tahun di sebuah rumah di Kampung LBJ dekat sini pada pukul 3 petang hingga pukul 3.30 petang 28 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan dan Haris Salleh.

Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Namun Hanif merayu supaya wang ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menyara keluarga.

Kunasundary kemudian menetapkan tertuduh dibebaskan dengan wang ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kunasundary juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai pada setiap bulan selain dilarang berjumpa atau berkomunikasi dengan mangsa serta keluarga mangsa.

Tertuduh tidak membayar wang ikat jamin dan dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Kosmo! pada 18 September lalu melaporkan seorang bomoh yang didakwa memperdaya pesakitnya untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan telah terperangkap apabila dia ditahan oleh JHEAINS di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu.

Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki itu didakwa turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.

Sehari selepas ditangkap, lelaki itu dilepas tanpa dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM15,000 bagi empat kes berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bon jaminan tersebut dikenakan terhadap Muhammad Sombhah sebelum dia bakal didakwa pada 9 Oktober depan atas empat tuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan.

Tiga tuduhan berkenaan iaitu mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 bagi kesalahan mencela agama Islam, mempermain ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.

Satu lagi kesalahan disiasat mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan iaitu memperdaya serta melarikan wanita untuk tujuan seks.

Boleh rawat pesakit di hospital

Posted:

Boleh rawat pesakit di hospital

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan pesakit menerima rawatan perubatan tradisional dan komplementari selaras dengan perubatan moden di hospital.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan peraturan sedia ada, pengamal perubatan terbabit tidak dibenarkan masuk ke dalam hospital untuk memberikan rawatan.

"Sebelum ini, kita tidak tahu kualiti pengamal perubatan tradisional. Saya yakin dengan adanya akta baharu ini, kualiti perkhidmatan akan lebih teratur dan penerimaan lebih baik daripada pengamal perubatan moden," katanya.

Beliau menggulung perbahasan rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Tiong Lai mengesahkan syarikat insurans telah menyatakan persetujuan untuk membolehkan pesakit membuat tuntutan sekiranya mereka mendapatkan rawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pesakit tidak boleh membuat tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala pengamal perubatan terbabit tidak dibenar mengeluarkan sijil cuti sakit.

"Pemberian sijil cuti sakit tidak boleh diberikan kerana ia tertakluk kepada akta yang lain," ujar beliau.

Sementara itu, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia yakin akta baharu ini mampu memberi perlindungan kepada masyarakat dalam mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional.

Presidennya, Prof. Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dan tertipu dengan tukang-tukang urut dan pengamal perubatan Melayu.

"Dengan adanya pindaan seperti ini, kita harap mereka (pengamal) dapat mempraktikkan cara amalan yang betul," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau juga meminta kerajaan menyediakan satu pelan menyeluruh bagi mengkaji kadar bayaran yang wajar dikenakan kepada pelanggan ketika mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional.

Kosmo! semalam melaporkan semua pengamal perubatan Islam termasuk tukang urut dan bidan di negara ini akan diwajibkan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan apabila Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 dikuatkuasakan.

Pendidikan tetap jadi keutamaan

Posted:

Pendidikan tetap jadi keutamaan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

MUHYIDDIN bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Bidang pendidikan dijangka terus diberi keutamaan dalam Bajet 2013 yang bakal dibentangkan Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin, Bajet 2013 akan terus memberi keutamaan dalam bidang pendidikan bagi menyediakan masa depan lebih baik kepada rakyat untuk menghadapi persaingan global.

"Pada tahun lepas, sebanyak 26 peratus daripada peruntukan bajet disalurkan untuk bidang pendidikan. Saya berharap dalam bajet kali ini pendidikan tetap jadi keutamaan.

"Kita sudah mendapat jaminan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pendidikan," katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berharap isu rumah mampu milik untuk golongan sederhana dapat ditekankan agar nasib mereka terus terbela di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita tidak akan biarkan masalah ini berlarutan selagi kerajaan BN diberi mandat untuk memimpin negara dan saya harap ia juga akan dipertimbangkan dalam bajet itu nanti," katanya pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membina sebuah dewan baharu di Kampung Panji, Wakaf Mempelam dan sebanyak RM430,000 lagi untuk SMK Sultan Ahmad membaiki dewan, surau, gelanggang dan membeli sebuah van.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah soal pemerintahan biarpun negara telah lama mengecapi kemerdekaan.

"Banyak negara yang terlebih dulu memperoleh kemerdekaan daripada Malaysia, kerajaannya gagal memberi 'makna' kepada kemerdekaan apabila rakyatnya masih menderita.

"Tidak semua kerajaan berupaya membela nasib rakyat dengan memberi hak sepatutnya seperti menyediakan kemudahan untuk kemajuan, keselamatan, keamanan, perlindungan dan penyaluran bantuan secukupnya," katanya.

Beliau menambah, bukan semua negara merdeka mampu melakukan itu semua kecuali negara yang dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar mahu membantu dan prihatin kepada rakyat.

Justeru, katanya, nikmat keamanan dan kesejahteraan harus disyukuri dan perlu dipertahankan kerana ia tidak semestinya berkekalan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved