Sabtu, 29 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pelumba tidak takut mati

Posted:

Pelumba tidak takut mati

Pelumba tidak takut mati

Pelumbaan litar seperti Formula Satu dan MotoGP berbahaya tetapi dianggap menyeronokkan oleh pelumba.

TIADA lagi kelibat motosikal bernombor 58 milik Simoncelli.


KEMATIAN pelumba MotoGP Itali, Marco Simoncelli di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad lalu mengejutkan peminat sukan bermotor untuk dua minggu berturut-turut.

Simoncelli dari pasukan Honda hilang kawalan pada pusingan kedua menyebabkan dia terjatuh sebelum dilanggar Colin Edwards dan Valentino Rossi. Perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.

Kematian Simoncelli berlaku seminggu selepas pelumba kereta British, Dan Wheldon - juara dua kali lumba kereta Indy 500, terbunuh selepas 15 buah kereta terlibat dalam kemalangan di Litar Pemotoran Las Vegas, Amerika Syarikat.

Penunggang Sepanyol, Dani Pedrosa berkata: "Kita seringkali lupa betapa bahayanya sukan ini dan apabila kita kehilangan seseorang ia seperti tidak memberi apa-apa makna."

Juara baharu MotoGP, Casey Stoner menambah: "Apabila perkara seperti ini berlaku ia mengingatkan anda tentang begitu berharganya hidup, ia membuatkan saya rasa sakit di dalam."

Simoncelli yang menjadi juara dunia 250cc pada tahun 2008 menyertai MotoGP pada tahun 2010. Dia mendapat tempat kelapan tahun lalu. Kematiannya merupakan insiden kehilangan terbaharu dalam MotoGP selepas pelumba Jepun, Daijiro Katoh terbunuh dalam kemalangan di Grand Prix Jepun 2003.

Topi keledar yang dipakai Simoncelli tercabut. Casey Stoner, yang menjuarai GP Australia buat kali kedua tiga minggu lalu berkata: "Kejadian topi keledar tercabut merupakan satu petanda buruk."

Insiden topi keledar Simoncelli tertanggal itu merupakan fokus utama pasukan penyiasat kini.

Shoya Tomizawa, pelumba Moto2 iaitu kelas perlumbaan yang lebih bawah daripada MotoGP juga maut akibat kemalangan yang hampir serupa dengan Simoncelli tahun lalu di Grand Prix San Marino.

Sekalipun di atas sebuah litar lumba moden seperti Litar Sepang - direka oleh pakar Jerman, Hermann Tilke dan dibuka pada tahun 1999, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengurangkan bahaya dalam perlumbaan berkelajuan tinggi itu.

Ketika pelumba menekan pedal minyak untuk mencapai kelajuan maksimum, pelanggaran sesama motosikal atau kereta akan memberi kesan yang besar.

Keselamatan

Walaupun litar itu dibina menepati standard keselamatan terkini, perlumbaan itu sendiri berbahaya kepada pelumba dan penonton.

Berikutan kematian Wheldon, para pemerhati mencadangkan supaya tahap keselamatan IndyCar dikaji semula. Standard keselamatannya dikatakan 20 tahun terkebelakang daripada Formula Satu (F1). Standard keselamatan F1 telah dirombak semula berikutan kematian Ayrton Senna dan Roland Ratzenberger pada tahun 1994.

Simoncelli merupakan pelumba pertama yang maut di Litar Sepang. Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir berkata: "Kami mempunyai empat prosedur operasi standard... Ini merupakan satu kemalangan pelik di mana topi keledar tertanggal.

"Saya yakin FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) dan MotoGP akan memberi perhatian kepada isu ini."

Walaupun berbahaya, sesetengah pelumba kelihatan seperti tidak takut mati.

"Tiada siapa yang menyuruh kami menyertai F1 atau mengacukan senapang di kepala supaya kamu berlumba. Ia adalah kerjaya yang kami pilih," kata pelumba F1 India, Karun Chandhok.

"Saya percaya elemen nasib wujud dalam perlumbaan. Faktor bahaya sememangnya ada.

"Tetapi ia kerjaya yang mengujakan dan keterujaan itu akan lenyap jika anda terlalu memikirkan langkah keselamatan," tambahnya.

F1 dianggap lebih selamat berbanding IndyCar yang diadakan di litar berbentuk bujur. "Tiada kecederaan serius sejak kebelakangan ini.

Pada kelajuan 360 kilometer sejam ia masih bahaya tetapi mujurlah kereta F1 sangat selamat. Perlumbaan motosikal agak berbeza dan juga bahaya," kata Chandhok.

Sebanyak 45 pelumba maut dalam F1 pada 44 tahun pertama perlumbaan itu tetapi tiada seorang pun yang mati dalam tempoh 17 tahun lalu.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah meletakkan syarat yang ketat selepas Ayrton Senna terbunuh dalam Grand Prix Imola dan Roland Ratzenberger di Grand Prix San Marino, kedua-duanya pada tahun 1994.

Seperti F1, kereta IndyCar mempunyai satu tempat duduk. Bagaimanapun, kereta IndyCar berlumba di atas litar berbentuk bujur seperti dalam perlumbaan NASCAR.

"Mereka sering memperlahankan kenderaan secara mendadak, jadi risiko untuk mereka terlibat dalam kemalangan lebih tinggi," kata Narain Karthikeyan, pelumba NASCAR India.

Bagi pelumba rali negara, Saladin Mazlan, 34, risiko kemalangan maut sentiasa ada dalam setiap perlumbaan.

"Perlumbaan rali merupakan sukan yang lasak. Malah, ia lebih berbahaya berbanding perlumbaan di atas litar seperti MotoGP dan F1," ujarnya.

Saladin mempunyai kesan parut panjang di pipi kirinya akibat kemalangan semasa berlumba.

"Ketika itu saya menyertai rali tempatan di Sungai Buloh, Selangor pada tahun 1998. Saya sedang memandu pada kelajuan 150 kilometer sejam mengharungi ladang kelapa sawit.

"Tiba-tiba stereng kereta saya patah lalu terlanggar pokok sawit," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Saladin mengalami kecederaan ligamen paha dan luka di muka.

Full content generated by Get Full RSS.

Motosikal sepantas 300 kilometer sejam

Posted:

Motosikal sepantas 300 kilometer sejam

Motosikal sepantas 300 kilometer sejam


ZAMRI membuat persediaan sebelum menyertai Grand Prix Sepang bagi kategori 600cc minggu lalu.


PELUMBA kategori 600cc negara, Mohd. Zamri Baba, 28, mengaku dia pernah terjatuh beberapa kali dari motosikal lumbanya tetapi menyifatkan ia sebagai sesuatu yang normal bagi seseorang pelumba. Dalam kebanyakan insiden, ia tidak menyebabkan kecederaan kerana pelumba dilindungi jaket keselamatan berkualiti tinggi.

Tambahnya, pelumba hanya menyertai sesuatu perlumbaan selepas motosikal mereka disahkan selamat.

"Saya tidak tahu punca sebenarnya kemalangan maut. Kebanyakan kemalangan tidak menyebabkan kecederaan parah atau maut setakat ini. Situasi dua buah motosikal berlanggar sesama sendiri di atas litar adalah sesuatu yang biasa berlaku.

"Namun, pelanggaran pada pusingan awal boleh mengundang bahaya kerana tangki kenderaan dipenuhi minyak dan boleh mengakibatkan kebakaran. Letupan besar tentu saja memberi petanda yang buruk," katanya.

Zamri ditemu bual semasa beliau sedang sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi perlumbaan di Grand Prix Sepang bagi kategori 600cc hujung minggu lalu.

Ketika ditanya kelajuan tertinggi yang dicatatkan oleh seseorang pelumba di atas litar setakat ini, Zamri berkata ada pelumba yang mencatatkan kelajuan sehingga 306 kilometer (km) sejam.

Menurut Zamri, kelajuan tertinggi pernah dicatatkan beliau setakat ini 290 km sejam.

Full content generated by Get Full RSS.

bakal popular Bakun

Posted:

bakal popular<br />Bakun

bakal popular
Bakun


EMPANGAN gergasi di tengah-tengah hutan negeri Sarawak ini bakal menjadi tarikan pelancongan negara sama seperti Tasik Kenyir di Terengganu.


ENJIN turbin pertama sedang berputar ligat. Tenaga elektrik turut terhasil. Paras air di Empangan Elektrik Hidro Bakun yang terletak di tengah-tengah hutan di Sarawak turut naik.

Empangan gergasi itu dianggarkan bernilai RM7 bilion.

Turbin pertama yang dibina oleh syarikat gergasi tenaga, Alstom, dari Perancis itu mula menghasilkan tenaga elektrik sejak beroperasi pada Ogos lalu.

Takungan airnya mula merebak menjadi sebesar saiz negara Singapura.

Sungai Balui

Selepas dikritik dan diberi amaran pada beberapa tahun lalu mengenai impak projek itu ke atas hutan dara dan pemindahan etnik tempatan di negeri itu, Pengarah Urusan Sarawak Hidro, Zulkifle Osman mula melihat cahaya yang menyinar di hujung terowong.

Zulkifle yang memantau pembinaan projek itu sejak tahun 2000 mempertahankan rasional pembangunan itu biarpun berlaku lebihan tenaga elektrik.

"Ia adalah seperti permainan ayam dan telur. Saya yakin bahawa permintaan untuk tenaga elektrik di Sarawak sangat banyak," ujar Zulkifle.

Namun, mereka yang menentang projek Bakun itu menganggapnya sebagai satu perancangan yang salah.

Fasiliti itu terletak di Sungai Balui. Lembangan itu turut menjadi kediaman kepada Orang Utan, harimau bintang serta pelbagai spesies flora dan fauna yang lain.

Projek itu dimuktamadkan pada tahun 1986 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia adalah sebagai usaha untuk menyalurkan tenaga elektrik murah ke Semenanjung.

Buat masa ini, penduduk yang tinggal di sekitar kawasan empangan yang dikatakan antara tertinggi di dunia iaitu pada paras 205 meter itu sudah ada yang menerima tempiasnya.

Menurut mereka, kualiti air sungai telah merosot. Ikan juga semakin berkurangan selain sungai berbau busuk manakala airnya dikhuatiri tidak selamat diminum.

Empangan itu nampaknya memberi kesan buruk buat kaum pribumi apabila banyak kelodak yang muncul.

Sambil menaiki bot di Kampung Uma Nyaving yang terletak kira-kira 10 kilometer ke hilir Bakun, Richard Let merungut kerana jumlah ikan sungai semakin berkurangan.

"Rezeki untuk kami sekeluarga sudah merosot. Saiz ikan juga tidak besar. Sungai semakin cetek dan begitu sukar untuk saya menangkapnya," kata Let, 31, dari suku Kayan.

Pelancongan


BAKUN merupakan empangan kedua tertinggi di Asia selepas Empangan Shibiyanu di China.


Dari empangan hingga ke muara sungai, terdapat kira-kira 12,000 penduduk tempatan yang terdiri daripada pelbagai etnik termasuklah Kayan, Kenyah, Ukit dan Penan yang tinggal di rumah panjang. Kesemua mereka masih mengamalkan gaya hidup tradisional di Sungai Asap.

Sungai Asap merupakan penempatan baharu buat penduduk tempatan untuk tinggal selepas projek itu dimulakan.

Biarpun di dalam hutan, mereka menikmati kemudahan air paip, elektrik, sekolah, sambungan Internet dan kemudahan kesihatan di situ.

Di sebalik semua itu, Zulkifle masih optimis.

"Saya yakin bahawa tenaga dari Bakun akan berguna. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang berusaha keras untuk menarik pelabur," ujar beliau.

Zulkifle turut menolak kebimbangan mengenai keselamatan di empangan batu yang terbesar di dunia itu.

Jelasnya, air yang dilepaskan itu adalah yang dirawat untuk memastikan ia bersih.

Dalam pada itu, selain membekalkan tenaga elektrik, empangan itu dirancang untuk dijadikan produk pelancongan baharu negara ini khusus bagi mereka yang meminati alam semula jadi.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempromosi empangan itu sama seperti yang dilakukan terhadap Tasik Kenyir yang kini menjadi antara tarikan utama negara dalam bidang ekopelancongan.

"Tidak mustahil empangan ini akan menjadi popular sama seperti Tasik Kenyir," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved