Ahad, 4 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Liputan dari zon perang

Posted:

Liputan dari zon perang

Liputan dari zon perang

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

SEBAGAI seorang pengamal media, Shahanaaz Habib tidak pernah rasa berat jika beliau ditugaskan ke mana sahaja destinasi waima ke zon perang sekalipun. Shahanaaz dari akhbar The Star, sememangnya dikenali sebagai wartawan yang berkaliber dan tidak gentar berdepan dengan sebarang cabaran tugasan.

Shahanaaz telah melakar sejarah tersendiri. Beliau tercatat sebagai wartawan Malaysia pertama yang dapat melepasi dan membuat liputan semasa Perang Iraq pada April 2003 dan kembali semula ke wilayah konflik itu pada November 2003.

Lantaran dilontarkan persoalan tentang respons saat diminta untuk bertugas pada bulan Ramadan dan sewaktu berhari raya di perantauan, jawab Shahanaaz:

"Wartawan mana yang rasa berat bila bertugas? Semua ini adalah sebahagian daripada profesion kita."

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyimpan pelbagai momen bermakna ketika bertugas di Pakistan bersama jurufoto, Ibrahim Mohtar, pada Oktober 2005 iaitu ketika negara itu dilanda gempa bumi.

Pelbagai kisah yang tidak pernah renggang daripada ingatannya ketika bertugas seorang diri di Iraq pada November 2003. Beliau bukan sahaja berpuasa di sana bahkan sempat meraikan Aidilfitri dengan suasana yang sangat berlainan.

"Semasa Amerika Syarikat (AS) mula melancarkan serangan ke atas Iraq pada Mac 2003, saya ditugaskan ke sana.

"Jadi, saya ingin buat susulan mengenai apa yang berubah selepas itu, pastinya cerita akan lebih menarik pada bulan Ramadan kerana selepas Baghdad jatuh, berlaku ketegangan yang jelas antara Muslim Iraq fahaman Sunni dengan Syiah," cerita wartawan kanan itu.

Sahur dalam kereta


BUKAN calang-calang jurufoto yang berupaya menghasilkan gambar seperti ini.


Pelbagai pengalaman dikutip Shahanaaz sepanjang kembara tugasannya. Sewaktu di Iraq, beliau ditemani oleh seorang pemandu dan penterjemah semasa merentas muka buminya dalam suhu antara 10 hingga 15 darjah Celcius.

"Saya agak terkejut melihat pemandu dan penterjemah saya tak berpuasa. Saya sangkakan Iraq adalah negara Islam.

"Kebebasan adalah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Iraq. Mereka tak mahu dikongkong dan mahu kebebasan, maka salah satunya ialah dengan tak berpuasa. Namun, masih ramai juga yang patuh pada tuntutan Islam itu," katanya.

Pandangan Shahanaaz di Iraq juga sering dijamu dengan peristiwa unik.

"Sebaik saja waktu azan, selepas makan kurma, orang Iraq akan sembahyang di merata tempat, tak kira di luar restoran, tepi jalan, mereka tidak tunggu di surau, masjid atau tempat tertutup, mereka solat di mana-mana," ujarnya yang turut membawa abaya dan telefon satelit ketika bertugas.

Sementara itu, di Pakistan, Shahanaaz melihat rakyat Pakistan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka. Mereka makan apa sahaja yang dibekalkan di kem yang hanya diterangi lampu minyak tanah dan lilin.

"Sememangnya pada hari-hari awal tiada hotel di sekitar Muzaffarabad dan Kashmir. Kami bermalam dalam kereta pacuan empat roda (saiz besar) pada malam pertama dan kedua.

"Untuk buka puasa dan sahur, kami bawa bekalan seperti roti, biskut, buah-buahan dan makan dalam kereta," imbasnya yang banyak menyaksikan keruntuhan masjid di sana.

Raya yang mengelirukan


BAZUKI mengabdikan kenangan bergambar dengan sebuah keluarga di Afghanistan.


Aidilfitri yang disambut oleh Shahanaaz pada tahun 2003 di Iraq terisi dengan penuh kekeliruan.

Ketika itu, terdapat tiga pihak menyambut hari raya pada tiga hari berbeza. Puak Sunni menyambut raya pertama pada 24 November 2003, puak Syiah (25 November 2005) sementara puak Syiah yang mengikuti fahaman Ayatollah Sistani pula pada 26 November 2003.

Jadi, bagaimana dengan pendirian wartawan itu? "Saya bingung dan tidak tahu mana satu nak ikut, jadi saya ikut tarikh sambutan di Malaysia iaitu 25 November."

Namun, pada ambang Aidilfitri ketika itu, Shahanaaz melalu satu peristiwa yang tidak mampu dilupakannya seumur hidup.

Kunjungannya ke sebuah hospital di Tikrit telah menemukannya dengan seorang bapa yang hiba membawa pulang mayat anak dan anak buahnya yang berumur enam tahun.

"Lelaki itu memberitahu, anak dan anak buahnya itu sangat gembira menyambut hari raya dan telah memakai baju baharu, tapi bom jatuh dan meletup di rumahnya," cerita Shahanaaz yang sangat pilu dengan penemuan itu.

Bertugas di Afghanistan


MANGSA gempa berusaha untuk keluar dari kawasan bencana ke tempat yang lebih selamat.


Seperti Shahanaaz, wartawan foto agensi antarabangsa, Reuters, Bazuki Muhammad, 46, telah melalui siri pengalaman bernilai ketika beberapa kali ditugaskan ke luar negara.

Paling terkesan di sanubari graduan Louisiana State University itu adalah ketika membuat liputan di bumi bergolak, Afghanistan pada tahun 2002. Ketika itu, negara yang di bawah pemerintahan Presiden Hamid Karzai tersebut masih dihimpit krisis perang saudara dan ancaman pergerakan pengganas Taliban.

"Saya tak menolak. Sebagai pengamal media, saya harus bersedia pada bila-bila masa. Isteri saya okey (tentang keputusan untuk pergi) tapi mak saya sedikit risau," ujarnya saat ditanya reaksinya ketika mula-mula menerima tugasan itu.

Cerita Bazuki yang sudah berkhidmat selama 12 tahun di Reuters, selama kira-kira tiga bulan di negara berlandskap gunung-ganang itu, telinganya sering terdengar bunyi letupan di sekitar bandar Kabul dan di pekan kecil, Baghram.

"Setiap letupan itu menandakan ada kematian yang perlu diratapi. Lazimnya, ia terjadi di pasar.

"Letupan pertama hanyalah muslihat untuk mengumpulkan orang untuk datang melihat. Itu bermakna, lebih ramai yang akan menjadi mangsa apabila letupan kedua menyusul," katanya sambil memberitahu, beliau ditemani oleh seorang penterjemah tempatan bernama Ahmad Masood.

Didatangi Taliban


APAKAH yang tersirat di sebalik foto hasil bidikan Bazuki di Afghanistan beberapa tahun lalu?


Antara Bazuki dan Ahmad Masood terkait banyak kisah. Antaranya ialah kisah sahurnya.

"Lelaki Afghanistan itu tanya, sajian apa yang ingin dimakan ketika sahur. Saya jawab, saya makan apa saja yang dia makan. Kemudian, dia hidangkan saya nasi dengan pinggan yang besar.

"Saya fikir lauknya ada di sebalik timbunan nasi itu, tapi ia hanyalah nasi semata-mata. Kemudian, saya pergi ke pondoknya dan mendapati sememangnya saya makan apa yang dia makan," imbasnya yang terkesan dengan kejadian itu.

Setelah beberapa hari di sana, Bazuki baharu menyedari makanan di Afghanistan sangat mahal. Dengan wang yang bernilai AS$10 (RM30), penterjemahnya hanya mampu membeli sajian berupa kebab bersaiz kecil.

Atmosfera Afghanistan signifikan dengan kengerian. Negara itu juga sinonim dengan kedaifan, kematian dan masih dibelenggu dengan berita-berita kemusnahan.

Pada Ramadan yang penuh barakah, keadaan itu tetap serupa. Tentera berserban dan berwajah serius terus berkawal di segenap sudut. Suasana jalan rayanya hanya sesekali dilintasi kenderaan. Hendak melihat bazar Ramadan seperti di Malaysia, jauh sekali!

Meskipun pada musim dingin, angin sejuk bagaikan menusuk ke tulang, Bazuki melihat kanak-kanak Afghanistan tetap bersemangat meneruskan persekolahan di dataran terbuka dan tidak berdinding.

Namun, ada satu perkara yang membuatkan Bazuki tersentuh. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran yang memecah keheningan kota Kabul yang suram itu membuat beliau terlupa seketika tentang ancaman dan ketakutan.


KATA Bazuki, beliau teringin terbang semula ke Afghanistan sekiranya dia diberi peluang.


"Pernah juga, seorang yang saya syak sebagai Taliban menghampiri saya sambil memegang senjata. Dia bertanya sama ada saya Muslim atau bukan, saya jawab ya.

"Untuk membuktikannya, saya membaca al-Fatihah dan dia terus memeluk saya dan berkata, awak adalah saudara saya," kata Bazuki sambil mengaku dia agak cemas saat itu.

Pengorbanan

Sesungguhnya, untuk membawa berita merentas dunia untuk tatapan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Shahanaaz dan Bazuki bukan mudah seperti yang dilihat.

Tiada harga yang mampu membeli pengalaman sebegitu. Bagi Shahanaaz dan Bazuki, semuanya dilakukan demi komitmen dan cinta terhadap tugas. Pada masa yang sama, soal hidup atau mati diserahkan kepada Allah.

Kedua-duanya banyak berkorban. Seperti kata Shahanaaz: "Saya tak telefon keluarga, cuma hantar pesanan teks ucapan hari raya sebab saya mahu tumpukan perhatian pada tugas. Mujur keluarga amat memahami saya."

Bagi Bazuki pula, bayangan kanak-kanak, wanita dan golongan tua Afghanistan sentiasa berlegar-legar di fikirannya tidak kira waktu.

Ada satu perkara yang lebih istimewa juga telah terjadi kepada penterjemah Bazuki, Ahmad Masood. Lelaki itu kini ialah jurufoto rasmi Reuters di Afghanistan.

"Dia cakap nak jadi jurufoto, sepanjang di sana, saya mengajarnya guna kamera," ujarnya yang masih berhubung dengan Ahmad Masood.

Kata Bazuki: "Jika ada peluang saya pasti akan ke sana lagi, di sebalik kekacauan di Afghanistan, saya melihat ia sebenarnya berupaya mengajar manusia belajar erti hidup. Sesungguhnya, pada pandangan peribadi saya, Afghanistan sebenarnya lebih menarik dari Disneyland."

Tradisi memberi duit raya

Posted:

Tradisi memberi duit raya

Tradisi memberi duit raya


SAMA ada di kediaman sendiri, rumah yang dilawati ataupun dalam majlis anjuran badan-badan korporat, kanak-kanak semestinya menjadi golongan yang paling gembira kerana mendapat duit raya daripada tuan rumah. - Gambar hiasan


KANAK-KANAK yang berkunjung ke rumah sanak saudara, rakan dan rumah terbuka tentu seronok bila menerima duit raya yang dihulurkan oleh tuan rumah.

Ada yang bersampul dan ada yang diberi begitu saja, sama ada duit syiling atau kepingan duit kertas baharu.

Bermacam-macam rupa dan warna sampul duit raya yang dikeluarkan sejak ia diamalkan masyarakat negara ini. Ada yang diberi percuma oleh bank, institusi perniagaan, hipermarket dan badan korporat malah turut dijual di kedai alat tulis.

"Saya hanya memberikan duit raya kepada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Amaunnya sama saja baik anak kawan maupun anak saudara," kata Muhammad Nazri dari Sarawak.

Nazri menganggap pemberian duit raya itu terbit daripada rasa keikhlasan.

"Kita bagi bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. Bukan untuk menunjuk-nunjuk," jawabnya bila ditanya tentang bajet duit raya.

Sabariah Abdul Rashid, yang berasal dari Kedah pula lebih cenderung memberi duit raya mengikut keakraban hubungan.

"Kalau keluarga, bajet kita lebih sikit tapi kalau anak-anak muda yang datang tanpa dikenali, kita tetap terima mereka. Mungkin amaun duit raya buat mereka tak sebanyak yang diberikan kepada anak-anak buah sendiri.


PELBAGAI sampul duit raya kini dijual, termasuk yang kelihatan seperti wang kertas betul. - Gambar hiasan


"Saya berpegang kepada prinsip anak-anak buah yang belum bekerja juga masih di bawah tanggungan ibu bapa dan saudara. Jadi tak salah kalau kita bagi mereka duit raya," kata Sabariah.

Bukan soal umur

Beberapa orang pelajar di institut pengajian tinggi turut ditanya pandangan mereka mengenai duit raya. Adakah mereka masih mengharapkan diberi duit raya?

Nur Farah Syakila Jasmy menjawab: "Umur bukanlah faktor utama. Lebih bergantung kepada si pemberi atau tuan rumah yang kita ziarahi."

Remaja berusia 18 tahun itu masih berharap dirinya akan 'dipertimbangkan' untuk diberi duit raya lagi pada tahun ini. Ini kali pertama Nur Farah berjauhan daripada keluarga dan belajar hidup sendiri di asrama universiti.

Teman sekuliahnya, Azhif Ezzudin bersetuju dengan pandangan Nur Farah.

"Kenangan saya yang termanis ialah ketika jumlah pengumpulan duit raya saya mencecah lebih RM1,000. Tetapi ada juga yang menyedihkan, iaitu bila duit raya zaman kecil dulu, emak gunakan untuk membayar bil," ujar Azhif berjenaka.

Ada juga yang berpendapat, selagi mereka belum berkahwin, mereka boleh diberi duit raya.

Rosli Johnny, 64, berkata, amalan memberi duit raya di dalam sampul duit dipengaruhi oleh budaya pemberian Hong Pao atau dikenali sebagai angpau masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baru Cina.

"Seingat saya, amalan sebegini diambil daripada tradisi warga Cina sempena tahun baru mereka. Biasanya untuk orang Islam, ia lebih kepada suatu sedekah," kata Rosli.

Nuraina Suryani Ruslan pula berpandangan bahawa duit raya sesuai diberikan kepada mereka yang belum bekerja, dan sudah pasti dia seronok jika masih diberi duit raya walaupun jumlahnya kecil.

"Saya setuju jika kesederhanaan dijadikan panduan. Ia juga bergantung kepada ekonomi tuan rumah," katanya.

Usah menunjuk


DUIT raya yang diterima perlulah ditabung atau dibelanjakan untuk sesuatu yang berfaedah. - Gambar hiasan


Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, duit raya boleh disamakan dengan sedekah atau sumbangan kepada yang memerlukan.

"Janganlah kita memberikan duit raya itu semata-mata untuk menunjuk. Duit raya yang diberikan juga perlu berpatutan dengan kemampuan orang yang memberi," katanya.

Tunku Azwil berkata orang yang hendak memberikan duit raya mestilah tidak rasa tertekan dengan tanggungjawab sosial dan persekitaran.

Kalau diikutkan tuntutan agama Islam, ia tidak lebih daripada satu sedekah yang sepatutnya diberikan pada bila-bila masa.

Beliau menasihatkan mereka yang menerima duit raya supaya membelanjakannya dengan baik atau menabung, daripada membazir membeli sesuatu yang tidak berfaedah.

Seorang pegawai cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, ramai yang telah datang dan sanggup beratur menukar wang baharu di kaunter bank itu untuk dijadikan duit raya.

"Mereka berbuat demikian sejak 22 Ogos lalu," katanya.

Biasanya ia berterusan untuk beberapa hari sehingga stok duit baharu habis.

Seorang pegawai di Bank Al-Rajhi, cawangan Subang Jaya berkata, banyak bank yang menyediakan kemudahan kaunter tukaran duit baharu kerana menjangkakan ramai yang akan datang terutama dalam seminggu terakhir menjelang hari raya. – Bernama

Tradisi unik junjung makanan

Posted:

Tradisi unik junjung makanan

Tradisi unik junjung makanan

Oleh FAUZI MOHD.
rencana@kosmo.com.my


PENDUDUK kampung turut menggunakan mangkuk tingkat dan bekas lain untuk menghantar juadah yang dimasak di rumah ke masjid.


BAGI generasi baharu, sesetengah budaya itu cukup asing buat mereka, manakala sebahagian warga emas atau orang lama, budaya mampu mengembalikan nostalgia zaman silam yang sudah semakin pudar daripada ingatan mereka.

Tradisi menjunjung lauk dari rumah ke masjid dihidupkan kembali di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Paling menarik, suasana pada hari itu cukup meriah kerana rata-rata penduduk tempatan dari pelbagai peringkat umur tampil dengan masakan istimewa masing-masing.


SETIAP komuniti menghantar juadah ke masjid dengan menu yang berbeza.


"Acara itu bukanlah rutin tahunan, tetapi kerana kampung itu bakal dikunjungi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said maka penduduk sepakat untuk menjadikan majlis berbuka puasa pada petang itu sebagai acara yang luar biasa," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gemuruh, Amran Abdullah.

Katanya, penduduk kampung tidak mahu cara memasak secara gotong-royong dianjurkan sebaliknya setiap hidangan perlu dimasak sendiri oleh penduduk kampung di rumah masing-masing.

Dengan cara begini katanya, setiap komuniti menghantar juadah ke masjid dengan menu yang berbeza.

Air tangan


AHMAD SAID (kiri) turut memeriahkan majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.


Tujuannya adalah untuk membolehkan semua tetamu dapat merasa air tangan orang kampung.

"Sekitar tahun 1970-an dulu, jumlah hidangan yang dihantar cukup banyak sehinggakan ruang dalam masjid penuh dengan talam hidangan yang bertutup tudung saji anyaman nipah.

"Jika tidak muat, orang kampung menyusunnya berlapis-lapis supaya ia muat di atas talam. Kemudian, setelah semuanya selesai dan dihias cantik baru dihantar ke masjid untuk disajikan pada majlis berbuka puasa beramai-ramai," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.


PARA penduduk menjunjung lauk pauk masing-masing menuju ke masjid untuk hidangan berbuka puasa.


Sebagai simbolik menyambut ketibaan Ahmad, seramai 15 wanita menjunjung talam dengan pelbagai jenis lauk sambil berarak dan berselawat mengiringi ketibaan jemputan kenamaan ke meja makan.

Kata Amran, majlis yang penuh adat dan cara tradisional itu melibatkan lebih 100 hidangan lauk tradisional dan kuih muih yang dimasak di rumah mengikut kreativiti dan kemampuan masing-masing. Ia kemudiannya dibawa ke masjid secara beramai-ramai pada pukul 5.30 petang.

Memori silam

"Antara masakan kampung yang dihidangkan ialah gulai ayam kampung, sayur rebung buluh, acar pisang, gulai telur itik, kerabu jantung pisang dan sambal petai serta kuih tradisional seperti nekbat, puteri mandi, bubur lambuk, lompat tikam dan tapai beras.

"Tradisi yang diturunkan oleh datuk nenek kita pada masa dahulu mungkin akan hilang sekiranya generasi baharu tidak mengambil inisiatif untuk meneruskannya," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Wan Salina, 47, berkata, tradisi menjunjung lauk dari rumah ke masjid ini telah mengembalikan memori silamnya ketika zaman kanak-kanak.

Malah katanya, tradisi unik itu sepatutnya diteruskan bagi memulihara dan memartabatkan budaya yang pernah meresapi kehidupan masyarakat lampau.

"Sudah lama kami menunggu saat-saat ini dan akan terkenang kembali kepada kehidupan ketika zaman kanak-kanak.

"Ketika itu, kami akan berkumpul di satu tempat sebelum menyertai orang dewasa berarak dari rumah ke masjid," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved