Ahad, 26 Ogos 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Pengertian merdeka dari kaca mata orang bandar

Posted:

Pengertian merdeka dari kaca mata orang bandar

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KELIHATAN seorang lelaki sedang tekun melukis di pintu masuk monumen bersejarah negara iaitu Tugu Negara. Apabila melihat hasil kerja lelaki tersebut yang digantung bersebelahannya, setiap lukisan berkisar tentang tempat-tempat menarik di Malaysia. Tidak ketinggalan corak-corak yang melambangkan kebudayaan di negara kita.

"Ini merupakan salah satu cara bagi saya mempromosikan Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya kepada pelancong yang berkunjung ke Tugu Negara setiap hari. Kebanyakan lukisan saya dibeli oleh pelancong dari seluruh dunia," kata seorang pelukis jalanan, Azmi Abdullah, 46.

Menjadikan pusat pelancongan tersebut sebagai tempat untuknya mencari rezeki sejak tiga tahun lalu, Azmi ternyata gembira dengan jalan hidup baharu yang dipilih olehnya.

Dengan semangat kecintaannya terhadap negara, beliau bebas berkarya dengan menjadikan ikon-ikon negara seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kampung Baru dan pelbagai lagi sebagai subjek utama dalam penghasilan lukisannya.

Menurut Azmi, setiap karya lukisannya turut menjelaskan gambarannya sendiri mengenai kemerdekaan negara serta perspektif beliau menilai kemerdekaan melalui pengalaman hidupnya.

"Saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang, bahkan perubahan kehidupan saya juga merupakan pengertian kemerdekaan yang utama buat saya untuk menjamin kelangsungan hidup saya dan keluarga.

"Saya mahu setiap pendapatan saya untuk diberi kepada keluarga datang daripada sumber yang bersih tanpa melibatkan sebarang korupsi," ujarnya yang dahulu mempunyai kerjaya sebagai seorang kontraktor projek pembangunan selama 18 tahun di ibu negara.

Jelasnya, pengertian merdeka sudah dikecapi olehnya kerana beliau kini tidak lagi bekerja dibawah telunjuk majikan dan segala apa yang diperoleh kini merupakan hasil usahanya sendiri walaupun pendapatan hariannya tidak semewah dahulu.

Tingkatkan patriotisme

SEPANJANG Bulan Kemerdekaan seluruh ibu kota selalunya bertukar wajah apabila Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh rasa bangga.


Bagi seorang Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara SME Telekom Malaysia (TM), Josephine Lau Lee Wen, 24, pandangan beliau mengenai kemerdekaan negara mahupun untuk dirinya sendiri, ternyata berbeza dengan persepsi Azmi.

Setiap kali tanggal 31 Ogos muncul beliau akan bersiap-sedia untuk melaungkan ayat keramat 'Merdeka, Merdeka, Merdeka' tepat pada pukul 12 tengah malam bersama-sama rakan-rakannya yang lain.

"Tahun lepas, saya dan rakan-rakan berkunjung ke pusat beli-belah Sunway Pyramid untuk menyambut kemerdekaan. Di sana, saya lihat pelbagai kaum berkumpul bersama dan saya juga mengambil kesempatan itu untuk bertukar-tukar pendapat mengenai sejarah kemerdekaan bersama mereka.

"Selain daripada melihat pertunjukan bunga api dan melaungkan merdeka, saya juga berterima kasih kepada pemimpin dan pejuang negara yang telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kemerdekaan daripada cengkaman British suatu ketika dahulu," ujar anak jati Sarawak itu.

Baginya sambutan kemerdekaan sememangnya harus dirayakan setiap tahun, bahkan Josephine berharap kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan inisiatif tambahan seperti menggandakan papan-papan tanda mengenai kemerdekaan dan pertandingan bertemakan merdeka kepada golongan muda. Ia bagi menyuntik lagi kesedaran dan kefahaman mereka mengenai kemerdekaan negara.

"Seperti saya sendiri, pengetahuan mengenai kemerdekaan banyak saya peroleh ketika berada di bangku sekolah. Apabila melangkah ke alam pekerjaan, semangat kecintaan terhadap negara semakin berkurang kerana suasana persekitaran tidak mempunyai ciri-ciri yang mengingatkan saya kepada sejarah kemerdekaan negara," jelasnya.

Mempertahankan kemerdekaan

Sementara itu, wakil Pusat 1Malaysia Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Tengku Zuhri Abd. Aziz, 35, pula memberitahu, cerita mengenai penglibatan datuk beliau, Raja Zainal Abidin, 94, dalam memperjuangkan kemerdekaan ketika era penjajahan British menuntut beliau untuk lebih meminati sejarah kemerdekaan negara.

"Sejak dari kecil sehingga kini, datuk saya sering berkongsi pengalaman pahit dan manis beliau sebelum serta selepas merdeka. Menurut datuk saya, kemerdekaan negara diperoleh tanpa pertumpahan darah dan ia berjalan secara diplomatik.

"Ketika itu datuk saya bertugas sebagai Pegawai Daerah di Perlis dan pada tanggal 31 Ogos 1957, datuk saya antara individu yang terlibat dengan upacara laungan kemerdekaan di Perlis pada ketika itu," ujarnya yang kini dalam perancangan untuk mengadakan beberapa program kemerdekaan anjuran Pusat 1Malaysia Lembah Pantai.

SAMBUTAN ambang merdeka diraikan penuh meriah oleh seluruh warga kota. - Gambar hiasan


Ketika ditanya pendapat beliau mengenai kesedaran golongan muda tentang kemerdekaan negara, beliau beranggapan golongan belia masa kini kurang menjiwai semangat kemerdekaan walaupun ia disambut setiap tahun.

Katanya, golongan muda kini kurang dapat merasai momen bersejarah mengenai kemerdekaan negara kerana mungkin tidak mempunyai maklumat dan informasi yang mendalam mengenai peristiwa 55 tahun dahulu.

"Sebagai contoh, golongan muda lebih dapat merasai momen atau bahang kemenangan Datuk Lee Chong Wei dalam temasya Sukan Olimpik 2012 kerana ia berlaku pada masa kini berbanding detik kemerdekaan.

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting untuk golongan muda hari ini adalah mengisi dan mempertahankan kemerdekaan negara tersebut. Ia penting agar Malaysia tidak kembali dijajah atau berpecah-belah," katanya.

Hartanah mewah di Equine Selatan

Posted:

Hartanah mewah di Equine Selatan

Oleh NIZHA PERIASWAMY

IMEJ lakaran bangunan kondo Zeva yang bakal dibina oleh Kumpulan Trinity.


BERLOKASI di Bandar Putra Permai, Sri Kembangan, Selangor dan berhadapan dengan pusat beli-belah AEON Jusco Equine Park, pemaju perumahan Kumpulan Trinity memajukan sebuah lagi hartanah berstatus mewah.

Zeva@Equine South (Zeva) menawarkan konsep perumahan urban terbaharu dengan pengalaman holistik dan penuh lengkap untuk pembeli yang sedang merancang mendiami satu lokasi strategik.

"Kami mahu memperkenalkan satu pembangunan bercampur di Zeva membabitkan 15 tingkat apartmen perkhidmatan dan sebuah bangunan 20 tingkat blok apartmen studio," kata Pengarah Urusan dan Pengasas Kumpulan Trinity, Datuk Neoh Soo Keat.

Sejumlah 446 unit apartmen perkhidmatan, 320 unit apartmen studio dan 12 unit runcit ditawarkan Zeva. Saiz apartmen Zeva bermula daripada 81.85 meter persegi dengan harganya pula bermula dari RM350,000 seunit.

Elemen hijau

Dengan penyampaian konsep urban moden dalam persekitaran tropika, semua kemudahan di Zeva mudah diakses dengan sistem keselamatan yang rapi. Dipasang kamera litar dengan operasi 24 jam, semua pintu masuk disediakan kawalan kad akses.

"Kami tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Itu antara sebab mengapa Zeva dilihat satu pembangunan perumahan yang serba lengkap untuk sesiapa sahaja, baik pasangan baru berkahwin, keluarga, pelajar mahupun golongan profesional," ujar Soo Keat lagi.

Dari segi kemudahan, apartmen perkhidmatan Zeva bakal dibina dengan kolam renang berukuran saiz Olimpik iaitu 50 meter yang direka khas di atas tingkat atas sebagai penambah nilai kepada penghuni kelak sama ada untuk berekreasi, menghilangkan tekanan selepas waktu kerja atau bersenam dalam persekitaran yang paling ideal.

Di samping itu, setiap blok tersebut juga mempunyai koridor yang akan memudahkan pengaliran udara secara baik, cahaya yang mencukupi dalam bangunan, tidak ketinggalan juga laman tiga tingkat yang akan menghijaukan lagi bangunan tersebut.

"Semua konsep yang direka untuk Zeva menitikberatkan elemen hijau dan persekitaran yang selesa," ujar Soo Keat.

Selain daripada semua kemudahan yang disenaraikan, kemudahan umum lain seperti kafetaria, dewan serbaguna, kawasan barbeku, dobi, pusat jagaan kanak-kanak, taman permainan dan lain-lain turut disediakan.

Bagi apartmen perkhidmatan, ia didatangkan dalam empat pilihan unit iaitu unit dua atau tiga bilik dengan kawasan bermula daripada 81.85 hingga 142.7 meter persegi.

Dalam pada itu, blok studio Zeva pula akan berlokasi di antara Jalan Putra Permai dan Persiaran Pinggiran Putra sekali gus memberi impak pemandangan visual yang terbaik di kawasan itu.

Bakal memiliki kafe taman dengan dilengkapi kemudahan sistem Wi-Fi, unit studio apartmen Zeva diperkenalkan dengan saiz bermula 42.27 meter persegi.

Bercakap mengenai jaringan laluan jalan raya Zeva, Soo Keat berkata, ia sebuah lokasi strategik kerana sangat mudah diakses ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menerusi lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Ekspres Klang Selatan (SKVE) dan projek masa depan Lebuh Raya Ekspres Kinrara Damansara (Kidex).

Semangat raya 1Malaysia

Posted:

Semangat raya 1Malaysia

HARI Raya Aidilfitri turut diraikan penuh meriah oleh rakyat bukan beragama Islam di seluruh negara.


SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri masih hangat dirasai di sebalik kedatangan Hari Kemerdekaan hujung bulan ini. Antara dua sambutan ini, perayaan Aidilfitri oleh rakan-rakan beragama Islam dan hari kemerdekaan oleh seluruh rakyat Malaysia, saya tidak melihat apa-apa perbezaan yang ketara.

Ini kerana kedua-dua sambutan ini sudah menjadi pilihan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Saya sendiri amat teruja dengan kedatangan Syawal, sungguhpun bukan beragama Islam. Mungkin kerana pengaruh rakan sekerja dan rangkaian sosial Facebook yang kecoh dengan aktiviti sepanjang Ramadan dan bakal menyambut Syawal.

Tiba di pejabat, lagu-lagu lebaran dimainkan, semua orang sibuk bercakap mengenai menu berbuka puasa, tentang aktiviti menjelang raya, beli-belah, baju kurung, biskut dan sebagainya.

Walaupun beragama Hindu, saya tidak ketinggalan terikut-ikut untuk berbuka puasa bersama, membeli baju kurung dan malah membuat biskut. Lebih mengujakan, pada hari raya pertama, saya turut mengajak rakan-rakan untuk meraikan perayaan itu di rumah ibu bapa saya di Shah Alam.

Demikian begitu mendalam impak perayaan hari raya dalam hidup saya. Apatah lagi di rumah ibu, di Seksyen 17, Shah Alam jiran tetangga juga kebanyakannya berbangsa Melayu, maka tempias sambutan makin terasa.

Jika dahulu, Shah Alam biasanya kosong menjelang Aidilfitri, kini bandar raya metropolitan itu sudah menjadi 'kampung' kepada generasi sebaya saya yang kebanyakannya sudah berkahwin dan beranak-pinak.

Mereka kini memilih untuk pulang berhari raya di Shah Alam, rumah ibu bapa masing-masing.

Saya juga memilih untuk berbuat demikian kerana ternyata sambutan perayaan itu lebih meriah di Shah Alam berbanding di rumah saya di Pelabuhan Klang.

Sehari sebelum hari raya, saya menyibukkan diri bersembang dengan jiran-jiran yang mengemas rumah, membuat kuih-muih dan membuat persediaan memasak untuk keesokan hari.

"Dah lama tak jumpa kakak. Tahun ini, kakak beraya di sinikah?" soal saya yang dibalas dengan senyuman oleh anak jiran yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ina.

"Ya dik, kakak beraya di rumah mak. Mana ada kampung sekarang. Sejak atuk dengan nenek meninggal, kakak beraya di sini dan rumah mertua di Seremban. Lagipun mak dah tua, siapa lagi nak tolong dia," kata Kak Ina sambil mengacau rendang ayam.

Saya pula sedang sibuk memotong bawang dan menyediakan rempah untuk memasak pada keesokan hari. "Eh, adik pun beraya? Sibuk sangat buat persediaan memasak," tanya Kak Ina.

"Saya pun sambut hari raya dengan kawan-kawan. Sebab itulah saya sedang buat persiapan," balas saya tersenyum.

Sebenarnya saya mengambil peluang cuti hari raya, bukan sahaja untuk pulang ke rumah ibu di Shah Alam, bahkan turut mengajak rakan-rakan saya yang tidak menyambut perayaan tersebut dan tidak pulang ke kampung kerana bekerja untuk bersama-sama menikmati barbeku pada malam hari raya.

Tentu sekali semangat perayaan seperti ini tidak hanya terhad dalam kalangan orang Melayu sahaja. Saya akui di Malaysia, semua orang menyambut semua perayaan dan itu adalah keunikan yang hanya terdapat negara kita.

Semoga kita terus mengekalkan keunikan ini menjelang Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia!

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved