Selasa, 4 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Roti tempatan, keghairahan Itali

Posted:

Roti tempatan, keghairahan Itali

Roti tempatan, keghairahan Itali

Oleh NIZHA PERIASWAMY

BAGI Lai Fei Siong, 31, tanggungjawab menjaga seluruh proses pembuatan roti bermula sejak pukul 8 pagi. Namun dia selalunya tiba lebih awal di Taman Perindustrian Pulau Indah di Pelabuhan Klang untuk mendaftar masuk tugas di kilang pembuatan roti, The Italian Baker.

"Kilang ini direka untuk beroperasi 24 jam. Namun, buat masa ini kami hanya beroperasi untuk tempoh terhad. Namun, saya akan berada di kilang pada bila-bila masa diperlukan.

"Ini kerana saya perlu memastikan setiap prosedur pemprosesan makanan berjalan lancar bagi memastikan roti ini sampai di meja sarapan pengguna.

"Ia satu tanggungjawab yang besar," kata penyelia bakeri itu yang mengakui dirinya menggemari suasana kerja berasaskan makanan, khususnya roti.

Lai Feng memberitahu, terdapat 10 bahagian utama di kilang tersebut, bermula dengan bahagian pemprosesan roti sandwic Masimmo dan ban Duetto.


ROTI-ROTI ini melalui proses penyejukan sebelum ia dipotong dan dibungkus.


Gedung pemprosesan itu juga menempatkan ruang pejabat pemasaran, jualan, pembuatan, pergudangan, kejuruteraan, kualiti, penyelidikan dan pembangunan serta sumber manusia. Tidak terkecuali adalah bahagian pengedaran yang melibatkan lori-lori pengedaran.

Sesudah memberi penerangan asas, Fei Siong membawa masuk krew wartawan dan jurugambar ke dalam kilang dari ruang lobi yang juga menempatkan sebuah kafe roti The Italian Baker.

Walaupun proses pembuatan roti utama di kilang itu tidak melibatkan tenaga kerja manusia, pihak pengurusan tetap merekrut kira-kira 100 kakitangan untuk dibahagikan kepada dua hingga tiga syif kerja. Semua penjadualan syif itu dibuat untuk memastikan capaian pengeluaran yang lebih banyak, selari dengan faktor permintaan.

Dengan keluasan kilang sekitar 20,000 meter persegi, kilang The Italian Baker mula dibina pada tahun 2009 dan siap pada akhir tahun 2010.

"Operasi pemprosesan roti bermula pada awal tahun ini. Walaupun ia bukan dibuat di Itali, tetapi ia dihasilkan menggunakan keterujaan dan keghairahan pembuat roti di Itali!" kata-kata itu berulang kali diucapkan oleh Pengurus Besar The Italian Baker, Jimmy Chang Gee Sing ketika berada di ruang lawatan bercermin di kilang itu.

Roti dan ban


SEORANG pekerja bahagian bakeri memantau adunan doh sebelum dihantar untuk proses pembahagian.


Walaupun tidak dapat melihat secara dekat dan langsung proses pembuatan roti di The Italian Baker atas sebab kebersihan dan kesihatan, pelawaan ke sebuah bilik bercermin tetap memberikan suasana komprehensif.

Krew Kosmo! bukan sahaja dapat menyaksikan proses pembuatan roti dan ban dari dalam ruang berhawa dingin, malah dari sudut pandangan atas yang menunjukkan keseluruhan suasana operasi kilang.

"Di sebelah kanan anda ialah bahagian pemprosesan roti sandwic Massimo dan di sebelah kiri anda ialah ban berkrim Duetto. Pemprosesan kedua-dua roti sedikit berbeza dan masing-masing memerlukan kaedah, masa serta pembungkusan berlainan," ujar Fei Siong.

Walau bagaimanapun, secara asasnya, setiap pemprosesan pembuatan bermula dengan penimbangan berat kandungan, pengadunan doh, pemisahan doh mengikut saiz, membakar doh, penyejukan dan akhir sekali pembungkusan.


DARI KIRI: Fei Siong, JImmy dan Pengurus Bahagian The Italian Baker, Eric Ong Poh Choy, menunjukkan produk yang menjadi kebanggaan mereka.


Di antara segmen kerja tersebut, beberapa kakitangan ditempatkan untuk memeriksa berat dan ketinggian roti. Mereka juga bertanggungjawab membuat pemeriksaan berkala bagi mengesan sekiranya terdapat pencemaran kandungan logam dalam roti.

Lazimnya, sebuku roti sandwic mengambil masa tiga jam untuk dihasilkan. Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna pihak pengilang memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan sejumlah roti yang banyak.

Kecekapan mesin pembuat roti yang diimport dari Eropah dan Amerika di kilang itu mampu menyiapkan roti dalam jumlah yang besar, iaitu 10,000 buku roti sandwic sejam dan 24,000 biji ban setiap jam.


DOH yang siap diadun dengan bahan mentah akan difermentasi selama empat jam sebelum dihantar ke ketuhar untuk proses membakar.


"The Italian Baker menghasilkan 40,000 buku roti sandwic Massimo dan 24,000 ban Duetto sehari. Ini angka permulaan kerana kami hanya beroperasi pada syif yang terhad iaitu 12 jam sehari dan ia mungkin dikembangkan mengikut permintaan pada masa hadapan kelak," ujar Fei Siong sambil menunjukkan barisan roti Massimo yang tersusun di atas dulang berputar untuk proses penyejukan.

Di atas dulang berputar itu sahaja terdapat 10,000 buku roti. Semua roti itu menunggu masa untuk dihantar ke empat buah mesin pemotongan dan pembungkusan roti. Bagi roti ban Duetto pula, mesin yang hampir serupa menjalankan 'tugas' meletakkan krim sebelum pembungkusan.

Memulakan operasi pembuatan roti pada 21 Mac lalu, The Italian Baker, menurut Jimmy Chang telah membabitkan pelaburan sebanyak RM120 juta dengan keutamaan diberikan kepada mesin-mesin yang diimport dari Amerika dan Eropah.

Selaku syarikat subsidiari Federal Flour Mill (FFM), yang lokasi kilangnya juga bertempat di Pulau Indah, Jimmy mengakui pihaknya mudah mendapat bekalan bahan mentah.

"Jadi, kami bukan sahaja menjimatkan masa dari segi pengangkutan, malah dapat memberikan harga roti yang lebih murah kerana dapat menjimatkan kos logistik dan bahan mentah tersebut," katanya.

Perisik suri rumah Korea

Posted:

Perisik suri rumah Korea

Perisik suri rumah Korea


MOON menunjukkan kamkoder yang merupakan antara alatan digunakan oleh perisik suri rumah.


JIKA dilihat sosok tubuh dan gaya Jennifer Chung, mungkin ramai yang tidak menyangka dia sebenarnya seorang perisik yang sedang mengintip pesalah undang-undang.

Setiap pagi, selepas suri rumah dari Korea Selatan itu menghantar dua anak lelaki ke sekolah dan mengurus suaminya ke tempat kerja, dia akan bersiap-siap untuk mencari pesalah yang terdiri daripada guru sekolah yang tamak, pengusaha restoran dan pemilik salon kecantikan.

"Sesetengah mereka dikenakan tindakan kerana mengenakan yuran tusyen yang melebihi had, tidak mendedahkan bahan pada menu yang dihidangkan atau menyediakan rawatan kecantikan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor.

"Mereka ini ialah pesalah undang-undang. Saya perlu bukti untuk melaporkan kepada pihak berkuasa," kata Chung, 54, sambil menunjukkan kamkoder yang disembunyikan dalam beg duitnya yang dilengkapi lensa kecil di celah-celah lubang.

Dalam misi penyamaran yang tipikal, Chung akan berlakon seperti pelanggan biasa dengan merakam perbualan atau adegan-adegan yang melanggar undang-undang. Kemudian, dia akan menghantar rakaman video itu kepada pihak berkuasa.

Dia akan mendapat bayaran dalam bentuk tunai bagi setiap kes daripada pelbagai jabatan kerajaan dan jumlah ganjaran yang diterima dalam sebulan boleh mencecah lebih 2 juta won (RM5,400) sebulan.

Ganjaran perisik


ANTARA alatan yang digunakan paparazi suri rumah ketika melakukan kerja-kerja penyiasatan.


Ramai rakyat Korea Selatan terutama golongan wanita umur pertengahan menjadi perisik atau lebih dikenali sebagai paparazi berbanding hidup sebagai orang kaya dan terkenal.

Bilangan mereka semakin bertambah dan sumber pendapatan hanya dengan membuat rakaman video pesalah kecil undang-undang yang terdiri daripada penduduk Korea sendiri.

Ketika pihak kerajaan berterusan menambah ganjaran kepada perisik, sekolah-sekolah yang memberi tunjuk ajar cara-cara mengintip pesalah turut berkembang.

Sekolah-sekolah seperti itu mengajar para pelajarnya kaedah-kaedah untuk menghendap mangsa supaya perbuatan mereka dapat dirakam, malah turut berkongsi rahsia untuk berlakon sebagai orang tidak bersalah supaya tidak dicurigai.

"Bidang ini telah menjadi industri yang menguntungkan. Ada orang menjadikannya sebagai pekerjaan tetap," ujar pengasas sekolah paparazi di Seoul, Mismiz, Moon Seung-Ok.

Katanya, bilangan pelajarnya bertambah ketika keadaan ekonomi perlahan dan ramai suri rumah mencari jalan untuk menambah pendapatan keluarga.

Seung-Ok juga merupakan seorang paparazi berpengalaman. Beliau menyiasat pelbagai jenis kes iaitu daripada pemandu yang melanggar hadlaju sehingga kepada pengedar dadah.

Tambahnya, para perisik bertugas membantu pihak berkuasa dan polis yang kekurangan kakitangan malah ada yang bekerja lebih masa untuk menguatkuasakan undang-undang.

"Terdapat individu yang menuduh kami tiada hati nurani malah ada yang mengatakan kami sebagai pengkhianat. Mencari duit dengan mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain," ujar Seung-Ok kepada pelajar-pelajarnya yang rata-rata berumur dalam lingkungan antara 40 dan 50-an.

Tetapi ujarnya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan tuduhan-tuduhan seperti itu.

"Mereka adalah penjenayah yang membuat keuntungan dengan melanggar undang-undang!" tegas Seung-Ok yang menggambarkan pekerjaan sebagai perisik sebagai tugas patriotik dan bermanfaat.

Pusat tuisyen


MOON (tengah) memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajarnya mengenai cara menyiasat dengan betul.


Kesalahan yang sering menjadi sasaran di negara yang obses dengan pendidikan itu adalah berkaitan dengan pemilik pusat tuisyen. Antara kesalahan mereka ialah mengenakan caj yang berlebihan dan menjalankan sesi pembelajaran sehingga lewat malam.

"Ia adalah kesalahan yang paling popular kerana pengusaha pusat tuisyen yang tamak ada di mana-mana sahaja. Para suri rumah dengan mudah berlakon seperti ibu bapa biasa yang bertanyakan yuran pembelajaran," terang Seung-Ok.

Menurut laporan kementerian pendidikan Korea Selatan, pihak mereka telah membayar sejumlah 3.4 billion won (RM9.25 juta) sebagai ganjaran sejak sistem tersebut diadaptasi pada bulan Julai 2009 lalu.

Ramai pengkritik berpendapat perisik-perisik menjadikan ia sebagai perniagaan kerana perlu bertahan untuk hidup dalam saat-saat ekonomi yang sukar.

Jurucakap persatuan pengusaha pusat tuisyen Korea Selatan, Cho Young-Hwan menggelar mereka sebagai pemangsa tidak berperikemanusiaan kerana telah menyebabkan banyak pusat-pusat tuisyen kecil ditutup.

Ujarnya, banyak pusat tuisyen ditekan oleh ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka tekun belajar menyebabkan ia terpaksa membuka kelas sehingga larut malam walaupun itu merupakan larangan kerajaan.

Seorang lagi pengkritik, Professor undang-undang di Universiti Kebangsaan Jeju menyifatkan situasi tersebut amat merisaukan.

"Paparazi ini akan membuat perangkap dan tidak sabar-sabar menunggu orang melanggar undang-undang. Amalan seperti ini hanya menyuburkan sikap saling tidak mempercayai sesama ahli masyarakat," keluh Oh lagi. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved