Ahad, 25 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sumber protein ciptaan saintis

Posted:

Sumber protein ciptaan saintis

Sumber protein ciptaan saintis

SEKUMPULAN saintis di Eropah kini sedang mengkaji cara baharu menangani masalah kekurangan bekalan daging di seluruh dunia. Dikenali sebagai daging berkultur, ia membolehkan burger dan sosej dihasilkan dalam ceper-ceper makmal berbanding kaedah tradisional iaitu menyembelih haiwan-haiwan yang diternak.

Dakwa para saintis, ia mungkin adalah jawapan kepada masalah kebuluran penduduk dunia, menyelamatkan alam sekitar dan mampu menggantikan berjuta-juta nyawa haiwan.

Bagaimanapun, daging berkultur itu masih jauh perjalanannya untuk direalisasi dan harganya sudah tentu mahal.

Menurut ahli biologi vaskular Universiti Maastricht, Belanda, Mark Post, hamburger makmal pertama berharga lebih kurang euro 250,000 (RM1,058,992.77) untuk dihasilkan dan berharap lebih banyak pilihan hidangan dapat dihasilkan.

"Hasil yang pertama akan menjadi bukti bahawa konsep ini boleh berjaya. Saya percaya ia boleh dilakukan pada masa hadapan," kata Post kepada pemberita Reuters.

Sumber protein

Ia mungkin kedengaran seperti tiruan tetapi daging in-vitro dalam makmal atau berkultur adalah produk haiwan yang tulen sama seperti yang asal cuma ia tidak dalam bentuk asal.

Ia juga berbeza dengan daging tiruan yang diperbuat daripada sayur seperti soya sebagai sumber protein pengamal vegetarian.

Ramai pakar berpendapat, potensi daging tersebut mampu menyelamatkan banyak nyawa haiwan, tanah, air dan tenaga sekali gus bumi mendapat faedah yang sangat banyak.

Daging itu juga menggunakan sel-sel stem yang dituai daripada lebihan haiwan dari rumah penyembelihan. Pada peringkat awal, ia direka dengan menambah gula, asid amino, lipid, mineral dan pelbagai nutrien lain supaya dapat membiak bersama-sama.

Setakat ini, Post telah berjaya menghasilkan jalur-jalur daging yang kelihatan seperti otot berwarna pucat berukuran panjang kira-kira 2.5 sentimeter dengan lebar kurang daripada 1 sentimeter. Ia terlalu nipis sehingga cahaya boleh menembusinya.

Kata Post, lebih kurang 3,000 keping daging disusun bersama beberapa keping lemak yang juga dihasilkan dalam makmal akan memberikan anda daging berkultur pertama di dunia.

"Daging pertama dihasilkan dalam makmal akademik oleh kakitangan yang terlatih. Ia buatan tangan dengan penggunaan masa yang lama dan ketelitian pekerja menyebabkan harganya terlalu mahal," ujar Post.

Tambahnya, daging in-vitro tidak mengandungi darah dan kurang berwarna, jadi ia nampak kurang menyelerakan serta kelihatan seperti kerang.


WALAUPUN pengeluaran daging semakin meningkat, bekalan daging dunia sentiasa berdepan masalah kekurangan sumber protein itu.


Seperti kebanyakan otot, kepingan daging itu perlu diperkaya. Post telah memberi sedikit senaman terhadap daging tersebut dengan mengenakan daya tegang dan kecut dalam piring beralas Velcro supaya daging tersebut mendapat kekuatan.

Penyokong idea daging buatan manusia seperti ahli biologi, Universiti Linkoping, Sweden, Stellan Welin berkata, idea tersebut sangat baik berbanding penternakan haiwan secara besar-besaran di ladang ternakan.

Hampir semua ladang ternakan haiwan menggunakan hormon dan antibiotik yang bertujuan meningkatkan keuntungan. Paling kontroversi ialah cara memproses daging yang dikatakan kejam dan tidak cekap.

Setiap 15 gram pengeluaran daging, haiwan perlu diberi makan protein sayur-sayuran lebih kurang 100 gram dan kesannya boleh menganggu ekosistem.

Ujar Welin, keperluan untuk mencari cara baharu menghasilkan daging sangat penting terutama permintaannya di seluruh dunia.

Rumah hijau

"Mungkin kita boleh menjadi vegetarian atau mengurangkan makan daging. Tetapi, trend orang ramai tidak begitu. Dengan daging berkultur, kita boleh menjadi konservatif tanpa melakukan banyak kerosakan," katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengeluaran daging tahunan meningkat dari 218 juta tan pada tahun 1997 hingga 1999 ke 376 juta tan pada tahun 2030. Permintaan daging oleh populasi dunia dilihat meningkat lebih daripada jangkaan yang dibuat.

"Bekalan daging ketika ini tidak mapan dari sudut ekologi atau jumlah bekalan. Saat ini, kita menggunakan lebih 50 peratus daripada jumlah tanah pertanian untuk tujuan itu.

"Caranya sangat mudah untuk menangani masalah tersebut. Kita perlu ada jalan alternatif," kata Post.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFAO), industri perladangan menyumbang perubahan cuaca, pencemaran udara, penggunaan tenaga berlebihan, penggondolan hutan dan mengganggu ekosistem.

Laporan bertajuk Livestock's Long Shadow dipetik berkata, industri daging menyumbang 18 peratus pencemaran kesan rumah hijau global dan ia dijangka terus meningkat terutama di negara-negara yang pantas membangun seperti China dan India.

Hanna Tuomisto yang banyak menjalankan kajian mengenai kaitan impak persekitaran terhadap daging seperti lembu, babi, kambing dan daging berkultur berkata, kepingan daging yang dihasilkan dalam makmal itu merupakan paling kurang memberi kesan pada alam sekitar.

Dalam analisisnya yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science and Technology awal tahun ini, daging in-vitro hanya menggunakan kurang tenaga iaitu antara 35 hingga 60 peratus.

Ia juga mengeluarkan 80 hingga 95 peratus kurang kesan rumah hijau dan menggunakan 98 peratus tanah berbanding penghasilan daging secara konvensional.

"Kami tidak mengatakan sekarang ia boleh atau perlu menggantikan penggunaan daging konvensional dengan daging berkultur.

"Tetapi, ia boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah sumber makanan populasi dunia dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pencemaran dan penggunaan tenaga dan air," kata Tuomisto yang mengetuai Unit Penyelidikan Konservasi Hidupan Liar, Universiti Oxford.


DAGING berkultur yang dibiakkan dalam makmal ini tidak mengandungi darah dan kurang berwarna.


Rasa

Ramai pakar bersetuju bahawa produk daging seperti sosej dan nuget menggunakan daging in-vitro boleh direalisasi dalam tempoh beberapa tahun, manakala daging stik dan chop pula memerlukan lebih banyak tahun untuk dibangunkan.

Post dibiaya oleh seorang penyumbang yang enggan dikenali dan dia berharap hamburger buatan manusia itu menjadi hidangan orang ramai pada bulan Ogos atau September tahun hadapan.

Walaupun sampel makanan masih lagi belum dibuat tetapi reviu awal yang diterima kurang memberangsangkan. Seorang wartawan Rusia pernah mencuba satu kepingan dan reaksi yang diberi amat mengecewakan.

"Rasanya belum disedapkan. Perlu banyak kajian dan ujian rasa tidak penting," kata Post.

Post yakin dengan penambahan jenis lemak pada jumlah yang tepat bakal menjadikan fizikal dan rasa sama seperti daging sebenar.

Dia juga berharap kebolehan menukar kandungan nutrien menjadikan hidangan daging itu lebih sihat seperti mengurangkan kandungan lemak tepu dan menambah lemak tidak tepu serta nutrien lain.

"Ideanya ialah daging yang dihasilkan dalam makmal boleh dipelbagaikan kandungannya dan ia memberi harapan untuk menghasilkan daging sihat.

"Daging lembu dan babi yang sebenar sangat terhad untuk diubah suai kandungannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kena rendam dalam sungai

Posted:

Kena rendam dalam sungai

Kena rendam dalam sungai

DENGAN mengenakan pakaian seragam polis, 65 pemuda punk itu berjalan dalam tiga barisan lurus. Mereka bergerak menuju ke dataran Kompleks Sekolah Polisi Negara (SPN) Seulawah di Aceh Besar, Sumatera, Indonesia.

Melangkah penuh disiplin, mereka kemudian duduk bagi mengikuti sesi kaunseling membina jati diri yang dikelolakan oleh Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU).

Di situ, mereka tidak dilayan sebagai pesalah sebaliknya digelar pelatih memandangkan mereka dikehendaki mengikuti sebuah modul pemulihan akhlak dan jati diri dalam tempoh tertentu.

Pada sesi itu, beberapa remaja kelihatan menundukkan kepala sambil mengesat air mata. Selama 10 hari mengikuti kem motivasi diri itu, mereka diajar menguruskan kehidupan dengan lebih baik yang semestinya berteraskan agama Islam.

Sama ada terpaksa atau atas kerelaan sendiri, rata-rata komuniti punk Aceh itu mengaku menyesal atas kealpaan mereka selama ini.

Pada 10 Disember lalu, 65 remaja dan belia punk itu ditahan ketika mereka menghadiri konsert punk di Banda Aceh.

Golongan punk umumnya tidak diterima oleh masyarakat Aceh.

Malah, lelaki tidak dibenarkan menyimpan rambut panjang di wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah itu apatah lagi membuat rambut tercacak.

Rantai anjing

Semasa ditahan, kesemua mereka didapati memiliki elemen budaya liar punk. Kebanyakan mereka mempunyai tatu di badan, bertindik, memakai gelang anjing, berbaju compang-camping, berseluar ketat dan berambut trojan.

Budaya sebegitu sememangnya tiada toleransi di Banda Aceh. Sejurus ditahan, mereka dikurung di dalam sebuah lokap. Pakaian, subang tindik dan rantai anjing mereka dibuang.

Selepas itu, kepala lelaki punk itu dicukur sehingga botak, manakala rambut perempuan dipotong pendek seperti polis wanita.

Pelatih lelaki juga diarahkan mandi beramai-ramai di dalam sungai.

Daripada 65 orang yang ditahan, 30 daripadanya berasal dari Aceh manakala selebihnya datang dari wilayah lain di Indonesia seperti Lampung, Palembang, Jambi, Batam, Riau, Sumatera Barat, Jakarta, Bali dan Jawa Barat.

Seorang remaja punk yang dikenali sebagai Riyan berkata, latihan membina jiwa yang dijalaninya di SPN sangat berguna.

"Banyak perkara yang diajar kepada kami terutamanya mengenai disiplin dan peranan kami sebagai anggota masyarakat.


PEMUDA punk yang telah dibotakkan kepala direndam di sebatang sungai di Banda Aceh bagi membersihkan diri mereka.


"Secara peribadi, kini saya merasakan saya mampu untuk mengatur hidup dengan lebih baik.

"Lebih penting lagi, kami dididik untuk mendirikan solat lima waktu," katanya kepada portal berita tempatan.

Pendapat Riyan itu disokong rakannya, M. Fauzi.

"Selain disiplin, kami didedahkan dengan latihan fizikal untuk menjaga kecergasan tubuh.

"Saya juga menghargai usaha kumpulan ulama yang datang ke sini untuk memberi kefahaman akidah kepada kami," katanya.

Selain suapan rohani dan jasmani, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari.

Hasil pemeriksaan mendapati tiga pelatih mempunyai gejala hepatitis dan seorang disahkan positif penyakit itu.

"Jika ada pelatih yang tidak sihat, dia akan dikecualikan daripada mengikuti aktiviti fizikal," kata Fauzi lagi.

Syariah

Seorang pelatih perempuan, dikenali sebagai Sarah, 18, memberitahu, sepanjang berada di kem tersebut, dia menjadi lebih berdisiplin dan mendapat banyak pengetahuan agama.

Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah berkata, pengaruh kawan telah mengheretnya kepada budaya punk.

"Saya sedar saya silap. Selepas keluar dari sini, saya mahu ke sekolah dan berazam menjadi anak yang baik," ujarnya.

Walaupun SPN bertujuan mendidik kumpulan yang telah rosak akhlak, masih ada pihak di Indonesia yang menganggap penahanan itu sebagai satu pencabulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf mempertahankan tindakan tersebut.

"Mereka terbabit dalam gaya hidup yang bertentangan dengan undang-undang syariah yang dilaksanakan di Aceh.

"Didikan disiplin, akidah dan moral ini merupakan keprihatinan kerajaan tempatan dan bukannya pencabulan hak asasi manusia," jelas Irwandi.

Menurut beliau, lebih 700 pengikut punk tinggal di Aceh. Mereka biasanya makan dan tidur di tepi jalan atau di tempat letak kenderaan.


RIAK sedih remaja punk apabila rambutnya dipotong pendek oleh pihak berkuasa.


Mereka tidak mempunyai pekerjaan bahkan tidak mendapat pendidikan di sekolah agama mahupun sekolah biasa.

"Walaupun itu hak mereka, kerajaan perlu memikirkan masa depan mereka.

"Bolehkah mereka sekadar menjadi punk ketika muda? Bagaimana jika mereka gagal mendapat pekerjaan? Apa akan jadi pada mereka pada masa akan datang?" tanya Irwandi.

Selepas tempoh latihan di SPN tamat, pihak berkuasa akan membantu pelatih terbabit mencari pekerjaan yang sesuai. Mereka juga diberi biasiswa bagi meneruskan persekolahan.

Wajar

"Kami menahan mereka bukan disebabkan cara mereka berpakaian. Islam tidak melarang umatnya berpakaian seperti kumpulan punk.

"Ramai juga yang mengaitkan penahanan ini dengan undang-undang syariah di Aceh tetapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung," kata Irwandi.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah. Malah, mahkamah syariah Aceh mempunyai bidang kuasa yang berbeza berbanding mahkamah syariah yang terdapat di wilayah lain.

"Perundangan syariah memang wajar dilaksanakan bukan sahaja di Aceh tetapi di seluruh Indonesia kerana 95 peratus penduduknya beragama Islam.

"Bahkan, Indonesia adalah negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia," kata Ketua Komuniti Masyarakat Aceh Malaysia, Mansur Usman.

Mansur yang sudah 28 tahun berhijrah ke Malaysia menyifatkan penahanan komuniti punk baru-baru ini sebagai wajar.

"Punk adalah budaya liar yang mengancam sosiobudaya masyarakat Aceh. Sebelum pengaruhnya terus menular, ia perlu disekat.

"Sekurang-kurangnya kehidupan mereka masih boleh dibetulkan dan menjadi pengajaran kepada orang lain," ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PEMUDA bertatu dididik supaya mendirikan solat secara teratur.


Bukan untuk menzalimi, katanya lagi, undang-undang syariah dianggap pelengkap ke arah kesempurnaan Islam.

Menurut peniaga makanan, Fida, 38, masyarakat Aceh menerima baik pelaksanaan undang-undang tersebut.

"Sebelum ini, gadis bebas memakai pakaian ketat dan tidak bertudung, begitu juga pergaulan lelaki dan perempuan. Namun, sekarang keadaan berubah.

"Mereka patuh kepada undang-undang kerana enggan dimalukan di khalayak umum," katanya yang pulang ke Aceh setahun sekali.

Full content generated by Get Full RSS.

Makhluk berkepala dua

Posted:

Makhluk berkepala dua

Makhluk berkepala dua

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


ULAR albino milik rakyat Switzerland ini bernilai lebih RM200,000.


RUZIANAH Mohd. Ibrahim, 41, tidak pernah menyangka dia akan memiliki anak kucing istimewa yang mempunyai dua muka tetapi berkongsi satu kepala.

Anak kucing tempatan itu lahir pada tahun 2008 dan diberi nama Tuah.

Ruzianah, penjawat awam yang menetap di Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah memberitahu, dia terpaksa membawa ibu Tuah ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan memandangkan ibu kucing itu sukar untuk melahirkan Tuah.

"Mungkin saiz kepala Tuah besar daripada biasa, jadi dia sukar dilahirkan. Selepas ibunya diberikan suntikan, barulah Tuah dapat dikeluarkan.

"Tuah lemah sikit dan tidak dapat menyusu dengan ibunya, jadi saya beli susu dan memberinya minum menggunakan picagari," ujar Ruzianah.

Malangnya, Tuah mati beberapa hari selepas itu.

Kejadian haiwan berwajah atau berkepala dua berlaku di banyak negara di dunia.

Tahun lalu, seekor kucing di Virginia, Amerika Syarikat (AS) turut mempunyai ciri fizikal seperti Tuah.

Kucing di Virginia itu dinamakan Two Face sempena watak jahat dalam komik adi wira Batman. Two Face mempunyai dua hidung, dua mulut dan empat biji mata.

Menurut doktor haiwan yang merawatnya, Erica Drake, Two Face menghidap sindrom Diprosopus.

Penyakit itu menyebabkan penghidap mempunyai satu kepala tetapi ada dua wajah. Bagaimanapun, Two Face mati tidak lama kemudian.

Sebenarnya, kejadian haiwan berkepala dua juga berlaku pada ular, lembu dan kambing.

Sebagai contoh, seekor anak ular susu berkepala dua menetas di sebuah pusat penetasan haiwan di Ridge Minor, Miami, AS baru-baru ini.

Pakar biologi Universiti Florida, Daniel Parker berkata, ular berkepala dua mampu hidup selama 20 tahun jika ditempatkan di dalam kurungan.

"Tetapi dengan dua otak yang mengawal badannya, haiwan itu sukar untuk hidup di hutan," katanya.

Ular susu dikategorikan sebagai ular albino. Menurut mitos Yunani, ular susu dikatakan menghisap susu daripada kantung susu lembu.

Ia juga gemar hidup di dalam bangsal selain menyukai persekitaran yang gelap dan sejuk.

Seekor ular susu berkepala dua mampu dijual pada harga yang tinggi.

Seorang pengumpul haiwan pelik di Switzerland, Tom Beser, berjaya menjual ular seperti itu semahal RM200,000, Februari lalu.


EMANOEL dan Jesus yang lahir di Brazil minggu lalu berkongsi satu tubuh.


Beser memberitahu, ular peliharaannya itu yang diberi nama Mince merupakan ular albino pertama di dunia yang diketahui memiliki dua kepala manakala badannya berwarna putih.

Dua otak

Sementara itu di Lumajang, Indonesia, seekor anak kambing berkepala dua milik seorang penduduk, Muhammad Hasyim, 25, menjadi tumpuan orang ramai dua tahun lalu.

Kambing betina berwarna putih yang dipanggil Melati itu dilahirkan oleh ibunya dengan mempunyai empat mata selain dua telinga.

Muhammad berkata, semasa dilahirkan, ibu kambing itu mengembek dan meronta tanpa henti.

"Syukurlah kambing saya masih hidup," kata Muhammad yang memberitahu dia memberi haiwan itu minuman susu segar.

Melati juga akan mengamuk jika diletakkan berjauhan dari ibunya.

Negara yang terkenal dengan kisah Firaun iaitu Mesir, turut menyimpan cerita haiwan yang pelik.

Seorang petani di Alexandria, Mesir, Sobhy El-Ganzoury menyifatkan kelahiran seekor anak lembu peliharaannya yang mempunyai dua kepala sebagai satu keajaiban.

"Saya mengambil masa selama dua jam untuk membantu lembu itu beranak," ujar Sobhy sambil menambah, anak lembu itu tidak dapat mengangkat kepalanya yang berat dan terpaksa diberikan susu botol.

Pemilik sebuah ladang di Rivera, Colombia, Marino Cabrera, pula terkejut apabila lembunya melahirkan anak berkepala dua pada Ogos 2009. Anak lembu itu dinamakan Jenifer.

Cabrera memberitahu, dia tidak pernah melihat keganjilan seperti itu sepanjang lebih 30 tahun menjadi pembiak baka lembu.

Kejadian pelik makhluk berkepala dua turut berlaku kepada manusia.

Di Brazil minggu lalu, seorang ibu melahirkan bayi lelaki yang mempunyai dua kepala.

Maria Nazare, 25, melahirkan anaknya itu di sebuah hospital di Anajas, Brazil dengan berat 4.49 kilogram.

Anak itu dinamakan Emanoel dan Jesus. Doktor memberitahu Maria bahawa bayi itu mempunyai dua otak tetapi berkongsi jantung, limpa, buah pinggang dan kaki.


ANAK kucing bernama Tuah ini mati beberapa hari selepas dilahirkan di Alor Setar, Kedah.


Menurut pengarah hospital itu, Claudionor Assis de Vasconcelos, kelahiran bayi itu amat mengejutkan

Setakat ini, keadaan bayi itu adalah baik dan akan diuji sama ada ia boleh dipisahkan atau sekurang-kurangnya dapat hidup lebih lama. Apa yang menarik ini merupakan kali kedua kelahiran bayi berkepala dua di Brazil tahun ini.

Sebelum ini, seorang ibu, Sueli Ferreira, 27, melahirkan bayi yang mempunyai dua kepala di daerah Paraiba tetapi bayi itu meninggal dunia beberapa jam kemudian disebabkan kekurangan oksigen.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved