Khamis, 22 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kejayaan 280,000 Sahabat AIM

Posted:

Kejayaan 280,000 Sahabat AIM

Kejayaan 280,000 Sahabat AIM

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

USIA 25 tahun jika dipadankan kepada manusia tentulah boleh diibaratkan pemuda dan pemudi yang bakal mencorak masa depan negara dengan kelebihan yang ada pada diri. Ia juga dianggap waktu yang paling sesuai untuk mereka mendirikan rumah tangga jika sudah bertemu pasangan hidup masing-masing.

Namun, dalam konteks usia penubuhan sesebuah badan yang dibina semata-mata untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, sudah pasti ia membawa pengertian berbeza.

Hakikatnya, institusi itu sudah tentu akan dinilai melalui aspek kejayaan yang dicapai sejak mula pertubuhan itu diwujudkan dan kesan positif yang diterima khalayak.

Itulah yang turut dialami oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang lahir dengan niat murni bagi membantu menangani isu-isu kemiskinan di negara ini sejak tahun 1987.

Kini, selepas lebih dua dekad penubuhannya, AIM ternyata berjaya meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat 280,000 orang wanita yang telah bernaung di bawah badan tersebut melalui saluran pinjaman mikro hingga berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.

Penternak ikan sangkar


KAMARIAH (kanan) bersama suami, Ayuraziman kini gigih mengusahakan ternakan ikan sangkar.


Perkara itu diakui oleh peminjam. Dalam AIM, peminjam lebih dikenali dengan panggilan Sahabat AIM. Salah seorang daripadanya, Kamariah Udin, 31, kini merupakan seorang penternak ikan dalam sangkar yang berjaya.

Menurut Kamariah, dia mula menyertai AIM sebagai Sahabat pada tahun 2001. Berbekalkan modal yang ditawarkan badan berkenaan, wanita yang pada asalnya hanya seorang suri rumah itu akhirnya memberanikan diri menceburkan diri dalam projek tersebut bersama suaminya, Ayuraziman Tuah, 38, yang bekerja sebagai nelayan.

Menyedari apa yang dilakukan itu memakan modal yang besar, Sahabat dari Pusat Saidatul Syuhada, Pulau Salak, Kuching, Sarawak itu gigih mengusahakan projek tersebut.

"Selain mendapat pembiayaan modal daripada AIM, saya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Sarawak apabila terpilih menjadi anak angkat dalam projek Lembaga Perikanan Malaysia sekali gus dibekalkan sangkar ikan terpakai.

"Sehingga hujung tahun lalu, saya telah membuat pinjaman ekonomi bersama AIM sebanyak lapan kali dengan jumlah keseluruhan bernilai RM54,900. Selain itu, saya juga turut membuat pinjaman pelbagai melalui skim I-Sejahtera sebanyak enam kali dengan jumlah pembiayaan RM17,000 bagi membeli aset dan memperbaiki sangkar ikan yang rosak.

"Alhamdulillah, jika dahulu pendapatan harian kami sekeluarga sekadar RM30, tetapi kini kami sudah boleh tersenyum dengan jumlah pendapatan yang diraih di antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari," ujar Kamariah yang mempunyai tiga pekerja di kawasan sangkar ikan (40 petak) milik mereka. Pekerja itu dibayar gaji RM2,600 sebulan.

Selain mampu membayar upah pekerja, Kamariah juga telah berjaya memiliki aset tambahan seperti lori satu tan, van dan sebuah rumah besar yang didiami bersama tiga anak mereka.

Antara ikan yang diternak dalam sangkarnya termasuklah siakap, kerapu, merah dan jampung atau dikenali sebagai ikan perencong di Sarawak. Selain itu, pasangan itu turut menternak udang kara.

Di samping menternak ikan, mereka juga bertindak sebagai peraih ikan untuk dijual kepada orang lain dan mempunyai pelanggan tetap iaitu beberapa restoran di sekitar daerah Kuching dan Santubong.

"Saya pernah miskin. Saya ingin melahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada AIM kerana telah banyak membantu kami sekeluarga mengecapi hidup yang lebih sempurna," tutur Kamariah penuh syukur.

Pemborong ikan berjaya


SAHABAT yang berjaya dalam perniagaan turut diberikan penghargaan oleh pihak AIM sebagai pemangkin semangat.


Bagi Zoriah Tohat, 44, pula, modal pertama berjumlah RM600 daripada Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM yang diterima pada tahun 1999 menjadi batu loncatan dalam mengubah taraf kehidupannya.

Berasal dari Kampung Goebilt, Kuching, Sarawak, wanita cekal itu memulakan projek tangkapan ikan secara kecil-kecilan dengan membeli sampan, jaring dan jala. Kerja itu dilakukan bersama suaminya, Sahari Adam, 49.

Selepas sepuluh tahun berlalu, Zoriah yang sebelum ini hanya mengusahakan perniagaan ikan kering secara kecil-kecilan kini merupakan seorang pemborong ikan yang berjaya di daerah berkenaan dengan pinjaman sebanyak RM58,600 daripada AIM bagi pembiayaan ekonomi keluarganya.

Beritahu Zoriah, dia dan suami tidak pernah membuat pinjaman modal dengan institusi perbankan yang lain disebabkan kesukaran untuk mendapat kelulusan daripada pihak bank.

Bagaimanapun, melalui pinjaman pembiayaan AIM, segala urusan dipermudahkan sekali gus dia berpeluang mengubah nasib keluarganya.

Apabila ditanya sebab dia memilih menjadi pemborong ikan, wanita itu pantas menjawab: "Suami saya amat berminat mengusahakan projek ini. Jadi, saya sebagai penyumbang modal menyokong minat suami yang begitu bersungguh-sungguh sehingga berjaya memajukan perniagaan kami ke tahap ini."


AIM mengiktiraf mereka yang dinaungi, misalnya Zuiyah Talib (kiri) dan Nur Faizah Zolkafli. Masing-masing telah menerima anugerah Sahabat Warga Emas dan Sahabat ke-2,300 dalam sebuah majlis khas.


Selain daripada pelbagai jenis ikan, Zoriah turut memborong udang seperti udang merah dan udang harimau yang kemudian dipasarkan di kilang Seahorse, Bintawa yang merupakan kilang terbesar di Sarawak.

Tidak ketinggalan, dia juga menjual pelbagai tangkapan laut di kawasan rumahnya. Jika sebelum ini, Zoriah dan suami menjalankan projek secara kecil-kecilan, kini mereka berdua mampu membayar upah pekerja yang melebihi sepuluh orang.

Dengan purata pendapatan melebihi RM30,000 sebulan, pasangan itu telah membuktikan bahawa jika ada kemahuan dan usaha yang gigih ditambah pula dengan bantuan kewangan yang disalurkan AIM, apa sahaja impian pasti boleh dikecapi setiap individu.

"Tiada ucapan yang dapat diungkap melainkan rasa bersyukur yang tidak terhingga di atas kemudahan pembiayaan daripada AIM yang berjaya meningkatkan taraf pendapatan keluarga," kata Zoriah yang kini memiliki aset seperti sebuah lori bernilai RM50,000, kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM68,000 dan rumah besar yang menjadi tempat berteduh mereka tujuh beranak.

AIM bantu tangani kemiskinan

Posted:

AIM bantu tangani kemiskinan

AIM bantu tangani kemiskinan


AIM juga pernah menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (paling kiri) bagi diagihkan kepada golongan memerlukan. Tiga dari kanan ialah Pengerusi AIM, Datuk Amihamzah Ahmad.


PENGARAH Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Zabidah Ismail berkata, penubuhan badan itu pada 1987 berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk menangani isu-isu kemiskinan yang terdapat di negara ini.

AIM berfungsi mengagihkan modal untuk pinjaman secara kecil-kecilan kepada sahabat bermula dari RM500 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang ingin dijalankan.

"Uniknya kumpulan sasaran bagi modal yang ditawarkan di bawah Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM terdiri daripada golongan wanita yang berusia 18 tahun ke atas yang menepati syarat-syarat kelayakan untuk pinjaman.

"Paling penting, pembiayaan ini akan diguna pakai untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa kepada mereka," jelas Zabidah sambil memberitahu kakitangan AIM seramai 1,800 orang akan turun padang dalam usaha menjejak golongan yang sepatutnya dibantu.

Hingga kini, dana pinjaman yang telah diagihkan kepada para sahabat AIM berjumlah RM5.6 bilion melalui 99 cawangan AIM di seluruh negara.

"Daripada 280,000 sahabat AIM, 70.3 peratus terdiri daripada kaum Melayu, 17.8 peratus (bumiputera Sabah), 10 peratus (bumiputera Sarawak) dan 3 peratus (India). Mereka termasuklah golongan ibu tunggal atau individu yang mengalami kecacatan fizikal," terang beliau lagi.

Lebih menarik, kadar bayaran balik yang diterima AIM sangat membanggakan dengan catatan 99.5 peratus. Malah, sebanyak 62 cawangan berjaya membuat bayaran balik sebanyak 100 peratus seperti di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Melalui skim pembiayaan itu juga, AIM komited untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita sejak 2009 hingga akhir tahun 2012.

"Tetapi, kami sudah boleh berbangga kerana terdapat lebih 3,000 usahawan wanita (Sahabat AIM) dengan pendapatan melebihi empat angka sebulan," kata Zabidah sambil tersenyum tanda puas dengan pencapaian AIM sejak 25 tahun lalu.

Hidupkan sejarah Perang Marathon

Posted:

Hidupkan sejarah Perang Marathon

Hidupkan sejarah Perang Marathon

Pencinta sejarah dari seluruh Eropah, Amerika Utara dan Australia berkumpul untuk merealisasikan acara tiga hari yang penuh dengan lakonan semula pertempuran, kebangkitan semula budaya purba dan acara peringatan.


BIARPUN para peserta tidak seramai yang diharapkan, lakonan semula Peperangan marathon ini tetap dijayakan.


TANPA menghiraukan rembesan peluh di sebalik baju perisai besi yang berat, sekumpulan peminat fanatik arkeologi menghidupkan semula Peperangan Marathon hujung minggu lalu di sebuah kawasan pesisiran pantai yang pernah menyaksikan sejarah Eropah mengalami perubahan dramatik 2,500 tahun lalu.

Kesemua mereka datang dari seluruh Eropah, Amerika Utara dan Australia, semata-mata untuk merealisasikan acara tiga hari yang penuh dengan pertempuran, kebangkitan semula budaya purba dan majlis peringatan di Marathon Bay yang tidak pernah dibuat pada skala besar.

Bagi para pesertanya, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat diertikan dengan perkataan selepas bertahun-tahun menjalankan persiapan dan harapan yang acapkali tidak tercapai sebelum ini.

"Ia bagai mimpi jadi nyata selepas 10 tahun," kata Hywel Jones, seorang pencetak dari Wales yang datang ke Marathon bersama dengan isterinya, Stephanie untuk menjadi pejuang hoplite iaitu askar zaman purba Greece.

Kebanyakan daripada mereka sebenarnya sudah membelanjakan beribu-ribu dolar bagi kos pengangkutan saja untuk datang ke bandar kecil yang terletak 40 kilometer dari timur laut Athens itu. Marathon terkenal dengan acara larian jarak jauh yang diadakan setiap tahun.

Mereka membawa bersama ahli keluarga, baju perisai buatan tangan dan kelengkapan tambahan yang dihasilkan daripada penat lelah selama bertahun-tahun dengan kos yang bukan sedikit.


SEMANGAT untuk menghidupkan semula momen sejarah ini dipercayai digerakkan oleh para pencinta sejarah yang fanatik terhadap ketamadunan Barat.


"Secara keseluruhannya, semua orang membelanjakan ribuan dolar dari segi kos perjalanan, penginapan, makan sehinggalah peralatan yang disiapkan," kata Christian Cameron, seorang penulis novel Kanada yang juga bekas pegawai tentera laut Amerika Syarikat yang mengepalai persiapan acara itu.

"Apa yang anda lihat hari ini adalah hasil kerja selama 11 tahun. Perbelanjaan yang dikeluarkan adalah berbaloi kerana ini adalah sebuah acara unik. Kami melakonkan semula pengalaman tentera Greek di lokasi Marathon ini," kata Andy Cooper, seorang pensyarah universiti dari wilayah Sheffield, England.

Cooper merupakan anggota persatuan kebangkitan sejarah Britain yang tiba di Marathon dengan beberapa set baju perisai Greek, Parsi dan Scyth.

Kesemua mereka pada awalnya berharap tuan rumah iaitu Greece sendiri sedar ini adalah saat terbaik untuk memperingati ulang tahun ke 2,500 pertempuran di sini yang berlaku pada tahun 490 sebelum Masihi.

Momen sejarah

Kumpulan itu membuktikan hasrat mereka menghidupkan semula momen sejarah itu adalah perkara utama sejak mula lagi. Mereka sanggup membina kem berdekatan 'kawasan pertempuran', tidur di atas katil jerami dan menghidangkan makanan ringkas seperti sayuran, buahan, keju dan air dalam mangkuk dan cawan kayu.

Baju perisai gantian akhirnya terpaksa digunakan disebabkan pembatalan pada saat akhir. Kehilangan sebahagian besar kontinjen dari Bulgaria menyebabkan kekurangan jumlah 'pahlawan Parsi' dengan banyak.

"Kita mungkin dapat menambah 15 lagi pejuang Greek tetapi kekurangan kesatria-kesatria Parsi yang diwakili kontinjen Bulgaria," kata Cameron lagi.


SEORANG peserta yang siap berpakaian purba sedang berehat di salah sebuah khemah di Marathon Bay.


Penganjur pada awalnya berharap seramai 200 orang mengambil bahagian tetapi terpaksa berpuas hati dengan 50 orang wira-wira Greek dan beberapa pemanah Parsi.

Malah, permohonan mereka untuk mendapatkan akses ke makam pahlawan Athena yang maut di kota purba Agora dan Acropolis tidak diluluskan Kementerian Kebudayaan Greek.

Bagaimanapun urusan dengan majlis perbandaran Marathon lebih mudah. Dilengkapi sokongan logistik, kebenaran diberikan kepada kumpulan itu untuk mengadakan upacara peringatan tentera Greek dan Parsi yang maut di monumen kemenangan pertempuran tersebut.

"Rasanya bandar ini mahu kami datang setiap tahun tetapi rasanya tiga tahun lagi baru kami dapat kembali dengan lebih baik.

"Permulaan dengan 50 orang adalah bagus, namun angka 500 peserta ingin kami capai kelak," kata Cameron sambil mengakui kos yang tinggi menjadi kekangan paling besar.

Catatan peristiwa

Sebagai salah satu pertempuran paling terkenal dalam sejarah, Peperangan Marathon adalah antara yang terawal dicatatkan penulis riwayat.

Namanya juga digunakan untuk merujuk kepada acara larian jarak jauh dalam Olimpik pertama pada 1896 sehingga kini. Ia adalah sebagai penghormatan kepada utusan Athens yang dipercayai berlari balik ke bandar itu untuk menyampaikan berita kemenangan tersebut sebelum ia mati kepenatan.

Walaupun hanya penduduk Athens dan Platea yang menentang Parsi dalam pertempuran itu, ia melenyapkan perang-perang antara bandar-bandar lain sekali gus menunjukkan bahawa Empayar Parsi yang merupakan kuasa besar ketika itu mampu ditewaskan.

"Ada yang mempersoalkan bahawa pertempuran ini merupakan usaha orang Greek menjulang ketamadunan Barat. Mereka juga sebenarnya boleh mengatakan yang ia adalah saat peradaban agung Parsi kehilangan kuasa di Barat," ujar Cameron. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved