Rabu, 14 Disember 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Duga stamina hingga ke puncak

Posted:

Duga stamina hingga ke puncak

Duga stamina hingga ke puncak

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

GUNUNG Kinabalu sememangnya sinonim dengan negeri Sabah. Dengan ketinggian 4,095 meter, ia diiktiraf gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara selepas Hkakabo Razi di Myanmar (5,881 meter), Puncak Jaya (4,884 meter), Puncak Trikora (4,730 meter) dan Puncak Mandala (4,700 meter) di Indonesia.

Digelar Aki Nabalu dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud Gunung Nenek Moyang, ia menyimpan pelbagai kisah mistik dan legenda tempatan yang terus menjadi bualan sehingga kini.

Popularitinya menyebabkan saban tahun ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dan pendaki dari dalam dan luar negara.

Tarikan gunung itu bukan sahaja terletak kepada keindahan flora dan faunanya yang masih kekal terpelihara, malah sajian panorama yang ditawarkan dari puncaknya.

Penulis mengakui sudah lama menyimpan angan-angan untuk menakluk puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.

Lebih-lebih lagi sudah 10 tahun 'menggantung kasut' selepas kali terakhir melakukan pendakian ke puncak Gunung Tahan di Pahang ketika menuntut di universiti dahulu.

Justeru, tidak hairanlah pelawaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) untuk menyertai Mount Kinabalu Challenge di Sabah baru-baru ini disambut dengan tangan terbuka.

Ekspedisi yang julung kali diadakan itu disertai kira-kira 40 orang kakitangan. Turut serta dalam ekspedisi kali itu ialah Ketua Pegawai Operasi BPMB, Jamaluddin Nor Mohamad, Ketua Pegawai Kredit BPMB, Abu Hurairah Bahari dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Abdul Hanif Abu Bakar.

Kami tiba di Kota Kinabalu pada 2 Disember dan sempat bersiar-siar di sekitar bandar raya tersebut.

Seterusnya, tepat jam dua petang, bas yang dinaiki kemudian bertolak ke Taman Kinabalu di Kundasang.

Gerimis petang menyambut ketibaan anggota ekspedisi. Selesai urusan pendaftaran, kami dibawa ke calet untuk berehat dan melepaskan lelah setelah mengharungi perjalanan jauh.

Tatkala enak menikmati hidangan makan malam di kafe, penulis diberitahu oleh ketua ekspedisi, Arfian Yusof, masa tiga bulan diambil bagi memastikan tahap kecergasan dan kesihatan setiap peserta berada pada tahap terbaik.

Katanya, selain latihan kecergasan dua hingga tiga kali seminggu, pihaknya turut mengadakan aktiviti seperti menjelajah kawasan di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan mendaki Gunung Nuang.


KETERUJAAN jelas terpancar di wajah para peserta sebaik tiba di Taman Kinabalu di Kundasang selepas melalui perjalanan jauh dari Kuala Lumpur.


"Setiap modul latihan diselia dengan terperinci dan mengambil kira faktor umur dan kesihatan peserta.

"Lagipun, sebahagian besar yang terlibat dalam ekspedisi ini masih baharu dalam aktiviti mendaki, pastinya kesemua elemen ini penting bagi meningkatkan stamina serta mengurangkan impak kecederaan," ujarnya.

Keesokan harinya, tepat pukul lapan pagi, kami sudah berkumpul di Timpohon Gate, laluan utama pendaki ke Gunung Kinabalu.

"Hari ini kamu semua akan berjalan sejauh enam kilometer sehingga ke Laban Rata. Jika cuaca baik, saya jangkakan kita akan sampai di sana sekitar pukul 3 atau 4 petang nanti," kata ketua penunjuk arah, Gohimin Gohutung, 65.

Semangat mendaki

Selepas membaca doa, kesemua peserta ekspedisi memulakan pendakian dengan semangat yang membara.

Penat. Itu sudah pasti, apatah lagi apabila melalui laluan curam yang berliku-liku di depan mata.

Mujurlah, kehadiran pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin yang turut sama menyertai ekspedisi itu sebagai latihan misi rekod dunianya yang akan datang menjadi penyuntik semangat kepada penulis dan peserta yang lain.

Sepanjang pendakian, terdapat beberapa pondok rehat yang tersedia. Antaranya ialah Pondok Kandis, Pondok Ubah, Pondok Lowii, Pondok Villosa dan Pondok Paka.

Menariknya, pendaki bukan sekadar boleh berehat malah boleh melepaskan 'hajat' masing-masing kerana ia lengkap dengan kemudahan tandas awam. Paip air juga tersedia untuk menghilangkan dahaga.

Semakin tinggi pendakian, hutan tebal yang pada mulanya menghiasi kiri dan kanan trek semakin berkurangan. Pemandangan itu digantikan dengan pokok-pokok renek dan bonzai.


BEREHAT seketika untuk melepaskan lelah selepas beberapa kilometer mendaki.


"Wah cantiknya pemandangan di sini. Terasa macam dalam filem Lords of The Rings pula. Nak bergambarlah," kata seorang pendaki kali pertama, Suhailah Shamsudin, 27, dari Ampang, Kuala Lumpur.

Biarpun ada yang kurang sihat, namun kesemua peserta selamat tiba di Laban Rata sekitar pukul 6 petang. Kesempatan itu digunakan untuk berehat dan bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokan harinya.

Kami diberitahu, jarak pendakian ialah sejauh 2.7 kilometer dan biasanya mengambil masa tiga hingga empat jam.

Hujan lebat di sebelah malam menyebabkan semua peserta lena dibuai mimpi. Penulis hanya tersedar sekitar pukul 1 pagi apabila dikejutkan rakan sebilik untuk bersiap bagi memulakan perjalanan ke Low's Peak.

Selesai mengalas perut dan memakai pakaian yang sesuai, kami berkumpul sekali lagi sebelum meneruskan pendakian pada pukul 2.30 pagi.

Keadaan gelap gelita yang hanya disinari cahaya lampu suluh di kepala setiap peserta. Kami terpaksa merempuh ratusan anak tangga yang begitu meletihkan.

Suasana dingin dan laluan berbatu yang basah dan licin juga menyebabkan kesemua peserta lebih berhati-hati. Mujur disediakan tali keselamatan untuk berpaut yang memudahkan sedikit pendakian.

Kami akhirnya tiba di Sayat-Sayat, iaitu pusat pemeriksaan terakhir. Di situ, butiran setiap peserta dicatatkan melalui tanda nama yang dipakai.

Di paras itu, adalah sukar untuk berjalan pantas dengan selesa kerana ketepuan oksigen atmosfera hanya 70 peratus. Tidak hairanlah pendakian terakhir sejauh 1.6 kilometer itu dirasakan begitu mencabar.

Hampir menangis

Namun, berbekalkan semangat yang kental, penulis dan beberapa peserta berjaya tiba di puncak sekitar pukul 5.30 pagi.

Biarpun jari dan bibir mulai berasa kebas berikutan suhu yang mencecah sehingga 2 darjah Celcius di bawah paras beku, namun kepuasan menakluk puncak tertinggi di Gunung Kinabalu itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Saya hampir menangis sebaik sahaja tiba di puncaknya. Pengalaman melihat matahari menyingsing di ufuk timur lantas menyinari permukaan gunung. Momen itu ternyata terlalu indah dan membuktikan kehebatan Penciptanya," jelas Suhailah tatkala menceritakan pengalamannya berada di puncak.

Di situ, gambar-gambar terus dirakam untuk dijadikan kenangan. Di atas itu juga para peserta berpeluang melihat puncak-puncak lain sekitarnya seperti South Peak, St. John Peak, Ugly Sister Peak dan Oyayu Peak.


LALUAN berbatu yang tajam dan licin di sekitar puncak menyebabkan pendaki perlu sentiasa berwaspada.


Bagi Yusnizah Nordin, 28, pula, dia berpuas hati kerana usaha selama lebih tiga bulan menjalani latihan kecergasan sebelum itu berbaloi.

"Kabus tebal dan suhu sejuk melampau menyebabkan saya hanya sempat menghabiskan masa beberapa minit di atas puncak.

"Bagaimanapun, saya tetap teruja. Menakluk puncak Kinabalu ibarat satu pencapaian dan kejayaan peribadi tertinggi yang akan disimpan untuk dikenang hingga ke akhir hayat," ujarnya.

Perjalanan turun dari puncak lebih mudah berbanding pendakian dan semua peserta selamat sampai di Laban Rata pada pukul 11.30 pagi.

Selepas menikmati hidangan, semua peserta mula menuruni gunung menuju ke Timpohon Gate. Kami sampai di pintu itu pada pukul 5 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BPMB, Jamaluddin Nor Mohamad berkata, faktor usia yang mencecah 52 tahun tidak menjadi penghalang buatnya untuk menamatkan pendakian.

Katanya, pengalaman menakluk puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2007 digunakan sebaiknya di dalam ekspedisi itu.

"Pada pendakian lalu, saya terlalu ghairah untuk sampai ke puncak, semua mahu dilakukan sendiri termasuk membawa beg sehingga ke puncak.

"Akibatnya, saya cepat penat dan seluruh badan sakit-sakit. Kali ini saya lebih santai dan menggunakan khidmat pengangkut barang untuk keselesaan ketika mendaki," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tunggang kuda ke gunung berapi

Posted:

Tunggang kuda ke gunung berapi

Tunggang kuda ke gunung berapi


PENULIS bergambar kenangan di bangunan kolonial Sepanyol di daerah Intramorus.


Manila di Filipina bukan persinggahan popular bagi rakyat Malaysia jika mahu dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun, peluang yang ada untuk mengembara ke negara itu cukup untuk membuktikan yang Manila juga antara destinasi yang menyeronokkan untuk dikunjungi.

Jika anda menggunakan laluan tambang murah, anda perlu turun di bandar Clark yang lebih kurang satu jam setengah perjalanan dari Manila.

Tetapi jika anda memilih syarikat penerbangan biasa, anda akan terus dibawa ke bandar raya Manila yang menawarkan banyak keseronokan sebenar.

Memilih untuk menginap satu malam di bandar Clark memang pengalaman yang cukup menarik. Pengalaman menyusuri bandar yang kemas dan teratur ternyata memberikan kesejukan pemandangan.

Apa tidaknya, sepanjang melalui jalan-jalan raya utama pandangan mata tertumpu kepada deretan rumah-rumah sederhana yang bersih dan rapi. Sepanjang perjalanan itu juga anda pasti akan terlihat ramai askar Amerika Syarikat (AS) di bandar Clark.

Mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini pasti kaget dengan situasi itu. Bandar Clark sebenarnya menjadi pangkalan bagi tentera AS di rantau Asia Tenggara. Malah, bila menjejakkan kaki di hotel pun sosok tegap askar AS masih boleh dilihat.

Dalam perjalanan hari pertama di Clark, penulis dibawa ke Taman Safari Zoobic yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dengan bas ke situ.

Taman Safari Zoobic memang cukup besar untuk dijelajahi. Keluasan lebih 6,000 hektar sudah cukup untuk membuatkan kaki letih meneroka segenap pelosok taman berkenaan.

Antara yang menarik sudah tentunya kira-kira 30 ekor harimau yang boleh dilihat dari dekat iaitu hanya dipisahkan dengan pagar kandang.

Tapi awas, kalau ekor harimau mula naik tinggi, itu tanda dia akan membuang air kencing. Sebelum terkena air kencingnya, baik lari.

Selain harimau, masih banyak haiwan lain yang dipelihara di sini. Cuma agak kurang selesa bagi penulis adalah apabila melihat banyak babi yang berkeliaran di sekitar kawasan Zoobic.

Kubu-kubu lama tentera masih boleh dilihat di kawasan ini tetapi, sudah diubah suai menjadi kandang binatang atau pun kedai cenderamata.

Muzium Rizal Shrine


PERJALANAN ke puncak Gunung Berapi Taal yang agak jauh menyebabkan penulis perlu menunggang kuda.


Hari kedua, penulis dan rakan-rakan yang lain meneruskan pengembaraan ke ibu kota Filipina yang cukup menarik perhatian. Perjalanan satu jam setengah menyusuri lebuh raya kami dibentangkan dengan pemandangan sawah padi menghijau diselang seli dengan beberapa perusahaan yang menjadi nadi kepada penduduk di situ.

Bila menjejakkan kaki ke bandar raya Manila, penulis beranggapan Manila tidak ada bezanya dengan bandar besar di Asia Tenggara yang lain memandangkan kesesakan ada di mana-mana.

Bagaimanapun, kami bertuah apabila dapat meneroka Manila untuk mencari kelainannya.

Penduduk Manila rata-ratanya boleh berbahasa Inggeris dengan baik, jadi komunikasi berlangsung dengan agak mudah untuk apa jua urusan.

Dengan kapasiti penduduk yang menghampiri angka 90 juta orang, negara Filipina tinggalan penjajahan Sepanyol cukup enak untuk dijelajahi.

Bercerita bersama beberapa penduduk tempatan, mereka percaya bahawa Manila terpisah kepada dua. Sebatang sungai yang merentasi tengah bandar raya Manila adalah simbol kepada Manila lama dan Manila baharu.

Teorinya mudah, bangunan lama yang menjadi tumpuan penduduk adalah Manila lama, manakala kawasan mewah adalah Manila baru.

Tidak jauh dari bandar Manila, penulis sempat melewati bandar Makati. Di sini segala-galanya cukup hebat dan moden. Bangunan pencakar langit yang berdiri bagai cendawan tumbuh selepas hujan membuktikan di sebalik kemelut politik, Manila tetap maju seperti bandar raya lain.

Penulis sempat menjejakkan kaki ke Muzium Rizal Shrine yang menyimpan khazanah Jose Rizal, ikon yang cukup dibanggakan oleh penduduk Filipina. Pelbagai satu tinggalan sejarah yang cukup berharga, muzium ini penuh sesak dengan kehadiran pelancong dan penduduk tempatan.

Penulis dapat melihat sendiri bilik kurungan yang pernah dihuni oleh Jose Rizal, barang-barang tinggalan dirinya dan beberapa monumen penting yang masih kekal hingga hari ini.

Gunung berapi


KERETA kuda ini menjadi kederaan alternatif penduduk di Manila dan pelancong untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi baharu dengan harga yang berpatutan.


Sepanjang lima hari berada di Manila, penulis juga sempat ke beberapa destinasi menarik seperti Gunung Berapi Taal. Untuk sampai ke destinasi ini bukan mudah kerana selain mengambil masa lebih satu jam, kami perlu mengambil bot untuk ke sebuah perkampungan di kaki Gunung Taal.

Apa yang menarik penduduk di sini cukup ramah melayan kunjungan kami. Biarpun ada antara mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris tetapi, itu bukan halangan untuk kami meneruskan perjalanan ke atas gunung.

Kami diberi dua pilihan sama ada mahu berjalan kaki atau menggunakan kuda memandangkan perjalanan yang akan ditempuh nanti sedikit jauh. Upah yang dikenakan untuk menunggang kuda adalah sekitar 40 Peso atau kira-kira RM3 untuk perjalanan pergi dan pulang.

Pengalaman menunggang kuda ke atas Gunung Berapi Taal memang cukup mendebarkan apatah lagi, ini kali pertama kami berdepan situasi itu.

Kami perlu merentasi sebuah perkampungan kecil seterusnya menyusur denai untuk sampai ke puncak.

Di puncak itulah terletaknya kawah gunung berapi yang antara terkecil di dunia tetapi, masih lagi aktif hingga hari ini.

Di sekelilingnya terdapat tasik yang cukup besar disebabkan letusan gunung berapa kira-kira 30 tahun yang lalu.

Full content generated by Get Full RSS.

Air terjun tujuh tingkat

Posted:

Air terjun tujuh tingkat

Air terjun tujuh tingkat

Oleh BASIR ABU BAKAR


KENDERAAN pacuan empat roda digunakan untuk merentas laluan mencabar seperti sungai berbatu ini.


PERJALANAN ke air terjun Lata Berembun yang terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Pahang benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal pengunjung.

Tarikan kesegaran Lata Berembun tersimpan jauh di dalam hutan dan menjadi 'hadiah' buat para tetamunya yang nekad merentas belantara tersebut.

Seorang penduduk jati Raub, Pahang, Mohd. Razali Maidin, 35, berkata, Lata Berembun merupakan salah satu daripada tujuh buah air terjun yang terdapat di Gunung Benum.

Tambahnya, sungai di gunung itu mempunyai tujuh tingkat air terjun dengan Lata Berembun berada di lokasi paling bawah.

Namun, walaupun paling bawah, kedudukannya di atas Gunung Benum pada ketinggian 914 meter dari paras laut menyebabkan suhu airnya sangat dingin.

Untuk sampai ke situ, pengunjung perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda bagi meredah kawasan berbukit dan menyeberangi sungai melalui jalan laluan kayu balak.

Bermula dari Kampung Sungai Klau ke Lata Berembun, jarak yang perlu ditempuhi hanya sejauh 14 kilometer. Namun, masa yang diambil pengunjung untuk sampai mungkin berbeza mengikut keadaan kenderaan, cara pemanduan serta cuaca.

Keindahan air terjun Lata Berembun yang mempunyai ketinggian 50 meter, kata Razali, pasti memanggil sesiapa sahaja untuk meneroka sendiri lokasi pelancongan itu.

"Lata Berembun mendapat namanya daripada tempias air terjunnya seakan-akan embun pagi yang meliputi kawasan sekitar bukit walaupun pada waktu tengah hari," katanya.

Jelas Razali, untuk tiba ke lokasi itu, pengunjung tidak boleh menaiki kereta biasa kerana jalannya tidak rata, berlumpur, curam dan terpaksa menyeberang sungai yang dipenuhi batu-batu besar.

Pengunjung perlu melalui jalan kebun, dusun, kelapa sawit, tanah merah dan hutan. Sebelum sesuatu ekspedisi itu bermula, satu taklimat khas akan disampaikan dan setiap pengunjung akan diminta memakai jaket keselamatan.

Tujuan memakai jaket keselamatan itu adalah bagi melindungi diri daripada tercedera jika terhempas kuat ke palang besi dan dinding kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki ketika melalui jalan balak.


SUHU dingin di sekitar lokasi air terjun membolehkan pelbagai tumbuhan menarik hidup subur.


Perjalanan ke Lata Berembun dari Kampung Sungai Klau mengambil masa dari 45 minit hingga dua jam.

"Ada dua trek yang digunakan untuk sampai ke situ. Trek pertama adalah laluan biasa yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

"Jika anda inginkan lebih cabaran dan keseronokan, trek kedua akan jadi pilihan.

"Trek ini melalui jalan balak yang pertama kali diterokai kira-kira 30 tahun lalu. Ia dipanggil oleh para peminat sukan kenderaan pacuan empat roda sebagai trek hardcore,'' katanya.

Tambahnya, jika trek pertama mengambil masa 45 minit kerana laluannya lebih mudah dan selesa, mereka yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang melalui trek kedua terpaksa berhempas-pulas selama dua hingga tiga jam sebelum sampai ke kawasan pinggir Lata Berembun.

Laluan kedua itu amat mencemaskan. Adakalanya kenderaan yang dinaiki perlu mendaki bukit dengan kecuraman 45 darjah selain menempuh trek kecil yang terletak betul-betul di tepi jurang.

Selain jaket keselamatan dan topi keledar yang disediakan kepada pengunjung, kesemua pemandu kenderaan pacuan empat roda yang disediakan sangat berpengalaman dan setiap ekspedisi akan disertai unit keselamatan jika berlaku kecemasan.

Jika nasib tidak baik, kenderaan terbabit terpaksa ditarik oleh kenderaan pacuan empat roda yang lain untuk keluar daripada perangkap lumpur yang dalam.

Pada masa ini, kemudahan kenderaan pacuan empat roda untuk membawa pelancong ke Lata Berembun disediakan oleh Countryview Recreation Park (Jeram Besu) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Lot 1973, Jeram Besu Mukim Sega, Benta, Pahang.

Countryview Recreation Park memiliki 25 buah kenderaan pacuan empat roda yang menawarkan tambang di antara RM100 hingga RM300 untuk sebuah kenderaan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved