Khamis, 13 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


KLCC saksi kedatangan pasangan diraja

Posted:

KLCC saksi kedatangan pasangan diraja

TENGAH HARI Rabu lalu di sepanjang jalan Gardens by the Bay, Marina Bay di Singapura sesak dengan kehadiran ribuan orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Penduduk tempatan dan pelancong asing berhimpit-himpit di bawah terik matahari selama tiga jam semata-mata untuk menatap wajah Duke dan Duchess of Cambridge iaitu Putera William dan isterinya, Catherine Middleton.

Sehinggakan sewaktu menanti kehadiran pasangan diraja berkenaan, segelintir daripada penonton pengsan gara-gara keletihan dan kepenatan. Namun, sebahagian besarnya terus menanti dengan sabar sambil mengibarkan bendera Britain dan memegang poster yang terpampang foto Ratu Elizabeth II dan mendiang Puteri Diana.

Mereka juga membawa kain rentang dan kad ucapan sebagai tanda mengalu-alukan kunjungan Putera William dan Catherine. Catherine lebih mesra dengan panggilan Kate Middleton.

"Cuaca amat panas sehingga menyebabkan beberapa individu pengsan tetapi situasi ini sedikitpun tidak mencemaskan saya. Kepenatan menunggu selama tiga jam sangat berbaloi apabila saya berjaya melihat Putera William dan Catherine secara dekat," jelas salah seorang pengunjung, Penny Hall, 43.

Sementara itu warga Amerika yang menetap di Singapura, Courtney Brassell memberitahu, dia tegar menunggu selama sejam setengah bersama anak lelakinya yang berusia lima bulan di persekitaran Marina Bay.

"Saya meminati keperibadian dan penampilan Catherine yang sentiasa anggun dalam persalinan ringkas dan menawan.

"Kuntuman senyumannya pula begitu jujur. Dia langsung tidak menunjukkan riak wajah yang kurang selesa meskipun terpaksa melayan kami dalam cuaca panas," tutur Brassell dalam nada teruja.

Menurut Setiausaha Peribadi Duke and Duchess Of Cambridge, Jamie Lowther-Pinkerton, kunjungan rasmi Putera William dan Catherine di Singapura bagi memulakan lawatan ke Asia Tenggara dan Asia Pasifik sempena sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth II yang memerintah Britain sejak tahun 1952.

"Lawatan rasmi sempena sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth II meliputi empat buah negara selama sembilan hari. Ia bermula dari 11 September sehingga 19 September 2012," katanya.

Jika Ratu Elizabeth II bersama The Duke of Edinburgh, Putera Philip meraikan sambutan Jubli Intan dengan melawat ke beberapa daerah di United Kingdom (UK) dan Ireland Utara, ahli keluarga diraja yang lain pula mewakili Ratu Elizabeth II dengan berkunjung ke negara-negara luar.

Buktinya, kehadiran Putera William dan Catherine di Singapura yang mendapat kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1963. Kemudian, pasangan itu singgah ke Malaysia, Kepulauan Solomon, Melanesia yang terletak di timur Papua New Guinea dan menamatkan lawatan di Tuvalu di Lautan Pasifik.

Pasangan diraja itu tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 11 September 2012, sekitar pukul 2 petang. Agenda pertama yang dilakukan ialah berkunjung ke Taman Botanikal Singapura. Di sana, William dan Catherine berpeluang melihat bunga orkid yang diberi nama nendanya, Ratu Elizabeth II. Kali terakhir Ratu Elizabeth melawat negara itu enam tahun lalu.

Orkid Puteri Diana

Paling mengujakan, bunga orkid putih jenis Dendrobium Memoria diberi nama Puteri Diana. Puteri Diana, ibu kepada Putera William maut akibat kemalangan jalan raya di terowong Pont de l'Alma, Paris pada 31 Ogos 1997.

"Pemberian nama Puteri Diana pada orkid ini dilakukan sekitar bulan September 1997 memandangkan pada bulan itu mendiang dijadualkan melawat Singapura. Malangnya, hasrat kami untuk menunjukkan bunga orkid ini kepada beliau tidak terlaksana.

"Namun dengan kehadiran Putera William bersama isteri sekurang-kurangnya menunaikan janji Puteri Diana. Bunga orkid putih ini antara orkid yang paling popular dan diminati ramai," jelas Pengurus Taman Botanikal Singapura, Alan Tan Chye Soon.

Selain mengunjungi Taman Botanikal Singapura, pasangan diraja itu turut meluangkan masa bersama Presiden Singapura, Tony Tan dan isteri, Mary Chee. Mereka juga berkesempatan bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong serta isteri, Ho Ching di Istana Presiden.

Putera William dan Catherine berkahwin pada bulan April 2011. Kedua-dua pasangan itu membuat lawatan ke Strathmore Green, Queenstown dan pusat seni terapi di Rainbow Centre. Pewaris ketiga takhta diraja Britain, Putera William semalam menyatakan hasrat mahukan dua orang anak dalam keluarga mereka. Putera William, 30, berkata demikian semasa ditanya oleh seorang kanak-kanak lelaki ketika melawat kawasan komuniti di Queenstown mengenai bilangan anak yang beliau impikan.

Ucapan awam Catherine

Akhbar MailOnline melaporkan bahawa putera berkenaan yang memakai gelaran Duke of Cambridge menjawab tanpa teragak-agak: "Dua."

PUTERA WILLIAM (kanan) dan isterinya, Catherine melawat Memorial Peperangan Kraji pada hari kedua lawatan di Singapura.


Dalam pada itu, kedua-duanya berkenan berangkat ke majlis pelancaran enjin pesawat dan bilah kipas yang julung-julung kalinya dihasilkan di Singapura.

Selain itu, Putera William dan Catherine berkenan mengunjungi Memorial Peperangan Kraji. Ia merupakan tanah perkuburan yang menempatkan mangsa-mangsa terkorban sewaktu mempertahankan Singapura dan Malaya daripada serangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, bercakap mengenai aktiviti yang dilakukan Putera William dan Kate sepanjang berada di Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Simon Featherstone memberitahu, rakyat tempatan menjadi penonton pertama di luar Britain yang berpeluang mendengar ucapan awam oleh Kate.

"Duchess of Cambridge akan menyampaikan ucapan kepada kakitangan dan pesakit ketika melawat Hospis Malaysia. Ini kali kedua Catherine berucap di depan khalayak, tetapi pertama kali di luar UK," terang Featherstone yang turut memberitahu orang ramai berpeluang melihat pasangan diraja Britain itu dengan lebih dekat di Taman KLCC hari ini.

Di taman berkenaan, Putera William dan Catherine akan menyaksikan persembahan kebudayaan khas yang penuh warna-warni.

Selain itu, pasangan diraja tersebut juga dijadualkan berkenan menghadiri jamuan rasmi di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah serta jamuan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana pada hari pertama lawatan mereka.

"Pasangan diraja ini akan berlepas ke Sabah pada hari kedua selepas Jamuan Teh Jubli Intan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Kuala Lumpur. Mereka dijadual melawat hutan hujan tropika Lembah Danum bagi menyaksikan usaha pemuliharaan hutan terbabit.

Kunjungan ke Tuvalu

Sementara itu, menurut penganalisis, diplomatik dan koresponden diraja British Broadcasting Corporation (BBC), Peter Hunt menyatakan, ini bukanlah kali pertama Putera William dan Catherine melakukan kunjungan rasmi ke negara-negara luar.

"Selepas dua bulan mendirikan rumah tangga, Putera William dan Catherine membuat lawatan rasmi ke Kanada," ujar Hunt.

Hunt menyifatkan inisiatif kedua-dua pasangan diraja itu melakukan kunjungan rasmi ke negara-negara Komanwel jelas menunjukkan mereka begitu menjaga hubungan dua hala.

Misalnya, di Tuvalu, Putera William lebih cenderung untuk mengetahui bagaimana masyarakat tempatan menjalani kehidupan seharian memandangkan ia salah sebuah negara yang terjejas akibat pemanasan global. Kali terakhir Tuvalu menerima kunjungan rasmi daripada Ratu Elizabeth II bersama Duke of Edinburgh kira-kira tiga dekad lalu.

"Sementara itu, masyarakat di Kepulauan Solomon pula baru saja pulih daripada konflik sivil yang membawa pada ambang kejatuhan dan kemusnahan negara berkenaan," terang Hunt mengenai situasi di Kepulauan Solomon dan Tuvalu yang merupakan antara negara Komanwel.

Generasi muda pejuang nasib alam

Posted:

Generasi muda pejuang nasib alam

MASIH segar dalam ingatan Sarah Aida Mihamed Mustak, 17, pada kehijauan alam semula jadi di sekitar kediamannya ketika dia kecil. Ketika itu, dia yang tinggal di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam sering menjadikan landskap di sekeliling taman perumahannya sebagai tempat bermain.

"Saya ingat lagi keadaan ekosistem hutan di sekitar tempat tersebut sangat kaya. Saya selalu juga terserempak dengan monyet dan pokok-pokok buah. Suasana persekitarannya juga lebih sejuk, nyaman dan redup. Kini, semuanya sudah tiada," ujarnya kecewa.

Tambah Sarah, lebih menyedihkan apabila adik-beradiknya sendiri kini sudah tidak berpeluang melihat persekitaran semula jadi yang pernah dia saksikan sebelum ini. Hal itu seringkali membuatkannya berasa tidak puas hati.

Keresahan itu ternyata bukan dalam fikiran Sarah seorang. Bagi Nur Irsalina Sulzaily, 17, dia juga mempunyai pendapat dan pengalaman yang hampir sama.


KEMPEN alam sekitar tidak berbaloi jika kesedaran untuk memelihara hutan tidak dipelihara. - Gambar hiasan


Pemusnahan hutan

"Hutan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan sekali gus membekalkan oksigen, memberi kenyamanan dan memainkan peranan tambahan yang lebih daripada itu.

"Apabila pemusnahan berlaku untuk tujuan pembangunan, memang ada alasan pro dan kontra tetapi janganlah sehingga ia mengganggu ekosistem seterusnya membawa kepada kekurangan sumber semula jadi," katanya yang turut dipersetujui rakan sebaya, Nik Norizzati Nik Adnan dan Annisa Shafiqah Shahrin.

Keempat-empat mereka ialah antara lapan orang pelajar yang digelar Wira Alam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong (SMKBJ), Shah Alam. Mereka termasuk dalam kumpulan 31 orang Wira Alam dari seluruh negara yang terpilih ke peringkat kebangsaan untuk memberi input mengenai isu pemusnahan hutan.

Jika boleh dihurai maksud keresahan kata-kata yang terpacul daripada mulut anak-anak muda itu, ternyata boleh dirumuskan sesuatu. Mereka semua sedar akan tanggungjawab besar bagi menangani masalah kemusnahan alam sekitar yang makin berleluasa kini.


MENYEDIHKAN apabila hutan turut dijadikan lokasi pembuangan sampah oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab.


Berdasarkan isu tersebut, pelajar-pelajar berkenaan menyuarakan isi hati mereka melalui pemahaman, pengalaman, pendedahan dan keprihatinan masing-masing. Hal yang sangat dibanggakan adalah semangat dan kebangkitan mereka untuk menyertai program berkaitan alam sekitar seterusnya mencetus kesedaran umum terhadap topik itu.

Program yang disertai 31 orang Wira Alam itu adalah sempena acara Boh Forest Friends (BFF) yang diadakan di SMKBJ baru-baru ini. Sekolah tersebut menjadi contoh kerana para pelajarnya bersama guru-guru giat mengambil bahagian dalam projek Wira Alam.

"Sekolah kami menumpukan kepada kebitaraan sekolah iaitu keutamaan kepada konservasi alam sekitar. Projek BFF ini bertepatan dengan visi sekolah ini dan pihak luar membimbing pelajar iaitu generasi penentu masa depan dalam mengembang ilmu mengenai alam sekitar," kata Pengetua SMKBJ, Aishah Siden.

Sekolah itu jelas mengutamakan konsep hijau. Buktinya, lokasi program itu sendiri dilangsungkan di dewan terbuka tanpa pendingin hawa dan dikelilingi landskap hijau dan hembusan udara segar. Sekolah tersebut juga sinonim dengan Wira-Wira Alam yang dibentuk melalui Kelab Pencinta Alam sekolah.


PROJEK menanam pokok menjadi sebahagian daripada program konservasi alam sekitar BOH Forest.


Kualiti hidup manusia

Pada majlis berkenaan, BFF turut mengadakan program menanam pokok dan gotong-royong oleh pihak Boh Plantation Sdn. Bhd., disertai Ketua Pegawai Eksekutif, Caroline Russell.

Dalam pertemuan bersama media beliau memberitahu, bencana alam atau masalah alam sekitar seperti tanah runtuh dan pemusnahan hutan boleh mengganggu kualiti kehidupan manusia yang saling bergantungan dengan ekosistem.


MUSIBAH banjir antara kesan daripada pemusnahan hutan dan pembangunan tidak terancang.


"Sebagai salah sebuah negara diversiti mega yang amat menghargai kekayaan flora dan fauna, dengan hutan paya bakau yang lebih tua daripada hutan Amazon iaitu 130 juta tahun usianya, penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap rasa pemilikan dan tanggungjawab terhadap alam semula jadi."

Caroline menggambarkan hutan sebagai harta pusaka yang dipinjam daripada generasi kanak-kanak dan menjadi kebimbangan dan keutamaan program tanggungjawab sosial korporat pihak Boh.

Sehubungan itu, pihaknya bertekad untuk memastikan kanak-kanak dan pelajar sekolah terlibat dalam usaha sama pihak Boh, Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan sekolah masing-masing dalam menjayakan program mendidik kepentingan hutan serta berhadapan isu pemusnahan hutan.

"Sasaran kami ialah pelajar sekolah menengah dari 100 sekolah. Melalui program ini, BFF akan melalui dua peringkat iaitu perjumpaan pelajar di sekolah dan penyertaan pelajar dalam pertandingan Hutan Maya Boh," ujar Caroline.


KIRI. Kepesatan bandar raya memaksa pembangun untuk meneroka lebih banyak kawasan sekitar untuk tujuan komersial.


Boh mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah peserta dengan membimbing pelajar mengenai pemusnahan hutan dan impak kepada alam sekitar. Pelajar juga ditawar dengan tip dan penerangan untuk menjadi pengaruh positif dalam kalangan rakan-rakan serta komuniti bagi menyumbang ke arah penjagaan alam sekitar.

Fasa kedua pula, Boh melalui BFF menganjur pertandingan yang bermula pada 18 Julai yang lalu untuk menilai kefahaman mereka mengenai isu pemusnahan hutan melalui alam maya. Setiap jawapan yang betul akan membawa pelajar ke arah hutan maya yang lebih kaya.

Di peringkat akhir, mereka akan disudahi dengan pakej hutan yang lengkap di samping hadiah-hadiah bulanan menarik kepada pelajar dan sekolah peserta.

Dalam pada itu, Pengarah Konservasi WWF Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna yang turut bersama dalam menyokong dan bekerjasama bersama BFF turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu alam sekitar dan penghargaan kepada Boh serta sekolah terbabit atas usaha murni tersebut.

Kata beliau, 1.6 bilion manusia bergantung kepada hutan dan ia menjana pendapatan yang sangat memberangsangkan. Pada tahun 2004 sahaja, perdagangan produk perhutanan sahaja mencapai kira-kira AS$327 billion (RM1021.7115 bilion).

"Kekayaan ini menghadapi ugutan apabila lebih 1,300 kilometer persegi hutan dimusnahkan begitu sahaja menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," ujar Dr. Sundari menyampaikan kekecewaan merujuk kepada pemusnahan hutan global setiap tahun.

Katanya lagi, di samping bekerjasama dengan Boh, WWF Malaysia turut aktif dengan pelbagai program khas sama ada khusus kepada pemusnahan hutan atau alam sekitar secara keseluruhan, disasarkan kepada semua orang.

Langkah bantu pencari suaka

Posted:

Langkah bantu pencari suaka

MARTHA mengajar kemahiran asas memasak kepada pencari suaka yang menginap di rumahnya.


SELEPAS 22 hari meredah lautan dan ditahan lebih lima bulan dalam usaha melarikan diri dari negaranya, Sri Lanka, seorang pencari suaka, Jeevan Nanthakumar kini boleh menarik nafas lega.

'Perjalanan panjang' itu bukan sahaja sudah berakhir malah dia kini selesa menetap bersama keluarga angkat di Australia.

Nanthakumar memberi alasan meninggalkan keluarga dan negaranya pada Januari lalu kerana berhadapan masalah dengan kerajaan di samping keberadaan musuh-musuh di sekelilingnya.

"Saya pergi ke India. Di sana, saya berjaya mendapatkan bot dan meredah lautan selama 22 hari. Ia cukup azab. Saya pernah tidak makan dan minum selama lima hari," dakwanya lelaki berusia 26 tahun itu.

Bot itu kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia. Dia dan kesemua penumpang telah dihantar ke sebuah wilayah terpencil di Australia di Pulau Krismas selama seminggu sebelum ditempatkan di pusat tahanan di Queensland.

Nanthakumar merupakan salah seorang daripada 7,000 pencari suaka yang tiba di Australia pada tahun ini.

Aliran rekod terbaharu menunjukkan pertambahan pencari suaka di pusat-pusat tahanan selepas dasar menahan dan menempatkan golongan itu di wilayah terpencil di Kepulauan Pasifik dilaksanakan semula.

Canberra berharap langkah itu akan mengurangkan kehadiran pencari suaka di negara itu yang rata-ratanya berasal dari Afghanistan, Sri Lanka, Iran dan Iraq. Mereka itu semua menyeludup masuk dari sekitar Asia Tenggara melalui jalan laut.

Program homestay

Dalam usaha mengukuhkan sistem yang dilaksanakan ketika ini, parti Buruh yang berhaluan kiri telah melancarkan program homestay yang membolehkan pencari suaka ini menetap bersama keluarga angkat sehingga permohonan mereka selesai diproses.

Penginapan jangka pendek itu ditawarkan selepas pencari suaka berkenaan keluar dari pusat tahanan imigresen. Mereka lazimnya akan mendapatkan visa sementara seterusnya mencari jalan untuk memulakan kehidupan baharu dalam masyarakat.

"Kami membantunya sejak awal. Suami saya menghantarnya menghadiri mesyuarat Palang Merah dan menunjukkan cara untuk pulang ke rumah dengan menaiki kereta api," kata Martha, seorang profesor yang sudah bersara.

Dia dan suaminya, Phillip, membantu memberi perlindungan kepada Nanthakumar.

Pencari suaka tidak dibenarkan menggunakan nama keluarga mereka di bawah dasar privasi Rangkaian Homestay Australia, sebuah organisasi yang biasanya membantu rumah penuntut-penuntut antarabangsa.

"Kami juga memberi amaran dia tidak perlu bekerja sekiranya menerima gaji yang kurang daripada paras minimum yang ditetapkan," katanya.

"Selain itu, dia sudah pandai berdikari. Dia telah menemui beberapa komuniti Tamil dan rumah untuk diduduki nanti," katanya.

Nanthakumar menghabiskan masa selama dua minggu bersama keluarga Martha di rumah mereka yang terletak di utara Sydney sebelum menetap bersama rakan-rakannya dalam komuniti masyarakat Tamil di negara itu.

Martha berkata, dia melibatkan diri dalam program itu kerana bimbang akan nasib pencari suaka, yang rata-ratanya menjadi mangsa akibat peperangan dan penindasan.

PENCARI suaka ini berdiri di dalam biliknya yang disediakan oleh Martha dalam program penginapan sementara buat pencari suaka.


Memahami situasi

"Dengan menyertai organisasi Amnesty International, kami terlibat dalam menangani masalah pelarian dan program ini sedikit sebanyak membantu kami memahami situasi mereka.

"Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada kami bertemu masyarakat pelbagai negara di seluruh dunia dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

"Secara tidak langsung, anak saya juga turut mendapat manfaat untuk belajar dan memahami perkembangan yang berlaku di seluruh dunia," jelas Martha.

Sehingga kini, terdapat lebih 150 pencari suaka yang ditempatkan bersama keluarga angkat di Australia, bagi tempoh maksimum sehingga enam minggu seperti yang ditetapkan oleh Australian Homestay Network.

Pengerusi eksekutifnya, David Bycroft, yang sebelum ini sering bekerjasama dengan jabatan imigresen berkata, organisasi itu dirangka untuk membantu pencari suaka menjalani kehidupan baharu di negara itu.

"Keluarga-keluarga angkat ini membimbing mereka menggunakan pengangkutan awam, membuat akaun bank dan mengisi borang perubatan.

"Kami melakukannya secara sukarela, apa yang penting semua pencari suaka yang tiba di negara ini dapat dibantu," katanya.

Keluarga-keluarga angkat ini dibayar sebanyak AS$145 (RM448) setiap minggu bagi menampung kos yang dikeluarkan.

"Kamu tidak akan melakukannya sekiranya kamu mahu mencari keuntungan daripadanya," tambah Bycott.

Untuk melayakkan mereka tinggal bersama keluarga angkat, pencari suaka ini mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan pleh Jabatan Imigresen dan terbuka kepada mereka yang telah memperolehi visa sementara.

"Di samping itu, kami juga menekankan tahap kesihatan, identiti, karakter, risiko keselamatan dan tingkah laku lampau mereka," kata seorang jurucakap daripada jabatan imigresen.

Sejak dilaksanakan pada tahun ini, jabatan itu telah mengeluarkan hampir 3,400 visa sementara kepada pendatang tanpa izin yang tiba melalui jalan laut, membenarkan mereka menjalani kehidupan dan bekerja di Australia sehingga proses dokumentasi visa mereka selesai. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved