Rabu, 26 September 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Medan uji kemahiran perang

Posted:

Medan uji kemahiran perang

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

KOMANDER medan telah memberikan arahan. Serangan taktikal perlu dilakukan terhadap pasukan pengganas yang berkubu di hutan simpan yang terletak di Selangor itu.

Sebuah pasukan khas dari unit Bravo telah dikerahkan ke kawasan itu dengan menaiki helikopter.

Tugas mereka adalah untuk menyusup masuk ke kawasan musuh dan menggempur saki-baki pengganas yang ada.

Menurut maklumat risikan, kumpulan pengganas yang dianggarkan seramai 10 orang itu telah berkubu di kawasan itu sejak seminggu lalu.

Mereka dipercayai merancang untuk melakukan huru-hara di pusat bandar raya dan melakukan pemberontakan terhadap pemerintah negara.

Sebaik menerima isyarat, pasukan Bravo yang telah memantau pergerakan musuh selama 24 jam pantas memulakan serangan.

Dalam sekelip mata keadaan berubah menjadi tegan. Bunyi tembakan jelas kedengaran di sana sini.

Serangan mengejut yang dilakukan menyebabkan kumpulan pengganas tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi untuk mempertahankan kubu mereka.

PELBAGAI misi dan senario yang ditawarkan di dalam woodsball menjanjikan cabaran kepada setiap peserta.


Seorang demi seorang anggotanya tumpas terkena sasaran bidikan pasukan Bravo yang sememangnya sudah bersedia dan mahir tentang selok-belok hutan di situ.

Suasana akhirnya menjadi tenang kira-kira 30 minit kemudian, tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Sebaliknya yang kelihatan, hanyalah kelibat anggota pasukan khas yang berkawal di beberapa penjuru mengawasi keadaan.

Detik-detik mencemaskan itu bukanlah peperangan sebenar atau siri eksesais ketenteraan pasukan keselamatan, sebaliknya hanyalah salah satu aksi permainan woodsball (woods paintball) atau juga dikenali sebagai recball (recreational paintball).

Mengambil lokasi di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), Paintball Valley yang dibuka pada tahun 2007 menjanjikan pengalaman pertempuran bersifat ala ketenteraan di dalam hutan.

Pengarah Urusan Paintball Valley, Roslim Abu berkata, woodsball merupakan asas permainan paintball sebelum permainan speedball (paintball padang) diperkenalkan.

"Umumnya, ia masih mengekalkan format asas sukan paintball melalui penggunaan peralatan seperti paintball marker (senjata), paintball (bebola cat), hooper (bekas peluru), topi muka dan tank (tabung angin).

"Bagaimanapun woodsball dilihat lebih lasak dan mencabar berbanding speedball kerana setiap peserta terdedah kepada pelbagai persekitaran dan bentuk muka bumi di dalam hutan.

"Pada masa yang sama, senario-senario permainan yang ditetapkan memaksa peserta lebih mahir dan kreatif dalam mengatur strategi bagi menumpaskan pasukan lawan," katanya.

UMPAMA peperangan sebenar, woodsball menjanjikan keseronokan kepada peminat sukan paintball yang dahagakan aksi lasak dan ekstrem.


Darjah kesukaran

Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, Paintball Valley menawarkan lapan lokasi pertempuran yang mempunyai darjah kesukaran berbeza mengikut tahap kemahiran para peserta.

Antaranya ialah Arcadia, Scorpion Nest, Sacred Valley, Bukit Kepong dan Solar House dan Monkey Rest.

Tambah Roslim, sebelum sesi permainan bermula setiap peserta diwajibkan mengikuti taklimat berhubung soal keselamatan dan peraturan permainan.

"Antara disiplin utama sukan ini ialah pemakaian topeng muka sepanjang berada di lokasi pertempuran.

"Di samping itu, mereka yang mempunyai masalah kesihatan juga tidak digalakkan mencubanya kecuali atas risiko sendiri," katanya yang memberitahu setiap peserta yang bermain di situ dilindungi insurans sehingga RM20,000.

Katanya, selain menyediakan lokasi pertempuran, Paintball Valley juga menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan seperti marker dan topi muka dengan bayaran tertentu.

"Tidak semua mampu membelinya, apatah lagi bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan ini.

"Bagaimanapun bagi mereka yang sudah biasa dengan permainan ini, mereka bebas membawa marker dan aksesori sendiri mengikut kesesuaian," katanya.

Tambah Roslim, bagi kemudahan pengunjung dan peserta, kawasan sekitarnya turut dilengkapi kemudahan seperti surau, pondok rehat, kafe dan tandas.

"Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Secara purata kami menerima kira-kira 50 hingga 100 pengunjung setiap minggu," ujarnya.

DENGAN sedikit bayaran pengunjung boleh menyewa pelbagai peralatan paintball yang ditawarkan di sini.


Seorang peminat, Dasrul Iskandar Darus, 33, berkata, minat mendalam terhadap bidang persenjataan dan aksesori tentera sejak dari kecil antara faktor utama dia tertarik terhadap woodsball.

Lelaki yang berasal dari Subang Jaya itu memberitahu, sejak mencubanya buat pertama kali, dia terus jatuh cinta terhadap woodsball yang disifatkan sesuai dengan jiwanya yang lasak dan mencabar.

"Dengan berpakaian ala tentera, setiap pasukan akan bertempur sesama sendiri bagi mencapai objektif dan misi yang ditetapkan pada awal permainan.

"Paling menarik, ada juga misi-misi yang memerlukan peserta menggunakan kompas dan melakar peta untuk mengesan musuh, sekali gus membuatkan saya berasa seperti berhadapan dengan peperangan sebenar," ujarnya yang bertugas sebagai pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Menubuhkan pasukan AOD pada tahun 2009, Dasrul berkata, dia dan pasukannya turut aktif menyertai pertandingan woodsball yang diadakan di seluruh negara.

Antara pertandingan yang pernah disertai ialah Ultimate Woodsball League (2010), Tactical Paintball Championship (2012) dan Malaysia Woodsball League (2012).

SETIAP peserta diwajibkan mendengar sesi taklimat berkaitan keselamatan dan peraturan permainan.


Rasa berbaloi

"Setakat ini saya sudah membelanjakan lebih RM5,000 untuk membeli pelbagai peralatan paintball dan aksesorinya. Biarpun ia agak mahal, namun ia berbaloi kerana keseronokan yang diperoleh sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Paling mengujakan, ia tidak sekadar memaparkan aksi tembak-menembak semata-mata, sebaliknya turut mempunyai misi tertentu seperti menyelamatkan tebusan dan menawan kubu musuh," ceritanya.

Sementara itu, bagi Zazilia Mohd. Rawi, 23, dia mengakui tidak kekok bermain woodsball yang rata-ratanya dikuasai kaum lelaki.

Pelajar jurusan perundangan di Brickfields Asia College itu berkata, biarpun sukan itu tampak ganas, namun ia tetap selamat sekiranya setiap peserta mendengar arahan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ia merupakan sukan lasak yang menuntut kemampuan mental dan fizikal yang tinggi. Bayangkan dalam tempoh permainan selama satu atau dua jam, peserta perlu berlari, melompat, menggelongsor sama ada untuk memburu musuh atau menyelamatkan diri," katanya.

Gadis yang aktif dalam sukan muay thai itu memberitahu, sukan paintball pada asasnya mampu membentuk disiplin dan semangat dalam satu pasukan.

Katanya, sebagai seorang pemain paintball, mereka bukan sahaja terikat dengan peraturan dan disiplin malah sehingga ke luar gelanggang.

"Misalnya marker perlu dileraikan setiap kali selepas permainan tamat dan tidak boleh dibawa sewenangnya kecuali semasa bermain atau menyertai pertandingan.

"Di samping itu pemain juga tidak boleh merosakkan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling mereka," katanya.

Istirehat penuh dalam rimba

Posted:

Istirehat penuh dalam rimba

Oleh NASRI JAMALUDIN

MENARA pandang yang menjadi titik fokus dalam landskap taman rekreasi ini.


SUASANA kawasan tasik yang dingin dan berlatarbelakangkan kehijauan gunung batu kapur memberikan satu kepuasan apabila bertandang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak.

Kocakan dan alunan ombak tasik membuatkan seseorang hanyut dalam dunia tersendiri sekali gus dapat menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Bunyi kicauan burung dan keletah kawanan monyet yang bergurauan serta mencari makanan dari pokok ke pokok menambahkan keceriaan kunjungan ke lokasi tersebut.

Secara tidak langsung, para pengunjung akan merasakan mereka sungguh bebas dan damai daripada segala hiruk-pikuk suasana bandar.

Bukan itu sahaja, di kawasan seluas 28 hektar itu turut terdapat pelbagai jenis bunga bougainvillea (bunga kertas) berwarna-warni dan heliconia (sepit udang) yang tentunya menambahkan lagi seri tarikan di taman tersebut.

Himpunan puluhan spesies heliconia itu menjadikannya sebagai taman terbesar yang pernah menghimpunkan spesies tersebut di Malaysia.

Ada sebahagian daripada spesies bunga itu sebenarnya sukar didapati dan hanya tumbuh liar di tengah-tengah hutan di luar negara.

BAGI pengunjung yang ingin bersiar-siar di kawasan taman berkenaan, laluan pejalan kaki turut disediakan.


Spesies istimewa

Spesies berkenaan dijadikan tanaman hiasan kerana keunikannya yang pelbagai jenis, bentuk dan saiz. Ditambah pula dengan warnanya yang terang, ia mudah menarik minat perhatian para penggemar pokok hiasan itu.

Selain pokok tersebut, pelbagai jenis tumbuhan seperti orkid dan pokok buah-buahan tempatan telah dilabel mengikut nama masing-masing untuk tujuan akademik.

Mereka yang gemar mengambil gambar pula pasti puas merakam pelbagai foto yang bakal 'menceritakan' keseronokan kunjungan kali ini.

Buat mereka yang ingin datang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, ia hanya terletak lima kilometer dari Ipoh dan kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Jika memandu dari Kuala Lumpur, pengunjung perlu membelok mengikut susur keluar ke Ipoh dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan seterusnya mengikuti arah papan tanda ke taman berkenaan.

Di taman itu, pengunjung turut berpeluang melawat ke rumah tradisional Perak, Dataran Warisan, wakaf terapung dan gerbang warisan.

PERKHIDMATAN bot siar turut disediakan untuk pengunjung mengelilingi tasik.


Daya tarikan utama taman ini ialah hamparan bukit batu kapur dan menyusuri tiga tasik bekas tapak lombong yang belum diterokai selain berehat di sebuah lagi taman yang terletak di penghujung tasik.

Di sinilah terletaknya kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan 600 orang dalam satu-satu masa dan menara pandang yang membolehkan pengunjung melihat keindahan gunung batu kapur dari jarak yang lebih dekat.

Air tasik yang tenang itu dihuni pelbagai spesies ikan air tawar khususnya lampam, kelah dan tilapia. Boleh saja memberi makan kepada ikan-ikan itu, namun aktiviti memancing adalah dilarang kecuali mendapat kebenaran khas.

Bot siar

Apalah gunanya tasik kalau tidak diterokai luas permukaannya? Untuk tujuan itu, perkhidmatan bot siar yang mengelilingi pulau sejauh 300 meter disediakan.

Menikmati suasana rimba hijau sambil disapa kesegaran tiupan angin tatkala bot meluncur di atas tasik tentunya menjadi momen yang indah. Taman rekreasi ini sememangnya mengajak tetamunya berseronok dalam gaya istirehat sepenuhnya.

Promosi pelancongan tiga dalam satu

Posted:

Promosi pelancongan tiga dalam satu

PEMANDUAN pacuan empat roda 4x4 di sekitar Kuala Selangor menjanjikan cabaran yang bukan sedikit.


PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk mempromosikan produk mahupun destinasi pelancongan di negara kita. Tanpa acara besar-besaran yang menelan belanja tinggi sekali pun, promosi tersebut boleh dilakukan contohnya melalui aktiviti memandu kenderaan pacuan empat roda.

Lebih menjimatkan jika setiap program yang diadakan digabungkan untuk beberapa tujuan.

Justeru langkah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengadakan program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan Pacuan Empat Roda (4x4), program amal bekas pekerja dan promosi pelancongan di sekitar daerah Kuala Selangor antara yang menarik perhatian.

Program Kursus Asas Pemanduan 4x4 yang diadakan itu melibatkan 24 peserta daripada pelbagai jabatan antaranya Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan sembilan jabatan lain.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan.

Antara lain program itu diadakan bagi membekalkan pengetahuan asas pemanduan pacuan empat roda kepada para petugas jabatan kerajaan, memberi sumbangan kepada pesara MDKS serta mempromosikan lokasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.

"Kursus ini berjalan lancar dan diharap para peserta program dapat memanfaatkan ilmu pemanduan pacuan empat roda di jabatan masing-masing," kata Noraini.

PARA peserta program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan pacuan empat roda 4x4, program amal dan promosi pelancongan anjuran MDKS.


Menurutnya, acara seumpama itu juga diharap dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan sokongan pihak penaja.

Sesi latihan pemanduan 4x4 itu turut diisi dengan pengetahuan mengenai teknik-teknik pemanduan asas termasuk teknik winching, melalui jambatan, menukar tayar dan teknik pemanduan malam.

Program Prihatin Bersamamu

Jurulatih kursus tersebut, Wan Othman Wan Salleh daripada One Ten Adventure Sports berkata, sebahagian peserta kursus itu didedahkan cara yang betul tentang pengendalian kenderaan pacuan empat roda.

"Ia supaya mereka mengenali fungsi kenderaan yang dipandu, tidak merasa ragu-ragu dan dapat mengawal kenderaan dengan baik dalam apa keadaan sekali pun termasuk ketika melalui lereng bukit," ujar Wan Othman.

Selain itu, katanya, dalam teknik pemanduan malam, para peserta diajar untuk memantau penglihatan dan pergerakan di kawasan hutan yang gelap, di samping menerapkan elemen disiplin serta kerjasama dalam kumpulan.

Dalam program Prihatin Bersamamu MDKS pula, sebanyak 13 jentera pacuan empat roda berkonvoi menuju ke rumah kediaman 10 pesara MDKS.

PESERTA kursus pemanduan pacuan empat roda 4x4 turut singgah di perkampungan Orang Asli.


Bekas pesara itu dipilih untuk menerima sedikit sumbangan sebagai menghargai bakti mereka sepanjang berkhidmat di beberapa jabatan di MDKS.

Pada kunjungan itu, mereka menerima hamper barangan keperluan dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,000 yang disumbangkan syarikat Naza Quest Sdn. Bhd.

Kelip-kelip Kampung Kuantan

Sementara itu, program terakhir adalah promosi destinasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.

Lokasi yang dipilih ialah kelip-kelip Kampung Kuantan. Para peserta, pegawai dan wakil media berpeluang melihat kelip-kelip yang menjadi keistimewaan dan produk signatur kawasan Kuala Selangor itu.

Menariknya, sepanjang program itu berlangsung, sebuah jenama baharu bagi jentera 4x4 keluaran Chevrolet iaitu Chevrolet Colorado telah digunakan bagi tujuan pandu uji.

Jentera itu merupakan pacuan empat roda di bawah kategori trak pikap yang sesuai untuk pelbagai fungsi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved