Rabu, 21 September 2011

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Nekad wira Kampung Sepakat

Posted:

Nekad wira Kampung Sepakat

Nekad wira Kampung Sepakat

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

SEORANG penduduk melihat keadaan rumah Noraini yang hangus dalam kebakaran
di Kampung Sepakat, Masai, Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang juruelektrik wajar dianggap wira apabila tindakan nekadnya merempuh pintu dan meredah api marak dapat menyelamatkan nyawa dua beradik yang terperangkap dalam kebakaran di Kampung Sepakat, Masai semalam.

Abu Bakar Abdul Rahim, 44, bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya sebaik terdengar jeritan jiran mengenai kediaman kanak-kanak tersebut, Nurin Syerlienna Norman, 6, dan Mohd. Daniel Hadi, 4, sedang dijilat api pada pukul 12.10 tengah hari.

Dalam kejadian itu, Nurin Syerlienna dan Mohd. Daniel termasuk Abu Bakar tidak cedera.

Difahamkan, sebelum kejadian Abu Bakar sedang berbual bersama rakannya yang bertandang di rumah dan dia bercadang untuk ke tempat kerja selepas itu.

Mengimbau semula kejadian itu, Abu Bakar berkata, sebaik sampai di depan rumah itu, dia ternampak dua beradik itu dalam keadaan menangis dan duduk ketakutan di ruang tamu kerana terperangkap dalam rumah yang diselubungi bahang api.


ABU BAKAR


Ceritanya, dia kemudian bergegas ke belakang rumah lalu merempuh pintu selepas mendapati pintu pagar depan berkunci.

"Entah dari mana datang semangat, saya terus meredah api yang ketika itu sedang marak di depan rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus mendukung kedua-dua kanak-kanak terbabit untuk diselamatkan melalui pintu belakang," cerita Abu Bakar mengenai detik cemas itu.

Tambahnya, dia langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya kerana sebaik ternampak kanak-kanak itu menangis dan seperti mengharap bantuan, hatinya menjadi sayu dan berfikir dua beradik itu mesti diselamatkan.

Menurut Abu Bakar, ini kali pertama dia menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kebakaran.

"Mujur saya masih belum pergi ke tempat kerja kerana melayan rakan yang datang ke rumah. Jika tidak, entah apa nasib mereka," kata Abu Bakar lagi.

Sementara itu, ibu dua beradik itu, Noraini Samhari, 31, menjelaskan, ketika kejadian dia berada di pejabat manakala Nurin Syerlienna, Mohd. Daniel serta abang mereka, Mohd. Haikal, 8, dijaga oleh adiknya, Hasanah Samhari, 30.


NURIN SYERLIENNA masih trauma setiap kali mengenangkan dia dan adiknya nyaris rentung dalam kebakaran.


Kerani dan ibu tunggal itu menjelaskan, ketika kejadian adiknya sedang menghantar Mohd. Haikal ke sekolah berhampiran.

"Saya amat bersyukur kerana anak-anak saya selamat walaupun kini kami tinggal sehelai sepinggang. Terima kasih kepada jiran yang menyelamatkan kedua-dua anak saya," katanya yang memberitahu beberapa barang kemas dalam tin yang disimpan di dalam rumah ditemui semula sebaik api dipadamkan.

Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah lagi rumah milik Kaserin Mohd. Yunus, 72, yang terletak bersebelahan terbakar. Kaserin dan keluarganya tiada di rumah ketika kejadian.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Pasir Gudang, Mohd. Salleh Mohamed berkata, pihaknya mengerahkan seramai 13 anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12.23 tengah hari.

Katanya, sebaik sampai, sebuah rumah telah terbakar hampir 70 peratus manakala sebuah lagi hampir 50 peratus terbakar. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Mat Sabu didakwa tohmah polis

Posted:

Mat Sabu didakwa tohmah polis

Mat Sabu didakwa tohmah polis

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


MOHAMAD SABU (tengah) diiring penyokongnya selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam.


BUTTERWORTH – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, dekat sini bulan lalu.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan berdepan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama. Dia minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin.

Mat Sabu didakwa memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950.

Kesalahan itu dilakukan dalam ucapan di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas di Padang Menora di antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam 21 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan pilihan, beliau didakwa memfitnah Konstabel Marin Abu Bakar Daud; Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi semua pertuduhan itu.

Pertuduhan dilakukan selepas tiga waris anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff membuat laporan.

Ikmal Hishan membenarkan Mat Sabu diikat jamin sebanyak RM15,000 selepas mendengar hujahan tiga Timbalan Pendakwa Raya diketuai Mohamad Hanafiah Zakaria serta peguam bela, Hanafiah Maidin dan Aminuddin Zulkifli yang mewakili pemimpin Pas itu.

Ikmal Hishan kemudian menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan 5 hingga 9 Disember depan untuk bicara.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Galak budaya kahwin campur

Posted:

Galak budaya kahwin campur

Galak budaya kahwin campur

Oleh NOR IDAYU BOSRO
berita@kosmo.com.my

BANGI - Perkahwinan campur antara pelbagai etnik di negara ini perlu digalakkan kerana ia dilihat mampu menyumbang mempercepatkan proses pembinaan satu bangsa Malaysia.

Felo Penyelidikan Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Denison Jayasooria berkata, perkahwinan campur dapat membina masyarakat yang lebih berintegrasi pada masa depan.

Menurut beliau, penyatuan dua kaum yang berbeza dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain seperti masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka.

"Perkahwinan campur dapat menyumbang kepada pembinaan bangsa yang seterusnya dapat mewujudkan hubungan antara kaum yang lebih harmoni.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menjadi wadah tumpuan pelbagai bangsa dari negara lain," ujarnya dalam Forum Perkahwinan Campur dan Pembinaan Bangsa yang diadakan di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi, Wan Mohd. Firdaus Wan Mohd. Fuaad pula berpendapat, perkahwinan campur seharusnya memberi tumpuan kepada persekitaran budaya, cara hidup, bahasa dan pengorbanan agama bagi setiap pasangan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved