Kosmo Online - Rencana Utama |
Adik-beradik teruskan resipi kejayaan Posted: Adik-beradik teruskan resipi kejayaanOleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM SAJIAN beriani di JM Bariani House menggunakan resipi tradisi yang dihasilkan oleh pasangan Mustapa dan Jamilah. SATU ketika dahulu, perniagaan nasi beriani, JM Bariani House Sdn. Bhd. hanyalah dijalankan secara suka-suka di hadapan rumah. Hari ini, perniagaaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu berubah menjadi empayar yang cukup popular dalam kalangan penggemar nasi beriani di Lembah Klang. Perkembangan tersebut cukup membanggakan pengasas perniagaan itu iaiatu pasangan suami isteri, Mustapa Abdul Karim, 71, dan Jamilah Abu Bakar, 67. Apatah lagi, perniagaan tersebut kini dikendalikan oleh tiga putera kesayangan mereka yang menjadi tulang belakang perniagaan itu. Lebih menarik, pasangan Mustafa dan Jamilah sanggup meninggalkan pekerjaan tetap mereka di Muar, Johor pada awal tahun 1980-an tanpa menoleh ke belakang. Semuanya dilakukan semata-mata ingin mengejar impian memulakan perniagaan di ibu kota. Begitupun, dalam mencapai kejayaan yang dikecapi pada hari ini, mereka mengharungi pelbagai ranjau dan dugaan kerana menyangka memulakan perniagaan merupakan sesuatu yang mudah dilakukan tanpa perlu mempunyai latarbelakang perniagaan ataupun bidang masakan. Pengarah Urusan JM Bariani House Sdn. Bhd., Zulkarnain Mustapa, 46, anak sulung pasangan itu berkata, ibu bapanya cukup meminati bidang masakan sehingga sanggup meninggalkan kerjaya tetap mereka dan berhijrah untuk memulakan perniagaan. Zulkarnain menunjukkan antara hidangan utama yang ditawarkan di JM Bariani House. "Ketika itu, ayah bertugas di Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Muar manakala emak pula bekerja sebagai guru. Keinginan mengejar cita-cita telah mendorong mereka meninggalkan pekerjaan tetap bagi memulakan perniagaan. "Pembabitan awal dalam perniagaan dilakukan secara kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak, air batu campur, karipap dan mi rebus," katanya sambil mengimbas kenangan lalu. Bahkan, ia ibarat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana sambutannya agak hambar. Mungkin, pada masa itu perniagaan kedua-dua ibu bapanya hanya beroperasi di hadapan rumah mereka. Bagaimanapun, Zulkarnain menambah, perniagaan katering memenuhi seperti kenduri kahwin, keraiaan dan korporat secara kecil-kecilan yang dilakukan apabila berpindah di gerai seksyen 17 Shah Alam telah merubah segala-galanya. Dia memberitahu, rezeki melalui perniagaan katering melimpah ruah sehingga perlu mencari lokasi baharu iaitu di Subang Jaya, Selangor bagi memastikan masakan dapat dilakukan lebih selesa dan sistematik selain dapat mengekalkan kualiti makanan. Restoran pertama "Menerusi perniagaan katering itu jugalah tercetus idea untuk membuka restoran yang terletak bersebelahan ruang masakan tempahan. Perniagaan restoran yang beroperasi di Seksyen 18, Subang Jaya dibuka tanpa dirancang pada tahun 1993. MUSTAPA (duduk kanan) dan Jamilah bersama tiga anak lelaki mereka iaitu Zulkarnain (kiri), Zul Atfi (tengah) dan Abdul Hafiz. "Saya masih ingat kami cuma mempunyai empat meja sahaja dan ia dibuka atas cadangan pelanggan-pelanggan yang mahukan kami membuka sebuah restoran," katanya. Sambil memberitahu JM merupakan gabungan nama kedua-dua ibu bapanyanya, restoran yang terletak di Subang Jaya itu menyimpan pelbagai nostalgia. Katanya, restoran yang pernah disewa daripada Uda Holdings Bhd. untuk bertapak dalam bidang perniagaan itu merupakan restoran pertama syarikatnya. Selain Zulkarnain, perniagaan tersebut turut diuruskan oleh dua orang adiknya iaitu Abdul Hafiz, 43, dan Zul Atfi, 34. Menyentuh mengenai keistimewaan nasi beriani, JM Bariani House, lelaki yang begitu ramah dengan pelanggan-pelanggan itu memberitahu ia adalah resipi air tangan orang tuanya. "Mereka banyak menggunakan kaedah cuba-cuba untuk menyempurnakan adunan masakan nasi beriani tersebut. "Tidak seperti sekarang, dahulu mereka memasak nasi beriani menggunakan kayu api dan memerlukan masa yang agak lama untuk mengekalkan kualiti serta cita rasa asli masakan tersebut," ujarnya ketika ditemui di JM Bariani House di Subang Jaya baru-baru ini. Zulkarnain memberitahu, nasi beriani yang mereka hasilkan memiliki cita rasa dari Muar dan lebih ringan. Resipi tersebut tidak mencampurkan terlalu banyak ramuan rempah, kurang berminyak dan kurang pedas untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Tambahnya, nasi beriani Johor sememangnya mempunyai peminat tersendiri sehingga dapat mengekalkan perniagaan mereka hingga ke hari ini. JM Bariani House popular dengan menu utama nasi beriani dan beriani gam dengan lauk pauk seperti daging kambing, lembu dan ayam dimasak dengan rempah beriani yang diadun sendiri. Selain nasi beriani, JM Bariani House turut menawarkan mi bandung Muar, rojak petis, tauhu bakar dan banyak lagi. Sementara itu, Abdul Hafiz yang mengendalikan bahagian dapur berkata, setiap pekerja mempunyai kemahiran tersendiri dalam menguruskan masakan JM Bariani House. "Ini bermakna kami mempunyai chef yang pakar dalam memasak nasi, lauk pauk dan sebagainya di bahagian dapur. Mereka juga telah diberikan ramuan dan catuan yang betul untuk mengekalkan cita rasa masakan. "Selain daripada kepakaran yang dimiliki para pekerja, kita menggunakan bahan-bahan berkualiti bagi menjamin masakan mempunyai rasa sedap dan enak dinikmati," katanya yang mengambil jurusan arkitek di Amerika Syarikat. JM Bariani House semakin berkembang dengan kini mempunyai 19 buah cawangan di sekitar Lembah Klang. Dalam pada itu, Abdul Hafiz yang tidak memiliki kemahiran memasak sebelum ini memberitahu, mereka turut menggunakan kaedah dapur berpusat untuk memastikan cita rasa dan kualiti yang diguna pakai sejak dahulu dapat dikekalkan sehingga hari ini. Sebagai contoh, Abdul Hafiz menjelaskan mereka masih menggunakan dapur api gas yang menggunakan periuk besar untuk memasak lauk-pauk. "Walaupun tidak sama seperti menggunakan kayu api, dia memberitahu, ia masih dapat mengekalkan aroma dan cita rasa sama seperti masakan ayah memasak dahulu. "Pendekatan dapur berpusat digunakan untuk memastikan setiap francais kami memperoleh makanan yang mempunyai kualiti sama untuk disajikan kepada pelanggan-pelanggan mereka," ujarnya lagi. Katanya, menceburi bidang perniagaan ini, kualiti dan cita rasa amat penting untuk memastikan pelanggan-pelanggan sentiasa berpuas hati dengan sajian yang dinikmati mereka. Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Perbadanan Nasional Bhd. Banyak membantunya dalam bidang francais. Buat masa ini, syarikatnya sudah menghentikan permohonan membuka restoran itu secara francais buat sementara waktu disebabkan kemudahan dapur berpusat yang terhad. Katanya, kemudahan memasak yang dimiliki syarikat itu, hanya mampu menampung keperluan untuk 20 cawangan sahaja. Bagaimanapun, JM Bariani House berharap mampu berkembang di luar Lembah Klang menerusi kemudahan pusat masakan baru yang lebih moden dengan kapasiti yang lebih besar dalam masa terdekat. Untuk mengetahui lokasi-lokasi JM Bariani House boleh melayari laman web www.jmbariani.com. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Yogurt makanan warisan Bulgaria Posted: Yogurt makanan warisan BulgariaKEBANYAKAN biara di Bulgaria menghasilkan dan menjual yogurt tradisional. PADA hari Sabtu minggu kedua pada bulan Julai lalu, kira-kira 20 lelaki dan wanita berdiri di belakang pasu dan balang yogurt buatan sendiri di kelab pesara Tran. Masing-masing berdebar menunggu pengumuman para juri mengenai resipi asli yogurt mereka. Setiap tahun pada pertengahan Julai, pekan kecil Tran yang terletak di kaki bukit pergunungan Balkan berhampiran sempadan Bulgaria dan Serbia itu akan meraikan seni membuat yogurt sambil memperingati saintis tempatan yang menemui bakteria yang menukar susu dalam bentuk separa pejal dan masam. Malah, yogurt dilihat sebagai sejenis makanan yang dikenali sebagai gastronomi mutiara warisan Bulgaria. Tanpa menghiraukan gemuruh ucapan dan tarian rakyat yang berlangsung di dataran utama, seorang guru bersara, Evgenia Dimitrova dan pasangannya memilih untuk bersaing dalam menghasilkan yogurt terbaik. Yogurt tersebut dihasilkan daripada susu kambing, biri-biri, lembu dan kerbau.
"Saya mewarisi resipi membuat yogurt daripada ibu yang sebelum itu ibu mewarisinya daripada nenek. Saya tidak pernah lupa untuk menyimpan sesudu yogurt untuk digunakan dalam proses menapai bagi susu keesokan harinya," kata Dimitrova yang berasal dari perkampungan Lomnica. Resipi asli Resipi asli Dimitrova untuk yogurt susu kambing dengan daun selasih dan thyme telah memenangi hadiah utama dalam kategori produk tenusu. Bulgaria berbangga dengan penemuan yogurt sehingga sanggup memberikan namanya kepada bakteria yang menjadikan makanan tersebut iaitu Lactobacillus bulgaricus (LLB). "Didihkan susu untuk membunuh bakteria jahat. Apabila ia menjadi suam, tambah sesudu yogurt dan kacau. Kemudian tutup balang tersebut dan balutkan. "Dalam masa tiga jam, yogurt sedia untuk dinikmati," ujar Stamen Tsvetkov menerangkan proses menyediakan yogurt. Keluarga Tsvetkov telah memenangi hadiah untuk yogurt susu kambing biri-biri terbaik di Tran. Tambahnya, ketebalan yogurt bergantung kepada haiwan dan hasil ragutan yang mereka peroleh di padang ragut. Jika padang ragut mempunyai rumput yang kering, ia menjadikan yogurt lebih tebal berbanding padang ragut dengan rumput lebih hijau. Sementara itu, biri-biri dan kerbau pula memberikan susu yang lebih lemak berbanding lembu dan kambing. Yogurt tradisional YOGURT buatan sendiri ini cuba dirasai oleh seorang lelaki pada acara meraikan hari pembuatan yogurt tradisional. Ketika penduduk kampung menjual sejumlah kecil yogurt buatan sendiri kepada rakan-rakan dan jiran tetangga, banyak biara di Bulgaria telah mula menghasilkan dan menjual yogurt tradisional. Biara Zhableno di barat Bulgaria contohnya menyediakan 750 kilogram yogurt susu lembu yang amat popular dalam kalangan penduduk tempatan dalam tempoh seminggu dan menjualnya di Sofia. "Sesiapa yang telah merasai yogurt buatan sendiri pasti tidak gemar untuk menggunakan produk yogurt perindustrian yang ditambah dengan ketebalan dan pewarna tiruan. "Yogurt asli tidak boleh terdiri daripada apa-apa sahaja, tetapi bakteria Bulgaria yang digunakan dalam proses penapaian tidak wujud di tempat lain kecuali di sini," kata paderi Kliment yang bertanggungjawab bagi pengeluaran yogurt di biara tersebut sekali gus mengulangi mitos yang tersebar luas itu. Bakteria LBB yang digunakan untuk membuat yogurt ditemui oleh Stamen Grigorov, iaitu pelajar perubatan kelahiran wilayah Tran sewaktu mengkaji tentang tabiat makanan di pergunungan Rhodope di selatan Bulgaria. SEORANG paderi menyejukkan yogurt tradisional yang dihasilkan di biara. "LBB dan satu lagi bakteria, Streptococcus thermophilus sangat diperlukan dalam penghasilan yogurt," tegas cucu saintis tersebut, Julia Grigorova. Tetapi persoalan tentang siapa yang membuat yogurt pertama dan siapa yang memperkenalkan kepada siapa semasa pemerintahan zaman Uthmaniyyah terus menjadi topik perbahasan antara Bulgaria dan Turki, yang kedua-duanya gemarkan ayran. Ayran merupakan sejenis minuman segar yang diperbuat daripada yogurt dan air sejuk. Bagi Zdravko Nikolov, ketua makmal di Institut Yogurt LBBulgaricum, jawapannya jelas. "Bulgaria adalah tanah air yogurt memandangkan di sini hanya simbiosis LLB dan Streptococcus thermophilus dibangunkan secara semula jadi. "Di tempat lain di Eropah, simbiosis kedua-dua mikroorganisma tersebut diperoleh menerusi buatan manusia dan tidak asli," katanya. Rakyat Bulgaria menggunakan 135,000 tan yogurt setiap tahun dan produk itu adalah sebahagian daripada kebanyakan hidangan tradisional seperti yogurt tarator sejuk dan sup timun, salad yogurt Snow White, timun jeruk, bawang putih dan walnut. - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Op Pasir gantikan Op PadanOleh RAIS YEOP JOHARI SEJAK Operasi Pasir (Op Pasir) dilancarkan pada 18 September 2000 kira-kira 11 tahun lalu di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keselamatan perairan dan kepulauan di kawasan pantai utara dan timur Sabah berjaya didaulatkan kembali. Peranan MAB menerusi Op Pasir berjaya mengatasi masalah pencerobohan dan penculikan di kawasan berkenaan yang sebelum itu dihantui dengan dua tragedi kes penculikan membabitkan Kumpulan Abu Sayaf pada April dan September 2000. Op Pasir yang menggantikan Op Padan mengambil singkatan lokasi insiden kes penculikan tersebut yang berlaku iaitu di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan Resort. Usaha MAB itu sekali gus mengembalikan semula keyakinan pelancong luar terhadap tahap keselamatan kawasan perairan dan kepulauan di Sabah terutamanya dalam kalangan pencinta aktiviti menyelam. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, ketika ini kawasan operasi di bawah kawal selia MAB meliputi 22 buah pulau dan 11 kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau di timur Sabah sehingga Kudat yang terletak di utara. Ketumbukan MAB pada masa ini diperkuatkan dengan 1,500 pegawai dan anggota tentera Malaysia yang memantau perairan Sabah menggunakan radar canggih, kapal terbang tanpa pemandu, helikopter dan bot-bot pemintas. Dalam lawatan ke Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir di Kem Kukusan di Tawau yang turut disertai media, Ahmad Zahid membayang tanggungjawab MAB akan diperluaskan ke Laut China Selatan kerana kemungkinan konflik ekoran tuntutan bertindih beberapa negara di perairan tersebut. SERAMAI 1,500 pegawai dan anggota MAB bersiap siaga memantau keamanan di perairan Sabah. "Op Pasir bukan sahaja menjaga aset negara tetapi, dalam masa lima tahun atau satu dekad akan datang MAB akan jadi lebih penting kerana kawasan-kawasan konflik yang dijangka timbul di Laut China Selatan. "Operasi MAB ketika ini menjamin keselamatan negara terutamanya di kawasan berpulau di Laut Sulu. Jika tiada MAB kawasan ini memang menjadi kawasan sensitif khususnya aktiviti pelanunan," katanya. Siap siaga menjaga Spratly Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menjelaskan, negara-negara Asia Tenggara yakin perairan Spratly di Laut China Selatan bakal menjadi rebutan pada masa depan kerana potensi ekonomi dan simpanan petroleum di kawasan itu yang dianggarkan mengandungi 300 bilion tong minyak dan 600 bilion kubik padu gas. "Kita tidak mahu Laut China Selatan menjadi kawasan konflik," tegas beliau. Menurut Ahmad Zahid, selain rundingan pelbagai hala beliau mencadangkan supaya tuntutan bertindih di Spratly diselesaikan dengan cara yang lebih menguntungkan dengan cara menubuhkan Special Purpose Vehicle iaitu pembentukan sebuah 'syarikat' yang dikongsi bersama dengan penyertaan ekuiti dari seluruh negara ASEAN terlibat. DEMONSTRASI menyelamatkan tebusan yang pertontonkan oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) di Pulau Siamil dan Program Jiwa Murni ATM di Pulau Danawan. Lawatan yang disertai Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerangkan kepada media mengenai Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) yang terdapat di MAB. Ia bertindak sebagai pusat pemantauan semua maklumat pengawasan di kawasan tanggungjawab Op Pasir menerusi aset Unmaned Aerial Vehicle (UAV) atau pesawat terbang tanpa pemandu. Maklumat-maklumat yang diperoleh melalui radar sloop atau real time video akan dipancarkan secara langsung ke JRCC iaitu Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir. "Dalam pelaksanaan Op Pasir, salah satu kaedah yang digunakan adalah untuk mengoptimumkan penggunaan Government Integrated radio Network (GRIN) atau Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan. "GRIN adalah sebuah projek sistem komunikasi bersepadu seluruh negara dan ia merupakan rangkaian radio digital bersepadu yang dibangunkan untuk agensi-agensi keselamatan, penguatkuasaan dan kecemasan yang berkongsi prasarana tetapi masih mengekalkan autonomi setiap agensi," kata Ahmad Kamarulzaman. Program jiwa murni SELEPAS 11 tahun menjaga keselamatan perairan Sabah tiada lagi kes penculikan seperti yang pernah berlaku di Pulau Sipadan. Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, peranan MAB bukan sekadar untuk menjalankan tugas-tugas operasi ketenteraan, malah melaksanakan program-program jiwa murni untuk mengukuhkan tali persaudaraan dengan warga tempatan di Pulau Danawan di timur perairan Sabah. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Danawan, Abd. Ghani Mahajud, 51, berkata, sepanjang tentera bertugas di pulau tersebut dan kawasan sekitar, nyata ia memberi kestabilan serta keamanan di mana tiada kes-kes pencerobohan berlaku. "Ketenteraman penduduk di kampung ini sudah selesa sejak mereka (tentera) bertugas di sini. Tiada lagi kes penculikan mahupun rompakan di laut dan penduduk kampung rata-rata sebagai nelayan bebas melakukan aktiviti harian mereka. "Sebagai ketua (Pengerusi JKKK) saya amat berterima kasih kepada ATM yang berkhidmat menjaga kesejahteraan kami di sini," katanya. Tambah Abd. Ghani, daripada 1,706 penduduk kampung di Pulau Danawan lebih kurang 200 daripada jumlah itu adalah penduduk berstatus penduduk sementara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan