Khamis, 13 September 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Hotel Melia ceriakan Syawal

Posted:

Hotel Melia ceriakan Syawal

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

PENGHUNI Pondok Penyayang Raudhah dan kakitangan hotel bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.


SABAN tahun, kehadiran Syawal sememangnya dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga pada bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri lazimnya diraikan dengan penuh kegembiraan.

Itulah ketikanya semua sanak saudara berkumpul untuk memohon ampun dan maaf selain merapatkan hubungan sesama keluarga dan sahabat handai.

Golongan yang paling teruja pastinya kanak-kanak, selain dapat melaram dengan pakaian baharu, inilah ketikanya mereka menjadi 'orang kaya baharu' dengan mengumpul duit raya.

Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak bertuah sebegitu. Ada juga yang meraikan Adilfitri dalam tangisan disebabkan kesusahan hidup serta mengenangkan mereka yang sudah tiada.

Justeru kesedaran ingin membantu dan menceriakan golongan itu mendorong Hotel Melia Kuala Lumpur menganjurkan Hari Raya Cheer bersama 50 penghuni Pondok Penyayang Raudhah, Gombak, Selangor yang berlangsung di hotel itu baru-baru ini.

Pengurus Besar Hotel Melia Kuala Lumpur, Ruth Abellan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat untuk membantu dan menceriakan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini.

Ujar Abellan, pihaknya pernah mengadakan program yang sama pada Ramadan lalu bagi meraikan penghuni-penghuni dari Rumah Lambaian Kasih di Kampung Sungai Pencala.

ACARA permainan sukaneka yang diadakan turut memeriahkan sambutan Hari Raya Cheer.


"Ia sumbangan hotel kepada golongan ini yang diadakan setiap tahun. Selain perayaan Aidilfitri, kami juga turut meraikan mereka dalam setiap perayaan-perayaan utama di negara ini seperti Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali," katanya.

Libatkan kakitangan hotel

Tambah Abellan, program yang diadakan juga dapat dijadikan platform oleh kakitangan syarikat itu untuk mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat.

Katanya, beliau berbangga kerana keseluruhan program itu dikendalikan oleh kakitangan hotel dari setiap jabatan.

"Mereka telah bertungkus-lumus sejak seminggu yang lalu bagi merancang dan menjayakan program ini. Secara tidak langsung ia membuktikan keprihatinan kami terhadap mereka yang memerlukan," ujarnya.

Selain berpeluang menikmati pelbagai juadah raya yang enak dan menyelerakan, kesemua penghuni rumah kebajikan itu turut dihiburkan dengan aktiviti persembahan serta permainan.

Lebih menceriakan, mereka juga turut diberi hamper dan duit raya.

Sementara itu, seorang penghuni rumah kebajikan berkenaan, Elyias Erman, 16, melahirkan rasa kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan hotel kerana bermurah hati memberi sumbangan dan meraikan mereka.

"Bulan Ramadan dan Syawal sangat bermakna buat kami semua kerana ketika itu rezeki melimpah ruah. Saat paling gembira adalah ketika berbuka puasa beramai-ramai dengan tajaan makanan daripada pelbagai pihak," katanya yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Busu, Gombak.

WAJAH-WAJAH ceria jelas terpancar tatkala menerima sumbangan duit raya yang disumbangkan oleh Hotel Melia.


Menetap di rumah kebajikan itu kira-kira setahun lalu atas faktor kemiskinan keluarga, Elyias memberitahu pelbagai aktiviti yang diadakan pada hari itu sedikit-sebanyak menghiburkan mereka.

"Lazimnya, kami hanya dijemput menikmati hidangan di hotel semata-mata, namun kali ini agak berbeza kami berpeluang turut serta dalam acara permainan. Bahkan, kami melakukan persembahan bersama kakitangan hotel yang baik dan peramah," ujarnya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Bagi Norain Abd Hamid, 15, pula, dia dan rakan-rakannya di rumah kebajikan itu berbesar hati sekiranya ada pihak-pihak yang ingin tampil memberi sumbangan dan bantuan seperti yang dilakukan oleh Hotel Melia Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun sumbangan yang diberikan tidak sebesar mana, namun ia amat bermakna kepada mereka semua untuk meneruskan kehidupan.

Dia yang merupakan anak yatim selepas kematian bapanya beberapa tahun lalu berkata, program yang diadakan memberi suntikan semangat kepadanya untuk menjalani kehidupan yang lebih positif pada masa hadapan.

"Saya terharu kerana anak-anak yatim seperti saya tidak disisihkan masyarakat dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pelbagai pihak.

"Biarpun ada di antara kami yang tidak mendapat kasih sayang ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, namun kedukaan yang dilalui sedikit terubat apabila kami diraikan sepanjang program ini," katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Hanya 27 sen sehari

Posted:

Hanya 27 sen sehari

KOS pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi. - Gambar hiasan


BAYANGKAN keadaan ini - kawasan persekitaran dipenuhi najis dan air kotor akibat limpahan air kumbahan di lubang pembetungan dan tangki septik serta kerosakan loji rawatan kumbahan.

Sungai turut menerima nasib serupa jika dicemari limpahan air kumbahan dan sisa buangan berbau.

"Inilah yang akan berlaku sekiranya tiada perkhidmatan pembetungan. Air kumbahan yang tidak dirawat bukan sahaja berbau busuk malah mengandungi bakteria berbahaya yang akan membawa pelbagai penyakit serta menjejaskan alam sekitar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), Datuk Abdul Kadir Mohd. Din.

Katanya, kesedaran mengenai kepentingan perkhidmatan pembetungan sebenarnya kian meningkat berdasarkan kutipan pembayaran bil tahun ini sebanyak 83 peratus, jauh berbanding kutipan tahun 1997, yang hanya 54 peratus.

Namun, masih ada yang ambil mudah dan tidak peduli.

Tarif perkhidmatan pembetungan yang disediakan IWK adalah antara yang terendah di dunia, iaitu hanya 27 sen sehari, atau secara kasarnya RM8 sebulan untuk sistem pembetungan bersambung kepada loji rawatan kumbahan awam.

Kadar caj itu sebenarnya tidak pernah berubah selepas hampir dua dekad.

Kenapa minta percuma?

Namun begitu, hal yang menghairankan adalah masih ada yang mengharapkan ia diberi percuma sedangkan kos pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi, penyelenggaraan dan aplikasi teknologi terbaharu.

"Ada sesetengah pengguna masih merasakan perkhidmatan kami tidak penting buat mereka. Trend yang biasa kita lihat adalah mereka merasakan perkhidmatan lain seperti telekomunikasi, hiburan dan sebagainya adalah mustahak dan bukannya perkhidmatan pembetungan," kata Abdul Kadir lagi.

Antara puncanya mungkin pengurusan pembetungan ini merupakan faktor 'tidak nampak' ataupun mereka kurang faham dengan proses dan keperluannya.

Berbanding utiliti lain seperti jika bekalan elektrik terputus semua peralatan elektrik tidak boleh diguna, atau jika tiada bekalan air, sekejapan sahaja segala urusan harian terganggu, maka pengguna patuh membayar bil setiap bulan.

Antara yang dipersoal sebagai alasan untuk tidak membayar caj perkhidmatan pembetungan ialah pekerja IWK tidak pernah kelihatan di kawasan perumahan mereka dan pelanggan tidak nampak khidmat yang diberikan.

IWK menghantar bil untuk perkhidmatan pembetungan pelanggan domestiknya enam bulan sekali itu, tetapi mulai tahun ini, setiap tiga bulan sekali.

Pembayaran bil IWK amat penting bagi membiayai kos operasi dan penyelenggaraan hampir 6,000 buah loji dan 16,000 kilometer (km) saliran paip pembetungan bawah tanah dari premis-premis ke loji rawatan kumbahan.

Perkhidmatan efisien

Perkhidmatan 'tidak nampak' itu sebahagian besarnya melibatkan pengurusan sistem pembetungan (paip pembetungan yang berselirat di bawah tanah) yang menyambungkan premis ke loji rawatan kumbahan.

Ia juga melibatkan kerja teknikal seperti perancangan sistem pembetungan, perkhidmatan perakuan perancangan sistem pembetungan pemaju, penilaian persekitaran dan spesifikasi kejuruteraan sistem pembetungan.

Khidmat yang dilaksanakan di sebalik tabir dan tidak menarik perhatian segelintir masyarakat ini, sebenarnya menunjukkan perkhidmatan IWK dalam pengurusan air kumbahan negara adalah efisien.

Buktinya, kehadiran IWK hanya boleh dikesan dan dilihat diperlukan apabila timbulnya masalah pembetungan tersumbat.

Pembuangan sisa kumbahan

Jujurnya, berapa ramaikah antara kita pernah memikirkan ke manakah perginya air najis apabila sudah dipam dari tandas? Dengan adanya kemudahan tandas moden, sistem pembetungan disambung ke loji rawatan kumbahan. Najis dan sisa kumbahan itu seterusnya dilupus dan dirawat dengan betul. Ini harus dilakukan sebelum ia terlepas ke sungai atau persekitaran.

"Air sisa menerusi sistem paip penyambungan akan disalurkan ke loji untuk dirawat. Di situ, ia akan dirawat untuk jadikan air itu jernih dan selamat dilepaskan ke alam sekitar. Mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar air sisa itu harus hilang bau dan rupa. Inilah tanggungjawab IWK yang kurang difahami orang ramai.

"Kerjanya kotor, sukar dan berbahaya dan tidak semua orang boleh buat," kata Abdul Kadir sambil menambah, air kumbahan juga tidak boleh dibuang begitu sahaja kerana boleh menyebabkan berlakunya epidemik penyakit bawaan air seperti taun, demam kepialu, leptospirosis dan lain-lain penyakit berjangkit . - Bernama

Togok lambang kebebasan

Posted:

Togok lambang kebebasan

Oleh NIZHA PERIASWAMY

ERTI sebenar kebebasan yang diterjemah Effendi melalui siri Togok adalah berdasarkan metafora kiasan atau sindiran.


PERNAH terlibat dalam beberapa siri lukisan dan pameran, artis muda yang sedang membina nama dalam bidang seni lukis, Ahmad Effendi Zahari, 31, percaya bahawa imej haiwan boleh menjadi sinonim dengan personalitinya.

Buah tangannya yang terkini ialah koleksi lebih 50 buah lukisan yang menampilkan imej burung, dinamakan Togok. Jika sebelum ini, dia pernah cuba menampilkan beberapa siri lukisan dengan imej haiwan, Togok pada kali ini mengetengahkan kepelbagaian terjemahan rupa unggas.

Graduan dalam bidang seni halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun 2004 itu berkata, walaupun berpengalaman bereksperimen dengan imej haiwan lain seperti kuda, ayam dan ikan sebelum ini, Togok merupakan siri pertamanya yang memaparkan imej burung.

Menjelaskan secara lanjut sebab memilih burung, dia yang juga lebih mesra dengan panggilan Effendi, menceritakan tentang pengalamannya di Melaka yang telah mencetus ilhamnya.

"Burung adalah simbol kebebasan. Demikian saya menggambarkan imej itu dalam lukisan," terangnya.

Beberapa tahun dahulu, Effendi sempat meluangkan masa di Melaka. Dia tinggal di sebuah asrama di Durian Tunggal untuk menghadiri kursus berkenaan hiasan dalaman, satu lagi lapangan yang ingin diceburi anak muda itu.

Di tempat yang dilatari pemandangan alam yang menghijau, telah menjentik naluri Effendi sekali gus membuatkannya mula mengadaptasi erti sebenar kebebasan.

"Sewaktu saya berada di sana, saya seolah-olah putus komunikasi dengan dunia luar dan tempat tersebut agak terpencil. Jadi, saya mengenang semula pengalaman tersebut dan mengaplikasi kepada siri terbaharu saya ini," kata Effendi merujuk kepada pengalaman tiga tahun dahulu.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya erti sebenar Togok, Effendi sendiri tidak jelas.

"Saya secara peribadi tertarik dengan nama Togok dan menamakannya. Namun, saya percaya ia mampu memberi kaitan kepada siri ini," kongsinya yang memiliki studio sendiri yang dinamakan Bima Sakti di Seksyen 7, Shah Alam.

Apabila ditanya tentang tempoh masa yang diluang untuk siri tersebut, Effendi memberitahu, dia tidak terikat dengan tempoh masa tertentu malah lebih suka melukis apabila mempunyai masa dan keterujaan.

Melihat siri karya Togok yang dihasilkan menggunakan pelbagai medium seperti akrilik, cat, bitumen (tar), melilin, paster dinding dan krayon, tentunya memerlukan ketelitian dan kesabaran Effendi yang tinggi.

Metafora kiasan

Dalam siri tersebut juga, Effendi tidak mengehadkan kepada sejenis burung tertentu malah, katanya, beliau mahu bereksperimentasi dengan semua jenis haiwan yang berkepak dan berterbangan.

Dalam pada itu, erti sebenar kebebasan yang diterjemah Effendi melalui siri Togok secara tidak langsung adalah berdasarkan metafora kiasan atau sindiran.

"Saya mahu menyindir secara berkias betapa saya ketika tertekan dan bosan berada di Durian Tunggal," ujarnya.

Tambah Effendi, semua gambaran yang diberikan dalam Togok memperlihatkan imej burung menari di atas dahan dan terbang bebas.

"Sungguhpun mempunyai pengklasifikasian tersendiri, saya tidak mahu mengehadkan maksud di sebalik lukisan malah memberi kebebasan kepada para penggemar seni untuk menterjemahkan mengikut pemahaman masing-masing," ujarnya yang tidak mahu terikat dengan satu maksud khusus.

Sebelum ini, Effendi tampil dengan dua pameran solo iaitu TAFSIR pada tahun 2008 dan Persepsi pada tahun 20102. Di samping itu, Effendi juga pernah tampil engan siri Fobic dan Sekilas. Itu tidak termasuk tiga siri yang dihasilkan atas tempahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved