Rabu, 5 Oktober 2011

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Saya cuba terbaik’

Posted:

'Saya cuba terbaik'

'Saya cuba terbaik'

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SITI ZUBAIDAH mahu pastikan pemilihannya dalam skuad olahraga negara berbaloi.


"SAYA akan cuba beri yang terbaik."

Demikian janji atlet pecut wanita negara, Siti Zubaidah Adabi ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang telah menyenaraikan namanya semula bagi beraksi pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia November depan.

Selain Zubaidah, KOM turut menyenaraikan semula seorang lagi atlet pecut wanita iaitu Siti Fatimah Mohammad.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak bermakna tempat buat dua atlet tersebut sudah terjamin untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Ini kerana, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengesahkan perkara tersebut Isnin lalu menjelaskan bahawa Zubaidah dan Fatimah perlu melepasi had kelayakan sekurang-kurangnya bagi melayakkan mereka dihantar menyertai Sukan SEA 2011 atas tiket kategori B.

Peluang buat Zubaidah dan Fatimah untuk membuktikan yang mereka layak ke bumi Indonesia bakal hadir apabila berlangsungnya Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Oktober ini.

Menyedari masa untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka Kuala Lumpur kini tinggal dua minggu sahaja lagi, Zubaidah enggan meletakkan sebarang harapan yang tinggi sebaliknya akan cuba untuk melakukan yang terbaik.

"Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana sudah seminggu saya tidak menjalani latihan. Sebelum menyertai GP (Grand Prix) Kebangsaan minggu lalu pun saya tidak menjalani latihan sepenuhnya.

"Dengan berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum Terbuka Kuala Lumpur, saya akan menjalani latihan sebaik yang mungkin. Jika saya berlari sekalipun nanti, mungkin prestasi hanya 75 peratus sahaja.

"Namun, saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Saya akan gunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin," kata Zubaidah ketika dihubungi Kosmo! menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kelmarin.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila KOM menggugurkan nama Zubaidah dan Fatimah serta seorang lagi rakan mereka, Yee Yi Ling daripada membarisi kuartet 4x100 meter wanita negara ke Sukan SEA 2011.

Keputusan itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang tiga atlet terbabit yang merasakan bahawa ia adalah tidak adil.

Namun, Shahidan menerusi kenyataan kepada Kosmo! Isnin lalu menjelaskan bahawa ahli majlis KOM telah bersetuju untuk menyenaraikan Zubaidah dan Fatimah ke Sukan SEA 2011.

Begitupun, ia bukan bermakna kedua-dua atlet tersebut kembali disenaraikan dalam kuartet 4x100 meter tetapi ia lebih diberi keutamaan dalam acara individu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim kerana memberi peluang kepada saya dan Fatimah. Kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin," tambah Zubaidah.

Tiga pingat emas sasaran MTBC

Posted:

Tiga pingat emas sasaran MTBC

Tiga pingat emas sasaran MTBC


SKUAD boling wanita negara dijangka akan diberi saingan sengit oleh Indonesia, Singapura dan Filipina pada Sukan SEA 2011.


KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November ini.

Setiausaha Agung MTBC, Sidney Tung berkata, harapan untuk meraih pingat disandarkan kepada pemain boling lelaki negara yang kebanyakannya mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa selain mempamerkan persembahan konsisten.

"Untuk kategori wanita, skuad kita mungkin mendapat saingan sengit daripada negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina kerana skuad wanita mereka mempamerkan persembahan yang semakin meningkat," katanya.

Ditanya mengenai jumlah pemain negara dalam skuad boling, Sidney berkata, MTBC dijangka menghantar 12 daripada 16 pemain kebangsaan untuk menggalas cabaran di Indonesia kelak.

"Enam belas pemain itu kini sedang menjalani latihan pusat di Megalanes Endah Parade, Sri Petaling sejak dua minggu lepas sebagai persiapan menghadapi temasya dwi tahunan itu.

"Kita akan memutuskan senarai 12 pemain yang layak iaitu enam lelaki dan enam wanita selewat-lewatnya minggu depan bagi memastikan mereka mampu menyumbang pingat buat skuad negara," katanya.

Beliau berkata, bagi menyesuaikan diri dengan venue acara boling di Jakarta nanti, kesemua 12 pemain terpilih itu akan bertolak ke ibu negara Indonesia itu pada 7 November depan.

"Kita pergi awal untuk menyesuaikan diri selain mendapat tahu bahawa pihak penganjur menggunakan dua paten lorong iaitu long lanes dan short lanes," katanya.

Acara boling untuk Sukan SEA dijangka berlangsung dari 14 hingga 20 November di Pusat Boling Jaya Ancol, Jakarta.

'Pastikan bertindak tegas elak kekacauan'

Posted:

'Pastikan bertindak tegas elak kekacauan'

'Pastikan bertindak tegas elak kekacauan'


PERLAWANAN antara Terengganu dengan Negeri Sembilan baru-baru ini terhenti seketika akibat kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong.


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar kecil) berharap pihak keselamatan dapat bertindak pantas dalam menghalang sebarang bentuk kekacauan yang bakal berlaku pada perlawanan antara Terengganu menentang Kelantan 10 Oktober ini.

Menurut beliau, perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu bakal dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan sekali gus memungkinkan berlakunya kekacauan.

Justeru, katanya, kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) diharap dapat menjamin keselamatan dan suasana aman di stadium sepanjang perlawanan berlangsung.

"Saya kurang berpuas hati dengan insiden peminat membaling botol ke arah pengadil dan pemain lawan pada pertemuan Terengganu dengan Negeri Sembilan minggu lalu.

"Sepatutnya, pihak keselamatan perlu bertegas dan pantas menangani kekacauan itu sebelum sebarang kejadian lebih buruk berlaku," katanya selepas mesyuarat exco semalam.

Ahmad juga berharap pihak keselamatan dapat ditempatkan di setiap sudut di stadium bagi menghalang peminat daripada bertindak ganas.

Bagaimanapun, beliau turut menegur sikap segelintir penyokong Terengganu yang agak keterlaluan seperti membaling objek ke padang.

"Mereka (penonton) perlu ingat yang perbuatan mereka ini direkodkan oleh kamera video dan sebarang tindakan boleh dibuat berdasarkan bukti ini.

"Jadi, saya nasihatkan kepada semua penyokong agar lebih profesional terutamanya pada perlawanan 10 Oktober ini," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved