Rabu, 26 Oktober 2011

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harga tiket final kekal RM50

Posted:

Harga tiket final kekal RM50

Harga tiket final kekal RM50

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com

HARGA tiket final Piala Malaysia kekal RM50. Mahu atau tidak, penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu harus membayar RM50 bagi sekeping tiket jika tetap berhajat menyaksikan aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) menjelaskan bahawa pihaknya tidak bercadang menurunkan harga tiket tersebut.

Hamidin berkata, keputusan menetapkan harga tiket pada nilai RM50 bagi semua tempat duduk termasuk grandstand dibuat selepas mengkaji daripada pelbagai aspek terutama kos penganjuran pada aksi final itu nanti.

"Saya faham dengan keluhan serta rungutan di kalangan penyokong-penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan, malah kami (FAM) juga peka dengan saranan yang dibuat oleh (Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta kami mempertimbangkan harga tiket berkenaan.

"Namun, suka saya jelaskan bahawa harga tiket ditetapkan selepas mengambil kira daripada semua aspek yang melibatkan kos seperti kos pembayaran elaun pengadil, kos penyelenggaran stadium, kos keselamatan dan beberapa lagi kos yang perlu dijelaskan.

"Lagipun, hasil penjualan tiket itu nanti akan dibahagi dua kepada pihak persatuan bola sepak negeri iaitu Negeri Sembilan dan Terengganu selepas ditolak dengan kos-kos penganjuran perlawanan akhir itu nanti.

"Ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada penyokong-penyokong kedua-dua pasukan ini untuk menyumbang kepada tabung bola sepak negeri masing-masing," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM mendedahkan bahawa harga tiket aksi final Piala Malaysia itu merupakan kedua terendah berbanding negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

"Kami telah membuat kajian bahawa selepas Singapura, Malaysia adalah negara kedua yang menjual tiket dengan harga terendah," tambah Hamidin.

Terdahulu, pelbagai rungutan timbul dalam kalangan penyokong-penyokong kedua-dua pasukan yang menganggap harga tiket yang diputuskan FAM itu adalah terlalu mahal.

Malah, Ahmad Shabery turut meminta FAM mengkaji semula harga tiket tersebut kerana dianggap mahal bagi penyokong-penyokong kedua-dua pasukan terutama yang kurang berkemampuan.

Kelmarin, sekumpulan penyokong Negeri Sembulan mengadakan bantahan secara aman di hadapan Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) serta mengedarkan risalah kepada penyokong lain supaya memboikot penjualan tiket final itu.

Pada musim lepas, harga tiket final Piala Malaysia dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk grandstand.

Aksi final Piala Malaysia 2011 yang menemukan Terengganu dengan Negeri Sembilan bakal berlangsung di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam, Sabtu ini.

Full content generated by Get Full RSS.

PBNS jual tiket RM30

Posted:

PBNS jual tiket RM30

PBNS jual tiket RM30

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my


SEMANGAT BERPASUKAN. Barisan pemain Negeri Sembilan bersama-sama mengusung tiang gol sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Shah Alam Sabtu ini.


PRIHATIN dengan nasib para penyokong Negeri Sembilan yang terbeban dengan harga tiket final Piala Malaysia yang mahal, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil keputusan untuk menjual tiket tersebut dengan harga RM30.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar di Seremban malam tadi.

Ia bagi membincangkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan harga tiket final Piala Malaysia sebanyak RM50 bagi semua tempat duduk termasuk grandstand.

Harga tiket bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula dijual pada harga RM5 seorang bagi kesemua tempat duduk.

Mohamad berkata, keputusan untuk menurunkan harga tiket itu diambil oleh PBNS selepas banyak pihak terutama penyokong setia kedua-dua pasukan merungut dengan harga tiket tersebut.

"Keputusan ini adalah hadiah yang dapat PBNS berikan kepada penyokong yang selama ini setia memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan Negeri Sembilan.

"Apatah lagi, mereka (penyokong) turun beramairamai memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka sepanjang tiga tahun Negeri Sembilan beraksi di pentas final," katanya di Seremban semalam.

Terdahulu, FAM telah memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket kepada PBNS untuk dijual kepada peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, peminat yang sudah membeli tiket pada hari pertama kelmarin dan semalam dengan harga RM50 boleh menuntut baki lagi RM20 di Wisma PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.

"Pihak PBNS dan stadium akan memulangkan baki wang tersebut menerusi nombor siri yang tertera pada tiket masing-masing.

"Mereka yang telah membeli hanya perlu menunjukkan tiket kepada petugas di setiap lokasi jualan di negeri ini," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penurunan harga tiket itu tidak termasuk baki tiket yang dijual di Stadium Shah Alam.

Kosmo! semalam melaporkan sebilangan besar penyokong Negeri Sembilan tiada mempunyai pilihan, malah terpaksa akur dengan keputusan FAM membeli harga tiket pada harga yang agak mahal demi menyaksikan aksi final Piala Malaysia Sabtu ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan hanya 65,000 keping tiket sahaja yang dicetak untuk final kali ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,000 tiket akan diagihkan sama rata kepada kedua-dua pasukan untuk dijual di lokasi masing-masing, manakala baki 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Full content generated by Get Full RSS.

'Usah salahkan pihak persatuan'

Posted:

'Usah salahkan pihak persatuan'

'Usah salahkan pihak persatuan'


SEBAHAGIAN penyokong Negeri Sembilan memprotes tindakan FAM mengenakan harga tiket final yang mahal di Wisma PBNS, Seremban kelmarin.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kecewa selepas beliau dan pihak persatuan menjadi sasaran kecaman peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben yang kecewa selepas harga tiket dinaikkan.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan (gambar) menjelaskan bahawa PBNS telah membantu penyokong bola sepak dengan membuat surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi tiada sebarang tindakan.

"Setakat hari ini (semalam), baru lebih kurang 500 tiket terjual di Negeri Sembilan, kita harap penyokong memahami kerana ini bukan kuasa kita (penentuan harga tiket).

"Jadi janganlah sampai suruh presiden letak jawatan, tidak baik buat tuduhan melulu kerana orang yang kita tuduh itu berperasaan," katanya di Seremban semalam.

Mohamad berkata, beliau sendiri berasa terkejut apabila FAM menaikkan harga tiket final Piala Malaysia.

"Kalau ia di bawah kuasa PBNS, lainlah... masa perlawanan separuh akhir yang dibuat di stadium negeri (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi) tempoh hari, kita benarkan 30,000 penyokong kita memasuki stadium percuma kerana itu di bawah kuasa kita," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya penyokong Negeri Sembilan akan tetap membeli tiket untuk bersama menyokong skuad Hoben Jang Hoben.

Ketika ditanya jika PBNS akan memberi tiket subsidi dengan potongan harga 50 peratus seperti yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Mohamad berkata: "Persatuan (PBNS) tidak mempunyai wang yang banyak seperti Terengganu."

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin meminta supaya FAM menimbang semula keputusan menaikkan harga tiket dari RM30 ke RM50.

"Saya terkejut dengan harga yang diputuskan oleh FAM memandangkan selama ini kita jual murah dan ramai penyokong letak bajet RM30.

"Keputusan untuk menjual tiket dengan harga yang mahal itu adalah tidak munasabah dan saya juga berharap rakyat Negeri Sembilan tidak menyalahkan PBNS," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved