Sabtu, 19 November 2011

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Seksa duduk rumah 'popular' pencuri

Posted:

Seksa duduk rumah 'popular' pencuri

Seksa duduk rumah 'popular' pencuri

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my

BAHAGIAN dalam rumah Esah yang rosak teruk selepas disyaki diceroboh sebelum dibakar.


SEMENYIH – Sebuah keluarga di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini hidup dalam keadaan tidak tenteram apabila rumah teres satu tingkat milik mereka dipecah masuk pencuri bukan sekali dua tetapi sebanyak lapan kali sejak mereka menghuni kediaman itu pada tahun 1999.

Perbuatan jahat itu mencapai kemuncaknya awal pagi semalam apabila rumah tersebut bukan sahaja diceroboh untuk kali kelapan malah turut dibakar awal pagi ketika keluarga malang itu bermalam di tempat lain.

Pemilik rumah tersebut, Esah Ahmad, 57, mendakwa, dia mengetahui kejadian malang itu pada pukul 2.28 pagi semalam apabila telefon bimbitnya berbunyi selepas menerima isyarat kecemasan daripada alat penggera yang dipasang sejak dua tahun lalu.

Menurut Esah, ketika kejadian, dia bersama suami, Md. Nasir Ahmad, 60, serta anak-anaknya berada di rumah adiknya di Ampang.

"Sebaik saya menerima panggilan telefon daripada rumah (yang disambung pada alat penggera), saya mula rasa tak sedap hati.

"Saya cuba menghubungi semula nombor telefon rumah malangnya talian itu gagal dihubungi semula," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Pengurus operasi syarikat swasta itu memberitahu, dia mengambil keputusan pulang ke rumahnya untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi terkejut apabila terhidu bau asap dari luar rumah.

"Bila saya buka pintu rumah, asap tebal keluar.

"Kami cuba padam api, malangnya asap semakin tebal menyebabkan usaha kami terbantut," katanya yang menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.

Katanya, alat penyahkod bagi sistem penggera rumahnya yang diletakkan dalam bilik tidur utama dan ruang tamu turut lesap.

Sistem penggera itu canggih kerana mampu mengesan dan memberi amaran jika ada objek seberat 40 kilogram dan ke atas berada di atas bumbung rumah.

Mangsa sekeluarga mendiami rumah teres tersebut sejak 12 tahun lalu dan kali terakhir rumah itu dipecah masuk penceroboh adalah pada tahun 2009.

Beliau percaya suspek mengumpil pintu dan tingkap sebelum melarikan barang berharga seperti perkakas elektrik termasuk televisyen.

"Selepas kejadian samun dulu, saya sudah serik untuk membeli peralatan elektrik yang mahal kerana tahu ia akan dicuri.

"Bukan sahaja barang dalam rumah, malah ukiran besi pada pagar rumah turut lesap," katanya yang bekerja di ibu negara, kira-kira 36 kilometer dari situ.

Ekoran kejadian semalam, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Esah mengaku, demi mengelak rumahnya daripada terus menjadi sasaran pencuri, dia dan suami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM90 setiap bulan untuk mengupah orang memotong rumput di rumah jirannya yang kosong.

"Saya juga ada memesan pagar untuk dipasang di rumah jiran itu dengan harapan penjenayah menyangka rumah itu berpenghuni," katanya.

Untuk sementara waktu, Esah akan membawa keluarganya menumpang di rumah anak sulungnya di ibu negara.

Biarpun nasib malang mereka kerap bertimpa, dia tidak bercadang untuk menjual rumah tersebut.

"Anak-anak saya sukakan rumah ini dan menghabiskan cuti hujung minggu mereka di sini," katanya.

Kes seumpama itu bukan yang pertama di kawasan berkenaan, malah pada 23 Oktober lalu, rumah banglo milik seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Esah telah dipecah masuk dan dibakar mengakibatkan kerugian sebanyak RM500,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan sedang menyiasat punca kejadian.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada cadangan selaras yuran PIBG

Posted:

Tiada cadangan selaras yuran PIBG

Tiada cadangan selaras yuran PIBG

PONTIAN - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Berdasarkan rekod Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), yuran PIBG sekolah kebangsaan ialah di antara RM50 hingga RM100 manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM100 hingga RM300.

Full content generated by Get Full RSS.

Borang bantuan khas mulai 1 Dis.

Posted:

Borang bantuan khas mulai 1 Dis.

Borang bantuan khas mulai 1 Dis.

IPOH - Borang program bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2012 akan mula diedarkan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada umum secara percuma pada 1 Disember ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan.

"Dijangka 3.4 juta individu akan mendaftar melibatkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.6 bilion. Untuk itu seramai 2,000 sukarelawan LHDN akan digerakkan ke seluruh negara bagi memudahkan proses pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid dan penyampaian hadiah Tadika Firdaus, Rancangan Perumahan Tersusun Batu 4 di sini semalam.

Beliau berkata, kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan.

Katanya, pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terlibat serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.

Ahmad Husni berkata, proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan kesemua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.

Oleh yang demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu.

Beliau berkata, proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved