Ahad, 26 Ogos 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chong Wei masih ada peluang

Posted:

Chong Wei masih ada peluang

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

CHONG WEI masih berpeluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016.


ATAS kertas, Datuk Lee Chong Wei masih berpeluang beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Bagaimanapun, semua itu hanya akan menjadi kenyataan jika perancangan yang teratur dilakukan mulai sekarang bagi membolehkan Chong Wei beraksi sekali lagi di pentas Olimpik.

Hakikat itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Rashid Sidek.

Menurut Rashid, Chong Wei masih boleh beraksi pada Olimpik 2016 jika pemain No. 2 dunia itu bersikap selektif dengan menyertai kejohanan utama di peringkat antarabangsa.

"Prestasi Chong Wei sebenarnya sangat bagus pada tahun ini tetapi setelah dihimpit beberapa masalah kecederaan, sesi latihannya terus terganggu.

"Jadi kita perlu pilih kejohanan-kejohanan utama yang menyumbang merit (ke Sukan Olimpik) dan yang tidak penting, mungkin boleh dielakkan bagi mengurangkan risiko kecederaan yang tinggi terhadapnya.

"Chong Wei sudah berusia 30 tahun, jadi kadar proses pemulihan mungkin lambat berbanding sebelum ini.

"Jika dia berumur 20 atau 22 tahun, kita boleh asak dia lagi untuk mengikuti latihan yang lebih keras," kata Rashid kepada Kosmo! baru-baru ini.

Rashid berkata, tumpuan Chong Wei kini tidak harus tertumpu kepada misi menyumbang pingat emas Olimpik, sebaliknya lebih kepada aspek kecergasan.

"Buat masa ini, hanya (bintang China) Lin Dan dan Chong Wei sahaja yang berada di tahap yang tertinggi, (prestas) pemain-pemain yang lain masih jauh di belakang mereka.

"Selagi kita boleh mengekalkan prestasi Chong Wei dalam tempoh beberapa tahun lagi saya rasa ia sudah cukup baik.

"Apa yang paling penting sekarang, kita cuba mengelakkan Chong Wei daripada mengalami kecederaan yang serius lagi," ujar Rashid.

Sebelum beraksi pada Sukan Olimpik 2012, Chong Wei ditimpa beberapa siri kecederaan sehingga menjejaskan persiapannya bagi menghadapi temasya di London.

Ketika aksi final Seluruh England menentang Lin Dan pada Mac lalu, Chong Wei terpaksa menarik diri akibat mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Dua bulan kemudian, Chong Wei sekali lagi dirundung malang apabila mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika beraksi pada kempen Piala Thomas di Wuhan, China.

Kelantan di landasan tepat

Posted:

Kelantan di landasan tepat

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

MOHD. AFIQ (tengah) diasak penjaga gol Kedah, Helmi Eliza pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.


LALUAN Kelantan kembali cerah selepas mencatat kemenangan sulung 2-1 ke atas Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Kemenangan tersebut cukup bermakna selepas skuad The Red Warriors tewas mengejut 0-2 kepada Terengganu pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, keputusan positif yang dicatat pasukan itu cukup menggembirakan terutama ketika beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang.

Menurutnya, Kelantan nyata menguasai permaianan tersebut dengan melakukan asakan serta mencipta banyak peluang biarpun pasukan itu dilihat agak tempang tanpa beberapa tonggak utama.

"Saya gembira dengan keputusan ini terutamanya dalam tempoh 60 minit pertama kecuali kelalaian kita menyebabkan Kedah berjaya mencipta gol seawal minit kelima. Sepatutnya ia tidak berlaku kerana ini adalah perlawanan kedua.

"Kita melakukan asakan awal dan situasi itu menyebabkan kami agak keletihan pada penghujung perlawanan. Selain itu, kami juga membenarkan lawan menguasai permainan pada 20 minit terakhir tetapi kami mampu menyerap asakan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Tambahnya, selepas berjaya mendahului Kedah pada babak pertama, Kelantan bermain lebih santai dan mengawal perlawanan kecuali beberapa serangan balas pantas untuk memerangkap pemain Kedah.

"Dua perlawanan dalam tempoh tiga hari cukup memenatkan, pemain tidak boleh berlari sepanjang masa, turun dan naik. Selepas ini kita berdepan perlawanan yang cukup penting.

"Kita beraksi tanpa beberapa tonggak, Indra (Putra Mahayuddin) menghadiri perkahwinan adiknya dan ia memang dirancang sejak sekian lama dan saya tidak mempunyai pilihan kecuali memberinya pelepasan.

"Khairul Fahmi juga ada masalah kecederaan termasuk Muhammad Ghaddar dan saya tidak mahu mengambil risiko. Saya memberi mereka rehat untuk pulih sepenuhnya. Namun, keputusan ini cukup baik dan saya gembira menerimanya," ujarnya.

Mengulas mengenai pertembungan dengan ATM, Selasa ini, Hodak cukup optimis pasukannya mampu melakukan sesuatu untuk berada pada kedudukan lebih selepas melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Kami akan cuba menang, mereka mempunyai beberapa pemain kebangsaan tetapi kami pasukan yang baik. Mungkin sukar untuk memenangi perlawanan di tempat lawan tetapi kami mampu melakukannya di gelanggang sendiri.

"Saya perlu jujur, sebelum menentang Terengganu kita berdepan masalah besar. Enam atau tujuh pemain tidak beraksi pada perlawanan persahabatan, empat pemain baru kembali dari skuad kebangsaan dan sebahagiannya cedera.

"Saya rasa malam ini (kelmarin) kami beraksi dengan lebih baik berbanding ketika menentang Terengganu dan saya harap aksi kami akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya.

Selangor belum panik

Posted:

Selangor belum panik

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


BALABAN (kanan) cuba mengekang pergerakan pemain Pahang, Mohd. Fauzi pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin.


PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih belum mahu menekan 'butang' panik biarpun 'misi 33' tampak semakin samar selepas seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk 'mengibar bendera putih' kerana aksi peringkat kumpulan baharu sahaja memasuki perlawanan kedua.

"Masih terlalu awal untuk mengaku kalah, saya percaya pemain akan bangkit dalam baki perlawanan selepas ini.

"Tahun lepas (semasa mengendalikan Terengganu), saya lihat Selangor juga 'lambat panas' dalam aksi awal kempen Piala Malaysia.

"Justeru, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team sama ada di tempat lawan ataupun di gelanggang sendiri selepas ini bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak," katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan kelmarin, skuad Gergasi Merah ketinggalan menerusi jaringan penyerang pelawat, Maycon Calvalho seawal minit ke-14.

Begitupun, kelebihan skuad Tok Gajah tidak bertahan lama selepas arkitek Selangor, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik dua minit kemudian.

Pahang kembali di depan apabila Mohd. Fauzi Roslan bijak memanfaatkan hantaran Maycon pada minit ke-24 sebelum Bosko Balaban menyelamatkan maruah Merah Kuning apabila bijak menyamakan kedudukan kira-kira 20 minit sebelum perlawanan tamat.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan keputusan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan di Stadium Kuching, Rabu minggu lalu.

Pahang pula berkongsi empat mata dengan Sarawak yang sekadar seri tanpa jaringan dengan T-Team dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang sedikit kecewa dengan kegagalan pasukannya menguasai jentera tengah kelmarin turut mengakui penyerang pinjaman, Rozaimi Abdul Rahman masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal Gergasi Merah.

"Saya percaya Rozaimi akan kembali bangkit dalam beberapa perlawanan lagi, jadi berikannya sedikit masa," katanya yang turut memuji persembahan seorang lagi pemain pinjaman dari USM FC, S. Veenod.

Malam esok, Selangor akan berkunjung ke Kuala Terengganu menentang T-Team sementara Pahang akan melayan kunjungan Bujang Senang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved