Khamis, 13 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Saham AirAsia susut RM667 juta

Posted:

Saham AirAsia susut RM667 juta

PENGANALISIS menjangkakan AirAsia akan berhadapan dengan saingan lebih sengit tahun depan berikutan operasi Malindo Airways. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga saham AirAsia Bhd. (AirAsia) di Bursa Malaysia terus menjunam buat hari kedua berturut-turut semalam ekoran pengumuman penubuhan syarikat penerbangan tambang murah baharu, Malindo Airways pada Selasa lalu.

Harga saham syarikat penerbangan tambang murah itu ditutup pada RM2.92 semalam, turun tujuh sen sesaham melibatkan 102.2 juta unit saham bertukar tangan.

Sehari selepas pengumuman pembentukan Malindo Airways, harga saham AirAsia jatuh 17 sen untuk ditutup pada harga RM3.02 dengan melibatkan volum 42.7 juta unit saham.

Kejatuhan harga saham itu telah menyebabkan syarikat yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mencatat kerugian sebanyak RM667.1 juta.

Selain itu, nilai pasaran AirAsia juga menurun selepas pengumuman pembentukan syarikat baharu itu iaitu kepada RM8.2 bilion berbanding RM9.1 bilion sehari sebelum pelancaran Malindo Airways.

Menurut penganalisis, penurunan ketara harga saham AirAsia yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2004 merupakan kesan daripada tindakan tergesa-gesa pelabur terhadap hala tuju AirAsia dan kesan negatif yang bakal dihadapi ekoran pembentukan Malindo Airways pada tahun depan.

"Pelabur sangat sensitif terhadap pengumuman-pengumuman baharu yang bakal memberi kesan kepada pasaran... mereka akan hanya memilih syarikat yang memberi keuntungan maksimum daripada pelaburan mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Para pemerhati pasaran sebelum ini menyifatkan penubuhan syarikat baharu itu bakal memberi persaingan dan tekanan khususnya buat AirAsia daripada aspek harga dan juga tempahan tempat duduk.

Mereka melihat kejatuhan setiap satu peratus perolehan AirAsia akan menyebabkan pendapatan syarikat jatuh antara tiga hingga empat peratus.

Kejatuhan setiap satu peratus tempahan tempat duduk pula akan mengurangkan keuntungan AirAsia sebanyak 2.8 peratus hingga 4.5 peratus.

Malindo Airways ditubuhkan melalui kerjasama antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dari Malaysia dengan PT Lion Grup dari Indonesia.

NADI akan menguasai 51 peratus dalam kepentingan syarikat itu yang bakal beroperasi bulan Mei tahun depan manakala bakinya oleh PT Lion Grup.

NADI merupakan syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri aeroangkasa dan pertahanan serta memiliki syarikat seperti Airod, Airod Techno Power dan Aerospace Technology Systems Corp.

Buat permulaan, sebanyak 12 pesawat Boeing 737 dijangka beroperasi dengan Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai pusat penerbangan ke negara-negara ASEAN dan Asia termasuk ke Thailand, China, India dan Filipina.

Lebih menarik lagi, Malindo Airways dijangka menawarkan kadar tambang yang lebih murah berbanding syarikat pesaing lain.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Bhd., Azrul Azwar Tajuddin berkata, AirAsia menerima tempias yang hebat daripada pembentukan syarikat baharu itu dan ia bakal mengubah skop industri penerbangan tambang murah tempatan.

"Trend penurunan ini boleh kembali meningkat atau merudum semula jika ada berita mengenai Malindo Airways," katanya.

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat

Posted:

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

ZAITON (kiri) dan Mohd. Farizal selepas dijatuhkan hukuman kerana berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas mengaku salah berkhalwat dengan seorang jurumekap yang masih berstatus isteri orang pada tahun lalu.

Selain Mohd. Farizal, 26, yang turut menjaga gawang Negeri Sembilan, turut dikenakan hukuman serupa ialah pasangannya, Zaiton Othman, 29, yang kini telah bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar turut mengarahkan kedua-duanya dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Pasangan itu yang datang berasingan membayar denda tersebut di kaunter mahkamah sejurus prosiding berakhir.

Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik di sebuah rumah milik rakan Zaiton di 3A-02, Blok A, Shang Villa Condo, No. 2A, Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.40 pagi 12 Oktober 2011.

Pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh, sewaktu pintu bilik dibuka, Zaiton berseluar panjang hitam dan baju T ketat warna merah jambu dalam keadaan meniarap manakala Farizal yang juga memakai baju T dan berseluar pendek berada dalam keadaan berselimut di atas katil.

Terdahulu, Mohd. Farizal mendakwa dirinya insaf dan kesal dengan kesilapan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

"Sejak kes ini keluar surat khabar, ia menjejaskan reputasi saya dan keluarga, orang ramai mula mencemuh, mungkin salah saya," katanya yang memberitahu sudah mempunyai perancangan untuk menikahi Zaiton kelak.

Sehubungan itu, anak kelima daripada tujuh beradik itu memohon hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung adik-beradik yang bersekolah serta ibu bapa pula sudah tidak bekerja.

"Saya juga hanya bekerja kontrak dan bukannya tetap. Selepas apa yang terjadi, saya bimbang sekiranya kontrak saya tidak disambung pada musim depan," katanya dalam nada perlahan.

Sementara itu, Zaiton yang kelihatan sebak turut insaf dan memohon hukuman ringan kerana sejak bergelar ibu tunggal, dia perlu menyara dua orang anak serta membayar pelbagai pinjaman peribadi dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Katanya lagi, dia masih trauma dengan perceraian yang berlaku hampir setahun lalu akibat kejadian tersebut.

Farizal diturunkan semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Vietnam Selasa lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan dibolosi 2-0.

Najib rai William, Kate Middleton

Posted:

Najib rai William, Kate Middleton

TUANKU Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah bergambar bersama Putera William (tiga dari kiri) dan Kate Middleton (tiga dari kanan) pada majlis santapan diraja di Istana Negara Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Najib dan Rosmah serta Muhyiddin (kiri) dan isteri, Noorainee (kanan).


PUTRAJAYA - Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Lawatan rasmi empat hari pasangan diraja Britain itu adalah bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Duke dan Duchess of Cambridge juga menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah serta menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara pada sebelah malam.

Pasangan diraja itu juga melawat Hospis Malaysia iaitu pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum yang merupakan hutan hujan tropika utama di Sabah. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved