Rabu, 13 Julai 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


MPPA untuk jurufoto media

Posted:

MPPA untuk jurufoto media

MPPA untuk jurufoto media

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


MAT SALIM menunjukkan bip khas yang digunakan oleh para jurufoto berdaftar dengan MPPA pada perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


DUA jurugambar termasuk seorang dari agensi berita asing cedera dibelasah oleh sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika membuat liputan penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 17 Ogos 2008 telah membuatkan kelompok jurufoto di negara ini tersentak.

Walaupun tragedi itu sememangnya telah mendapat perhatian luar biasa daripada para pemimpin negara dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), bagaimanapun para jurufoto terfikir, mengapa tidak mereka bersatu dan mewujudkan persatuan yang dinaungi oleh kalangan mereka sendiri?

Susulan daripada itu, perancangan demi perancangan yang dibincang dan akhirnya pada 1 Julai lalu, tertubuhlah Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) yang dianggotai oleh 400 ahli dari seluruh pelosok tanah air.

"MPPA sebenarnya ditubuhkan demi mempertahankan hak-hak jurufoto dalam tugasan seharian, menjaga kebajikan, memberi latihan, menerapkan etika kewartawanan serta meningkatkan disiplin dalam tugasan," ujar Presiden MPPA, Mat Salim Shaari pada Majlis Pelancaran MPPA yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak sebagai Penaung MPPA.


SELAKU penaung, Dr. Mahathir berharap persatuan yang mempunyai lebih 400 ahli itu terus menyumbang kepada keamanan serta keharmonian negara.


Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Penasihat MPPA dan Pengarah Produk Pengimejan Komunikasi Canon, Simon Wong. Jenama kamera terkemuka dunia, Canon yang sejak dulu lagi memainkan peranan penting membantu industri fotografi negara adalah penaja utama pada majlis itu.

Hak terbela

Dalam pada itu, ketika berucap, Dr. Mahathir meluahkan rasa gembiranya terhadap inisiatif penubuhan persatuan yang turut disertai oleh jurufoto dari agensi asing di Malaysia seperti Reuters dan Xinhua News Agency.

"Gambar kata orang memberikan seribu makna, pemberita kena tulis banyak perkataan tapi jurufoto hanya satu klik saja, sudah dapat cerita. Saya mengaku, ketika membaca surat khabar, setiap kali saya akan tengok gambar dulu, demikian pentingnya gambar pada zaman moden ini," kata Dr. Mahathir.

Tambah beliau, kerjaya sebagai jurufoto seharusnya diiktiraf dan dihargai sumbangannya oleh kerajaan memandangkan golongan itu adalah perakam sejarah. Mantan Perdana Menteri itu juga mengingatkan kepada seluruh jurufoto supaya sentiasa menjaga etika dan mengutamakan sikap saling bekerjasama.

Dalam pada itu mengulas mengenai MPPA, jurufoto Bernama, Mazlan Samion, 34, berkata, penubuhan persatuan tersebut seiring dengan prinsip kebebasan akhbar itu sendiri.


TANDA PENGHARGAAN. Simon (dua dari kiri) menyerahkan sebuah kamera digital kepada Dr. Mahathir sebagai kenang-kenangan sambil diperhatikan oleh Mat Salim (paling kiri) dan Ahmad Maslan ( kanan).


"Dalam menjalankan kerja-kerja seharian, ramai tak tahu kami kadangkala ditindas dan lebih teruk lagi ada pihak yang menafikan hak kami ketika membuat liputan, jadi dengan adanya MPPA, nasib kami akan lebih terbela," katanya.

Sementara itu, jurufoto agensi berita asing, Reuters, Bazuki Muhammad, 46, berkata, MPPA yang ditubuhkan baru-baru ini sememangnya kena pada waktunya. "Ia merupakan platform terbaik untuk kami sama-sama menyuarakan apa juga perkara yang dirasakan ingin dibangkitkan," katanya.

Bagi salah seorang daripada 35 petugas jurufoto wanita, Norafifi Ehsan, 39, beliau juga optimis dan bersama-sama mencari idea untuk sama-sama memastikan tugasan seorang jurufoto tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.

"Sejurus saja selepas MPPA dirasmikan, kita terus laksanakan idea baru iaitu menyediakan bip untuk semua para petugas yang ditugaskan untuk membuat liputan di kawasan bencana atau rusuhan," katanya.

Baru-baru ini, pada perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai lalu, kesemua jurufoto media yang berdaftar dengan MPPA mengenakan bip media demi keselamatan bersama.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Shoyuemi permainan online Facebook

Posted:

Shoyuemi permainan online Facebook

Shoyuemi permainan online Facebook


CHENG KENG (lima dari kiri) bergambar bersama-sama dengan peserta yang menyertai flash mob.


MASIH ingatkah lagi pada awal tahun 90-an, makanan ringan berjenama Tam Tam dan Mi-Mi keluaran Snekku memang popular dalam kalangan kanak-kanak.

Seiring dengan masa berlalu, Snekku telah pun mengeluarkan pelbagai produk baru seperti Shoyoemi, keropok berasaskan tepung gandum dengan salutan lapan perisa yang berbeza pada tahun 2006.

Bulan lalu, Snekku melancarkan permainan dalam talian dalam laman sosial Facebook dengan menggunakan karakter Shoyoemi sebagai watak utama.

Shoyoemi merupakan seekor penyu yang tidak mempunyai cengkerang, berwarna kuning dan kelihatan comel dan manja.

Permainan dalam talian itu boleh diakses dengan membuka laman www.facebook.com/snekku. Pelayar perlu mengklik butang like untuk menyertai permainan tersebut.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Snekku, Hing Cheng Keng, 53, tujuan permainan tersebut dilancarkan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap produk keluaran mereka.

"Diharap, Shoyoemi dapat mengurangkan tekanan masyarakat bandar yang bekerja keras setiap hari.

"Selain itu, permainan Facebook kini menjadi trend golongan remaja dan kanak-kanak. Setiap orang pasti pernah bermain Facebook," ujar Cheng Keng pada majlis pelancaran permainan itu di Sunway Pyramid.

Cari peket tersembunyi

Katanya lagi, permainan Syoyuemi dalam laman Facebook mengambil masa lebih sebulan untuk direka bermula dengan pembinaan konseptual idea.


MAJLIS pelancaran permainan oleh Snekku diserikan dengan persembahan flash mob yang diketuai kumpulan Wakaka Krew.


"Kemudian, ia perlu melalui peringkat kesesuaian dengan laman Facebook dan disusuli dengan kaji selidik serta meneliti maklum balas orang ramai," ujarnya lagi.

Terdapat empat peringkat tahap kesukaran dalam permainan itu. Pelayar Facebook perlu melakukan penyiasatan menggunakan kanta pembesar untuk mencari peket makanan Shoyumie yang tersembunyi.

Dengan menggunakan latar tempat yang berbeza iaitu taman, ruang tamu, dapur dan pejabat, bilangan paket yang perlu dicari akan meningkat seiring dengan peningkatan tahap kesukaran.

Selain bermain, pelayar Facebook juga berpeluang menyertai pertandingan yang diadakan selama tujuh minggu dari 25 Julai hingga 20 Ogos 2010.

Setiap minggu, pemenang yang berjaya mengumpul mata tertinggi dalam masa yang singkat akan mendapat alat penyimpan memori USB (thumb drive) berkapasiti empat gigabait selain hamper barangan Snekku.

Pemenang juga berpeluang memenangi hadiah utama berupa iPhone 4, Samsung Galaxy Tab dan Nikon CoolPix L120 pada minggu terakhir nanti.

Walaupun pertandingan tamat pada bulan Ogos ini, orang ramai masih lagi boleh bermain permainan Shoyoemi di laman Facebook tersebut.

Majlis pelancaran yang diadakan di pekarangan pintu masuk Sunway Pyramid bahagian Oren diserikan dengan persembahan tarian Break Dance. Pemberian hadiah kepada orang ramai yang dapat menjawab soalan dengan tepat juga diadakan.

Ketika majlis berlangsung, orang ramai turut dikejutkan dengan persembahan flash mob yang diketuai oleh ahli kumpulan Wakaka Krew.

Kira-kira 100 orang penari yang terdiri daripada penari profesional dan separa profesional menyertai flash mob tersebut dengan menyertai Wakaka Krew secara berperingkat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved