Rabu, 26 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


50 tahun penuh gemilang

Posted:

50 tahun penuh gemilang

50 tahun penuh gemilang

ORKESTRA yang cukup sinonim dengan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagaimana yang dikenali hari ini sebenarnya bermula dengan nama Orkes Radio Malaysia.

Ketika mula-mula ditubuhkan pada tahun 1961 oleh Tan Sri Ahmad Merican, ia berkonsepkan big band yang dianggotai seramai 13 ahli yang tertumpu dalam kelompok keluarga peralatan muzik yang dikenali dalam bahasa Inggeris iaitu brass (contohnya seperti trompet), saxes (contoh, saksofon) dan rhythm (contoh,dram).

Ahli orkestra tersebut kemudian bertambah dengan penambahan ahli muzik peralatan muzik bertali (contoh, biola) bermula tahun 1965 dengan 25 orang ahli.

Di antara tahun 1967 sehingga 1969, keanggotaannya berkembang kepada 38 orang dengan berkonsep studio orkestra. Pada 1969, namanya mula dikenali sebagai Orkesrta RTM.

Tidak dinafikan pada awal kemunculannya Orkestra RTM sangat popular dalam kalangan pendengar radio sementelah waktu itu radio merupakan satu-satunya elemen hiburan yang mampu dimiliki rakyat ketika itu.

Malah, sebahagian besar lagu-lagu yang berkumandang di corong-corong radio serta kaca televisyen ketika waktu itu dihasilkan oleh Orkestra RTM.

Ramai pemuzik ternama juga lahir menerusi orkestra ini seperti Datuk Ahmad Nawab, Jimmy Boyle, Osman Ahmad, Kasim Masdor dan R.Ismail.

Berbangga dengan kewujudannya sehingga hari ini, Orkestra RTM telah menerima penghargaan daripada Malaysia Book Of Records sebagai orkestra paling lama bertahan di Malaysia (1961 - 2011).

Bukan itu sahaja, bagi menghargai dan meraikan usia 50 tahun Orkestra RTM, telah diadakan Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM yang dibuat secara rakaman baru-baru ini dan ia akan disiarkan kepada penonton pada 1 November ini di TV2 pada pukul 9 malam.

Perubahan

Bertemu dengan salah seorang komposer ternama yang juga tokoh Orkestra RTM iaitu Datuk Johari Salleh yang berkhidmat sebagai pengarah muzik orkestra dari tahun 1965 sehingga 1983 beliau memberitahu, Orkestra RTM kini sudah melangkah jauh berbanding era awalnya dahulu.

"Dulu pelbagai idea dan perancangan yang ada tetapi dek kekangan teknologi ketika itu, ia terhalang. Jika dulu kita tidak ada multi track recorder dan komputer untuk memudahkan kerja, jadi semuanya harus dibuat secara manual.

"Rakaman sesebuah lagu dibuat secara langsung, kalau seorang pemain muzik salah, kita harus ulang semula sehingga mendapat rakaman bersih," katanya.

Ketika dulu, kejayaan Orkestra RTM hari ini menjadi idamannya, selain daripada kecanggihan teknologi, beliau juga mengimpikan sebuah studio yang berkualiti tinggi serta memiliki pemain muzik profesional.

"Zaman saya tidak sempat, kalau dulu sukar untuk kita mencari pemain muzik yang profesional dan memiliki pengetahuan luas mengenai muzik tidak seperti sekarang yang mana sekolah muzik ada di mana-mana sahaja.

"Jadi, apa yang kita terpaksa lakukan adalah mencari dan mengumpul pemain muzik dari pelbagai tempat untuk disatukan dalam orkestra. Sekarang, sudah tidak ada masalah, ramai graduan bidang muzik telah dilahirkan. Apa yang kita perlu buat hanya uji bakat dan mengambil yang terbaik sahaja, kuasa untuk memilih itu sudah ada," ulas Johari yang kini merupakan Felo Kanan di Pusat Kebudayaan dan Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Johari yang merupakan bekas graduan Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat turut terharu apabila beliau merupakan salah seorang tokoh orkestra yang menerima penghargaan pada Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM.

Peringkat antarabangsa



Pengarah muzik Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang mula berkhidmat dari tahun 1999 mempunyai tugas berat untuk meneruskan kelangsungan Orkestra RTM. Tugasnya adalah menjenamakan semula orkestra dengan mengambil ahli-ahli muzik muda dan berkelulusan universiti tempatan dan luar negara.

Ujarnya, dalam zaman moden hari ini terlalu banyak persaingan daripada segi medium hiburan muncul, malah, genre lagu yang diminati oleh masyarakat tempatan juga semakin bertambah.

"Bagi meneruskan minat masyarakat terhadap orkestra, kita harus mengikut arus dan juga perkembangan semasa. Hari ini pelbagai genre lagu boleh dimainkan bersama dengan orkestra bermula dengan tradisional sehingga ke rock.

"Ramai yang beranggapan muzik orkestra untuk golongan berada dan ada yang menganggap muzik orkestra membosankan apabila ia dialunkan secara instrumental. Sebab itu kami sering menggabungkan penyanyi popular dan orkestra.

"Malaysia bukan seperti di Amerika yang mana orkestra mempunyai peminatnya yang tersendiri. Di sini kami yang harus keluar menemui penonton supaya boleh lebih dekat dengan rakyat.

"Bukan mudah untuk mengekalkan Orkestra RTM sehingga ke hari ini jika kualitinya tidak ada. Saya berbangga kerana dalam banyak-banyak orkestra yang ditubuhkan untuk sebuah stesen televisyen di Asia, Orkestra RTM paling lama bertahan dan juga masih aktif sehingga ke hari ini," ujarnya lagi mengenai orekstra yang dianggotai oleh 35 orang pemuzik itu.

Tahun 2010 tidak dapat dilupakan oleh Mokhzani apabila Orkestra RTM melancarkan RTM Jazz Orkestra.

Orkestra jazz ini telah banyak merantau jauh dengan mengadakan persembahan di Jakarta Jazz Festival dan juga Java Jazz Festival yang mana itu merupakan festival terbesar yang turut menglibatkan ramai pemuzik Jazz terkenal dunia.

"Pihak kami telah menggandakan usaha untuk memperkenal Orkestra RTM ke peringkat antarabangsa dan bersyukur ketika kami mengadakan persembahan di luar di bawah nama Malaysia.

"Untuk menjadi orkestra terulung itu bukan mustahil tetapi untuk mencapai impian itu, usaha keras diperlukan. Saya mengharapkan yang terbaik dan sokongan berteruskan agar Orkestra RTM terus wujud di bumi Malaysia," katanya yang akan menjadi konduktor muzik untuk konsert pemuzik jazz terkenal Amerika, Chris Botti di Dewan Philharmonik Petronas pada 6 Disember depan.

Suntikan baru

Penyanyi pop terkenal, Jamal Abdillah sering kali membuat persembahan dengan Orkestra RTM, malah ketika dia menjadi juara Bintang RTM 1979, dia turut menyanyi dengan iringian orkestra tersebut.

Akui Jamal, bukan semua penyanyi boleh menyanyi dengan irigan pemuzik orkestra kerana satu kesalahan sahaja akan merosakkan keseluruhan orkestra.

"Menyanyi dengan orkestra berbeza dengan band muzik biasa, pemuzik orkestra mereka main muzik ikut not lagu, sama juga dengan penyanyi yang turut ada not seperti pemuzik. Kalau salah masuk ketika menyanyi, susah untuk pemuzik ikut balik rentak kita kerana mereka ikut not muzik seratus peratus.

"Latihan amat diperlukan kalau ingin menyanyi dengan orkestra. Justeru itu, penyanyi tidak boleh melakukan sebarang kesalahan ketika menyanyi. Saya mempunyai banyak pengalaman menyanyi dengan orkestra dan tidak secara langsung ia juga mendidik saya untuk menjadi penyanyi yang bagus," jelas Jamal.

Apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh Orkestra RTM supaya mereka lebih maju, jawab Jamal: "Orkestra RTM perlu suntikan baharu, maksud saya ia harus mengikut perkembangan semasa dan tidak boleh tersekat dengan konsep orkestra itu sendiri.


JAMAL sedang beraksi pada Konsert 50 Tahun Orkesrta RTM.


"Kalau dulu mungkin ia amat popular dan diterima ramai tetapi hari ini, persaingan dengan medium hiburan muzik lain terlalu banyak. Jika ingin terus hidup dan gemilang, mereka harus lakukan sesuatu yang berbeza dan menarik minat orang ramai," jelasnya.

Merakyatkan muzik orkestra

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang ditemui sejurus rakaman Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM pula berkata, Orkestra RTM mempunyai masa depan yang cukup cerah untuk dikembangkan bukan sahaja untuk pemuzik profesional tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Orkestra RTM sudah merentas zaman dan melalui pelbagai cabaran. Bagi saya muzik orkestra ini mampu dirakyatkan buat semua rakyat Malaysia. Kita boleh perkenalkan muzik kepada orang di luar sana dengan mengadakan konsert jelajah merentas desa dan yang paling penting alat muzik tradisional kita juga antara komponen utama orkestra ini.

"Selain mendekatkan diri dengan rakyat, menerusi perancangan yang khusus juga ia boleh menarik minat golongan muda dan remaja terutamanya untuk berkecimpung dalam bidang muzik.

"Ini kerana selama ini orkestra dianggap muzik yang mahal walhal ia sesuai untuk semua golongan kerana boleh mendendangkan pelbagai genre lagu daripada pop sehinggalah ke tradisional," kata Rais.

Tambahnya, dia berbangga kerana Orkestra RTM mampu bertahan sehingga ke hari ini. Menerusinya muncul ramai pemuzik berbakat untuk menghasilkan muzik-muzik terbaik sebagai khazanah negara.

"Tiada lama, tiada baharu, ungkapan itu paling sesuai kepada pelapis baharu yang meneruskan alunan muzik mereka dengan Orkestra RTM, secara peribadi saya rasakan kewujudan orkestra ini masih relevan meskipun sudah menjangkau usia 50 tahun," ucap Rais lagi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved