Rabu, 21 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kaedah legakan kesakitan kuda

Posted:

Kaedah legakan kesakitan kuda

Kaedah legakan kesakitan kuda

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SEPASANG mata milik kuda lumba bernama Roxy Star itu kelihatan lemah dan tidak bermaya. Sebaik Dr. Shri Kanth menekan-nekan bahagian belakang kuda berwarna coklat tua itu, haiwan tersebut mendengus kuat sambil menggerak-gerakkan badannya.

Kakinya juga sedikit terangkat menggambarkan kesakitan yang dirasai. Tanpa menghiraukan reaksi spontan Roxy Star, doktor haiwan berusia 38 tahun itu tetap meneruskan tugasnya memeriksa kuda tersebut.

"Kuda ini mengalami sakit di bahagian belakang badan. Bila saya sentuh sedikit sahaja uratnya, ia memberi respons yang menunjukkan kesakitan.

"Justeru, sakit yang dialami kuda ini perlu dirawat. Jika tidak ia akan berlarutan dan memberi kesan buruk pada kerjayanya sebagai kuda lumba," terang Dr. Shri sambil tangannya mengusap badan kuda itu.

Berusia hampir enam tahun, Roxy Star merupakan antara kuda lumba yang berada di bawah seliaan Dr. Shri selaku Doktor Bedah Veterinar Kanan di Pusat Ekuestrian dan Sukan Selangor Turf Club (STC).

Ujarnya, setiap kuda yang digunakan untuk berlumba perlu cergas seratus peratus, bukan sekadar pulih 80 atau 90 peratus. Sekiranya kecergasan haiwan itu mencapai tahap maksimum barulah mereka akan dibenarkan kembali beraksi.

Jenis-jenis penyakit


PENGALAMAN selama lebih 14 tahun membolehkan Dr. Shri mengetahui jenis kesakitan yang dialami oleh mamalia ini hanya dengan sekali sentuhan.


Pengalaman selama 14 tahun dalam bidang ini membolehkan doktor kelahiran Ipoh, Perak itu mengetahui jenis-jenis penyakit yang dihadapi oleh kuda-kuda di bawah peliharaan STC dengan sekali sentuhan sahaja.

Sebaik menyedari jenis kesakitan yang dialami Roxy Star, Dr. Shri pantas mengarahkan pembantunya, Irwan Mohamed menyediakan peralatan untuk menjalani rawatan akupunktur bagi kuda tersebut.

Sebanyak tiga batang jarum bersaiz sederhana digunakan bagi rawatan berkenaan. Menurut Dr. Shri bagi kaedah rawatan akupunktur, mereka boleh memilih sama ada menggunakan jarum suntikan biasa mahupun jarum khas akupunktur.

"Bagi saya tiada perbezaan antara jarum suntikan dengan jarum akupunktur. Apa yang penting, jarum yang digunakan itu boleh sampai ke bahagian hujung urat haiwan tersebut. Kesan rawatan akupunktur pada kuda amat pantas.

"Kesakitan yang dirasai oleh setiap ekor kuda akan hilang sebaik sahaja jarum yang ditusuk pada badan mereka dicabut semula. Tetapi, jika sakit itu tidak hilang ini bermakna anda telah menusuk jarum ke tempat yang salah," jelasnya lebih lanjut.

Akupunktur merupakan satu bidang tambahan dalam perubatan tradisional Cina (TCM). Kaedah perubatan itu sudah berusia ribuan tahun.

Bagi Dr. Shri pula, dia sudah mempraktikkan rawatan akupunktur pada kuda-kuda yang sakit sejak 12 tahun yang lalu. Tambahan pula, menerusi kaedah tersebut, ia membolehkan kita melihat kesan yang dialami haiwan itu serta-merta kerana ia melibatkan urat.


JARUM akupunktur akan dicucuk pada bahagian yang sakit.


Di sebalik kejayaan yang dicapai Dr. Shri dalam memberi rawatan terbaik kepada kuda-kuda yang dimiliki oleh STC, kerjaya yang dipilih itu sebenarnya berisiko tinggi kerana ia mampu mencederakan dirinya.

Menjadi mangsa tendangan kuda yang sedang dirawat sudah menjadi perkara biasa bagi bapa kepada dua cahaya mata itu.

Malah, dia juga kerap dimasukkan ke hospital kerana kecederaan teruk lantaran kemalangan yang dialami dalam proses merawat kuda-kuda yang sakit.

"Benar, kaki dan tangan saya sudah banyak kali patah akibat insiden disepak atau ditendang kuda. Namun, ia bukan penghalang untuk meneruskan kerjaya yang amat saya cintai ini," tegas Dr. Shri sambil menyifatkan kerjaya sebagai doktor haiwan merupakan kerjaya berkolar biru, bukan berkolar putih.

Tambahnya, kes-kes yang melibatkan seseorang ditendang atau dipijak kuda berlaku apabila kita tidak memahami perangai kuda tersebut.

Ujarnya, ramai yang tersalah anggap apabila melihat ada kuda yang nampak sangat baik tetapi sebenarnya amat agresif dan ada pula kuda kelihatan agresif namun lebih bersifat tenang.

"Kuda sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat mendalam dengan penjaganya. Mereka juga ada zon selesa yang tersendiri di sekelilingnya. Jangan terperanjat jika saya katakan haiwan ini sebenarnya sangat penakut berbanding lembu atau kerbau.


SUNTIKAN vaksinasi akan diberikan kepada kuda-kuda di bawah peliharaan STC bagi mencegah jangkitan sebarang penyakit.


"Walaupun fizikal mereka kelihatan gagah dan tangkas, tetapi kuda boleh dikategori sebagai haiwan berhati kecil," ungkap Dr. Shri sambil tersenyum lebar.

Perkara ini diakui oleh Irwan, pemuda berusia 36 tahun yang bertugas sebagai pembantu veterinar di STC sejak enam tahun lalu dengan mengatakan kuda adalah haiwan yang mempunyai bermacam-macam perangai.

Meskipun pengalaman yang ada dalam dirinya masih terlalu hijau jika dibandingkan dengan Dr. Shri, tetapi anak kelahiran Kuala Lumpur tetap mempunyai pandangannya sendiri terhadap kuda.

Ragam kuda

"Seperti manusia yang hidup penuh dengan pelbagai ragam, begitu juga mamalia dengan nama saintifik Equus ferus caballus ini.

"Contohnya kuda yang digunakan untuk berlumba bersifat lebih liar, lasak dan sukar dikawal berbanding kuda endurance yang dikenali dengan sifat tenang.

"Cuma, ia bergantung kepada cara kita dalam menilai perangai haiwan tersebut," katanya sambil mengaut tompokan najis yang ditinggalkan Roxy Star dan seekor lagi kuda yang dirawat bernama Carta Sempurna.

Bergelumang dengan keadaan bau busuk najis kuda sudah menjadi rutin Irwan yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Bagi menjaga kuda-kuda di bawah peliharaan Kelab Lumba Kuda Selangor (STC) daripada dijangkiti sebarang penyakit, pihak pengurusan akan memastikan haiwan-haiwan itu diberi suntikan vaksin tertentu.

Pengurus Besar STC, Term Boon Keng berkata, setiap ekor kuda akan diberi ubat cacing dan suntikan vaksin bagi mencegah mereka daripada menghidap apa-apa penyakit.

"Biasanya penyakit yang dialami haiwan ini termasuklah Japanese Encephalitis (JE) dan Equin Influenza. Namun, sehingga kini kami tidak pernah berdepan kes-kes penyakit berskala besar yang berkaitan dengannya.


KUDA lumba yang sakit akan dirawat hingga sembuh sepenuhnya sebelum kembali beraksi.


"Jika ada kuda yang sakit, doktor veterinar yang bertugas akan memastikan haiwan itu dikuarantin dan dirawat hingga sembuh sebelum boleh bergaul dengan kuda-kuda lain seperti biasa," tutur Boon Keng.

Tambahnya, pemakanan kuda di STC sentiasa dijaga baik dan haiwan-haiwan itu hanya diberi makan makanan khas yang diimport.

Malah, setiap pelatih kuda mempunyai carta pemakanan sendiri berdasarkan saranan yang diberi oleh pegawai veterinar yang bertauliah.

"Sementara itu, bagi kuda lumba yang kekurangan potensi untuk berlumba dengan baik, mereka akan dihantar ke bahagian ekuestrian untuk kegunaan pihak pengurusan di sana," katanya.

Daging pilihan masyarakat India

Posted:

Daging pilihan masyarakat India

Daging pilihan masyarakat India


SEORANG pemotong daging sedang melapah kambing di sebuah pasar awam di Mumbai.


MASYARAKAT India kini lebih banyak makan daging berbanding amalan sebelumnya yang kuat mengamalkan budaya vegetarian. Ia sekali gus mengubah satu kepercayaan agama mengenai pemakanan daging lembu selain peningkatan tahap kebersihan dalam industri pemprosesan.

Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, peningkatan masyarakat India yang mengambil daging ialah sebanyak 5 hingga 5.5 kilogram (kg) setahun.

Jumlah itu merupakan perangkaan paling tinggi dan secara tidak langsung menunjukkan perkembangan cita rasa untuk diet yang tinggi protein di negara-negara membangun.

Beberapa pakar menyebut perkembangan ekonomi yang kukuh telah menyebabkan perbelanjaan mewah berlaku.

Salah satu faktor penyumbang adalah kemudahan pengangkutan yang lebih baik telah membantu meningkatkan peluang masyarakatnya ke pasar raya dan restoran.

"Masyarakat India semakin melupakan segala perasaan yang mengongkong diri dan mereka kini lebih berani mencuba.

"Daging kerbau dan stik daging khinzir merupakan makanan kegemaran pelanggan di sini," kata Jaydeep Mukherjee, Ketua Eksekutif Indigo Delicatessen, iaitu restoran makanan barat yang paling popular di Mumbai.

Restoran makanan barat itu yang sangat terkenal dengan menunya, sandwic Reuben bersama pastrami, kini sedang mencari pembekal burung kuang, puyuh dan itik untuk restorannya di pusat beli-belah Phoenix Mills dan di selatan Mumbai.

"Penggunaan daging yang sebelum ini bergantung kepada kawalan agama semakin meningkat mendadak gara-gara sikap masyarakat yang lebih liberal dan pengaruh Barat," tambah Pengarah Pengurusan rangkaian makanan gourmet Nature's Basket, Mohit Khattar.

Bukan makanan mewah

Bagi Khattar, menu bukan vegetarian bukan lagi dianggap makanan mewah. Pada masa yang sama, proses pengeluaran daging tempatan telah menjadi lebih bersih sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.

Jumlah jualan barangan bukan vegetarian di Nature's Basket's adalah sebanyak AS$13.3 juta (RM39.6 juta) pada laporan kewangan menunjukkan peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding tahun lalu.

Di pasar raya pusat beli-belah milik syarikat konglomerat Godrej, daging khinzir import seperti ham salai, bakon dan bahagian daging lain menjadi item paling laris.

Berdasarkan fakta Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian (FAO), India menghasilkan 10.6 juta tan daging dan ikan setahun namun negara itu masih kekal sebagai negara yang berpegang kuat dengan pemakanan sayur-sayuran.


PENGGUNAAN per kapita daging ayam mentah telah meningkat dua kali ganda di India sejak tahun lalu.


Tiada sebarang angka rasmi kerajaan membabitkan jumlah golongan vegetarian. Namun, pada tahun 2006, akhbar The Hindu telah menjalankan satu kaji selidik di seluruh negara dan mendapati bahawa 40 peratus penduduk negara itu menggunakan produk tenusu dan telur tanpa menyertakan daging. Ia merupakan angka yang tertinggi di dunia.

Haiwan suci

Pemakan daging terutama daging lembu masih tidak dapat diterima oleh majoriti penduduk Hindu yang menganggap lembu sebagai haiwan suci. Penyembelihan untuk dimakan juga menjadi larangan di kebanyakan daerah India di bawah satu undang-undang yang ketat.

Pengusaha makanan segera McDonalds tidak menjual burger daging lembu di India dan sesetengah persatuan penduduk turut mengharamkan orang yang memakan daging lembu daripada membeli atau menyewa hartanah.

Sementara itu, kumpulan agama kedua terbesar di India iaitu komuniti Muslim pula menjauhi produk-produk berasaskan daging khinzir.

Mengikut kajian, makanan laut dan ayam masih popular dalam kalangan semua kumpulan agama.

Berdasarkan maklumat Institut Kajian Polisi Pemakanan dan Pertanian yang berpangkalan di Amerika Syarikat, penggunaan per kapita daging ayam mentah telah meningkat dua kali ganda di India kepada 2.26kg setahun pada 2010 dari 1.08kg pada sedekad lalu.

Pengalaman berbeza

Peningkatan permintaan untuk daging terjadi kerana wujudnya segolongan penganut Hindu seperti Ajoy Mukhopadhayay, 39, yang sangat menyukai kari daging lembu apabila keluar makan.

"Tidak seperti kebab, terdapat lebih banyak kandungan daging dalam daging lembu. Saya sukakan daging panggang. Ia sangat enak dan manis dimakan.

"Makan daging memberi pengalaman berbeza kini berbanding dahulu. Ia tidak pernah disenarai dalam kebanyakan menu tapi kita tahu di mana untuk mendapatkannya," kata animator dari firma perisian di timur bandar Kolkata itu.

Berdasarkan fakta terkini FAO dari tahun 2007, kadar penggunaan daging per kapita India bagaimanapun masih rendah daripada jumlah purata di Asia iaitu sebanyak 27kg berbanding negara-negara dunia yang mengambil 38kg.

"Jumlah purata pengambilan daging per kapita dijangka terus meningkat di India dan negara-negara lain pada masa akan datang," kata jurucakap FAO Asia Pasifik, Diderik De Vleeschauwer.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved