Rabu, 24 Ogos 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kehidupan minoriti Islam di Ho Chi Minh City

Posted:

Kehidupan minoriti Islam di Ho Chi Minh City

Kehidupan minoriti Islam di Ho Chi Minh City

Oleh HISHAM IDRIS

SEMASA dibawa berkunjung ke Masjid Musulman, Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini, mata penulis terpandang kelibat seorang anak gadis bertudung sedang bermain badminton di halaman bersebelahan masjid.

Wajah riang Hasikin Thanh Liem, 18, mencuri hati penulis untuk mendekatinya bagi memahami Islam di dalam jiwa anak gadis ini.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menceritakan biarpun Islam di tempatnya tidak segah Islam di Malaysia, namun tidak bermakna Islam tempatan perlu dipandang remeh.

Bagi anak gadis itu, rasa tersisih sebagai seorang Islam sememangnya menebal dalam dirinya yang terpaksa hidup dikelilingi penganut-penganut agama lain.

Paling ketara apabila rakan-rakan sekelas memandang rendah kepada gadis yang bertudung ke sekolah dan dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri.

Seorang diri bersekolah dalam kalangan rakan-rakan yang langsung tidak faham apa itu Islam merupakan satu cabaran pada dirinya.


BECA yang boleh anda temui di Ho Chi Minh City yang digunakan untuk mengangkut barang.


"Setiap hari saya perlu qada' solat," jawabnya ringkas beliau apabila ditanya bagaimana dia menunaikan solat setiap hari.

Biarpun sedar dirinya terlalu kerdil, namun Hasikin tahu Islam ada di mana-mana sahaja tanpa batasan untuk diamalkan.

Hari demi hari yang dilaluinya ditempuhi dengan penuh tabah semata-mata mahu memastikan keislaman di dalam dirinya tidak tergugat.

Jauh di sudut hatinya, penulis dapat melihat keikhlasannya dilahirkan sebagai seorang Islam di bumi yang langsung tidak memahami Islam sebagai agama sejagat.

Apa yang diimpikan Hasikin kini ialah mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran di negara yang meletakkan Islam sebagai agama utama yang dianuti.

Mazhab Syafie


HAMPIR sebahagian besar penduduk di Ho Chi Minh City lebih gemar menunggang motosikal untuk bergerak.


Imam Masjid Musulman, Abdul Azim Ishak, 50 menjelaskan, Islam di Ho Chi Minh City mengamalkan mazhab yang sama di Malaysia iaitu mazhab Syafie.

"Di sini Islam banyak dipengaruhi oleh masyarakat Islam dari Pattani, Thailand dan ada yang datang dari Kelantan yang dahulunya merupakan masyarakat Cham," katanya.

Sebagai kaum minoriti di bumi sendiri, Abdul Azim mengakui, sememangnya banyak perbezaan cara mengamalkan Islam itu sendiri.

Islam sebagai minoriti banyak kekurangannya dan terpaksa bersaing untuk survival komuniti yang kecil dalam kelompok majoriti agama lain.

"Di sini, laungan azan tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara, namun ia tidak bermakna tidak akan ada orang datang berjemaah setiap hari," ujarnya.

Biarpun senario Islam di Vietnam amat berbeza dengan di Malaysia, namun ketika solat Jumaat kata Abdul Azim, lebih daripada 1,000 jemaah bakal memenuhi ruang solat masjid.

Masjid Musulman merupakan salah sebuah masjid paling sibuk di tengah-tengah Ho Chi Minh City. Ia dibina sekitar tahun 1935 oleh pedagang dari India.


MASJID MUSULMAN merupakan salah sebuah masjid yang paling sibuk di tengah-tengah Ho Chi Minh City.


Ruang solat terbahagi kepada dua iaitu di sebelah kanan merupakan ruang solat bagi jemaah lelaki, manakala sebelah kiri adalah ruang solat untuk wanita.

Terdapat satu kolah mengambil wuduk yang dibina di sebelah kanan masjid.

Biarpun keluasan dalam masjid agak kecil iaitu hanya sebesar bilik darjah, namun ia memadai bagi jemaah untuk beribadah.

Selepas pedagang India meninggalkan Ho Chi Minh City pada tahun 1975, masjid tersebut diserahkan kepada masyarakat Islam tempatan untuk menguruskannnya.

Sehingga kini, masjid tersebut menjadi ikon syiar Islam di Ho Chi Minh City sebagai salah satu tempat beribadah paling popular di tengah-tengah kesibukan kota.

Kawasan sekeliling masjid pula dijadikan tempat tinggal beberapa penduduk Islam dengan membina rumah-rumah kecil.


BUSANA muslimah turut dijual di sekitar kawasan perniagaan di Kota Ho Chi Minh.


Di Ho Chi Minh City, terdapat banyak butik yang menjual pakaian seperti telekung sulam, tudung, jubah dan baju Melayu.

Salah seorang pengusahanya ialah Basiroh Aly. Kedainya di Jalan Huynh Van Banh, Daerah Phu Nhuan.

Pemiliknya, Basiroh Aly berkata, pelbagai produk dijual bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar negara.

"Telekung sulam serendah RM30 boleh dibeli di sini," katanya ketika ditemui di kedainya.

Beliau yang mula berniaga dengan menjual barang dari rumah ke rumah pada tahun 2000 kini memiliki kilang dan butik sendiri untuk menerima tempahan daripada orang ramai.

Katanya, perniagaan beliau mendapat sambutan lebih-lebih lagi daripada pelancong dari Malaysia yang sering ke Ho Chi Minh City.

Jamu selera dengan landak laut

Posted:

Jamu selera dengan landak laut

Jamu selera dengan landak laut

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN


BERAS dimasukkan di dalam kulit landak.


MINGGU ini Makan Angin 2 masih di negeri Di Bawah Bayu kerana pelbagai perkara menarik di negeri Sabah yang ingin dijelajah. Kali ini Faiz akan ke Pulau Gaya, Sabah untuk misi seterusnya iaitu mencari makanan laut eksotik. Kota Kinabalu terkenal dengan keindahan kawasan pulaunya dan kehidupan di dalam laut.


LANDAK LAUT


Oleh itu, saya akan menyelam ke dalam laut untuk menyiapkan misi seterusnya. Menu kali ini ialah landak laut, bantunan, kahanga dan rumpai laut (latok). Untuk ke Kampung Pulau Gaya, kami menaiki feri dan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit. Perkampungan air yang sangat menarik dan unik itu menemukan saya dengan seorang lelaki bernama, Osman yang pakar menangkap landak laut dan pelbagai makanan

laut. Kebetulan dia memiliki kelong untuk memelihara rumpai laut iaitu spesies latok. Seperti yang diketahui umum landak laut merupakan haiwan yang berbahaya kerana racun yang terdapat pada durinya.


BANTUNAN yang menyerupai gamat.


Namun, saya telah menyahut cabaran tersebut dan turut serta bersama Osman menyelam bagi mendapatkan bahan-bahan utama menu pilihannya. Kemahiran yang dimiliki Osman memang mengagumkan kerana dia boleh

menahan nafas sehingga 10 minit di dalam laut untuk mencari landak laut tersebut. Lebih hebat, alat-alat pernafasan yang digunakan hanyalah peralatan yang biasa dan buatan sendiri. Setelah puas menyelam

di lautan sehari, masa untuk saya menyiang bahan-bahan utamanya. Menyiang landak laut bukanlah perkara yang mudah, ia memerlukan kemahiran. Osman menunjukkan cara-cara menyiang landak laut kepada saya.

Selesai proses tersebut, saya pun memasaknya. Landak laut boleh disediakan menjadi dua menu iaitu daripada isi dan kulitnya. Isinya akan dimasak rendang, manakala kulitnya akan dimasukkan beras dan direbus

yang dipanggil oko-oko oleh kaum Bajau di pulau tersebut. Kemudian untuk resipi kedua iaitu kahanga, sejenis kerang laut yang memiliki cengkerang yang cantik dan biasanya dijadikan perhiasan dan cenderamata.


PENULIS turut menyelam untuk mencari spesies hidupan laut.


Rasanya sangat sedap dan saya cadangkan kalau anda semua berkesempatan ke sini, carilah kahanga sebab rasanya itu. Misi seterusnya lebih mencabar kerana dua daripada menu tersebut hanya perlu dimakan mentah. Apabila melihat rupa makanan tersebut, memang tidak yakin dapat masuk ke mulut. Tapi gagahkan juga untuk mencubanya. Bak kata orang, belum cuba belum tahu. Memang tak rugi mencuba sebab rasanya sangat sedap.

Nak tahu apa makanan itu? Ia adalah bantunan dan latok! Bantunan merupakan spesies timun laut dan rasanya agak keras serta mempunyai bentuk lebih kurang seperti gamat. Latok pula spesies rumpai laut yang sedap apabila di cicah dengan air asam. Bila selesai semua menu, terasa berbaloi pula usaha saya menyelam ke dasar laut untuk kali ini. Sebelum pulang, saya sempat melalui kawasan sekolah di kampung tersebut

yang merupakan sekolah yang memiliki pencapaian yang sangat memberangsangkan dan belajar tarian igal-igal yang merupakan tarian tradisi kaum Bajau. Tarian itu biasanya ditarikan dalam majlis keramaian dan persembahan untuk tetamu. Setiap pertemuan ada perpisahan, kenangan dan keindahan Kampung Pulau Gaya tidak akan dilupakan. Kepada yang berkunjung di Sabah, jangan ketinggalan melakukan aktiviti menyelam

di Pulau Sapi kerana ia aktiviti yang menyeronokkan. Saya pun berkesempatan menyertai aktiviti Discover Diving dan Sea Walking di Pulau Sapi. Keindahan lautan Sabah sangat cantik dan menjadikan kita sedar

akan kekuasaan dan keindahan ciptaan Tuhan. Jangan lupa saksikan keunikan pengembaraan kami di Pulau Gaya malam esok pukul 8.30 malam di TV 9.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved