Ahad, 25 Disember 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Lebih santai dan moden

Posted:

Lebih santai dan moden

Lebih santai dan moden

Oleh KURNIAWATI KAMARUDIN

BAGI pelajar sekolah atau universiti, perpustakaan bukan asing buat mereka, namun golongan yang sudah melepasi dunia itu, perpustakaan sering dibayangkan sebagai sesuatu yang membosankan.

Selain menjadi tempat himpunan buku-buku untuk dibaca dan dipinjam, suasana perpustakaan yang tidak santai serta terikat dengan pelbagai peraturan membuatkan tidak ramai yang memilih perpustakaan sebagai lokasi untuk atau menghabiskan masa lapang.

Jika masih mempunyai persepsi perpustakaan hanya untuk golongan pelajar atau ia lokasi yang membosankan, mungkin anda perlu memikirkannya semula setelah mengunjungi Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Shah Alam.

Bangunan enam tingkat dengan keluasan 18, 915 meter persegi itu, mempunyai reka bentuk dalaman gaya moden dengan warna-warna terang.

"Cuba lihat dan alami sendiri. Saya yakin satu pengalaman berbeza akan dirasakan di sini kerana kami mahu menjadikan perpustakaan ini umpama rumah kedua seperti tagline kami, My Second Home," kata Ketua Perkhidmatan Daerah Zon 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mohamed Fadzil Mohd. Fauzi yang telah berkhidmat selama sembilan tahun di PPAS.

Perpustakaan ini terletak bersebelahan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz. Suasananya cukup tenang dan mendamaikan.

Saat kaki melangkah masuk, budaya timur sudah terpancar kerana semua petugas dan pengunjung dimestikan menanggalkan kasut untuk memasuki ruang buku dan bacaan.


PERPUSTAKAAN yang berkonsepkan dalam taman ini cukup mendamaikan.


Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, selain mengekalkan budaya timur ia juga bertujuan menjaga kebersihan karpet di dalam bangunan itu. Setiap pengunjung disediakan sebuah beg untuk menyimpan kasut yang dipakai.

Keselesaan pengunjung

"Dalam tempoh empat bulan, kira-kira 145,000 pengunjung telah datang ke sini. Jumlah ini kami jangka terus meningkat dan pastinya sukar untuk menjaga kebersihan karpet jika pengunjung memakai kasut.

"Kami pilih pendekatan tidak memakai kasut untuk memastikan suasana lebih santai yang membolehkan pengguna duduk di kerusi atau atas karpet mengikut keselesaan mereka," katanya.

Di bawah sebatang pokok besar di dalam bangunan itu, kelihatan kanak-kanak kecil leka bermain dan tidak kurang yang membaca buku sambil ditemani ibu bapa masing-masing.

Warna-warna terang yang menghiasi rak-rak buku dan dinding membangkitkan suasana cukup ceria, sesuai sebagai ruang untuk kanak-kanak.

Mastura berkata, petugas perpustakaan juga turut menjalani kursus keibubapaan agar mereka boleh menguruskan kanak-kanak dan pengunjung dengan cara yang terbaik.

"Kami mahu petugas melayan kanak-kanak mahupun remaja yang datang umpama anak sendiri. Sekiranya ada yang terlihat remaja berkelakuan kurang manis, mereka boleh menegur dengan cara yang baik, malah jika ada ibu bapa yang mahu meninggalkan anak mereka di perpustakaan ini sementara mereka pergi membeli-belah atau urusan lain, kami sedia membantu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


KEMUDAHAN internet pada harga serendah RM1 untuk para pengunjung.


Di bahagian kanak-kanak juga turut disediakan zon kreatif yang membolehkan kanak-kanak mencuba bakat sebagai pembaca berita bagi meningkatkan keyakinan diri.

Selain itu, pentas penceritaan dan ruangan untuk permainan Nintendo turut disediakan.

Mastura berkata, masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan di perpustakaan ini terutama buku-buku yang masih kurang.

"Kini, kami mempunyai sekitar 190,000 naskhah buku berbanding keseluruhan rak yang boleh memuatkan 400,000 buah buku," katanya.

Dibuka tujuh hari seminggu dari pukul 10 pagi hingga 6 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan 9.30 hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad, jumlah kedatangan pengunjung menunjukkan perkembangan positif sejak ia dibuka.

"Kami tidak menyangka akan menerima kedatangan pengunjung seramai ini kerana perpustakaan ini hanya mampu memuatkan kira-kira 2,500 pada satu-satu masa, namun sekarang kami menerima sekurang-kurangnya 6,000 pengunjung pada hujung minggu dan 3,000 pengunjung pada hari-hari biasa," katanya.

PRTU yang lama terletak di Seksyen 14, Shah Alam dan lokasi baharu di Jalan Kelab Golf, Seksyen 13 ini adalah pilihan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan konsep perpustakaan dalam taman.

Penjenamaan semula

Baru-baru ini baginda merasmikan perpustakaan itu yang mula dibuka sejak 22 Julai lalu. Pada majlis tersebut, Sultan Selangor bermurah hati berkenan mengurniakan sejumlah 1,200 naskhah buku yang merangkumi pelbagai bidang antaranya kepimpinan dalam politik, sejarah, ketenteraan, sukan, muzik, kesenian dan perniagaan yang dibeli baginda di dalam dan luar negara.


ISTIMEWA. Kepada yang menitikberatkan kesihatan, boleh memanfaatkan gimnasium di Perpustakaan Raja Tun Uda.


Melakukan penjenamaan semula untuk menjadikan PRTU lain daripada yang lain, pelbagai idea dicari. Antaranya termasuklah mengunjungi beberapa kedai buku yang menjadi pilihan warga kota seperti MPH dan Kinokuniya serta mengunjungi kafe Starbucks bagi mengetahui cita rasa masyarakat hari ini.

"Kami cuba aplikasikan konsep dan kehendak masyarakat di dalam perpustakaan ini dengan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan seperti WiFi percuma dan bagi yang ingin menggunakan komputer, bayarannya hanya RM1.

"Secara tidak langsung, kelebihan-kelebihan ini dapat menggalakkan mereka terutama remaja datang ke perpustakaan dan tidak lagi ke kafe siber ataupun pusat beli-belah untuk melepak," katanya.

Mastura berkata, menjadi matlamat utama perpustakaan ini untuk membantu kerajaan mengurangkan masalah sosial dan jenayah terutama dalam kalangan remaja.

Mungkin nampak mustahil, namun menurut Mastura pihaknya berusaha menjadikan ia satu realiti.

Full content generated by Get Full RSS.

YSB platform pengkarya baharu

Posted:

YSB platform pengkarya baharu

YSB platform pengkarya baharu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


MAHANI antara individu yang aktif memperjuangkan seni tanah air.


BERSUA dengan tokoh wanita terkemuka negara, Toh Puan Mahani Idris Daim yang juga merupakan isteri kepada mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin sangat istimewa. Beliau penuh inspirasi.

Mahani bukan sahaja wanita yang penuh pesona tetapi, pengetahuannya dalam dunia seni sangat luas.

Namun, di sebalik keterujaan beliau bercerita mengenai senario seni tanah air dengan penulis pada satu pertemuan eksklusif baru-baru ini, ada kata-kata kekecewaan yang terzahir daripadanya.

"Seni Malaysia saya kira masih tidak setaraf dengan perkembangan seni negara jiran kita, Indonesia.

"Di sana, mereka bebas berkarya dan seni budaya mereka sangat luas berbanding dengan Malaysia yang harus berdepan dengan beberapa rintangan seperti politik," katanya.

Cinta Mahani terhadap seni sejak sekian lama sememangnya mewajarkan beliau melontarkan pandangan peribadinya. Beritahunya dengan penuh kesungguhan, warisan dan seni Malaysia dijulang di luar negara.

"Masyarakat antarabangsa mengagumi apa yang kita persembahkan tetapi sayangnya, orang kita sendiri seperti endah tak endah saja," katanya.

Enggan melihat plot-plot negatif itu berterusan, atas inisiatif Mahani yang tidak berbelah bagi dan didorong oleh suami tercinta, lahirlah Yayasan Seni Berdaftar (YSB).

Inisiatif

YSB kata wanita penuh karisma itu ditubuhkan pada tahun 1983 dan penaung pertama bagi yayasan itu ialah mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Cerita Mahani yang juga Pengasas dan Pengerusi yayasan, pada ketika itu, hanya ada sebuah galeri seni di Malaysia iaitu The Samad Gallery. Justeru, penubuhan sebuah lagi galeri, sememangnya sangat dialu-alukan oleh para pencinta seni.


DEKORASI dalaman yayasan ini mampu mengembalikan momen anda di kampung halaman.


Usia YSB yang menjangkau kira-kira 30 tahun itu telah meletakkan ia sebagai antara galeri yang berprestij di negara ini. Sumbangan YSB berskala besar.

"Saya sangat bersyukur apabila pusat ini telah melangsungkan banyak pameran dan beberapa kali membawa seniman luar negara terkemuka ke sini.

"Kami hantar mereka ke beberapa lokasi di Malaysia, menetap di sana selama tiga bulan dan minta mereka melukis apa saja yang mereka lihat dan rasa. Kemudian kita akan pamerkan hasil karya mereka di YSB dan di kedutaan-kedutaan tertentu," katanya.

Peranan YSB bukan sekadar sebagai galeri bahkan, sebuah pusat seni. Yayasan itu tidak hanya memfokuskan kepada hasil seni atas kanvas sebaliknya menjunjung seni persembahan warisan nenek moyang zaman berzaman.

Antaranya ialah Mak Yong yang pernah dipentaskan di New York, Amerika Syarikat (AS). Persembahan yang dinamakan A Sharmanic Journey itu antara lain menyediakan props berupa jambatan yang dibuat daripada buluh yang dijadikan simbol penjelajahan seni dari Timur ke Barat.

Langkah YSB kemudian beralih ke Jepun. Pada tahun 1990, sebuah drama tari yang dinamakan Maha Perita Doria dipentaskan di Tokyo.

Ia melakar sejarah tersendiri apabila Puteri Sayako, anak perempuan kepada Maharaja Akihito dan Maharani Michiko tampil merasmi dan berkenan untuk menonton.

Di Malaysia tidak kurang hebatnya apabila sejumlah persembahan seni telah dipentaskan di beberapa lokasi termasuk di Istana Budaya. YSB juga bertindak mempopularkan muzik klasikal di Malaysia apabila pernah menganjurkan Festival Piano Antarabangsa YSB.

Platform muka baharu

Melihat kepada prestasi YSB, pasti ramai menyangka artis-artis di bawah naungannya adalah mereka yang mempunyai nama besar. Bagaimanapun, ia adalah sebaliknya.


ARCA yang dihasilkan oleh Raja Azhar dan Norizan Muslim ini bakal membuatkan eksplorasi anda di YSB bertambah menarik.


"Yayasan sebenarnya mencari muka dan bakat baharu yang tiada nama atau tidak terkenal. Kita gilap mereka dan saya sangat mengerti mereka ini tiada platform untuk mengetengahkan karya mereka.

"Ini merupakan antara sebab utama saya menubuhkan YSB. Saya mahu bantu mereka untuk membina nama dan menjual lukisan mereka," kata Mahani.

Sama ada percaya atau tidak, pelukis arca prolifik negara, Raja Azhar Idris adalah antara artis yang dibantu oleh wanita itu.

Cerita wanita tersebut, pertemuan itu berlaku pada awal 1970-an. "Saya melihat Raja Azhar sedang khusyuk melukis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, saya merasakan dia mempunyai bakat luar biasa dan lihatlah di mana Raja Azhar sekarang," katanya penuh bangga.

Hampir 30 tahun penubuhannya, YSB berjaya melahirkan lebih daripada 100 artis tempatan. Selain Raja Azhar, nama-nama lain ialah seperti Norizan Muslim, Zulfakal Ali dan Bhanu Achan.

"Objektif saya sehingga kini masih sama iaitu menggalakkan pendatang baharu mengetengahkan karya-karya mereka. Saya menjemput pelukis-pelukis baharu ke YSB, siapa tahu kita dapat membantu mereka hingga ke persada dunia," katanya mengakhiri perbualan.

Full content generated by Get Full RSS.

Membentuk piuter sendiri

Posted:

Membentuk piuter sendiri

Membentuk piuter sendiri

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my


DI Royal Selangor di JPO pelanggan boleh mendapatkan pengalaman menghasilkan produk piuter sendiri.


ANDA mahu menjadi sebahagian Alumni School of Hard Knocks seiring dengan selebriti antarabangsa seperti Martha Stewart dan pelakon Hollywood, Mel Gibson?

Kini butik piuter terkenal, Royal Selangor membuka satu lagi ruang di penempatan terbaharu mereka di Johor Premium Outlets (JPO) untuk School of Hard Knocks. Ia merupakan ruang khas keempat di buka di rantau ini.

Sebelum ini, School of Hard Knocks hanya terdapat di Pusat Pelanggan Royal Selangor di Kuala Lumpur, Straits Quay di Pulau Pinang dan Clarke Quay di Singapura.

Sebagai menambah nilai selari dengan pembukaan butik Royal Selangor yang terkini itu di JPO, School of Hard Knocks dipercayai dapat memberikan peluang untuk orang ramai bukan sahaja membeli-belah malah, mempelajari kemahiran membuat perkakasan piuter.

"Royal Selangor terkenal dengan pelbagai produk piuter, baik dijadikan koleksi peribadi, hadiah mahupun untuk kegunaan harian. Di samping menawarkan diskaun yang menarik di butik terbaharu di JPO, School of Hard Knocks membuka satu lagi pilihan bukan berkonsep beli-belah," kata Pengurus Besar Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue.


TUKUL kayu, acuan, apron dan plat piuter disediakan oleh Royal Selangor bagi sesi School of Hard Knocks.


Dengan bayaran yang dikenakan iaitu RM60 untuk sesi 30 minit mengetuk piuter, seseorang itu dapat mempelajari kaedah tradisional untuk menyiapkan sebentuk mangkuk.

Kaedah itu dipraktikkan sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Mereka akan disediakan tukul kayu, acuan kayu dan sekeping plat piuter sebelum memulakan bengkel tersebut.

Kemudian penuntut perlu mengetuk mengikut tunjuk ajar kakitangan di butik tersebut. Sejurus mangkuk yang sempurna terhasil, ia boleh dibawa pulang untuk diguna atau disimpan sebagai koleksi.

"Kami juga akan membekalkan sijil tanda kecemerlangan mereka mengetuk dan membentuk mangkuk," kata Tien Yue bersahaja.

School of Hard Knocks di JPO berlokasi di Lot 318 dengan keluasan butik itu kira-kira 1,300 kaki persegi (120.7 meter persegi).

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved