Rabu, 13 Julai 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Terjatuh kalau gopoh melangkah

Posted:

Terjatuh kalau gopoh melangkah

Terjatuh kalau gopoh melangkah

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my



LELAKI itu mengakui dadanya berdegup kencang. Sesekali tangannya menyeka peluh jantan yang mula mengalir ke dahinya. Affendy Abdullah, 27, sedikit gementar. Maklumlah, ia merupakan pengalaman pertamanya mencuba aktiviti pengembaraan di atas pokok dikenali sebagai Skytrex Adventure.

Walaupun sudah biasa menggunakan harness atau abah-abah, carabiner dan pulley ketika melakukan aktiviti memanjat tembok di sekitar Putrajaya sebelum ini, cabaran yang dilaluinya kali itu nyata berbeza.

Pengembaraan kategori ekstrem tersebut memerlukannya melepasi 34 jenis halangan yang disediakan dalam tempoh dua hingga tiga jam.

Lebih menambah cabaran, kesemua cabaran seperti Zig Zag Bridge, Sky Bridge, Slack Track, The Quake, Thrilling Trunk, Wild Rocket dan Flying Fox dilakukan pada ketinggian 20 hingga 23 meter dari permukaan tanah.

"Pastikan carabiner disangkut di tali penanda yang disediakan di setiap platform. Ambil masa ketika melakukan setiap halangan, jangan tergopoh-gapah.

"Ingat, keselamatan diri adalah paling penting semasa berada di atas nanti," kata-kata seorang petugas semasa sesi taklimat keselamatan dan demonstrasi sebelum itu seakan-akan terngiang-ngiang di telinganya.

Tanpa membuang masa, jurutera reka bentuk di sebuah syarikat antarabangsa itu memulakan aksinya. Satu-persatu halangan yang terhidang ditempuh dengan berhati-hati. Perasaan gementarnya mula berkurangan malah dia semakin seronok.


BIARPUN gayat dan 'menakutkan' kepuasan jelas dirasai para peserta sebaik sahaja menghabiskan satu-satu cabaran.


Selain menjalani aktiviti itu, dia juga terpesona melihat pokok-pokok yang menjulang tinggi di sekitar Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) atau dulunya lebih dikenali sebagai Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam itu.

"Sebelum ini saya hanya berpeluang melihat aktiviti ini di kaca televisyen. Apabila sudah mencubanya sendiri barulah saya tahu ia tidaklah semudah yang disangkakan.

"Perasaan gayat, gementar, penat, teruja semua bercampur-baur semasa berada di atas platform, lebih-lebih lagi apabila menoleh ke bawah," katanya yang menetap di Gombak, Kuala Lumpur.

Ujian mental

Affendy yang baru pertama kali berkunjung ke TBNSA berkata, adventur tali tinggi itu mendesak adrenalin kerana ia melibatkan ketinggian, kepantasan dan ujian mental serta tenaga tubuh.

"Aktiviti ini sangat mengujakan. Peserta sengaja diuji dengan halangan berbeza-beza pada tahap awal dan penghujung pengembaraan. Biarpun kepenatan, saya cukup teruja melakukannya," ujarnya yang turut meraikan sambutan hari keluarga syarikatnya di taman itu.

Terletak di kawasan seluas 10 hektar, Skytrex Adventure merupakan merupakan lokasi pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan eko-rekreasi merentasi halangan ketinggian.


BERGAYUT umpama Tarzan mungkin menjadi pengalaman yang seronok dan tidak akan dilupakan.


Tidak hairanlah, sejak beroperasi sekitar tahun 2007, ia menjadi tarikan utama pengunjung-pengunjung ke TBNSA selain daripada aktiviti berbasikal, memancing dan beriadah di kawasan hutan seluas 817 hektar itu.

Pengarah Urusan Skytrex Adventure Sdn. Bhd., Azlan Idrus berkata, terdapat tiga kategori pakej yang ditawarkan kepada pengunjung ke situ bermula dari Little Adventure, Big Thrill dan Extreme Challenge dengan bayaran antara RM35 hingga RM50.

Azlan menambah, setiap cabaran yang disediakan pada setiap laluan mempunyai darjah kesukaran berbeza-beza pada ketinggian antara tiga hingga 23 meter.

"Disebabkan itu, peserta perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada ketika melakukan setiap cabaran dan halangan.

"Pengembaraan yang dilalui adakalanya memerlukan peserta berdiri, memanjat, berjalan, bergayut dan melakukan pelbagai pergerakan tubuh. Di sinilah ketangkasan dan kekuatan mental dan fizikal mereka diuji," jelasnya.

Laluan kecemasan

Di samping itu, peserta yang tidak mahu meneruskan cabaran berikutnya boleh menarik diri dengan menggunakan beberapa laluan kecemasan yang disediakan dikenali sebagai Chicken Exit.

"Namun begitu, peserta tidak perlu panik atau bimbang sekiranya berlaku sebarang kecemasan kerana terdapat petugas yang sentiasa mengawasi di atas dan di bawah platform untuk mengawasi pergerakan dan memberi pertolongan sekiranya perlu," katanya.

Azlan menjelaskan, usaha mempopularkan aktiviti itu di negara ini tercetus ketika dia dan salah seorang pengasas Skytrex Adventure, Jullien Repllien bercuti di Perancis ketika mereka menuntut di Universiti Hull, United Kingdom sekitar penghujung tahun 90-an dahulu.

Di sana, katanya, terdapat lebih 500 taman eko-rekreasi seumpama itu yang sering menjadi tumpuan penggemar-penggemar sukan lasak dan ekstrem dari sekitar Eropah.

"Namun, selepas pulang ke Malaysia saya mendapat tawaran bekerja sebagai pegawai undang-udang di sebuah syarikat pertoleum terkemuka menyebabkan impian itu terpaksa dipendamkan seketika.

"Hanya sekitar tahun 2007, barulah ia dapat direalisasikan. TBNSA dipilih kerana ia strategik dan menjadi tumpuan warga Lembah Klang di samping keindahan alam semula jadinya yang unik dan kekal terpelihara," katanya.


FAKTOR gender tidak menjadi halangan bagi sesiapa yang mahu mencuba cabaran yang disediakan.


Jelas Azlan, pihaknya bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menentukan jenis pokok yang sesuai digunakan. Pokok-pokok itu perlu dipastikan jenis dan ketahanannya agar selamat untuk kerja-kerja mengikat kabel dan pembinaan platform.

Antara pokok-pokok yang digunakan setakat ini, kata Azlan ialah dari jenis meranti, kempas dan jelutong.

Sijil keselamatan

Berbicara tentang soal keselamatan, Azlan menjelaskan telah mendapatkan sijil khas yang dikeluarkan oleh sebuah badan antarabangsa, Apave, untuk menilai semua aspek teknikal seperti tahap ketahanan, keselamatan dan kepatuhan syarat-syarat tertentu.

"Pada masa yang sama, pemantauan secara berkala turut dilakukan secara harian dan bulanan bagi memastikan peralatan seperti tali, kabel dan alat keselamatan berada di dalam keadaan baik dan selamat.

"Malah, kami turut mewajibkan setiap peserta mengisi borang pengisytiharan diri dan menjalani sesi taklimat dan demonstrasi keselamatan yang disediakan di samping memakai kasut dan pakaian yang sesuai sebelum membenarkan mereka mencuba aktiviti ini," katanya.

Bagi seorang peserta, Faizal Hasan, 27, cabaran yang disediakan sesuai untuk semua peringkat umur, dari peringkat kanak-kanak sehinggalah dewasa.

"Ia bukan sekadar aktiviti lasak semata-mata, sebaliknya direka untuk turut menguji keberanian, memupuk semangat kerjasama dan keyakinan diri seseorang.

"Di samping keseronokan beraktiviti, peserta juga dapat melepaskan tekanan apabila menikmati keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di sini. Pengalaman ini pasti akan mereka ingati," katanya.

Sementara itu, Mohd. Arshad Lateh, 47, yang telah mencuba cabaran itu memberitahu, Skytrex Adventure menjadi tarikan kepada pengunjung ke TBNSA selain tarikan sedia ada seperti Taman Haiwan, Rumah Iklim Empat Musim, Kolam Pancing dan tapak sukan paintball.

Menurutnya, aktiviti itu mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, sama seperti aktiviti perkelahan atau mengunjungi destinasi percutian lain yang sering dilakukannya sekeluarga.

"Apabila anak-anak ini melihat kita turut sama beraktiviti dengan mereka, secara tidak langsung mereka akan rasa lebih dekat dengan kita seterusnya membuka ruang untuk berinteraksi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tunisia cuba bangkit selepas revolusi

Posted:

Tunisia cuba bangkit selepas revolusi

Tunisia cuba bangkit selepas revolusi


MENARA masjid di salah satu lorong petempatan di Tunis.


TIADA apa yang lebih buruk sehingga menjejaskan sektor pelancongan sesebuah negara selain daripada revolusi. Namun, Tunisia, kini bergelut untuk bangkit dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mengembalikan kegemilangan sektor pelancongannya selepas siri kekalutan politik di sekitar negara-negara Arab termasuk yang terletak di benua Afrika.

Kempen-kempen pelancongan telah dilaksanakan secara agresif dalam mengurangkan kebimbangan pelancong terhadap negara itu.

Antara usaha terkini adalah sebuah iklan yang menunjukkan seorang wanita sedang diurut dengan tertera perkataan: 'Mereka kata di Tunisia, sesetengah orang menerima layanan mesra.'

Iklan-iklan itu kini terpampang di beberapa buah bas di sekitar London. Sistem kereta api bawah tanah di Paris turut memaparkan mesej iklan yang cenderung mengisahkan kemusnahan selepas revolusi dan tapak-tapak arkeologi di negara itu melalui tapak-tapak arkeologinya.

Pencipta kempen itu mahu meningkatkan kefahaman kelompok pelancong dengan menakrif semula tanggapan mereka mengenai keadaan sebenar di Tunisia selepas revolusi.

Menteri pelancongan negara itu turut memberi jaminan bahawa keadaan di Tunisia adalah selamat untuk pelancong-pelancong meskipun berada dalam kegawatan politik. Ia jauh lebih baik daripada Afrika Selatan.

Kempen-kempen agresif itu hadir tatkala industri pelancongan di negara itu kini terkapai-kapai untuk kembali bangkit selepas pergolakan yang berlaku.

Pelancong-pelancong dari Eropah sebelum ini pernah menjadikan Tunisia sebagai destinasi percutian mereka kerana terpesona dengan keindahan pantainya dan pelbagai tarikan yang ditawarkan.

Situasi itu sekali gus menjana pendapatan sektor pelancongan negara itu kepada 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberikan peluang pekerjaan kepada seorang daripada lima rakyat di negara itu.

Selepas kehadiran pelancong mula berkurangan, negara itu sekali lagi berhadapan dengan masalah yang berlaku terhadap jirannya, Libya.

Semangat kembara

Tidak hairanlah, Tunisia kini bergantung sepenuhnya kepada semangat pengembaraan para pelancong dari Eropah untuk memulihkan sektor utama ekonominya.


SOUK di sekitar Tunisia banyak menjual pelbagai jenis cenderamata popular seperti produk kaca, minyak wangi, dekorasi manik dan pasu tanah liat.


Suasana resort pesisiran pantai Tunisia, Yasmine Hammamet, umpama gambaran sekeping poskad pada musim panas dengan pasir pantai halus, kehangatan laut yang membiru dan rangkaian hotel mewah untuk menyambut kehadiran pelancong. Namun, ia kosong tanpa penghuni.

Pelancong-pelancong dari Eropah, Algeria dan Libya yang telah lama meninggalkan bandar Hammamet yang terletak di barat laut Tunisia itu sedangkan ia masih selamat untuk dilawati.

Situasi itu sekali gus menyaksikan musim kehadiran pelancong yang terburuk di dalam sejarahnya, ketika kebanyakan bandar pesisiran pantai di bahagian utara Afrika turut terjejas sejak Januari akibat revolusi menentang presiden republik itu.

"Ia lebih buruk daripada sebuah malapetaka," kata Kamel ben Abdallah.

Pengurus hotel bertaraf tiga bintang itu lazimnya menjana pendapatan sebanyak 65 peratus pada musim panas ini. Biarpun terdapat diskaun sebanyak 40 peratus daripada harga asal, kebanyakan bilik di hotelnya masih kosong.

Keadaan itu, turut memaksa Ben Abdallah untuk mengurangkan jumlah kakitangannya kepada 40 orang berbanding 100 orang pada musim yang sama tahun lalu. Dia juga tidak lagi mengambil pekerja-pekerja sementara.

Pengurus hotel itu menyalahkan media yang menjadi punca 'kerugian luar biasanya'. Kesan laporan yang menggambarkan negara itu sebagai 'sangat tidak stabil' sejak Januari lalu amat merugikan rakyat tempatan dan pengusaha pelancongan.

Pejabat Pelancongan Kebangsaan pada Selasa lalu turut mengumumkan lebih 3,000 orang kehilangan pekerjaan dalam sektor pelancongan negara itu tahun ini.

Resort sepi

Kehadiran pelancong ke negara itu juga kini merosot kepada 39 peratus. Begitu juga dengan pendapatan yang menjunam sebanyak 51 peratus.

Biarpun resort Yasmine Hammamet kelihatan sepi, ia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong. Diskaun separuh harga yang ditawar diharapkan dapat menarik pelancong ke situ pada tahun ini.


Budaya santun warga tempatan menjadi tarikan ramai pelancong ke Tunisia.


Walaupun terkenal dengan pelbagai festival sebelum ini, resort peranginan itu kini sunyii. Peniaga-peniaga, pembuat kraf tangan dan pemandu pelancong kini bergelut untuk menjana pendapatan.

"Unta saya kini menjadi gemuk kerana ia langsung tidak bergerak," kata Hichem, yang terdesak mencari pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan menunggang unta di sekitar pelabuhan.

Di bahagian pantai resort yang indah itu kelihatan banyak kerusi yang kosong. Saber, seorang pemuda 23 tahun menghabiskan masa harian dengan menunggu di atas salah sebuah daripada 10 basikal miliknya yang dihias indah dengan bendera pelbagai negara.

"Sepanjang sehari suntuk berada di sini, saya tidak mampu menyewakan basikal biarpun memberi potongan harga sebanyak lima dinar (RM10.80) bagi tempoh setengah jam.

"Beberapa pelancong kelihatan menjauhi kami dan berkurung di dalam hotel mereka," keluhnya.

"Mereka tidak lagi keluar pada waktu malam kerana bimbang diserang. Terdapat banyak khabar angin yang tersebar sehingga menakutkan mereka," terang Laila, seorang peniaga yang merancang menutup perniagaannya pada bulan hadapan.

Faktor keselamatan

"Saya dinasihatkan supaya tidak keluar malam tanpa berteman," kata Florence, seorang pelancong dari Perancis yang enggan meninggalkan hotel penginapannya atas faktor-faktor keselamatan.

Pada minggu lalu, pihak Kementerian Dalam Negeri republik itu mengumumkan bahawa usaha mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong. Bagaimanapun, tindakan itu dianggap sebagai tidak mencukupi dan suatu usaha terdesak untuk menghidupkan kembali Tunisia.

Menurut seorang pengurus hotel lima bintang, Philippe Belhay yang kini kerugian lebih 52 peratus perniagaannya, khabar angin tentang bahaya dan ketidakstabilan Tunisia sangat menjejaskan ekonomi sektor pelancongan.

Sebahagian pengurus hotel di negara itu percaya khabar angin yang tersebar telah menjejaskan kehadiran pelancong dari Algeria, yang lazimnya menjadi pelanggan utama mereka sebelum ini.

Dalam usaha mengatasi keadaan itu, golongan profesional pelancongan di Tunisia terus berharap untuk menerima tempahan di saat-saat akhir.

Sementara itu, penduduk tempatan kini turut dihujani iklan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan promosi hotel-hotel dengan kadar luar biasa sehingga mencecah 35 peratus.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rumah nostalgia P. Ramlee

Posted:

Rumah nostalgia P. Ramlee

Rumah nostalgia P. Ramlee

AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my


RUMAH P. Ramlee ini mengenang jasa dan pengorbanan P. Ramlee dalam dunia seni tempatan.


SIAPA yang tidak mengenali Tan Sri P. Ramlee? Biarpun sudah 38 tahun seniman agung itu pergi meninggalkan kita, namanya masih tetap terpahat di hati dan sanubari setiap masyarakat.

Sehingga kini, karyanya masih hidup dan tidak pernah ditelan zaman. Beberapa filemnya yang terus disiarkan di kaca televisyen seperti Nujum Pak Belalang, Bujang Lapok, Labu Labi masih mampu membuatkan peminat-peminatnya ketawa.

Begitu juga lagu-lagunya seperti Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku dan Di Manakan Ku Cari Ganti yang masih kedengaran merdu.

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh membina nama sebagai insan seni yang serba boleh. Dialah pelakon, dia juga penyanyi, pelawak, komposer serta pengarah filem.

Bermula dengan filem Chinta dan Laksamana Do Re Mi menutup tirai seninya, kehebatan beliau terus diakui malah mendapat pengiktirafan di pesta-pesta filem antarabangsa.

Tidak hairanlah, berita pemergiannya menghadap Ilahi pada 29 Mei 1973 begitu mengejutkan peminat-peminatnya. Pemergiannya diibaratkan satu kehilangan besar dalam industri hiburan negara dan terus dikenang sehingga kini.

Menghargai jasa

Justeru, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan untuk mengenang jasa dan sumbangan P. Ramlee kepada warisan seni bangsa dan negara bagi tatapan generasi akan datang.


RUANG dapur yang serba sederhana ini menyuntik rasa rendah diri dan insaf dalam diri pengunjung.


Paling ketara adalah usaha pemuliharaan rumah kelahiran seniman agung itu yang terletak di Jalan P. Ramlee (dulu dikenali sebagai Counter Hall Road), Pulau Pinang.

Rumah itu pada asalnya dibina pada tahun 1926 oleh bapa beliau, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim bersama bapa saudaranya, Rejab Hussain. Ia kemudian dibaik pulih oleh bapa saudaranya pada zaman pendudukan Jepun dan sekali lagi pada 1948.

Di rumah itulah P. Ramlee membesar dan mengharungi zaman kanak-kanak serta alam persekolahan sebelum beliau berhijrah ke Singapura dan Kuala Lumpur untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni.

Menyedari nilai sejarah yang ada, Arkib Negara Malaysia telah mengambil alih dan menjadikan rumah itu sebagai muzium yang menjadi salah satu tarikan pengunjung di negeri Pulau Mutiara itu.

Bagi tujuan itu, pihak Arkib telah melakukan kerja baik pulih bermula pada tahun 1991. Bentuk asalnya masih dikekalkan termasuk perincian pelbagai ukiran kayu yang menghiasi setiap sudut rumah itu.

Pada 31 Disember 1991, ia telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik.

Tradisional

Seperti rumah-rumah tradisional Melayu di Pulau Pinang, Rumah P. Ramlee mempunyai beberapa bahagian utama seperti bilik, ruang tamu, serambi serta dapur.


BASIKAL tua di bawah rumah ini mengimbas semula banyak adegan filem-filem P. Ramlee.


Melangkah ke ruang dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat perjalanan kehidupan yang pernah dilalui legenda perfileman Melayu itu satu ketika dahulu. Pelbagai koleksi peribadi P. Ramlee bermula dari zaman remaja sehinggalah kejayaan yang dicapai dalam bidang seni dipamerkan di ruang tersebut.

Antara yang dipamerkan ialah poster-poster filem, buku muzik, poskad, serta pelbagai dokumen peribadi lain.

Ketika menjengah ke ruang biliknya pula, pengunjung dapat melihat beberapa barangan peninggalan beliau dan keluarganya. Antaranya adalah katil, peti besi menyimpan pakaian dan koleksi pakaian kegemaran.

Ruang dapur juga tidak terkecuali memiliki aura nostalgia. Ia mempamerkan peralatan memasak dan set-set alat hidangan yang pernah digunakan P. Ramlee sekeluarga.

Sementara itu, di bahagian bawah rumah pula pengunjung boleh melihat model basikal kegemaran beliau. Kawasan sekitarnya juga sengaja dihiasi dengan pelbagai landskap asal yang sinonim dengan kehidupan legenda itu satu ketika dahulu.

Ternyata, kunjungan ke Rumah P. Ramlee besar ertinya khususnya kepada peminat-peminat setia seniman agung itu.

Biarpun hari-hari terakhir kehidupan yang dilalui hakikatnya lebih banyak duka berbanding suka, namun P. Ramlee ibarat manusia yang matinya diberi 'peluang kedua' dengan kehidupannya dikenang orang sepanjang masa.

Memori P. Ramlee tidak akan mati sampai bila-bila kerana namanya akan tersemat di dalam ingatan masyarakat di negara ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved