Selasa, 25 September 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Belajar bahasa Inggeris guna telefon

Posted:

Belajar bahasa Inggeris guna telefon

Oleh ALIF ABU BAKAR

SEGALA-GALANYA bermula di meja makan rumahnya yang terletak di SS3, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, Rani Wemel, 50, sedang melayari internet bagi mengisi masa lapang selepas anak-anaknya ke tempat belajar.

Daripada situ, dia dapat mengesan betapa besarnya pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan manusia walaupun pada waktu itu telefon bimbit sangat ringkas dan bersifat asas iaitu hanya boleh membuat panggilan serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kemudian, atas inisiatif membantu orang ramai dalam perbualan bahasa Inggeris, Rani dan suaminya, Wemel C.V., 60, yang merupakan seorang usahawan mengadakan pembelajaran mobil yang dikenali sebagai SMS-Me-English pada tahun 2004.

"Kaedah yang digunakan ketika itu sangat asas iaitu dengan menggunakan platform SMS, pengguna menerima satu SMS yang mengandungi perkataan Inggeris setiap hari," kata Rani yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif LTT Global Communications.

Kongsi suaminya yang bertindak sebagai Sekretariat Ahli Bersekutu Persatuan Untuk Pembelajaran Dalam Talian Dunia (WAOE), secara teori seseorang itu mampu berbual dalam bahasa Inggeris dengan hanya memahami dan tahu menggunakan 200 patah perkataan.

PORTAL web Dunia English memberi sokongan kepada para pelajar supaya dapat mempraktikkan bahasa Inggeris mengikut kesesuaian.


Seiring dengan perkembangan teknologi mobil, teknik pembelajaran dalam talian, SMS-Me-English turut membangun dengan memperkenalkan program Mobile English.

Kini, evolusi pembelajaran bahasa Inggeris tersebut dikenali sebagai DuniaEnglish pula dengan memberi penekanan pembelajaran melalui tiga kaedah berbeza.

Kaedah pertama adalah setiap pelajar akan mendapat satu SMS dalam sehari, sama seperti kaedah awal. Sekurang-kurangnya, para pelajar mampu mempelajari 250 perbendaharaan kata baharu dalam tempoh setahun.

Setiap perkataan baharu akan disertakan dengan maksud dan cara untuk mengaplikasikan satu set aksara dalam perbualan seharian.

Terdapat tiga tahap pengiriman perkataan berdasarkan kesukaran iaitu asas, pertengahan dan maju. Tahap maju, tiada perkataan bahasa Melayu digunakan bagi menerangkan kata yang dikirim.

"Kami menasihatkan setiap pelajar supaya menulis kembali perkataan yang dikirim supaya pembelajaran bawah sedar boleh berlaku melalui pergerakan tangan dan pandangan mata," kata Rani ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.


DUNIA ENGLISH membantu orang ramai belajar bahasa Inggeris menggunakan laman web dan telefon bimbit.


SMS atau portal

Kaedah pembelajaran kedua Dunia English pula adalah melalui laman web yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Dengan portal www.duniaenglish.com, para pelajar dapat mempraktikkan perkataan Inggeris yang dipelajari mengikut minat masing-masing.

Dengan menggunakan medium yang diminati seperti radio, surat khabar, sukan atau permainan video, pelajar dapat mempraktikkan sebutan, mendengar dan mengeja bahasa Inggeris.

Kata Rani, terdapat lebih kurang 11 cara yang berbeza untuk mempraktikkannya. Amat penting apabila belajar dengan menggunakan kaedah yang diminati sekali gus pembelajaran secara tidak langsung boleh berlaku.

Sebaik-baiknya, setiap pelajar disarankan supaya menggunakan bantuan laman portal itu antara 30 hingga 45 minit sehari bagi memaksimumkan pembelajaran.

Bukan sahaja ditujukan kepada para pelajar pada peringkat sekolah dan universiti, Dunia English turut menyasarkan kelompok para pekerja tanpa mengira tingkat pekerjaan.

Pembelajaran dua hala dan interaktif amat penting dalam menguasai bahasa Inggeris, malah bagi memastikan tiada orang mengalami keciciran, Dunia English mengadakan kelas tutorial secara langsung kepada pelajar setiap minggu.

Kelas yang diadakan sekali seminggu membolehkan setiap pelajar bertanyakan soalan yang tidak boleh dilakukan pada portal web kepada tutor yang bertugas.

Diadakan pada hari Rabu pada pukul 8.30 malam, ia boleh diakses dengan mudah menggunakan komputer yang mempunyai sambungan internet selain aksesori seperti fon kepala dan mikrofon.


WAKTU yang fleksibel mengikut kesesuaian para pelajar merupakan ciri utama Dunia English.


Kelas tutorial yang diadakan itu membolehkan pelajar berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus kepada tutor yang diajar sendiri oleh Rani.

"Setiap kelas tutorial akan diberi tajuk perbincangan yang seronok dan terkini bagi memastikan ia menarik perhatian semua pelajar untuk berinteraksi," kata Rani yang memiliki tiga orang anak.

Sebagai contoh, topik sukan Olimpik London 2012 dipilih kerana ia mampu menarik perhatian ramai walaupun seseorang itu kurang berminat dengan sukan. Statusnya sebagai sukan Olimpik pertama yang dikuasai teknologi mobil menarik perhatian.

"Olimpik London 2012 membuktikan bahawa teknologi mobil boleh pergi lebih jauh berbanding kaedah konvensional," katanya.

Sijil pembelajaran

Kepada pelajar yang terlepas kelas tutorial tersebut mereka boleh mengikuti semula kerana semua pembelajaran langsung yang disimpan dalam arkib dan boleh dilayari semula pada bila-bila masa.

Barangkali ada beberapa individu yang bersifat sinikal mengatakan teknologi yang digunakan pada Dunia English agak ketinggalan.

Namun, matlamat untuk memberikan kaedah pembelajaran mampu milik dan berpatutan menjadi pegangan Rani dan Wemel.

"Mungkin kaedah yang sama sudah ada empat tahun dahulu, tetapi ketika itu sangat mahal dan tidak mungkin yuran berpatutan boleh dikenakan," terang Rani lagi.

Setakat ini, kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Maktab Koperasi Malaysia, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Melaka dan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara Malaysia sudah menyertai program tersebut.

Kata Wemel, Dunia English membolehkan para pelajar belajar bahasa Inggeris tanpa perlu meninggalkan tempat bekerja dan amat berpatutan.

Program Dunia English berharga RM20 sebulan dan berlangsung selama setahun. Selalunya, yuran dibayar secara kumulatif untuk setahun iaitu sebanyak RM240.

Secara kasarnya, program tersebut memaksimumkan fleksibiliti para pelajar, mengurangkan rasa malu dan mereka boleh mempelajari sesuatu bergantung kepada tahap kemampuan.

Sebaik tamat pembelajaran melalui program yang berlangsung selama setahun itu, para pelajar diberi pilihan untuk menduduki sebuah peperiksaan khas bagi mendapatkan sijil untuk Kemahiran bahasa Inggeris.

Sijil dianugerahkan oleh Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bekerjasama dengan LTT Global Communication.

William dan Kate ke Lembah Danum

Posted:

William dan Kate ke Lembah Danum


LEMBAH DANUM merupakan hutan yang kerap menjadi tumpuan penyelidik di seluruh dunia malah, menarik perhatian pasangan diraja ini.


SELEPAS melakukan lawatan di Kuala Lumpur termasuk menghadiri makan malam bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dan melawat sekitar Kuala Lumpur, pasangan diraja Britain, Putera William dan isteri, Kate Middleton berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah.

Di negeri di bawah bayu itu, pasangan diraja itu menaiki helikopter untuk melawat Lembah Danum yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Lahad Datu.

Lebih kurang tiga jam, Putera William dan Kate Middleton meninjau keindahan kawasan hujan tropika itu.

Hutan seluas 438 kilometer persegi itu merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan flora dan fauna. Melalui kajian dan penyelidikan mendedahkan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tanah rata di Sabah termasuklah badak sumbu Sumatera, seladang, gajah Asia, harimau akar dan orang utan.

Pusat Kajian Lapangan Lembah Danum (DVFC) di situ diuruskan oleh Yayasan Sabah di bawah jawatankuasa yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa agensi yang berminat mengenai penyelidikan dan pemuliharaan hutan.

Di Lembah Danum, terdapat lebih 300 spesies burung yang pernah direkodkan di situ seperti kuang Bulwer, pitta, Borneo bristlehead dan lapan spesies burung enggang selain lebih 40 spesies ikan.

Banyak program penyelidikan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum dan Royal Society, London diadakan sejak tahun 1984.

PASANGAN diraja ini melalui platform peninjau kanopi yang merupakan antara kemudahan yang terdapat di DVFC.


Impak pembalakan

Kerjasama tersebut meletakkan sasaran untuk memahami secara saintifik proses ekologi dan mengekalkan hutan hujan tropika.

Ia juga bertujuan untuk memberi peluang latihan kepada rakyat Malaysia dalam ekologi, perhutanan dan bidang-bidang sains yang berkaitan.

Menaksir impak pembalakan dan menyediakan informasi yang boleh membantu meningkatkan pengurusan hutan.

Pusat penyelidikan tersebut dibuka kepada orang ramai termasuk dari dalam dan luar negara dengan hanya perlu memohon kepada sekretariat jawatankuasa.

Setakat ini, lebih kurang 300 penyelidikan telah disiap atau sedang dalam kajian. Kebanyakannya merupakan kerjasama antara rakyat Malaysia serta saintis dari luar.

WILLIAM (kiri) dan Kate meluangkan masa kira-kira tiga jam melihat persekitaran Lembah Danum.


Kajian yang dilakukan tertumpu pada dinamik hutan asli, kitaran nutrisi dan kesan pembalakan ke atas kualiti air serta populasi vertebrata.

Antara kemudahan yang disediakan di situ ialah plot penyelidikan di dalam hutan, menara platform peninjau kanopi dan akses hutan yang pernah dibalak bagi membuat perbandingan hutan-hutan primer dan sekunder.

Antara penyelidik yang pernah ke Lembah Danum ialah pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr. Nik Muhamad Nik Abdul Majid, 64, bersama-sama Rangkaian Pemantauan Pengendapan Asid Di Asia Timur (EANET).

Kajian yang dilakukan adalah dengan melihat tahap keasidan dalam tanah di beberapa kawasan kajian di Asia.

"Hutan-hutan di Malaysia masih lagi baik kerana darjah bacaan pH antara 4.6 hingga 5.6. Jika bacaan berada pada tahap 2, ia sudah sangat teruk," kata Nik Muhamad yang ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.


LEBIH 300 spesies burung di Lembah Danum pernah direkodkan oleh para penyelidik. - Gambar hiasan


Hujan asid

Pokok kelat paya yang sangat sensitif pada perubahan hujan ditanam sebagai penunjuk apabila berlaku perubahan keasidan hujan.

Ancaman hujan asid yang berlaku akibat aktiviti perindustrian sudah pun memberikan kesan pada alam sekitar seperti di sempadan Kanada dan Amerika Syarikat.

Sejajar dengan kepentingan hutan selain membekalkan oksigen dan menjadi tanah perlindungan bagi hidupan liar, Lembah Danum merupakan tempat yang paling ideal untuk rekreasi seperti melihat burung, fotografi hidupan liar atau aktiviti merentas hutan.

Puncak tertinggi di Lembah Danum ialah Gunung Danum pada ketinggian 1,093 meter. Antara aktiviti yang dilakukan di situ termasuklah merentas hutan. Gunung itu memerlukan masa tiga hari dua malam untuk sampai manakala mereka yang tegar cukup hanya empat jam.

Bukit Rafflesia juga mampu menarik perhatian para penggemar alam sekitar kerana di situ orang ramai berpeluang menemui bunga rafflesia.

Kawasan Konservasi Lembah Danum dikategorikan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan.

Putera William dan Kate Middleton mengakhiri lawatan empat harinya di Malaysia dengan berlepas ke Kepulauan Soloman dan Tuvalu.

Kedua-dua kerabat diraja Britain itu diraikan pada satu majlis perpisahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 7 pagi.

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph pairin Kitingan dan Datuk Dr. Yee Moh Chai.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved