Ahad, 18 Disember 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Suntikan baharu bank kontemporari

Posted:

Suntikan baharu bank kontemporari

Suntikan baharu bank kontemporari

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

MELANGKAH masuk ke bangunan Standard Chartered Bank Malaysia Bhd. (Standard Chartered), sesiapapun bakal merasakan seperti berada di sebuah hotel mewah di tengah-tengah kota metropolitan. Dekorasi dalamannya langsung tidak melambangkan anda berada di sebuah ruang perbankan.

"Konsep generasi baharu cawangan Standard Chartered akan menawarkan pengalaman yang benar-benar bertaraf antarabangsa dan standard kepada para pelanggan," kata Ketua Negara Perbankan Standard Chartered, Tiew Siew Chuan.

Beliau berkata demikian ketika membawa pihak media melawat cawangan generasi baharu bangunan Standard Chartered, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pembahagian Rantau Malaysia dan Asia Tenggaranya, Looi Kok Soon.

Menurut Siew Chuan dalam sesi taklimat media, Malaysia merupakan salah satu daripada lapan buah negara di Asia yang terpilih untuk menonjolkan konsep cawangan generasi baharu.

"Ini semua untuk para pelanggan kami yang setia dan memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada bank ini," ujar Siew Chuan.

Ledakan arus teknologi yang menyaksikan segala urusan boleh diselesaikan di hujung jari barangkali mendorong bank terkemuka itu untuk melakukan transformasi hebat.

Fakta itu ada kebenarannya. Siew Chuan memberitahu, inisiatif yang dilaksanakan itu tidak semberono sebaliknya pihaknya meninjau trend semasa yang digemari masyarakat alaf ini di samping merujuk kepada kajian-kajian yang signifikan kepada mereka.

"Teknologi telah mengubah cara masyarakat berurusan dengan bank. Kini lebih ramai yang gemar menggunakan Internet, perbankan mudah alih, perbankan ekspres dan perbankan telefon," Siew Chuan.

Menyokong kenyataan itu, statistik Januari lalu menyaksikan, seramai 2.7 juta pelanggan mengakses perbankan dalam talian di Malaysia.

Sementara itu, Standard Chartered secara peribadi merekodkan, transaksi pembayaran untuk bil secara talian daripada para pelanggannya meningkat sebanyak 83 peratus (setakat Jun 2011).

Dalam pada itu, kaji selidik yang dijalankan oleh Ernst & Young pula menunjukkan 70 peratus daripada responden yang melakukan transaksi di bank melalui saluran alternatif masih mengunjungi cawangan untuk mendapatkan khidmat-khidmat tertentu.

"Meskipun kemudahan perbankan Internet meningkat dengan pesat, cawangan bank dilihat masih menjadi pilihan para pelanggan untuk berinteraksi dan mendapatkan perkhidmatan yang lebih kompleks," jelas Siew Chuan lagi.

Berdasarkan faktor-faktor itu, amat bertepatan apabila Standard Chartered melakukan anjakan paradigma ke atas cawangannya di Malaysia.

Pesona konsep

Secara keseluruhan, bangunan tiga tingkat cawangan generasi baharu Standard Chartered itu disusun atur dengan penuh sistematik. Rona warna yang berbeza yang menguasai setiap paras menunjukkan fungsinya yang berbeza.

Bermula dengan tingkat bawahnya yang didominasi warna hijau cair dan biru yang mengambil ilham warna rasmi Standard Chartered, para pelanggan sudah berupaya merasai aura sofistikated bank tersebut.

Limpahan teknologi yang memudahkan urus niaga berada di setiap sudut.

Pelanggan tidak perlu berurusan secara konvensional seperti sebelum ini. Sebaliknya, mereka hanya perlu menghulurkan kad kredit dan kemudian anda akan dipanggil secara elektronik terus ke kaunter yang berkenaan.

Bagi yang baru kali pertama bertandang dan tidak tahu menggunakan aplikasi itu, usah risau kerana pegawai khidmat pelanggan yang murah dengan senyuman sedia membantu.


URUSAN di kaunter transaksi tradisional membolehkan anda mendapat layanan konvensional.


Menurut Pengurus Cawangan (Kuala Lumpur), Standard Chartered, Jason Wong, terdapat tiga opsyen untuk melakukan transaksi. Jika para pelanggan mahu berurusan dengan kios Internet dan ATM, mereka perlu memilih perbankan secara ekspres (Ekspress Banking)

Untuk perkara-perkara asas seperti mengemaskini akaun, pilih opsyen Quick Hits Station. Bagi yang mahukan lebih kepastian, mereka boleh menuju ke kaunter transaksi tradisional atau traditional transaction counters.

Kemudahan Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) adalah segmen terbaik yang selalu diperlukan oleh para pelanggan. Bank ini memahami kepentingannya dan dengan itu ia disediakan.

Keselesaan anda melayari Internet anda pada telefon bimbit ataupun pada peranti iPad bertambah menyenangkan apabila bahagian tengah ruang dilengkapi dengan hamparan kerusi empuk yang mencukupi untuk para pelanggan pada satu-satu masa.

Ya, mengenai janji tempoh menunggu selama hanya lapan minit yang dilancarkan oleh Standard Chartered pada April lalu, Siew Chuan memberitahu, pihaknya telah mencapai tahap ketepatan sebanyak 93 peratus bagi cawangannya di seluruh negara.

Bagi setiap minit kelewatan, bank terkemuka ini akan mendermakan sebanyak RM1 kepada badan kebajikan terpilih.

"Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat," kata Jason.

Aura oasis

Melangkah ke tingkat dua bangunan pula, suasananya saling menyerupai rias dalaman hotel lima bintang. Paling tidak, ia umpama dekorasi yang seringkali menjadi pilihan kediaman mewah.

Mungkin pada satu peringkat, anda terlupa bahawa anda sedang berada di sebuah bank.

Perbezaan pada tingkat itu dibawa penuh elegan dan sesungguhnya ia selari dan bertepatan dengan hospitaliti sebuah bank tersohor dunia. Nilai-nilai eksklusif jelas dapat dirasai di paras berkenaan.

Adaptasi konsep oasis kontemporari yang ditampilkan oleh pereka dalamannya berjaya menaikkan aura dan seri ruang. Warna-warna bumi yang disimbah pada kemasan jubin, dinding, perabot disifatkan penuh dinamik dan sejajar dengan selera golongan korporat.

Perabot-perabot yang diilhamkan dengan warna yang sama dan berpadanan. Sekali lagi, pendekatan menyusun atur perabot pelbagai saiz yang kemas dan tidak keterlaluan menjadi tumpuan tatkala memasuki ruang ini.

Pada titik simetri ruang, Standard Chartered mengajak orang ramai kembali ke zaman silamnya. Lukisan-lukisan bertaraf vintaj termasuk beberapa peralatan zaman dahulu seperti mesin taip yang diletakkan pada sebuah almari menyerlahkan sisi elegan cawangan generasi baharu Standard Chartered yang terletak di tengah-tengah nadi ibu kota ini.

Pengalaman unik


RUANGAN santai namun sofistikated membuatkan para pelanggan terlupa bahawa mereka berada di dalam sebuah premis perbankan.


Tingkat dua cawangan Standard Chartered itu lebih menumpukan kepada urusan-urusan eksklusif.

Jika anda memerlukan kemudahan persidangan video dengan klien anda yang berada di luar negara misalnya, bank ini menyediakan kelengkapannya.

Bilik konsultasi yang masih menerapkan konsep oasis dilengkapi dengan teknologi moden bakal melancarkan komunikasi anda dalam berurus niaga.

Menariknya lagi di kawasan itu, Standard Chartered turut menyediakan zon celik kewangan (Financial Literacy Zone).

Zon tersebut antara lain merupakan stesen yang menyediakan permainan pendidikan berbentuk interaktif yang mengalu-alukan pelanggan bank melaksanakan transaksi bank.

Sebagai langkah awal mendedahkan kepada anak-anak tentang urusan kewangan, lokasi itu merupakan pilihan terbaik.

Dalam pada itu, Siew Chuan memberitahu, pihaknya sedang dalam proses menaik taraf 11 buah cawangan terutamanya yang terletak di Lembah Klang.

"Kami berharap dapat melakukan proses yang sama di 10 buah cawangan seluruh negara pada tahun depan.

"Transformasi ini diharapkan akan memberikan pengalaman yang unik dan berkesan kepada para pelanggan kami," kata Siew Chuan.

Full content generated by Get Full RSS.

Warna dan harapan Khadijah Hashim

Posted:

Warna dan harapan Khadijah Hashim

Warna dan harapan Khadijah Hashim

Oleh ADLAN JAAFAR


KARYA Kampung Saya adalah hasil imaginasi Khadijah Hashim yang mahu menetap di sebuah kawasan indah seperti ini.


KESEMUA lukisan Khadijah Hashim menggunakan warna-warna terang dan ceria. Selain itu, pelukis yang juga penulis novel Badai Semalam itumenjadikan alam sekitar terutamanya bunga-bungaan sebagai subjek utama.

Peminat seni, Wan Said Wan Seman, 62, turut berpendapat bahawa hasil karya pelukis wanita amat lembut dan halus melalui subjek dan warna yang digunakan.

"Motif bunga menimbulkan perasaan ceria dalam diri orang ramai yang melihat dan ia melambangkan keindahan alam semula jadi," ulas Wan Said ketika ditemui pada Majlis perasmian Pameran Solo Lukisan Khadijah Hashim di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertemakan Warna Alam, rona dan alam memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada wanita itu. Menurut Khadijah, kesemua lukisannya merupakan harapan dan ekspresinya terhadap dunia di persekitarannya walaupun ia dihasilkan melalui daya imaginasi.

Sebagai contoh, karya bertajuk Kampung Saya yang memaparkan imej sebuah kampung di kaki gunung. Kampung tersebut kelihatan tersusun dan dihiasi flora yang berwarna-warni.

"Ada individu berkata kepada saya bahawa pemandangan dalam lukisan tersebut kelihatan seperti sebuah perkampungan di Eropah," ujarnya.

Dia lantas mengiyakan perkara tersebut dan menjadi harapan Khadijah untuk tinggal di sebuah kawasan indah seperti itu.

Untuk lukisan bertajuk Hutan Baru pula, ia adalah manifestasi terhadap kegiatan membalak di Malaysia. Hutan Baru adalah gambaran kepada hutan yang telah ditanam semula dan kebanyakan saiz pokok lebih kecil berbanding hutan asli.

Mengabadikan

Jadi, tambah wanita yang telah melukis sejak pertengahan 90-an itu, dia mahu mengabadikan pemandangan tersebut di atas kertas supaya ia kekal dalam jangka masa yang panjang.


KHADIJAH memberi penerangan mengenai maksud yang disampaikan melalui lukisannya kepada (dari kiri) Aziz,Juhari dan Yusof.


Khadijah begitu meminati pelukis aliran impresionisme, Vincent van Gogh, dan telah melawat muzium pelukis itu beberapa kali di Amsterdam, Belanda.

Lukisan yang menjadi minatnya adalah siri Sunflower yang memaparkan keunikan dan proses mekar bunga matahari. Sifat bunga matahari yang menghadap matahari selain memiliki warna kuning yang ceria juga menarik perhatiannya.

Khadijah turut mempunyai beberapa karya bertema bunga matahari dan tiga daripadanya telah menggoda khalayak dalam pameran itu.

Berbeza dengan pelukis-pelukis kontemporari yang menggunakan berus atau arang yang dilukis di atas kanvas atau kertas lukisan sebagai medium, Khadijah menggunakan berus Cina dan kertas beras sebagai mediumnya.

Dia yang mempelajari ilmu melukis daripada seorang guru berbangsa Cina pada tahun 1996 itu tidak mengambil teknik dari China sebagai cara menyampaikan harapannya.

"Jika diperhatikan karya-karya pelukis Cina, ia kelihatan agak kelam dengan penggunaan warna hitam atau kelabu. Saya sebaliknya berkarya dengan imej orang Malaysia tetapi menggunakan teknik melukis Cina," terangnya.

Selain itu, Khadijah turut bereksperimen dengan melukis motif-motif batik menggunakan berus dan teknik yang dikuasainya dan terbukti ia mendatangkan hasil yang sangat baik.

Penerimaan karya

Dia berharap supaya karya-karya seni dapat diterima oleh warga kota yang sentiasa sibuk bekerja. Tidak kira sama ada pergi menonton teater atau melawat galeri seni, Khadijah mengajak orang ramai meluangkan masa untuk tujuan tersebut.

Pada masa yang sama, sebagai seorang pencinta sastera, dia berpesan agar guru-guru terutamanya yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu supaya menjadi lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu.


WARNA dan alam sekitar merupakan tema yang digunakan oleh Khadijah dalam setiap karyanya.


Penganjuran pameran hasil kerjasama antara akhbar Mingguan Malaysia dan Istana Budaya itu bermula dari 11 hingga 20 November lalu bertempat di Salasar Bayu panggung tersebut.

"Pameran seperti ini adalah usaha untuk mempromosi dan mengangkat karya-karya seni tanah air," kata Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Lukisan-lukisan yang dipamer turut dijual dan tiga daripadanya telah terjual pada hari perasmian dilakukan. Separuh daripada hasil jualan itu nanti akan disumbangkan kepada Badan Keluarga Utusan Melayu dan rumah-rumah anak yatim atau badan-badan kebajikan.

Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara, Datuk Mohd. Yusuf Ahmad dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohammed Juhari Shaarani.

Full content generated by Get Full RSS.

Fantasi laut Hari Natal

Posted:

Fantasi laut Hari Natal

Fantasi laut Hari Natal


WATAK ratu laut yang menghiburkan orang ramai dalam perseambahan muzikal khas.


SETIAP kali menjengah penghujung tahun, sambutan Krismas semestinya dirai dengan penuh meriah di pusat-pusat beli-belah seluruh negara.

Mungkin kerana sifat perayaan tersebut yang sangat sinonim dengan kanak-kanak dan kisah fantasi, maka watak Santa Claus, hadiah, dekorasi warna-warni, salji serta elemen kebebasan terus menjadi penarik.

Bagi pusat beli-belah 1 Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya, pendekatan yang digunakan dalam mendekorasi ruangnya amat menarik dan seperti biasa menarik perhatian ramai.

Bagi tahun ini, pusat beli-belah 1 Utama memilih untuk membawa para pengunjungnya meredah dan merasai pengalaman bawah air lautan penuh fantasi. Ia diikuti pula dengan padanan persembahan muzikal yang menambah nilai kepada dekorasi dan kemeriahan sambutan Krismas.

Bertema odisi dalam laut, pengunjung akan dialu-alukan dengan kerang-kerangan gergasi yang dihias cantik di gantung di sekitar ruang legar dan premis outlet yang disediakan khas di situ.

Kerang gergasi yang diliputi serbuk kilauan perak dan emas itu mengiringi sementara mesin pembuih yang menghidupkan suasana dengan buih-buih umpama salji.

Di sekitar lokasi letak sebuah arca kerang pula, tersadai material organza lutsinar seakan-akan rumpai laut di samping bebola besar berwarna biru dan putih seperti mutiara untuk memberi sentuhan kemewahan kepada dekorasi.

Gimik pelancaran itu diperhebat dengan menampilkan ratu laut yang muncul memakai pakaian khas sambil mempersembah muzikal khas untuk Krismas.

"Idea mewujudkan suasana dalam laut pada musim sejuk adalah untuk menunjukkan kepelbagaian kreativiti 1 Utama selain menarik perhatian pengunjung kanak-kanak dan dewasa. Selain tawaran membeli-belah sempena Krismas yang sinonim dengan jenama 1 Utama, kami membariskan senarai aktiviti yang pastinya mengujakan semua orang," kata Pengurus Pengiklanan dan Promosi, Patrick So.

Selari dengan perayaan yang menawarkan hadiah kepada tersayang, 1 Utama turut menawarkan tebusan hadiah mengikut jumlah perbelanjaan iaitu RM100 dan ke atas.

Pelanggan boleh mendapatkan cop untuk menebus hadiah yang terdiri daripada pelekat magnet, set kutleri, bantal bertema kehidupan laut, set pinggan dan poin Onecard mencecah RM1,000.

– NIZHA PERIASWAMY

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved