Isnin, 26 September 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Ringankan beban belanja orang bandar

Posted:

Ringankan beban belanja orang bandar

Ringankan beban belanja orang bandar

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

KATA orang, kalau gaji sekadar RM1,000 hingga RM2,000, jangan mimpilah hendak tinggal di Kuala Lumpur. Semuanya harus dibayar dengan wang. Dalam erti kata lain, tiada yang percuma hidup di bandar raya.

Sememangnya menetap di ibu negara, Asmah Basharudin, 36, dan Siti Mudzalifah Mohd. Naim, 53, mengakui, mereka perlu hemah berbelanja dan perlu bijak mengurus perbelanjaan.

"Kami yang berada dalam golongan pertengahan turut terkena tempias dengan harga barangan yang semakin naik dari tahun ke tahun. Jadi setiap bulan, kami harus merancang perbelanjaan agar tidak melebihi bajet bulanan," keluh mereka senada.

Namun, pada Jun lalu, orang ramai sudah mula memperkatakan tentang Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Antara intipati yang sering dilaung-laungkan adalah mengenai tawaran potongan harga barangan keperluan di bawah paten jenama 1Malaysia yang cukup istimewa.

Asmah dan Siti Mudzalifah semakin teruja tatkala mengetahui lebih daripada 250 jenis barangan dijual sehingga mencapai 50 peratus diskaun daripada harga sebenar.

Kenyataan dan saranan yang bertalu-talu itu, akhirnya mendorong dua orang wanita tersebut untuk berkunjung ke KR1M yang terletak di Stesen LRT Kelana Jaya baru-baru ini.

Sebagai suri rumah yang turut bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kedua-duanya sememangnya sudah lama mendambakan keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar.

"Saya sifatkan inisiatif ini merupakan yang terbaik dalam usaha membantu rakyat dan ini bukti kepada slogan Rakyat Didahulukan yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Asmah.


KR1M akan diperluaskan secara berperingkat di kawasan luar bandar dan kawasan perumahan kos rendah tidak lama lagi.


Untungkan rakyat

Ramai tertanya-tanya apa keistimewaan KR1M selain menawarkan harga murah dan berupaya menjimatkan perbelanjaan harian?

Menjawab persoalan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, harga barangan di KR1M tidak akan sewenang-wenangnya boleh dinaikkan tanpa alasan wajar.

Tambah beliau, kewujudan KR1M yang dipantau oleh kementeriannya merupakan medium kerajaan untuk mengawal harga barang.

Setakat ini, selain di Stesen LRT Kelana Jaya, terdapat tiga lagi cawangan KR1M. Masing-masing terletak di Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak yang dirasmikan pada 21 Ogos lalu, Kuarters Dewan Bandaraya, Pantai Dalam dan terkini, di aras bawah bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Presint 2, Putrajaya.

Apakah perbezaan KR1M dengan kedai-kedai runcit lain yang sedia ada?

Ujar Ismail Sabri, barangan keperluan asas seperti minyak, beras, susu tepung, lampin pakai buang dan lain-lain lagi dipek dengan jenama Kedai Rakyat 1Malaysia.

Barangan-barangan itu pula jelasnya, dibungkus semula dalam kuantiti lebih kecil dan sedikit bagi membolehkan pengguna mampu membeli.

Antara yang dipek semula ialah beras untuk pek satu kilogram (kg), serbuk kari (100 gram) dan lampin dipek dalam kuantiti yang kecil.

"Konsep KR1M menguntungkan rakyat kerana harga barangan keperluan dijual jauh lebih rendah dari kedai biasa," jelas Ismail Sabri.

Beliau mengambil contoh, sekampit beras super tempatan lima peratus hancur seberat 10 kilogram hanya berharga RM21.99 berbanding RM25.80 di premis lain. Bawang putih dijual pada harga RM3.38 sekilogram berbanding RM6, sardin 425 gram (g) pada harga RM2.99 (berbanding RM6.10) dan roti sandwich berharga RM1.79 (berbanding RM2.40).

Ternyata potongan harga hebat itu memukau para pelanggan di KR1M.

Bagi seorang pelanggan, Tan Swee Ann, 35, barangan yang bukan daripada jenama 1Malaysia juga begitu murah. Sebagai contoh, kicap Kipas Udang yang berharga RM5.80, dijual pada harga RM3.80 di sana.

Kualiti

Selaku badan yang dilantik untuk menjalankan operasi seperti kerja-kerja pengubahsuaian, membekal barangan, melatih dan menyediakan kakitangan dan mentadbir urus sistem Point of Sales (POS) KR1M, Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN) memberi jaminan penuh.

Ujar Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, para pengguna tidak perlu meragui kualiti barangan.

Memetik kata-katanya, beliau berkata, matlamat pihaknya bukannya mencari keuntungan sebaliknya memberi yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.


RAMAI berpandangan idea KR1M merupakan cetusan idea terbaik kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia berbelanja.


Malah Perdana Menteri ketika melancarkan rangkaian 250 buah KR1M di Felda Chini Timur baru-baru ini turut menekankan soal kualiti barangan. Beliau menyifatkan barangan di KR1M setanding dengan barangan jenama yang ada di pasaran.

Bercakap tentang perkara yang sama, seorang pelanggan, Wan Nurul Ain Wan Hamzah, 23, berkata, disebabkan mutu dan standard kelengkapan di kedai itu memuaskan, kini dia memilih untuk ke sana.

"Sebelum ini, saya kerap ke kompleks beli-belah namun setelah membuat perbandingan dan meneliti kos, saya telah beralih angin dan akan ke kedai rakyat ini sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sebulan," kata pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat di ibu negara ketika ditemui sedang membeli-belah di KR1M.

Seorang kakitangan kerajaan, Norizan Baharom, 52, pula berkata, dia berpendapat KR1M sesuai untuk golongan peniaga atau pemborong.

"Ini merupakan platform terbaik untuk para peniaga memborong pelbagai barangan pada harga yang pasti lebih berbaloi. Soal pembungkusan produk bukanlah menjadi keutamaan lagi kini," katanya yang baru kali pertama menjengah KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya.

Malah seorang suri rumah dari Selayang, Norhayati Aman, 55, sanggup bertandang ke Kelana Jaya semata-mata untuk membeli-belah di situ.

Dia yang membeli beras pada ketika itu terus bertekad untuk mengajak rakan-rakan untuk berbelanja di KR1M.

Dalam pada itu, penjenamaan produk di bawah jenama KR1M telah membawa rahmat kepada barangan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pendekatan itu umpama serampang dua mata ekoran bukan sahaja berupaya membantu pengusaha PKS tetapi menolong rakyat mendapatkan keperluan pada harga yang rendah.

Dapat sambutan

Lebih kurang hampir empat bulan dilancarkan, KR1M dilihat menepati matlamatnya. Rakyat yang dihimpit paras kemiskinan bandar mampu menarik nafas lega.

"Kini, masalah pengurusan kewangan semakin stabil dan sebagai pelajar yang menuntut di ibu negara, kami sentiasa mengharapkan untuk mencari lokasi membeli yang murah dan sesuai dengan bajet kami dan kedai rakyatlah lokasi tumpuan kami," kata penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Leni Mootthy, 21.

Keberkesanan pelaksanaan KR1M dibuktikan lagi dengan kenyataan KPDNKK yang memaklumkan bahawa dua buah kedai rakyat masing-masing di Kelana Jaya dan Bandar Tun Razak mengutip hasil jualan hampir RM1 juta sejak mula beroperasi Jun lalu.

Susulan itu, kerajaan mengumumkan akan membuka 60 buah cawangan lagi pada tahun hadapan. Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 24 buah lagi akan didirikan di sekitar Lembah Klang.

Beberapa negeri lain turut menunjukkan minat. Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini dilaporkan telah menghubungi pihak terbabit untuk membantu memperluaskan konsep KR1M di negeri itu.

Prihatin dengan para penduduk di perumahan kos rendah, KPDNKK sedang dalam fasa pertama untuk memperluaskan penjualan produk-produk KR1M ke kedai-kedai runcit dalam kawasan perumahan kos rendah sekitar Kuala Lumpur sedikit masa lagi. Begitu juga di pedalaman Sabah dan Sarawak.


PEMBUNGKUSAN produk dan label yang ringkas pada barangan di KR1M tidak bermakna kualiti dan mutu produknya rendah.


Melihat betapa positifnya KR1M pada rakyat, pada 27 Ogos lalu, Perdana Menteri melancarkan secara serentak 226 kedai 1Malaysia DMart yang dibina di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Malah, kerajaan turut bercadang untuk menjual barangan keperluan 1Malaysia di 500 kedai yang terlibat dengan Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan 150 agro bazar di seluruh negara.

Paling baharu, idea KR1M Kedai Bergerak diperhalusi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di kampung. KR1M juga akan digunakan sebagai projek tanggungjawab sosial untuk membantu mangsa bencana seperti banjir.

Di sebalik kejayaan hebat atas idea luar biasa tersebut , ada pihak mencadangkan agar KR1M menginjak satu lagi inisiatif dengan menjual barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran.

"Mengapa tidak kerajaan menjual ikan, daging, ayam atau sayur-sayuran di KR1M? Saya jamin, ia lebih menarik perhatian umum," saran kakitangan kerajaan, Almina Shakarudin, 36.

Wanita itu turut berharap agar rakyat Malaysia sahaja diberi ruang membeli-belah di KR1M kerana katanya, itu lebih adil dan saksama.

Ya, barangkali kerajaan boleh menimbangkan saranan-saranan itu.

Restoran legenda bola sepak

Posted:

Restoran legenda bola sepak

Restoran legenda bola sepak

Oleh SHAH NIZAM OMAR


ZAINAL ABIDIN mengajak orang ramai mencuba menu kegemarannya di Restoran Lagenda 17 iaitu nasi ayam Hainan.


JIKA anda menginginkan aura tempat makan seumpama suasana di padang bola sepak, berkunjunglah ke Restoran Lagenda 17 yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.

Melangkah masuk ke Restoran milik legenda bola sepak negara era 80-an, Zainal Abidin Hassan, 49, hati pasti tertawan dengan dekorasi dalamannya.

Di kiri dan kanan dinding restoran terdapat gambar-gambar kenangannya ketika legenda bola sepak negara itu mewakili Malaysia dan negeri sejak berumur 17 tahun.

Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini percaya, para pelanggan yang bertandang ke premisnya pasti dapat mengimbau kembali memori-memori lama kegemilangannya sebagai pemain bola sepak.

"Setiap gambar menceritakan kegembiraan saya ketika menyarung jersi bernombor 17 bersama rakan-rakan yang lain termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari," katanya sambil memberitahu operasi kedainya sudah bermula sejak setahun yang lalu.

Namun paling mencuri tumpuan adalah beberapa helai jersi yang pernah disarung wira negara itu.

Tidak cukup dengan itu, Zainal Abidin turut berkongsi dengan para pelanggan tentang kedudukan formasi atau strateginya dalam permainan bola sepak.

Bagaimana idea menubuhkan restoran ini tercetus?

Ujarnya, semuanya bersandarkan kepada minatnya dalam perniagaan dan ia menjadi kenyataan apabila didorong oleh rakan yang kini merangkap penyelia restoran, Mohd. Fadzil Mohd. Halimi.

Semasa kunjungan Kosmo!, restoran ini tidak putus dikunjungi orang ramai. Barangkali lokasinya yang terletak berhampiran dengan institusi pengajian tinggi, kawasan perumahan dan pejabat menyebabkan ia menjadi pilihan yang disenangi.

Selain itu, antara faktor lain yang menggamit perhatian umum ialah kemudahan WiFi dan skrin televisyen besar.

Nasi ayam Hainan

Restoran Lagenda 17 tentunya mempunyai hidangan signatur. Kata Zainal Abidin yang kini merupakan Penolong Jurulatih pasukan bola sepak Pahang, pengunjung harus mencuba nasi ayam Hainan yang juga merupakan makanan kegemarannya.

"Nasi ayam adalah makanan kegemaran saya, jadi saya ketengahkan juadah ini khas untuk para tetamu.

"Ia dihidangkan dalam dua rasa iaitu panggang dan kukus. Harganya pula RM6.20 sepinggan," katanya penuh rasa teruja.

Menu-menu lain pula ialah asam pedas bunian yang berharga antara RM6.90 hingga RM7.90 dan lauk-pauk kampung.

"Kita juga ada pelbagai jenis ikan bakar termasuk pari, siakap dan kembung serta masakan ala-carte. Mengenai harganya pula, sememangnya sangat berpatutan," katanya yang turut menyarankan minuman epal asam boi. yang digemari ramai.

Melihat kepada perkembangan positif bisnes restorannya, Zainal Abidin bercadang untuk membuka sebuah lagi restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam sedikit masa lagi.

Kepada yang ingin membuat tempahan sama ada katering atau ingin mengadakan keraian seperti majlis hari jadi, boleh hubungi talian 03 55237717.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved