Selasa, 27 September 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Perkahwinan akhiri kontroversi

Posted:

Perkahwinan akhiri kontroversi

Perkahwinan akhiri kontroversi

Oleh NASRI JAMALUDIN

KONTROVERSI ditangkap khalwat di sebuah premis perniagaan Jalan UP 1/2, Ukay Perdana, Ampang, pada Oktober 2008 yang dialami pasangan pelakon, Norman Hakim atau Mohammad Nurhakim Zaidon, 35, dan Suhaiza Suhaimi, 23, atau Memey kini menyingkap sejarah baharu dalam kehidupan mereka apabila kedua-duanya selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor Sabtu lalu.

Dengan sekali lafaz, Norman sah bergelar suami kepada Memey sekali gus menimbulkan perasaan sebak di hati kedua-duanya seumpama satu beban besar telah terlepas daripada bahu masing-masing.

Kata-kata keramat yang dilafazkan Norman itu dilakukan di hadapan Jurunikah Mukim Kamdau, Zulkipli Tarmizi dengan Memey diwalikan bapanya, Suhaimi Sarwani pada pukul 4.45 petang tanggal 24 September lalu dengan mas kahwin RM22.50 dan hantaran sebanyak RM24,000.

Rombongan pihak lelaki turut membawa lima dulang hantaran berupa alat pengesan lokasi GPS, rantai belian, cincin berlian, kek buah-buahan, sirih junjung, buah-buahan dan senaskhah al-Quran dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan berupa I-Pad 2, cincin belian, coklat, anggur, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan senaskhah al-Quran.

Namun, apa yang lebih menyentuh emosi sudah pastinya kehadiran dua anak Norman bersama bekas isteri pertamanya, Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6, yang nyata berjaya menambahkan lagi keceriaan di hati kedua-dua pasangan itu, biarpun anak Norman, Maria Danish Hakim, 2, tidak hadir.


NORMAN dan Memey mahu melupakan kisah silam yang tragis dan memulakan langkah menuju masa depan yang gemilang dan penuh ceria.


Kemesraan antara Norman, Memey dan kedua-dua Mohamed Danish dan Marissa Dania ternyata bukan lakonan dan sudah pasti ia menjadi isyarat kepada sebuah keluarga bahagia yang bakal dibina pasangan itu di masa depan nanti.

Majlis akad nikah itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua belah keluarga selain sanak-saudara dan orang kampung serta pihak media.

Pada majlis itu juga mereka sempat mengenakan rekaan busana berwarna coklat hasil sentuhan dan sumbangan daripada Ezuwan Ismail sekali gus mengayakan rekaan berkenaan di atas pelamin yang disumbangkan Iezla Bridal.

Majlis berkenaan termasuk majlis persandingan sebelah perempuan yang diadakan keesokan harinya, juga di kediaman Memey merupakan sentuhan PLU Creative yang berkonsep dalam taman dengan tema putih dan hijau dibina khas di bawah khemah bersebelahan kediaman keluarga Memey.

Tidak cukup dengan itu, para tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan daripada band jemputan selain tarian zapin daripada Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.

Pada majlis persandingan tersebut, Norman dan Memey kelihatan anggun mengenakan dua busana masing-masing daripada Hatta Dolmat untuk majlis persandingan dan Rizman Ruzaini bagi majlis potong kek setinggi tiga tingkat yang turut memaparkan wajah-wajah pengantin.

Sebelum itu, rombongan pengantin itu tiba pada pukul 2.45 petang diiringi paluan kompang sekali gus menjadi tumpuan para tetamu yang hadir termasuk orang kampung yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar pasangan tersebut yang pastinya menjadi salah satu koleksi berharga.

Perkahwinan satu tanggungjawab

Menurut Norman yang merupakan bekas pelakon siri televisyen Gerak Khas, perkahwinannya dengan Memey memberikan sinar baharu dalam kehidupannya sebagai suami sekali gus memikul tanggungjawab sebagai nakhoda rumah tangga.

Justeru tidak hairanlah, Norman sebak menerima amanah keluarga perempuan selain terkenang kembali kisah dan kekurangan hidup pada masa lampau.


MERIAH sekali suasana pada hari persandingan Memey dan Norman yang berlangsung di kediaman Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor.


"Saya rasa sebak dan hiba ketika ustaz membacakan khutbah nikah kerana terkenang ketidaksempurnaan diri pada masa lalu. Pada masa sama, saya kembali rasa tenang berikutan telah berjaya membina 'masjid' yang merupakan satu ibadah, satu harapan baharu untuk kehidupan masa depan," luahnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Norman yang kelihatan berseri-seri turut gembira ekoran upacara bersejarah tersebut berjalan dengan lancar, tambahan pula lebih 5,000 tetamu termasuk orang kampung dan para peminat sudi memeriahkan majlis persandingan itu.

Katanya, kehadiran ramai tetamu termasuk peminat itu merupakan satu dorongan kepadanya untuk lebih berjaya pada masa depan sama ada sebagai ketua keluarga mahupun dalam kerjaya. "Kesanggupan para tetamu hadir juga membuktikan sokongan terhadap diri dan isterinya, " ungkapnya.

Bagi Memey pula, perkahwinan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupannya dan mengharapkan perkara yang terbaik dalam sisi kehidupan berkeluarga.

Dia yang turut sebak ketika sah bergelar isteri kepada Norman, berkata, perasaan sebak itu berlaku secara tiba-tiba setelah terkenang kembali perkara yang pernah dilakukan dahulu serta satu kesyukuran kerana akad nikah dapat berjalan seperti dirancang.

"Saya bersyukur kerana kini telah bergelar isteri dan ia satu cabaran kepada saya untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan berumah tangga agar dapat hidup bahagia. Ia juga memberi kekuatan dan menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai satu dugaan hidup untuk kehidupan masa depan yang lebih baik."

Tambah Memey yang akan terus aktif berlakon selepas ini: "Anak-anak Norman juga telah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan bersyukur kerana mereka menerima saya seadanya."

Memey juga merancang untuk memperoleh empat anak dalam perkahwinan tersebut selain pasangan itu merancang destinasi bulan madu di Paris dan Mekah sambil mengerjakan umrah, namun tarikhnya masih belum diputuskan ekoran kesibukan bekerja.

Bergegas ke Kuala Lumpur

Pasangan itu menjadi tumpuan ramai apabila bakal menerima tajaan penuh daripada jenama barangan kemas, Rafflesia bernilai RM12 juta hanya untuk majlis perkahwinan mereka yang akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Selain itu, enam penaja lain turut bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lord's Tailor, pendandan, Snips, Angsana Spa, Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur dan jenama kasut terkenal, Jimmy Choo.


TIADA gentar. Dengan sekali lafaz pada upacara akad nikahnya, Norman sah menjadi suami Memey.


Jadi tidak hairanlah, pasangan pengantin baharu itu tidak boleh duduk lama di Kota Tinggi kerana perlu bergegas pulang ke Kuala Lumpur sehari selepas majlis persandingan berlangsung.

Ini berikutan, mereka perlu menyertai latihan atau raptai untuk majlis resepsi yang dikatakan turut dihadiri beberapa artis luar negara. Pada masa sama, Memey perlu mencuba beberapa busana yang akan diperagakan pada majlis bersejarah dan penuh gemilang bagi pasangan pengantin baharu itu.

"Meskipun banyak perkara telah diselesaikan untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur, saya masih perlu menghadiri majlis raptai serta mencuba pakaian yang disediakan.

"Saya juga ingin memastikan perkara-perkara berkaitan majlis tersebut dapat disediakan dan barharap majlis berjalan dengan lancar," katanya yang tidak menerima sebarang halangan daripada Norman sekiranya ingin terus aktif dalam bidang lakonan.

Selepas majlis resepsi berakhir, Norman akan kembali bekerja dua hari selepas itu untuk berlakon dalam drama Tangisan Bulan Madu.

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Posted:

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Oleh YUSMAN AWANG
(yang mengikuti pelayaran Star Cruises Superstar Libra bersama rombongan 8TV baru-baru ini)


ROMBONGAN 8TV bersama media bergambar kenangan di pelabuhan Pulau Pinang sebelum menaiki Superstar Libra yang menuju ke Phuket sebelum ke Krabi.


"SEPERTI lepas geram dan seumpama mimpi jadi kenyataan," ungkap hos 8TV Quickie, Megan Tan Yue Mei mengenai perasaan keterujaan yang menjana dalam dirinya setiap kali dia menjejakkan kaki ke luar negara.

Ini kerana akui Megan, 23, sebelum menjadi hos 8TV Quickie. dia tidak pernah ke luar negara.

Namun, dia cukup bertuah kerana peluang buat dirinya berkunjung ke luar negara terbuka luas menerusi kerjayanya itu.

Buktinya baru-baru ini dia turut menyertai rombongan pelayaran kapal mewah Star Cruises Superstar Libra ke Phuket dan Krabi, Thailand bersama rombongan 8TV bersama seorang lagi hos program itu iaitu Naqib Nadhir Shamsuri, 25.

Kebetulan, kedua-dua Megandan Naqib yang memulakan karier sebagai hos 8TV Quickie pada penghujung 2009 itu tidak pernah ke Phuket dan Krabi mahupun menyertai sebarang pelayaran Star Cruises.

Ujar Megan lagi: "Saya berasa sungguh bertuah kerana karier saya sebagai hos 8TV Quickie membuka peluang untuk ke luar negara sambil bekerja antaranya ke Britain dan Australia."


MEGAN dan Naqib sempat bergaya di atas bot selepas turun dari Superstar Libra sebelum menjejakkan kaki ke daratan Krabi.


Menurut pemilik Sarjana Sains Psikologi dan Komunikasi dari SeGi University College, Subang Jaya, Selangor itu, pengalaman menjadi hos 8TV Quickie membuatkan dirinya kini berkemampuan untuk mengembara sendiri ke luar negara bukan untuk bekerja.

"Kalau awal tahun ini saya bercuti di Singapura, awal bulan depan pula saya akan bercuti selama 10 hari di Melbourne, Australia," kata Megan yang mengimpikan percutian di Eropah.

Mengenai pengalaman menyertai pelayaran Star Cruises Superstar Libra selama 4 hari tiga malam dari 18 hingga 21 September lalu itu, kata Megan dia sememangnya sentiasa teruja, biarpun pada mulanya berasa agak cuak memikirkan tentang saiz bilik yang bakal dihuni di atas Superstar Libra dan kemungkinan dirinya akan mengalami mabuk laut.

"Namun, saya berasa selesa sepanjang menghuni bilik di Superstar Libra dan paling penting saya tidak mengalami mabuk laut, cuma ada sedikit pening tetapi sekejap sahaja," akuinya yang bakal muncul menerusi filem arahan Mamat Khalid, Apokalips.

"Biarpun bekerja, saya sangat teruja menyertai pelayaran kapal mewah ini, ia seumpama percutian percuma.


KREW 8TV Quickie sedang menjalani penggambaran bersama Megan dan Naqib di kolam mandi Superstar Libra yang terletak di dek 9.


"Cuma bezanya dengan percutian bukan atas dasar kerja adalah dari segi masa, kerana mengembara sambil bekerja tertakluk kepada rangka masa sedangkan kalau kita bercuti sendiri, kita bebas melakukan apa sahaja tanpa had masa," jelasnya lagi.

Begitu juga Naqib yang kelihatan cukup teruja dan ceria bersama Megan sepanjang pelayaran di atas Superstar Libra yang terdiri daripada 10 dek dilengkapi lapan buah restoran dan bar, dua buah kolam mandi, dua buah jakuzi, tempat bermain golf, bola keranjang dan trek joging, pusat karaoke, disko, kelab malam dan pawagam itu.

"Sememangnya saya berasa sungguh bertuah terpilih bersama Megan menyertai pelayaran mewah ini," ujar anak muda yang menyertai duo Dose 2 yang memperjuangkan muzik rap itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved